Saya merujuk kepada laporan media massa berkenaan Belanjawan Negeri Selangor 2015 yang merupakan belanjawan defisit pertama setelah Selangor berjaya membentangkan belanjawan berimbang selama enam tahun di antara 2008-2013.
Saya tidak mahu mengulas tentang keputusan pentadbiran Kerajaan Negeri hari ini untuk membentangkan belanjawan defisit tetapi merasakan perlu untuk tampil memberi penjelasan terhadap dakwaan yang kononnya belanjawan berimbang terdahulu dicemari oleh permohonan perbekalan tambahan, dan akhirnya mengakibatkan perbelanjaan defisit.
Ingin saya tegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak benar sama sekali dan ada unsur berniat jahat, seolah-olah ingin memberi tanggapan negatif mengenai pengurusan fiskal dan kewangan semasa saya diberi tanggunjawab sebagai Dato' Menteri Besar Selangor. Malah, amat jelas pada pandangan saya ada pihak yang tidak faham atau kurang arif tentang amalan pengurusan kewangan yang baik, cekap dan berkesan.
Ingin saya tegaskan walaupun pentadbiran terdahulu memohon perbekalan tambahan setiap tahun sejak 2008, namun kerajaan Selangor sebenarnya mempunyai lebihan (surplus) berikutan hasil kerajaan negeri melebihi perbelanjaan. Hakikat yang boleh disemak dan dipastikan oleh orang ramai ini sememangnya telah disahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara, walaupun kerajaan negeri memohon perbekalan tambahan setiap tahun, rizab negeri tidak pernah berkurang malah semakin bertambah saban tahun. Sila rujuk kepada Penyata Kewangan Negeri yang mengesahkan Kumpulan Wang Disatukan bertambah sejak tahun 2008.
Rizab negeri di atas menunjukkan trend meningkat walaupun perbelanjaan kerajaan negeri turut meningkat setiap tahun. Ini menunjukkan bahawa jumlah rizab yang tinggi tidak pernah dijadikan justifikasi untuk kerajaan negeri berbelanja lebih di luar keperluan atau kemampuan atau memohon belanja tambahan. Ini juga membuktikan pengurusan hasil dan pendapatan yang cekap oleh kerajaan negeri.
Malah, jika disemak semula semua data belanjawan 2009-2014, adalah jelas bahawa perbekalan tambahan hanya dipohon setelah kerajaan ketika itu berjaya meningkatkan pendapatan yang dijana melalui pertumbuhan ekonomi mampan dan perbelanjaan berhemah.
Adalah terpesong sama sekali dakwaan bahawa Selangor mengalami belanjawan defisit sejak 2008. Harus diingatkan juga kemewahan yg dinikmati Selangor pada belanjawan 2015 adalah hasil pendekatan berhemah yang diambil pentadbiran terdahulu tetapi amatlah tidak bertanggungjawab bagi pentadbiran hari ini untuk mencari justifikasi belanjawan defisit dengan memutar belit fakta yang boleh disanggah dengan senang oleh bukti-bukti dalam laporan kewangan dan audit.
TAN SRI DATO SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
25 NOVEMBER 2014
No comments:
Post a Comment