Monday, June 10, 2013

Bangsa Melayu : Suatu Memori Sejarah Lalu

Jika kita membaca sejarah bangsa Melayu bermula dengan kejatuhan Kerajaan Melaka pada tahun 1511 kepada bangsa Portugis yang menawan Melaka sehingga ke abad ke-19, tentu akan timbul dibenak pemikiran kita bahawa pada ketika itu, bangsa Melayu berpecah, bergaduh sesama sendiri untuk merebut tahta kerajaan, fitnah menfitnah antara satu sama lain, menggadaikan tanah takluk dan pusakanya kepada bangsa lain untuk kepentingan peribadi dan akibatnya ialah mereka mudah dijajah oleh kuasa asing.

Sejarah adalah warisan bangsa. Sesuatu bangsa itu dikatakan wujud atau sebaliknya melalui sejarahnya. Melalui sejarahlah orang Melayu merasakan kesedaran asal usul bersama yang menjadi faktor penyatu dan identiti sosiopolitik bangsa itu sehingga ke hari ini. Namun sejarah juga mengingatkan bangsa Melayu tentang kesilapan-kesilapan lalu yang dilakukan oleh nenek moyang kita pada zaman itu. Salah satu kesilapan besar yang berlaku dalam sejarah bangsa Melayu ialah perpecahan dan ketidakstabilan politik  yang berpunca daripada sistem dan kelakuan pemerintahan yang tidak adil, zalim, perbuatan fitnah memfitnah di kalangan orang atasan dan kelemahan pembezar Melayu menghadapi muslihat penjajah barat.

Jika kita membaca karya agung Melayu iaitu Sulalat al salatin atau sejarah Melayu, kita akan menyedari bahawa betapa kerajaan Melayu Melaka sering berhadapan dengan krisis perbuatan fitnah dan kezaliman. Misalnya, Sultan Mahmud telah membunuh Bendahara Seri Maharaja dan seluruh anggota keluarganya disebabkan difitnah Raja Mendeliar (seorang shahbandar bangsa keling). Peristiwa ini berlaku pada ketika pedagang dan mubaligh dari Portugis datang ke Melaka untuk tujuan menakluki negeri itu. Mereka mengintip keadaan politik di negeri Melaka dan setelah yakin mereka dapat menewaskan Melaka mereka melancarkan serangan tentera. 

Setelah Melaka berjaya ditawan oleh portugis, kerajaan Melayu berkecai berai, rajanya lari ke sana ke mari, diburu oleh bangsa Portugis. Dikalangan waris diraja Melayu , pergaduhan, bunuh membunuh dan peperangan terus berlaku kerana merebut wilayah jajahan. Kesedaran perpaduan bangsa masih tidak wujud. Kezaliman terus berlaku. Peristiwa pembunuhan Sultan Mahmud di Johor pada tahun 1699 melemahkan lagi perpaduan politik Melayu sehingga abad ke-19 pusat kerajaan melayu di Semenanjung Tanah Melalyu tidak diketahui dimanakah sempadannya, yang jelas ialah sering berlaku peperangan dikalangan waris raja untuk berebut untuk menubuhkan kerajaan masing-masing. Orang Bugis berperang dengan orang Melayu untuk menguasai tahta kerajaan Johor yang berpindah atau berpusat di Riau-Lingga. Orang Acheh tidak membantu orang Melaka ketika Portugis menyerang negeri itu walaupun kemudiannya setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis, tentera Acheh cuba menyerang dan mengepung kota itu namun tidak bertahan lama.

Pada masa yang sama, kuasa-kuasa Eropah (Portugis, Belanda dan Inggeris) berperang diantara satu sama lain di "Dunia Melayu Nusantara" untuk berebut kawasan atau untuk mendapat tapak untuk dijadikan pangkalan dagang ekonomi mereka. Apabila Belanda menguasai Melaka sehingga abad ke-19, Syarikat Hindia Timur Inggeris mula mencari kawasan lain di luar Melaka untuk memindahkan pusat pentadbiran kegiatan perdagangannya. Kawasan yang paling sesuai ialah Singapura yang pada masa itu adalah merupakan tanah takluk kerajaan Melayu Johor-Riau. Menurut Munsyi Abdullah dalam hikayat Abdullah Kolenel Farquhar, penolong Stamford Raffles, telah ditugaskan untuk mencari tapak baru itu. Dia mendarat di Singapura, pada masa itu Temengung Abdul Rahman , waris kerabat diraja Johor berada di pulau itu. Menurut Munshi Abdullah, Abdul Rahman dianugerahi gelar "Temengung" oleh kerajaan Johor-Riau, dan Singapura diberikan kepadanya sebagai hak warisnya.

Raffles mengadakan perjanjian dengan Temenggung Abdul Rahman untuk membenarkan Syarikat Hindia Timur inggeris membina logi atau gudang di pulau itu. Empat daripada lima perkara yang terkandung dalam perjanjian yang ditandatangani pada 30 Januari 1819 adalah seperti berikut:-

Perkara pertama - maka boleh kompeni Inggeris membikin lagi loji akan diperduduk di Singapura atau lain-lain tempat yang di bawah perintah Singapura-Johor.

Perkara ke dua - dari sebab itu kompeni Inggeris berjanji pelihara Datuk Temengung Sri Maharaja

Perkara ke tiga - darihal tanah kompeni mahu bikin loji penduduk kompeni boleh kasi pada satu tahun kepada Datuk Temenggung Sri Maharaja tiga ribu rial.

.......

Perkara ke empat - maka apabila datang Sri Sultan yang dijalankan sampai di sini boleh dihabiskan segala perkara-perkara hal perjanjian ini dan tetapi kompeni Inggeris boleh pilih satu tempat mahu dinaikkan bala tenteranya dengan alat perkakasnya dan menaikkan bendera kompeni Inggeris.

Inggeris tidak mahu Belanda mendahului mereka mengambil pulau Singapura, jadi perjanjian awal ini cepat-cepat dibuat untuk mengesahkan hak Syarikat Hindia Timur Inggeris di pulau itu dengan menggunakan Temengung yang terbuang ke pulau Singapura dari Riau (menurut cerita Abdullah Munsyi) sebagai bukti bahawa tindakan Inggeris itu mendapat kebenaran pihak berkuasa Melayu. Tetapi pada masa itu Singapura tidak mempunyai raja atau sultan. Temenggung Singapura tidak dianggap oleh Inggeris sebagai raja. Jadi untuk memperkuatkan hak Syarikat Hindia Timur Inggeris di Singapura Raffles berusaha dan memujuk Tengku Long atau Raja Hussain dari pulau Riau supaya datang ke Singapura untuk ditabalkan oleh Raffles sebagai Sultan Singapura.

Setelah Tengku Long dibawa ke Singapura, Raffles mengadakan upacara melantik beliau sebagai Sultan Hussain Muhammad Syah untuk menjadi raja yang memerintah Singapura. Maka pada 6 Februari 1819 dibuatlah satu perjanjian lagi diantara Inggeris, Temenggung Abdul Rahman dan Sultan Hussain. Raffles mengesahkan bahawa perjanjian lama masih terpakai dan menambah beberapa klausa baru dalam perjanjian itu. Diantaranya ialah tidak membenarkan Sultan Hussain menjalinkan perhubungan perniagaan dan perdagangan dengan bangsa lain selain daripada Inggeris. Inggeris kekal di Singapura selagi ada bulan dan bintang, kebenaran melaksanakan undang-undang dan peraturan inggeris ke atas  penduduk Singapura. Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman dibayar komisyen oleh Inggeris dengan bayaran tertentu sepanjang perjanjian itu berjalan.

(bersambung)

No comments: