Monday, November 2, 2020

SEJARAH RINGKAS PENERBITAN JURNAL SEJARAH DI MALAYSIA 1846-1966

Jurnal sejarah yang paling awal diterbitkan di negara kita ialah Journal of the Indian Archipelago and Eastern Asia pada tahun 1847. Jurnal ini lebih dikenali sebagai Logan’s Journal yakni nama penerbit dan pengarangnya, James Richardson Logan, seorang wartawan dan peguam di Negeri-negeri Selat. Secara ringkasnya, sebanyak tiga belas jilid jurnal ini telah diterbitkan antara tahun-tahun 1847-1863. Jilid I hingga Jilid IX dikeluarkan antara tahun-tahun 1847-1855 manakala Jilid I (siri baru) hingga Jilid 3 (siri baru) 1856-1859 dan Jilid IV (siri baru) 1863. Selepas tahun 1863, jurnal ini telah terkubur begitu sahaja. Penggerak utamanya, Logan telah meninggal dunia di Pulau Pinang pada tahun 1869. 

Sepanjang penerbitannya, purata jumlah edaran adalah di antara 200 hingga 300 naskhah setiap kali keluaran. Dalam pada itu, lebih kurang 50 naskhah telah dilanggan oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris untuk kegunaan para pegawainya.  Logan’s Journal merupakan salah satu jurnal ilmiah yang terawal di negara kita yang diterbitkan di Negeri-negeri Selat. Rencana-rencana yang dimuatkan dalam jurnal ini ditulis dalam Bahasa Inggeris dan biasanya membincangkan tentang sejarah, kesusasteraan dan etnologi geografi Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.


Seterusnya, jurnal sejarah yang kedua terawal penerbitannya ialah Journal of Eastern Asia yang diterbitkan oleh James Collins pada bulan Julai, 1875. Collins merupakan seorang pegawai British yang berkhidmat di Negeri-negeri Selat dan memegang jawatan Setiausaha dan Pustakawan di Muzium dan Perpustakaan Raffles, Singapura. Collins telah mengikut jejak Logan dalam menerbitkan sebuah jurnal persendirian (suku tahunan) dengan menanggung semua kos pengeluarannya. Tambahan pula, beliau memperolehi sokongan moral dan bantuan khas daripada Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Andrew Clarke dalam usaha menerbitkan jurnalnya. Namun demikian, ianya tidak dapat kekal lama kerana keluaran seterusnya yang dijangkakan diterbitkan pada bulan Oktober, 1875 tidak menjadi kenyataan akibat masalah kewangan dan kekurangan rencana. Selain daripada sejarah, jurnal ini juga memuatkan rencana tentang botani, zoologi, geologi, mineralogi, dan meteorlogi. Semua rencana yang dimuatkan dalam edisi sulungnya adalah dalam Bahasa Inggeris.

Ketiga ialah Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society yang mulamula diterbitkan pada tahun 1878 oleh Straits Branch of the Royal Asiatic Society (Persatuan Asia Diraja Bahagian Selat) yang berpusat di Singapura. Pada mulanya, jurnal ini mengandungi pelbagai rencana mengenai sejarah semulajadi, falsafah, geografi, geologi, kesusasteraaan, filologi, sejarah dan etnologi. Kemudiannya, pada 1920an, jurnal tersebut mulai memuatkan lebih rencana bersifat sejarah terutamanya apabila jurnal bertukar nama kepada Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society (1923-1963) pada tahun 1923.

Antara tahun-tahun 1941-1946, penerbitan jurnal telah tergendala akibat pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu. Seterusnya, apabila Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak digabungkan menjadi Malaysia pada tahun 1963, sekali lagi jurnal ini bertukar nama menjadi Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (1964 hingga sekarang). Dari tahun pertama penerbitannya hingga sekarang, jurnal ini telah disunting oleh seorang pengarang yang dilantik khas oleh Persatuan untuk mengendalikan pengurusan jurnalnya. Kemudiannya, akibat beban kerja penerbitan yang terlalu rumit dan bertambah, sebuah sidang editorial diwujudkan untuk membantu pengarang. Pengarang pertama jurnal ini ialah Dr. N. B. Dennys (1878), Setiausaha, Persatuan Asia Diraja Bahagian Selat.

Seterusnya, antara tokoh-tokoh yang pernah menjawat tugas pengarang ialah A.M. Skinner (1879), W. E. Maxell (1883-1887), H. N. Ridley (1890-1893, 1898-1900, 1902- 1907,1909-1911), C. A. Gibson-Hill (1948-1961), Alastair Lamb (1963-1964), Wang Gungwu (1964-1968), S. Arasaratnam (1969-1970), Mubin Sheppard (1971-1994), dan Khoo Kay Kim (1995-1998). Mulai Jilid 71 (2) Disember 1998, tugas pengarang telah diambil alih Dr. Cheah Boon Kheng, Naib Presiden Persatuan Asia Diraja Bahagian Malaysia. Isu terbaru jurnal ini ialah Jilid 73 (2) Disember 2000. Semua rencana yang disumbangkan kepada jurnal ini adalah dalam Bahasa Inggeris.

Jurnal seterusnya ialah Perak Museum Notes (1893-1898) yang diterbitkan oleh Muzium Taiping, Perak. Kemunginan besar orang yang ditugaskan mengelolakan penerbitan Perak Museum Notes ialah Leonard Wray, Kurator Muzium Perak sendiri. Antara tahun-tahun 1899-1904 tidak ada keluaran terbaru daripada jurnal ini. Pada tahun 1905, jurnal ini bertukar nama kepada Journal of the Federated Malay States Museum sempena penggabungan Muzium Perak dan Muzium Selangor. Pada masa yang sama, jurnal ini memulakan nombor siri yang baru. Kemudiannya, jurnal ini telah bertukar imej dan nama lagi kepada Federation Museums Journal apabila Muzium Negara mengambil alih penerbitannya iaitu Jilid 1 & II Siri Baru 1954/1955 yang telah diberikan nombor siri yang baru juga. Sebelum itu, seperti Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, penerbitannya turut tergendala selama dua belas tahun iaitu antara tahun-tahun 1941-1953 kerana Perang Dunia Kedua dan masalah-masalah tertentu. Pengarang jilid sulung selepas perang ialah G. De G. Sieveking, Kurator Muzium, Persekutuan Tanah Melayu. Kemudiannya, Mubin Sheppard telah mengambil alih tugas pengarang mulai Jilid IV Siri baru 1960.

Dalam pada itu, akibat kesibukan kerja dan bebanan tugas, mulai Jilid VI 1961, Sheppard telah dibantu H. A. Lamb dan Lord Medway dalam kerja-kerja penerbitan jurnal. Kemudiannya, Shahrum bin Yub, Timbalan Pengarah Muzium dengan bantuan Lord Medway telah diberi tanggungjawab menerbitkan jurnal tersebut sehingga tahun 1969. Mulai Jilid XV Siri Baru 1970, Shahrum bin Yub yang kemudiannya menjadi Pengarah Muzium Negara telah mengambil alih tugas pengarang sepenuhnya sehingga tahun 1985. Antara tahun-tahun 1986-1990, jurnal ini tidak diterbitkan sehingga tahun 1991 iaitu Jilid 31 Siri Baru yang mana pengarangnya ialah Haji Mohd Zulkifli bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah Jabatan Muzium dan Antiquiti dengan dibantu oleh sebuah sidang pengarang yang terdiri daripada pegawai-pegawai Jabatan Muzium dan Antiquiti. Selepas tahun 1991, jurnal ini mengambil nama baru iaitu Malaysia Mueums Journal dengan terbitnya Jilid 34 Siri Baru, 1998 yang mana Zuraina Majid menjadi pengarangnya.

Isu jurnal yang akan datang ialah Jilid 35 Siri Baru. Pada keseluruhannya, jurnal ini mengandungi rencana mengenai etnologi, antropologi dan arkeologi. Namun demikian, ada juga terselit dalam setiap keluaran rencana-rencana mengenai sejarah. Pada mulanya artikel-artikel dalam jurnal ini ditulis dalam Bahasa Inggeris tetapi menjelang penubuhan Malaysia pada tahun 1963, ia mula mengandungi rencana dalam Bahasa Melayu.  Jurnal kelima ialah Sarawak Museum Journal yang diterbitkan pada tahun 1911 oleh Muzium Sarawak. Pengarang pertama jurnal ini merupakan Major J. C. Moulton, Kurator Muzium Sarawak sendiri. Menjelang tahun 1937, Muzium Sarawak telah berjaya menerbitkan 15 jilid jurnalnya. Seperti jurnal-jurnal sejarah yang lain, penerbitannya  turut terhenti apabila tentera Jepun menduduki Sarawak. Jurnal ini telah menyambung semula penerbitannya dengan siri baru hanya pada Mei 1949, Jilid 5, no. 1 (Siri baru), no. 16 (Siri lama). Dalam pada itu, antara pengarang-pengarang yang telah mengambil-alih tugas penyuntingan jurnal tersebut ialah Tom Harrison (1949-1965), Tom Harrrison dan Benedict Sandin (1966-1967), Benendict Sandin (1968-1971), Lucas Chin (1972-1991), Peter M. Kedit (1992-1996) dan Sanib Said (1997 hingga sekarang).

Secara tradisinya, jawatan Pengarang jurnal biasanya dipegang oleh Kurator Muzium Sarawak. Sejak Jilid 24 (Siri Lama) 45 (Siri Baru) 1976, pengarang dibantu dalam kerja-kerja penerbitan oleh sebuah sidang pengarang. Dalam pada itu, pada tahun 1992, setelah mengambil alih tugas pengarang jurnal, Peter M. Kedit telah memberi wajah baru kepada jurnal dengan memperkenalkan kulit depan jurnal yang berwarna untuk menceriakan lagi imej jurnal. Secara amnya, jurnal ini memuatkan rencana-rencana tentang sejarah, sejarah semulajadi, arkeologi, etnologi dan lain-lain lagi mengenai Sarawak dan kawasan-kawasan sekitarnya. Jilid terkini jurnal ini ialah Jilid 68 (Siri Lama) 50 (Siri Baru). Selepas Perang Dunia Kedua, jurnal sejarah seterusnya ialah Malayan Historical Journal, the Journal of the Malayan Historical Society yang diterbitkan oleh Malayan Historical Society (Persatuan Sejarah Malaya) pada tahun 1954. Pengarang pertama jurnal ini ialah J. C. Bottoms, Setiausaha Sulit Pesuruhjaya Tinggi British yang mengelolakan penerbitkan jurnal sehingga Jilid 3, no. 1, Julai 1956. Setahun kemudian, pada Julai 1957, Haji Mubin Sheppard telah mengambil alih jawatan Pengarang dan terus menyelenggarakan penerbitan jurnal yang telah diberi nama baru Malaya in History (1957-1962). Ketika menjadi pengarang jurnal, beliau telah memberi wajah baru yakni kulit depan yang berwarna tetapi nombor sirinya telah dikekalkan.

Pada tahun 1963  dengan penubuhan Malaysia, Malaya in History menjadi Malaysia in History (1963-1985). Haji Mubin Sheppard telah bertugas sebagai pengarang selama 13 tahun hingga pengeluaran Jilid 14, no. 2, April 1972. Kemudian tanggungjawab untuk menerbitkan jurnal telah diambilalih oleh Professor Zainal Abidin bin A. Wahid yang telah berjaya mengeluarkan jurnal Malaysia dari segi Sejarah setiap tahun untuk memuatkan rencanarencana sejarah dalam Bahasa Melayu memandangkan sebelum ini Malaysia in History lebih banyak memuatkan rencana-rencana sejarah yang ditulis dalam Bahasa Inggeris.

Sebenarnya, seawal Februari 1961, memandangkan kurangnya terdapat jurnal-jurnal sejarah dalam Bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka telah bekerjasama dengan Persatuan Sejarah Malaya untuk menterjemahkan beberapa rencana sejarah terpilih untuk dimuatkan dalam sebuah jurnal sejarah. Dengan itu, lahirlah Tanah Melayu dari segi Sejarah, yang pertama kali diterbitkan pada bulan Februari 1961 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk Persatuan Sejarah Malaya. Jurnal ini kemudiannya bertukar nama kepada Malaysia dari segi Sejarah. Dengan itu sebenarnya, Malaysia dari segi Sejarah adalah sambungan Tanah Melayu dari segi Sejarah. Yang membezakan kedua-duanya ialah Malaysia dari segi Sejarah diterbitkan sendiri oleh Persatuan Sejarah Malaya yang kemudiannya telah bertukar nama kepada Persatuan Sejarah Malaysia. 

Pada 28hb Julai 1978, Prof. Zainal Abidin bin A. Wahid telah menyerahkan jawatan pengarang kepada Prof. Khoo Kay Kim. Pada tahun 1985, selepas Jilid 28, 1985 penerbitan Malaysia in History terpaksa diberhentikan kepada kekurangan sumbangan rencana Bahasa Inggeris. Oleh itu, hanya Malaysia dari segi Sejarah yang dikeluarkan dan keluaran tersebut tidak lagi setebal keluaran-keluaran pada masa dahulu. Pada ketika itulah kemungkinan besar telah berlaku penyatuan jurnal sejarah yang pertama di negara kita kerana kedua-dua jurnal penerbitan Persatuan Sejarah Malaysia, iaitu Malaysia in History dan Malaysia dari segi Sejarah telah digabungkan menjadi satu kerana kekurangan dana penerbitan dan lain-lain masalah. Selepas Prof. Khoo Kay Kim mengundurkan diri sebagai pengarang, jawatan Pengarang telah diambil alih oleh Prof. Dr. Nik Hassan Shuhaimi bin Nik Abdul Rahman. Kini, kedua-kedua jurnal ini telah digabungkan ke dalam satu penerbitan sahaja bertajuk Malaysia dari segi Sejarah sejak tahun 1986. Jilid terkini Malaysia dari segi Sejarah ialah Bil. 28, 2000 yang mana pengarang barunya ialah Prof. Abdullah Zakaria Ghazali.

 Jurnal sejarah seterusnya ialah Journal of the Historical Society, University of Malaya, pertama diterbitkan pada tahun 1960. Jurnal ini dterbitkan oleh Persatuan Sejarah Universiti Malaya untuk membolehkan para pelajar mengikuti perkembangan penulisan sejarah yang dikarang para akademik dan rakan mereka. Jurnal ini kemudiannya bertukar nama kepada Jernal Sejarah mulai Jilid IX 1970/1971. Perubahan nama ini selaras dengan perkembangan terbaru dalam dasar pelajaran yang menggunakan Bahasa melayu sebagai bahasa pengantar di universiti-universiti tempatan. Dari Jilid 1, 1960 hingga Jilid V 1966/1967, semua rencana yang dimuatkan dalam jurnal adalah dalam Bahasa Inggeris tetapi mulai Jilid VI 1967/1968 sudah terdapat artikel sejarah yang ditulis dalam Bahasa Melayu.

Pengarang-pengarang jurnal ini semuanya merupakan pelajar-pelajar jurusan Sejarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya. Antaranya ialah R. Bonney (Jilid 1, bil. 1, 1960), Oh Hong Choon (Jilid 1 , bil. 2, 1961), Gilbert Khoo (Jilid 1, bil. 3, 1962/1963 – Jilid II 1963/1964), Oli Mohamed (Jilid III 1964/1965), Mat Rasip Manap (Jilid IV 1965/1966), Karthar Singh (Jilid V 1966/1967), Xavier Nathan (Jilid VI 1967/1968), Anto Austin D’Cruz (Jilid VII l968/1969), Soosay Nathan K. (Jilid VIII l969/1970), G. Palanivel (Jilid IX 1970/1971), Thomas Mathews (Jilid X 1971/1972), Kassim Abbas (Jilid XI 1972/1973), Abdul Manaf Saad (Jilid XII 1973/1974), Ahmad Zahid Hamidi (Jilid XIII 1974/1975/1976), Sahabudin Mahmud (Jilid XIV 1976/1977), dan Ismail Wadin (Jilid XV 1977/1978). Pada mulanya, kebanyakan artikel sejarah jernal adalah sumbangan para pensyarah dan tutor Jabatan Sejarah, Universiti Malaya tetapi sejak tahun 1971, sumbangan daripada mahasiswa-mahasiswi semakin bertambah.

Pada keseluruhannya, rencana-rencana sejarah yang diterbitkan dalam jurnal ini adalah dalam bidang pengajian sejarah Malaysia.  Selepas itu, wujudlah jurnal sejarah, Kedah dari segi Sejarah Kedah in History, terbitan Persatuan Sejarah Malaysia, Cawangan Kedah. Jurnal ini telah mula dikeluarkan pada Jun 1966. Pengarangnya yang pertama ialah James F. Augustin yang terus menerbitkan jurnal tersebut sehingga Jilid 3, no. 1 Jun 1968. Ismail Haji Saleh telah menjadi pengarang jurnal mulai Bil. 7, No. 1, Julai 1976. Pada mulanya, rencana yang dituliskan adalah dalam Bahasa Inggeris tetapi kemudiannya sejajar dengan perkembangan pelajaran negara, ianya telah memuatkan rencana-rencana sejarah dalam Bahasa Melayu juga. 

Seterusnya, mulai Jilid 12, Bil. 1, 1995, jurnal ini bertukar nama kepada Cetera serta berwajah baru manakala pengarangnya ialah H. Md. Noor Salleh. Pengarang jurnal menguruskan penerbitan jurnal dengan dibantu oleh staf penyelenggara jurnal yang berkemungkinan besar sama ada merupakan kakitangan Muzium Negeri Kedah ataupun ahli-ahli Persatuan Sejarah Malaysia, Cawangan Kedah.  Jurnal sejarah yang kesepuluh ialah Peninjau Sejarah : Journal of the History Teachers’ Assocation of Malaya yang pertama kali diterbitkan pada Julai 1966. Jurnal ini diterbitkan atas kerjasama Persatuan Guru-guru Sejarah Tanah Melayu dan Jabatan  Sejarah, Universiti Malaya. 

Tujuan utama penerbitannya ialah untuk membolehkan peminat-peminat sejarah tanahair untuk memberi pendapat dan membincangkan soal-soal yang ada kaitan dengan bidang sejarah. Dari penerbitan sulung hingga keluaran terakhirnya, pengarangnya ialah Zainal Abidin b. A. Wahid yang bertugas di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya. Namun demikian, pada keseluruhanya sambutan terhadap jurnal berkenaan tidaklah begitu memuaskan kerana jawatan Pengurus Jualan tidak dapat diisikan dengan calon yang sesuai. Ini ditambah dengan masalah jumlah ahli persatuan yang semakin berkurangan tahun demi tahun dan akhirnya jurnal ini terpaksa menghentikan penerbitannya selepas tahun 1968, Jilid 3, no. 2, September 1968. Pada hakikatnya, walaupun jurnal ini dikatakan bersifat dwibahasa tetapi semua rencana yang disumbangkan adalah dalam Bahasa Inggeris. 

No comments: