Friday, January 18, 2019

Majlis Pelancaran Pekaj Pelancongan Muslim - Jejak Cheng Ho




Laksamana Cheng Ho yang kita belajar di sekolah dulu hanya sedikit kisahnya. Ia tak menarik perhatian kerana itu kisah orang China. Begitulah tanggapan aku si budak sekolah.

Hanya setelah aku mendengar ceramah Ann Wan Seng pada tahun 2011, barulah hati ini tertarik untuk serius mengkaji lanjut.

Haji Muhammad Cheng Ho.

Itulah nama yang disebut beliau. Ditambah pula fakta bahawa CH bukannya Cina muallaf. Lantas AWS pun berseloroh dengan audien.

"Cina yang muallaf ke.. Melayu yang muallaf?"

Gurauan ini memecah keheningan majlis. Beliau mengaku tidak pernah ke China untuk menyemak fakta yang diperolehi daripada bacaan. Jadi, beliau menyarankan kami untuk menjejak sejarah CH di China.

Dari tahun ke tahun, ada sahaja fakta baharu dan menarik ditemukan. Aku sebenarnya diamanahkan menjejak Islam di China seawal tahun 2001 lagi. Tidak begitu fokus waktu itu.

Hanya selepas menetap setahun di Guangzhou pada 2008/2009 barulah minat bertambah. Lebih-lebih lagi setelah bertemu semula Prof Awang Sariyan Kembara Bahasa di Beijing yang giat menjejaki kehidupan orang Islam di beberapa provinsi di China. Ceramah AWS itu adalah rentetan daripada pemusafiran aku.

Pada tahun 2012, Abdul Hakim Shahbuddin Arina Abd Nor Sakinah Ya'cub Hdariyani Kampun ditugaskan menjejaki kampung kelahiran CH. Siapa sangka mereka ditemukan dengan waris CH generasi ke-18 dan ke-20. Syukur, alhamdulillah.

Sejak itu, aku pun sering diundang menyampaikan kuliah berkenaan Islam di China dan CH.

Pada satu sesi perkongsian dengan pelajar Malaysia lulusan Beijing, aku ditemukan pula dengan Faris Zhang. Lalu kami pinang dia untuk bersama lanjutkan kajian supaya dia boleh semak dengan sumber-sumber China.

Hubungan dengan generasi ke-20 terus dijaga sehinggalah pada tahun 2018, kami sekali lagi bertemu dengan mereka di Kunming. Kali ini khusus mencari bahan untuk menyiapkan buku 'Laksamana Zheng He: Teladan Merentasi Zaman'.

Sungguh. Pencarian maklumat dan ilmu ini tiada noktahnya. Ada sahaja bahan baharu yang kami perolehi.

Sewaktu Faris Zhang mengunjungi muzium CH di Melaka, aku perkenalkannya dengan Abang Mohd Halim Noordin. Dikenalkan pula dengan En. Nurman Mohd Baroldin. Bertambah-tambahlah maklumat baharu dari Melaka.

Terkini, Ahad ini aku diminta sampaikan kuliah berkenaan CH di Bandar Baru Bangi. Dalam majlis yang sama, kami akan lancarkan pakej melancong sambil menjejaki sejarah CH di Kunming.

Tujuan utamanya ialah untuk mengangkat CH sebagai ikon pemimpin milik umat sebagaimana Al-Fatih kini meniti di bibir masyarakat. Baca buku itu, kemudian kita jejak bersama. Alang-alang melancong, biar menguat jiwa.

Oh ya, buku itu masih dalam proses. Dah siap nanti, aku war-warkan. Tak lama lagi insyaAllah.

Berkelapangan Ahad ini, kita jumpa ya.

#rahmatanlilalamin
#zhenghe
#chengho

No comments: