JOHOR BAHRU - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menghentikan pemberian visa ketibaan dan pas sosial kepada penuntut asing ke negara ini bagi membendung penyalahgunaan pas berkenaan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kementerian itu hanya akan mengeluarkan visa pelajar kepada penuntut asing selepas mereka menerima tawaran daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) kelolaan kementerian.
Beliau berkata perbincangan mengenai perkara berkenaan dengan Jabatan Imigresen dilakukan dua bulan lepas.
"Mereka yang dikesan terbabit dengan kegiatan jenayah dan penyeludupan dadah kebanyakannya pelajar yang mengikuti program sementara dan pengajian bahasa di IPT yang bukan di bawah kelolaan KPT," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Mesra Ilmu Siri Tiga anjuran Fakulti Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Taman Cendana, Pasir Gudang, dekat sini.
Khaled diminta mengulas saranan Pakar Kriminologi, Datuk Akhbar Satar yang menyarankan supaya KPT mengkaji semula dasar terlalu terbuka pemberian visa dan pas lawatan pelajar bagi membendung negara ini menjadi hab dadah antarabangsa.
Beliau berkata mengikut rekod polis, tidak banyak pelajar yang berada di bawah kelolaan KPT terlibat dengan kegiatan tersebut.
"Pihak pengurusan IPTA dan IPTS juga perlu memaklumkan kepada kementerian jika ada penuntut asing yang mengabaikan pelajaran supaya kementerian dapat menyiasat sekiranya mereka terbabit dengan kegiatan negatif," katanya.- Bernama
No comments:
Post a Comment