Monday, May 21, 2012

Muhyiddin hadiri majlis perkahwinan anak Nasharudin


Muhyiddin Yassin bersalaman dengan Mohd. Nazri Husain (kiri) sambil diperhatikan oleh Nusaibah Nasharudin (dua dari kiri) dan Nasharudin Mat Isa (kanan) ketika hadir pada majlis perkahwinan pasangan pengantin tersebut di Bandar Bukit Mahkota, Bangi, semalam.

BANGI 20 Mei - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini hadir memeriahkan majlis perkahwinan anak sulung bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa di Bandar Bukit Mahkota di sini.

Muhyiddin, yang tiba pukul 3.40 petang, meluangkan masa kira-kira 30 minit sambil menikmati jamuan bersama pasangan pengantin, Nusaibah Nasharudin, 25, dan Mohd. Nazri Husain, 27, serta bergambar kenang-kenangan bersama mereka.

Turut kelihatan pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor dan Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali.

Ketika ditemui pemberita, Nasharudin yang juga Anggota Parlimen Bachok berkata, beliau berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri dan tetamu kehormat lain yang sudi hadir menyerikan majlis itu walaupun berlainan ideologi politik.

Nusaibah, anak tunggal perempuan dalam kalangan lima beradik, sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Ijazah Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia manakala suaminya seorang arkitek. — BERNAMA.

No comments: