Dalam Kamus Dewan, pendidikan ialah kata nama terbitan daripada kata akar “didik” yang membawa maksud jaga, pelihara, dan ajar. Perkataan “pendidikan” juga bersinonim dengan ajaran, latihan, tarbiah, pelajaran, bimbingan, asuhan, dan tunjuk ajar (DBP, 2007:350).
Dalam Bahasa Inggeris, pendidikan disebut sebagai education (Simpson & Weiner, 1989:74), yang dikatakan berasal daripada cantuman dua kalimah dalam bahasa Latin, iaitu e’ex dan ducereduc bererti “memimpin”; yang dapat diinterpretasikan pula sebagai mengumpul maklumat ke dalam diri bagi membentuk bakat (Ishak, 1995:4-5).
Dalam Bahasa Arab, terdapat beberapa kalimah yang merujuk kepada pendidikan. Mengikut Syed Muhammad Naquib al-Attas (1979:2-4) dan Rosnani Hashim (2006:6), antara kalimah yang selalu digunakan ialah seperti berikut:
Pertama, Tarbiyyah. Kalimah ini berasal daripada kata dasar rabba, bermaksud mengasuh, memelihara, atau memimpin. Ia juga merujuk kepada proses perkembangan potensi individu, mengasuh, atau mendidik untuk menuju kepada satu keadaan yang selesa dan matang (Halsted, 2004:522).
Kedua, Ta’lim. Kalimah ini berasal daripada konotasi ‘alima, bermaksud mengetahui, memberitahu, melihat, mencerap, atau menanggap. Ia juga merujuk kepada proses menyampaikan atau menerima ilmu pengetahuan yang kebiasaannya didapati melalui latihan, arahan, tunjuk ajar, atau lain-lain bentuk pengajaran (Halsted, 2004:522).
Ketiga, Ta’dib. Kalimah ini berasal daripada aduba, bermaksud memperhalusi, berdisiplin, dan berbudaya. Ia juga merujuk kepada proses pembinaan watak dan pengajaran asas-asas penting untuk hidup bermasyarakat, ini termasuklah memahami dan menerima prinsip yang paling asas sekali, iaitu keadilan (Naquib al-Attas, 1979:2-4; dan Halsted, 2004:522).
Jelasnya, pendidikan Islam dijadikan sebagai satu proses mengasuh dan mendidik, membela, melatih, menyucikan, membaikkan, mengawal hawa nafsu, membentuk ketaatan kepada Allah SWT (Subhanahu Wa-Ta’ala), membentuk sikap sopan dan beradab (mempunyai akhlak yang baik), dan memadamkan semua sifat tercela yang ada dalam diri manusia.
Semua definisi ini memberikan kefahaman bahawa hampir keseluruhan pendidikan yang dikehendaki dalam Islam ialah merujuk kepada pendidikan rohani manusia selaku hamba Allah SWT di muka bumi ini bagi memancarkan kejernihan akhlak dan budi pekerti yang tinggi, selain untuk perkembangan ilmu pengetahuan itu sendiri yang merupakan medium yang amat penting dalam membangunkan ketamadunan manusia yang hidup di dunia ini.
Sehubungan itu, ahli-ahli pendidikan umumnya telah memberikan pelbagai definisi berkaitan dengan konsep pendidikan. Menurut Omar Mohd Hashim, dalam ucapannya semasa Kongres Pendidikan Negara yang berlangsung pada 17 Mac 1988, beliau telah mendefinisikan “pendidikan” sebagai pemindahan sesuatu jenis atau kumpulan kemahiran atau pengetahuan daripada seorang guru kepada murid-muridnya.
Menurut Hamid Reza Alavi (2008:5), dengan memetik pandangan daripada Hills, “pendidikan” adalah satu proses pembelajaran yang bertujuan untuk memperlengkapkan manusia dengan pengetahuan dan kemahiran yang membolehkan mereka hidup dalam keselesaan.
Selain itu, tokoh-tokoh falsafah Yunani juga tidak ketinggalan dalam membicarakan berkenaan dengan pendidikan. Menurut Aristotle, yang dipetik daripada Rosnani Hashim (2006), pendidikan ialah pemupukan tabiat-tabiat atau virtues terbaik yang apabila telah dihayati akan menjadikan seseorang itu sentiasa melakukan yang terbaik. Tambahnya lagi, tabiat yang paling baik ialah penggunaan akal untuk menaakul atau berfikir. Justeru, pendidikan merupakan satu usaha untuk merealisasikan seoptimum mungkin segala potensi kebaikan yang dimiliki oleh manusia (Hashim, 2006:7).
Manakala menurut Plato, seorang ahli falsafah dan pendidikan Greek purba, telah mentakrifkan pendidikan sebagai suatu latihan jasmani dan rohani bagi mencapai kecantikan dan kesempurnaan (dipetik oleh Ishak, 1995:9).
Ahli-ahli pendidikan Barat pada zaman moden ini juga banyak memberikan pandangan mereka mengenai konsep pendidikan. Antara mereka ialah Mouly yang mentakrifkan pendidikan sebagai satu proses yang dapat menyesuaikan individu dengan kehidupan sosial, undang-undang, kepercayaan, agama, dan situasi masyarakat dari satu generasi kepada generasi berikutnya. Pendidikan juga ditakrifkan sebagai seni atau proses memperoleh ilmu pengetahuan serta tabiat menerusi tunjuk ajar (dipetik oleh Ishak, 1995:9).
Menurut John Dewey (1930:12) pula, seorang ahli falsafah dan pendidikan di Amerika Syarikat, telah mentakrifkan pendidikan sebagai proses bagi membentuk kecenderungan asasi yang berupa kepercayaan dan perasaan terhadap alam sejagat dan sesama manusia. Beliau juga mentakrifkan pendidikan sebagai satu proses mengatur dan menambah ilmu pengetahuan yang dimiliki supaya dapat hidup dengan selamat.
Menurut Stuart Mill, yang dipetik oleh Abdullah Ishak (1995:5), menyatakan bahawa pendidikan bukan sahaja mengandungi erti bagi sesuatu yang kita lakukan untuk diri kita dan sesuatu yang dilakukan oleh orang lain terhadap kita, yang motifnya untuk memandu kita ke arah yang lebih hampir kepada kesempurnaan fitrah, bahkan untuk memahami daya usaha yang terdapat pada bakat dan watak seseorang.
Menurut Home pula, yang dipetik juga oleh Abdullah Ishak (1995:5), menyatakan bahawa pendidikan ialah suatu proses yang abadi bagi menyesuaikan diri manusia dengan kehidupan, ketahanan, dan kematangan jasmani serta akal fikiran. Pendidikan juga merupakan proses pembelajaran sepanjang masa yang bermula ketika dilahirkan dan berakhir ketika kita mati.
Ia bermaksud, setiap masa sedar yang digunakan seseorang memperolehi, menganalisis, dan menyerap pengetahuan.
Menurut Hassan Langgulung: Bahawa pendidikan, sebagai pengembangan potensi, dapat diumpamakan seperti pertumbuhan dan perkembangan bunga-bunga, di mana potensi-potensi tersembunyi yang ada pada benih, berkembang menjadi bunga yang matang dan mekar. Sebagai bandingannya, kanak-kanak itu ialah benih di mana terdapat potensi-potensi yang masih tersembunyi dan tidak nampak; guru adalah tukang kebun yang menerusi kemesraan dan pemeliharaannya yang cermat dapat membuka potensi-potensi yang tersembunyi ini; dan pendidikan adalah proses mengajar-berkebun yang dengan itu kebolehan-kebolehan yang tidak nampak menjadi nampak, melalui pilihan dan penggunaan yang bijak terhadap baja yang sesuai (Langgulung, 2001:18-19).
Dalam konteks Islam pula, pendidikan merupakan satu pelajaran atau pendidikan bagi kognitif, fizikal, dan roh untuk melahirkan insan yang berperikemanusiaan. Definisi falsafah ini menumpu kepada pembentukan individu seseorang hingga menjadi seorang manusia yang benar-benar sempurna, bukan sahaja dari segi pertambahan ilmu bahkan dari segi pembentukan akhlak dan rohani (Ahmad, 1975:6).
Manakala menurut H.M Chabib Thoha (1996: 3), pendidikan Islam adalah pendidikan yang falsafah dan tujuan serta teori-teorinya dibangun untuk melaksanakan praktik pendidikan yang didasarkan kepada nilai-nilai Islam yang terkandung dalam Al-Qur’an dan Hadis Nabi. Syed Muhammad Naquib al-Attas (1992:xvi-xvii) pula memberikan pengertian bahawa pendidikan Islam adalah usaha yang dilakukan oleh pendidik terhadap anak didik untuk pengenalan dan pengakuan tempat-tempat yang benar dari segala sesuatu dari aturan penciptaan sehingga membimbing mereka ke arah kebaikan.
Berdasarkan penerangan di atas dapat disimpulkan bahawa pendidikan merupakan satu proses dan usaha yang praktikal untuk menghasilkan sesuatu, mengubah pandangan, atau cara berfikir, yang seterusnya membawa kepada paradigma atau perubahan dalam tingkah-laku seseorang. Pendidikan merupakan proses yang berlaku secara berterusan kerana ia bukan hanya boleh didapati di dalam kelas-kelas pengajian sahaja, bahkan boleh diperolehi daripada pengalaman, pemerhatian, penggunaan akal rasional, autoriti, dan ilham; manakala dalam konteks Islam, sumber yang paling asas untuk pendidikan adalah diperolehi daripada Al-Qur’an dan Al-Sunnah.
Walau bagaimanapun, Islam tidaklah melihat pendidikan dari skop yang sempit; ia tidak terbatas kepada pendidikan duniawi semata-mata, bahkan meliputi dua lapangan, iaitu di dunia dan di akhirat. Dalam konteks ini, Ibn Khaldun (2000: 549-551) telah membahagikan ilmu kepada dua bahagian yang utama.
Pertama, ilmu yang berbentuk fardhu ‘ain yang dituntut ke atas setiap orang supaya mengetahui dan mempelajarinya dalam melaksanakan tuntutan agama seperti ilmu tauhid, fiqh, akhlak, akidah, dan sebagainya.
Kedua, ilmu yang berbentuk fardhu kifayah iaitu ilmu yang mesti ada pada sekumpulan orang dalam masyarakat tanpa melihat kepada individu tertentu seperti ilmu pertukangan, kemahiran, perniagaan, kedoktoran, ekonomi, fizik, astronomi, dan sebagainya yang boleh mandatangkan manfaat kepada manusia. Ini membuktikan bahawa agama Islam tidak mementingkan pencapaian intelektual yang tinggi semata-mata, bahkan perlu dilengkapi dengan kefahaman yang jelas mengenai agama Islam itu sendiri bagi menghasilkan manusia yang cemerlang di dunia mahupun di akhirat.
Di sini juga dapat disimpulkan bahawa tiga perkara penting yang boleh digarap dari beberapa definisi pendidikan di atas ialah: pertama, pendidikan Islam menyangkut aspek jasmani dan rohani yang merupakan dua elemen penting yang tidak boleh dipisahkan. Oleh yang demikian, pembinaan terhadap kedua-dua aspek tersebut haruslah seimbang dan tidak boleh berat sebelah. Kedua, pendidikan Islam dinilai berdasarkan konsep yang wujud pada nilai-nilai agama. Ini bermaksud, pendidikan Islam tidak mengabaikan agama sebagai sumber ilmu itu sendiri, yakni ilmu yang berpaksikan kepada Allah SWT. Ketiga, dalam pendidikan Islam wujud unsur ketaqwaan sebagai matlamat yang harus dicapai. Seperti yang telah kita ketahui bahawa taqwa merupakan benteng yang dapat berfungsi sebagai daya tangkal terhadap pengaruh-pengaruh negatif yang datang dari luar dan boleh merosakkan nilai keagamaan yang ada pada diri seseorang ataupun masyarakat.
No comments:
Post a Comment