Thursday, October 11, 2012

UIAM, UiTM johan Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri raih hadiah RM25,000


KUALA LUMPUR 10 Okt. - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) muncul johan Pertandingan Debat Akhir Debat Piala Perdana Menteri Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2012 bagi kategori Bahasa Melayu setelah mengalahkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Universiti Malaya (UM) hari ini.

Kemenangan pada pertandingan anjuran Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) dan MyHarapan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi itu membolehkan UIAM meraih wang tunai bernilai RM25,000 manakala naib johan menerima RM15,000.

Hadiah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut diiringi Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Pegawai Eksekutif GMM, Khalek Awang.

Pada pertandingan tersebut, UIAM dan UKM mendebatkan usul Dewan ini percaya bahawa tukul dan perisai kekerasan adalah perlu untuk melindungi kesederhanaan.

UKM yang berperanan sebagai kerajaan diwakili Najjah Izzati Suleman selaku Perdana Menteri dibantu oleh Muhammad Affendy Masni (Timbalan Perdana Menteri) dan Sonia Hii.

UIAM pula bertindak sebagai pembangkang dengan dibarisi Fawza Sabila Fauzi (ketua), Abdul Muiz Mustafa dan Muhamad Khairulanam Zulkeply.

Najjah Izzati bersama rakan-rakannya mendefinisikan tukul dan besi kekerasan sebagai undang-undang yang diperlukan untuk menentang ekstremisme dan melindungi kesederhanaan.

Sementara itu, Fawza Sabila dan rakan-rakannya mendefinisikan perkara itu sebagai medium kekerasan yang tidak diperlukan di negara mengamalkan kesederhanaan.

Bagi kategori Bahasa Inggeris, Universiti Teknologi Mara (UiTM) muncul johan mengalahkan UIAM.

Mendebatkan usul To achieve peace, this House believes that oppressed minorities should moderate their demand, even when it means foregoing some rights and principle (Untuk mencapai keamanan, Dewan percaya minoriti yang tertindas harus menyederhanakan permintaan mereka walaupun perkara itu berkaitan dengan persoalan hak dan prinsip), UiTM berperanan sebagai pembangkang manakala UIAM bertindak sebagai kerajaan.

UiTM dibarisi Noor Atiqah Mohd. Zaki, Mohd. Syafiq Ahmed Bazari dan Maizura Mokhsein sementara UIAM pula diketuai Mubarrat Wassey bergandingan dengan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Arinah Najwa Ahmad Said.

Pendebat terbaik kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris masing-masing menjadi milik Abdul Muiz Mustafa (UIA) dan Maizura Mokhsein (UiTM).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

No comments: