Friday, July 4, 2014

Isu militan: IPTA perlu saring bakal pensyarah - Prof. Dr. Ir Zaini Ujang

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan sentiasa memastikan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menjalankan saringan bagi menentukan semua bakal pensyarah mereka tidak terlibat dengan kegiatan militan dan aktiviti negatif.
 
Ketua Setiausaha II kementerian itu, Datuk Seri Ir Zaini Ujang berkata, saringan itu termasuklah penglibatan pensyarah dalam pelbagai aktiviti sosial dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) .
 
Zaini berkata, kementerian itu juga sentiasa bekerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau tidak ada pensyarah di institusi pengajian tinggi mempengaruhi pelajar dengan perjuangan militan dan ekstremisme.
 
"Namun ada segelintir pensyarah bergerak secara bersembunyi tanpa dapat dikesan di peringkat universiti.
 
"Mereka berjaya menyembunyikan elemen militan dalam kerja harian di IPT. Ini bermakna pemikiran militan tidak disebarkan dalam kuliah, penulisan akademik atau semasa berinteraksi dengan sesama pensyarah atau pelajar," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Zaini berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaya Dr Mahmud Ahmad, 36, yang merupakan antara lima orang yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung kegiatan militan di negara ini.
 
Menurut sumber polis, Mahmud disyaki pernah menerima latihan ketenteraan daripada Al-Qaeda di Afghanistan pada akhir 1990-an ketika belajar di sebuah Universiti di Pakistan, dan dipercayai telah merekrut serta menghantar empat rakyat Malaysia termasuk  Ahmad Tarmimi Maliki yang dikenali sebagai pengebom berani mati pertama dari Malaysia, ke Syria.
 
Mahmud juga didakwa telah mengatur pertemuan dengan pemimpin militan Asia Tenggara bagi menubuhkan Daulah Islamiyah Asia Tenggara.
 
Menyentuh mengenai pelajar Malaysia yang sedang belajar di luar negara terutama di negara Arab yang dilanda krisis politik, Zaini berkata antara usaha yang telah dijalankan oleh kementerian itu termasuklah menekankan pemikiran aliran kesederhanaan kepada mereka.
 
"(Ia) termasuklah mempergiatkan sesi pendampingan dengan pegawai pelbagai kementerian, pemantauan aktiviti dan rekod pelajar dan kerjasama dengan pelbagai agensi untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang sihat," katanya.
 
Zaini berkata, bagi mengelakkan pelajar Malaysia belajar di negara atau wilayah yang tidak stabil, kementerian menyediakan tempat pengajian di pelbagai IPT tempatan dengan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bernilai RM5 bilion pada tahun ini.
 
"Ketika ini terdapat 20 universiti awam, 40 universiti swasta, 26 universiti kolej swasta, sembilan kampus cawangan universiti luar negara, 33 politeknik awam KPM dan 90 Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan," katanya.  - Bernama

No comments: