Gambar Ghazalee (kanan) bersama Norazlina yang dirakam semula daripada simpanan keluarga mereka di Kampung Bendera, Batu Gajah, Perak, semalam. |
KLANG 6 Jan. - Hasrat sepasang suami isteri untuk menyelesaikan masalah rumah tangga mereka di sebuah hotel di sini bertukar tragedi apabila kedua-duanya menemui ajal dalam keadaan mengerikan. Norazlina Mohamed Saaid, 49, ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di kepala dan kelaran di leher dipercayai dilakukan oleh suaminya, Ghazalee Ahmad, 58.
Ghazalee yang merupakan pensyarah di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam pula meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas dipercayai mengelar lehernya sendiri.
Kejadian pada pukul 5 pagi itu disedari oleh seorang pekerja hotel yang terdengar jeritan Norazlina. Saksi yang bergegas ke bilik mangsa ternampak Ghazalee sedang menikam isterinya yang cuba melarikan diri dari dalam bilik hotel.
Dia kemudian bertindak melaporkan kejadian kepada polis.
Difahamkan, pasangan itu dilaporkan mendaftar masuk ke hotel tersebut pada pukul 11.45 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd. Shukor Sulong berkata, anggotanya yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan menemui mayat Norazlina terbaring di lantai dengan kesan tikaman dan kelaran di leher.
Menurutnya, suami mangsa pula ketika itu sedang duduk di atas katil dengan hanya memakai seluar pendek dalam keadaan berlumuran darah dipercayai mengelar lehernya sendiri selepas membunuh isterinya.
"Suami mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini. Pemeriksaan polis di tempat kejadian turut menemui sebilah pisau dan tukul yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang peguam syarie yang enggan dikenali mengesahkan pasangan suami isteri tersebut mengalami konflik rumah tangga selepas Norazlina memfailkan kes perceraian pada Julai tahun lalu.
Menurut peguam syarie itu, kedua-duanya dijadualkan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah di Shah Alam pukul 9 pagi hari ini untuk sebutan kes kali ketiga.
Mayat kedua-duanya dihantar ke HTAR untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, usaha untuk menemu bual ahli keluarga pasangan suami isteri itu gagal selepas beberapa orang di kalangan mereka yang hadir ke Bilik Mayat HTAR bertindak menghalau wartawan dan mengugut untuk mengambil tindakan mahkamah sekiranya masih berada di pekarangan premis. Tinjauan ke rumah pasangan itu di Seksyen 18, Shah Alam pula mendapatinya tiada penghuni di situ.
(Sumber - Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140107/je_02/Suri-rumah-dibunuh-kejam#ixzz2pk9jFzjx © Utusan Melayu (M) Bhd )
No comments:
Post a Comment