Sebelum saya ucapkan berkenaan dengan tujuan atas fasal yang pertama di dalam agenda mesyuarat ini, saya ucapkan terima kasih dengan setulus-tulus ikhlas hati kerana kehormatan yang tinggi yang telah tuan-tuan kurniakan kepada saya dengan melantik saya sebagai Pengerusi bagi persidangan yang sangat bermakna ini dan wakil-wakil umat Melayu dari segenap negeri di jajahan Tanah Melayu ini. Saya mencadangkan kongres ini tetapi mereka yang menanggung keberatan. Oleh itu saya ucapkan terima kasih.
Kepercayaan tuan-tuan atas saya ialah suatu benda yang tidak dapat saya lafazkan dengan lidah. Perbuatan tuan-tuan atas saya ialah suatu lazaf kepercayaan tuan-tuan atas mustahaknya persidangan sebagaimana adanya perkumpulan di sini hari ini, dan atas kemahuan dan keazaman tuan-tuan, dari rundingan-rundingan dan keputusan-keputusan hari ini hendak menciptakan tapak-tapak bangunan yang akan menghasilkan dan membuktikan cita-cita bangsa kita yang telah lama diidam-idamkan, iaitu persatuan di antara kita sendiri.
Apakah maksud dan tujuan yang telah menyebabkan kita berhimpunan beramai-ramai di sini pada hari ini? Adapun maksud dan tujuan kita ialah keyakinan diri kita bahawa nasib bangsa kita hanyalah akan dapat diperkenalkan dengan kesatuan hati di antara kita juga dan kesatuan kebangsaan kita itu hanyalah akan dapat diperliharakan dengan berpegang teguh kepada suatu kepercayaan yang lebih besar dan lebih tinggi daripada bangsa itu sekalian. Sungguhpun ada di antara kita yang berlain-lainan fikiran dan faham serta berlain-lainan taraf dan kedudukan kita tetapi hakikat tujuan dan maksud kita hanya satu jua: iaitu kita hendak meninggikan dan memelihara maruah serta kesopanan bangsa kita.
Kita berkehendak supaya tanah air dan bangsa ini terselamat dan kuat, dan hanyalah boleh kuat jika kita bersatu padu. Dan lagi kita berkehendak kepada mengambil bahagian dan pikulan kita pada menolakkan keaiban yang disebabkan oleh kebinasaan dan kehapusan bangsa kita. Kita berkehendak melihat supaya berhasil persatuan di antara bangsa kita, disokong dan dibantu dengan sepenuh penuhnya serta secukup-cukup perbuatan menurut kehendak zaman yang ada ini.
Pada waktu dan zaman kehidupan kita setelah ditimpa oleh suatu peperangan yang tiada bandingannya di dalam tawarikh dunia ini maka sekalian manusia di dalam segala negeri adalah berharap akan dapat merasai suatu keadaan hidup yang lebih baik dan lebih selamat daripada yang sudah.
Adakah kita hendak memandang sahaja akan hal-hal itu atau adakah kita berkehendak jua menyaingi mereka itu? Belumlah pernah ada terhadap kepada kita suatu peluang bagaimana yang ada ini untuk memilih yang mana yang kita kehendaki itu; adakah kebahagiaannya atau kecelakaannya. Untuk memilihnya adalah terbuka kepada tuan-tuan sekalian. Timbangan neraca nasib bangsa kita itu adalah di dalam genggaman tuan-tuan pada hari ini. Keputusan dan pilihan tuan-tuan itulah yang akan menentukan sama ada sekiranya kita akan mengambil bahagian yang terpuji pada memberatkan timbangan neraca itu kepada mendatangkan kepercayaan daripada kebimbangan dan kebahagiaan daripada kesengsaraan.
Kemudian daripada kemalangan yang terbit daripada peperangan dunia yang baru lepas ini, maka bangsa-bangsa dunia telah bersatu padu mengadakan suatu ikhtiar bagaimana hendak terselamat daripada dibinasakan oleh bangsa lain serta supaya mengadakan satu ikhtiar bagi membetulkan perkara-perkara yang mendatangkan kesusahan kepadanya dengan tidak payah lagi bermusuh-musuhan. Daripada ikhtiar itu lahirlah UNO (United Nations Organization). Orang Melayu di seluruh Semenanjung Tanah Melayu ini telah mendirikan persekutuan, persatuan, kesatuan, parti dan pergerakan kesemuanya dengan tujuan itu hendak menyatukan dan memperbaiki keadaan kehidupan bangsanya.
Maka hanya iaitu telah didirikan persekutuan dan lain-lain itu telah membantutkan tujuan kesemuanya dan tiap-tiap sebuah daripadanya itu. Maka daripada bersatu hati telah tersemai pula benih yang kelak membawa kepada berpecah belah? Perusahaan kita itu tiada menyamai dengan cita-cita dan tujuan-tujuan kita. Terbayanglah di sini bayangnya berpecah belah dan kehampaan. Kedengaranlah kepada kita ejekan-ejekan dan celaan-celaan oleh tiada berhasil bagaimana cita-cita kita itu. Kiranya telah ada berpecah belah itu maka hendaklah kita memperbetulkannya. Adakah kita berfikir perbuatan ini tidak terdaya kepada kita membuatnya?
Sebagaimana juga bangsa-bangsa dunia telah berkumpul mengadakan suatu ikhtiar bagi keselamatannya dan supaya mempertahankan serangan ke atasnya dan supaya perkara-perkara yang mendatangkan kesusahan kepadanya dan kepada orangnya boleh dapat diperbaiki, maka demikian itu jugalah persatuan-persatuan Melayu dan lain-lain itu terkumpul di sini pada hari ini dengan tujuan supaya kesusahan-kesusahan orangnya dapat diperbaiki dan diselamatkan.
Adapun ikhtiar yang terbuka kepada umat Melayu ialah mengadakan persatuan di antara kesatuan-kesatuan mereka dengan berdiri dan berpegang teguh kepada persatuan mereka itu. Dari segala ceruk rantau Semenanjung Tanah Melayu ini telah kedengaran kepada kita seruan supaya bersatu padu, dan pada hari ini kesungguhan seruan itu akan teruji dan tatkala diadakan ujian itu maka tuan-tuan yang mewakili mereka itu hendaklah bersatu suara supaya seruan itu akan dapat sahutannya.
Di luar negeri kita yang dahulu senang dan makmur maka sekarang adalah gelap-gelita. Di dalam negeri kita sendiri, gambaran sebuah negeri yang makmur dan senang itu mengandungi penduduk yang tersenyum dan bersenang hati, telah dicemarkan oleh pergaduhan di antara bangsa-bangsa serta perbuatan-perbuatan yang menyalahi. Di atas kita adalah terbayang suatu bayangan yang gelap iaitu tidak kita ketahui apakah dia dan suatu kebimbangan keadaan yang ada ini bukanlah sebagai yang patutnya. Akan tetapi janganlah hal-hal ini mendatangkan kecil hati kepada tuan-tuan. Pada hari ini lebih daripada lain masa di dalam tarikh dan kehidupan umat Melayu adalah menghendaki kita bersabar dan bertenang fikiran supaya dapat kita menimbangkan secara mana
yang benar untuk menemui olak-olakan yang terbit daripada dunia itu. Pada hari ini lebih daripada lain-lain masa di dalam tawarikh bangsa kita adalah dikehendaki kita berkuat hati supaya dapat kita hadapi apa juga yang akan datang dengan kepercayaan di atas diri kita sendiri. Marilah kita tunjukkan kepada dunia iaitu roh dan semangat datuk nenek kita itu masih ada lagi dengan kita. Marilah kita tunjukkan iaitu kita masih boleh mengangkat kepala kita dan menatap dunia bagaimana orang yang benar dan kuat hatinya membuat.
Marilah kita tunjukkan iaitu seberat-berat paluan boleh kita pertahankan dengan tersenyum dan berhidup dengan lebih segar daripada dahulu. Marilah kita tunjukkan iaitu dengan persatuan di antara kita maka kita berkehendakkan menzahirkan satu bangsa yang lebih tegap dan subur, boleh berdiri di atas tapak kaki kita sendiri dan mengambil tempat kita yang sebenar di sisi bangsa-bangsa lain yang tetap dan bersatu. Marilah kita mengaku akan diri kita tidak kurang sedikit pun dari lain-lain bangsa.
Marilah kita bersatu dan berusaha bagi faedah bangsa kita dan marilah kita bekerjasama dan menyamakan perusahaan-perusahaan kita itu bagi melayakkan diri kita menjadi satu bangsa yang besar. Bersatulah sebagaimana belum pernah kita bersatu dahulu dan berusahalah sebagaimana belum pernah kita berusaha. Tunjukkanlah bahawa kita ini sebenar-benarnya keturunan datuk nenek kita yang menghadap merbahaya dengan bersatu hati. Hadaplah apa-apa yang akan datang itu dengan hati yang kukuh dan perasaan yang sabar serta dengan sepenuh-penuhnya kepercayaan di atas keikhlasan niat-niat dan tujuan-tujuan kita itu.
InsyaAllah pada suatu hari kita akan hidup di dalam cahaya sinaran kemerdekaan sama taraf dengan orang yang merdeka dan menjadi kemegahan kepada diri kita sendiri. Saya telah mendengar iaitu persatuan di antara orang Melayu akan menjadi merbahaya kepada lain-lain bangsa di dalam Semenanjung Tanah Melayu ini. Akan tetapi saya tidak mengerti apa sebabnya. Sebaliknya pula persatuan umat Melayu itu akan menjadi lebih-lebih membawa kepada ketetapan dan keadilan di dalam negeri kita yang di dalamnya kita sentiasa telah memberi akan tetapi tiada mendapat balasan yang berpadanan.
Berlawan-lawanan di dalam segala perkara kehidupan sememang telah ada dan masih akan ada lagi akan tetapi perlawanan yang benar tidak patut dibimbangkan bahkan patut disambut. Sungguhpun pada masa setahun atau lebih yang baharu lepas ini telah berlaku beberapa kejadian di antara bangsa-bangsa yang mencatatkan kehidupan beribu-ribu orang yang telah hidup dengan baik dari semenjak sebelum Semenanjung ini diperintah oleh satu bangsa akan tetapi tiada patut dibimbang bahawa kesatuan di antara orang Melayu itu akan membawa kepada pergaduhan dan perkelahian lagi.
Sebelum saya tutupkan percakapan saya ini maka saya hendak bercakap sedikit bagi maruah dan bangsa kita. Adapun tuan-tuan yang berhimpun di sini pada hari ini ialah wakil-wakil yang terpilih dan tiap-tiap sepatah perkataan serta tiap-tiap satu gerak-geri dan perbuatan tuan-tuan itu akan ditimbangkan dan diperhatikan. Yang demikian itu jemputlah menjalankan rundingan kita dengan keadaan berbaik-baik dan berikhlasan hati dan jika sekiranya ada yang hendak mendatangkan teguran maka biarlah teguran-teguran itu barang yang bernas dan memberi faedah.
Tuan-tuan adalah dikehendaki memberi satu keputusan sahaja iaitu adakah atau tidak hendak dijadikan U.M.O. (United Malays Organization). Butir-butir pendirian dan perjalanan U.M.O. itu ialah perkara yang tuan-tuan juga mesti menetapkan. Saya hanyalah meminta supaya fikiran dan syor-syor yang berfaedah tatkala dibukakan peluang bagi merundingkan perkara-perkara itu. Demikianlah percakapan saya dengan mengulangi sekali lagi sepenuh-penuhnya terima kasih daripada hati saya yang ikhlas, adanya. Hidup Melayu.
No comments:
Post a Comment