Kedudukan Kerajaan PN sangat rapuh. Jika undi tidak percaya dilakukan terhadap TS Muhyiddin apabila Parlimen bersidang, kita tidak tahu beliau boleh mendapat sokongan majoriti atau tidak.
Isu yang paling utama ialah adanya UMNO dalam kerajaan itu. PH tahu tanpa UMNO, kerajaan itu akan tumbang. Modal besar PH terhadap UMNO ialah UMNO parti corrupt. Penyertaannya dalam Kerajaan PN menjadikan kerajaan itu sebuah kerajaan corrupt.
Perhatian khusus akan diberi kepa DS Zahid, sama ada beliau akan diberi jawatan dalam cabinet. Jika beliau diberi jawatan Menteri, apatah lagi Timbalan Perdana Menteri, terus terang saya katakan, TS Muyiddin akan kalah undi tidak percaya dan Kerajaan PN akan tumbang.
Bukan itu sahaja, orang ramai yang menyokong Kerajaan PN, termasuk saya, akan menarik balik sokongan mereka, dan berkecuali. Mereka akan mengambil sikap “Mampus pi lah” kerana mereka telah terlalu bosan dengan ahli politik yang hanya menjaga perut masing-masing.
Maka, sebelum dilakukan undi tidak percaya, pemimpin parti-parti komponen PN perlulah bermesyuarat, mengambil pendirian, mengeluarkan kenyataan dan melakukan apa yang sempat dilakukan, bahawa:
1. PN tidak akan mengulangi kesilapan UMNO dan PH.
2. PN tidak akan berkompromi dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
3. PN tidak akan melantik ahli Parlimen yang sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah untuk memegang sebarang jawatan dalan Kabinet PN.
4. Kerajaan PN akan melantik seorang pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan yang kanan, berpengalaman dalam pendakwaan dan undang-undang, berdedikasi dan berintegriti untuk menjadi Peguam Negara/Pendakwa Raya.
5. Kerajaan PN akan melantik seorang pegawai kanan SPRM yang berpengalaman, berdedikasi dan berintegriti untuk menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM.
6. Kerajaan PN tidak akan campur tangan atau cuba mempengaruhi Peguam Negara/Pendakwa Raya dan Ketua Pesuruhjaya SPRM dalam melaksanakan tugas-tugas mereka.
7. Kerajaan PN juga sekali-kali tidak akan mempengaruhi atau menekan Pendakwa Raya supaya menghentikan pendakwaan atau menarik balik pertuduhan terhadap ahli kabinet PN, ahli Parlimen PN atau penyokongnya.
8. Kerajaan PN juga sekali-kali tidak akan campur tangan atau cuba mempengaruhi mahkamah dalam menjalankan tugas kehakimannya.
9. Kerajaan PN tidak akan meminta pengampunan ke atas sabitan dan hukuman yang dikenakan oleh mahkamah terhadap ahli kabinet PN, ahli Parlimen PN atau penyokongnya. Tetapi hak mereka berbuat demikian tidak dihalang.
10. Kerajaan PN akan menumpukan perhatian sepenuhnya untuk memperbaiki ekonomi negara, taraf kehidupan rakyat dan pentadbiran negara.
TS Muhyiddin dan pemimpin parti-parti komponen hendaklah bertegas dalam hal ini. Lebih baik tumbang semasa melakukan sesuatu yang betul, bukan kerana melakukan sesuatu yang salah.
Jika UMNO berkeras menghendaki DS Zahid menjadi Menteri atau TPM dan mengugut keluar PN, biarkan UMNO keluar, biarkan PN tumbang. UMNO akan dikutuk oleh orang Melayu dan mati tak berkubur. Percayalah.
Dalam ucapan pelantikan saya sebagai Ketua Hakim Negara pada 11-12-2007, antara lain, saya berkata:
“Saya sedar bahawa, jika Allah s.a.w. melanjutkan usia saya sekalipun, tempoh untuk saya memegang jawatan Ketua Hakim Negara ini adalah amat singkat. Tetapi, jika, dengan takdir Allah s.w.t. saya memegang jawatan ini hanya sehari sahaja pun, dalam masa satu hari itu, saya berazam untuk melakukan apa yang saya, dengan jujur, fikir adalah betul, sehabis baik yang saya boleh lakukan. Sama ada sehabis baik saya itu cukup baik atau tidak terserahlah kepada orang ramai untuk menghakiminya.”
Mungkin ada pengajaran yang boleh diambil daripadanya.
02-03- 2020
tunabdulhamid@gmail.com
http://www.tunabdulhamid.my
No comments:
Post a Comment