Orang-orang Turki yang dikenali sebagai orang-orang Uthmaniyy adalah dari keturunan sebuah kabilah yang bernama Qabi, iaitu satu kabilah al-Ghuzz dari kalangan orang-orang Islam Turki yang tinggal berdekatan dengan Laut Caspian. Mereka tinggal di dalam sempadan negara Islam. Ketika tentera Monggol mula melakukan serangan terhadap negara-negara Islam di bawah pimpinan Ghenjiz Khan dan mereka berjaya menakluk Turkistan dan Iran pada tahun 1220M (618H), kabilah Qabi yang diketuai oleh Sulaiman Shah telah berundur ke Kurdistan.
Dari sana mereka telah berpindah ke Azerbaijan. Kemudian mereka cuba untuk memasuki Sham, tetapi Sulaiman Shah mati lemas di dalam Sungai Euphrates di Iraq, lalu kepimpinan kabilah tersebut diambil alih oleh anaknya yang bernama Urkhan yang dianggap sebagai 'Bapa Turki' kepada orang-orang Uthmaniyyun. Bersama-sama dengan orang yang masih ada itu, beliau menuju ke Asia Minor dan menetap di ibunegara Turki bagi orang-orang Turki Saljuq, iaitu bandar Qutiyyah. Urkhan telah membantu Sultan berbangsa Saljuq iaitu 'Ala al Din, bagi menentang orang-orang Rum dari kerajaan Byzantine. Saudaranya yang mengantikannya selepas itu iaitu Artafral terus mengikut polisinya sehingga meninggal dunia. Kemudian dia diganti pula oleh anaknya yang bernama 'Uthma, seorang pahlawan yang gagah berani sehingga berjaya menumpaskan pihak Byzantine. Lalu Sultan 'Ala Al-Din mengangkatnya hingga mencapai taraf putera (amir) dengan diberikan gelaran Bad al-Shah Al Uthman. Dari Uthman inilah dikenali dan dinamakan negara itu sebagai Daulah Uthmaniyyah.
Pada tahun 1299M (699H) Sultan Saljuq yang terakhir iaitu 'Ala Al-Din III mati dibunuh. Dengan itu berakhirlah Daulah Saljuq lantaran fitnah-fitnah, kekacauan dan serangan Monggol terhadap kawasan tersebut. Memandangkan ketiadaan seorang khalifah yang memerintah negara tersebut yang sedang menghadapi pelbagai bahaya luaran, 'Uthman telah memisahkan kawasan penguasaannya daripada negara Saljuq dengan menjadikan bandar Yeki Shahr sebagai ibu negaranya. Kemudian beliau terus meluaskan kawasan penguasaannya sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1324M (725H) ketika keluasan kekuasaannya sekitar 8 ribu kilometer persegi.
'Uthman menjadi satu-satunya waris kepada negara Saljuq yang menghalang kemaraan serangan-serangan Byzantine. Beliau juga dianggap sebagai pengasas sebenar Daulah 'Uthmaniyyah. Oleh kerana itu penduduk yang di dalam negara tersebut dinamakan sebagai al-'Uthmaniyyin.
No comments:
Post a Comment