DALAM konteks negara kita Malaysia, sektor pengajian tinggi merupakan faktor kritikal dalam mentransformasi negara melalui sumbangan pengeluaran modal insan yang berkualiti. Kita perlu bersama menjayakan transformasi kerajaan, transformasi ekonomi dan seterusnya menggalas amanah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) dan Model Baharu Ekonomi (MBE) dengan meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara.
Bagi menentukan agar Malaysia berjaya menjadi negara maju berpendapatan tinggi dan mempunyai peranan penting dalam ekonomi global, satu-satunya pilihan kita ialah menggerak aktifkan semua potensi, kemahiran dan bakat seluruh rakyat Malaysia. Apabila kita sedar bahawa negara China dan India mampu melahirkan empat juta graduan setahun, negara kita yang kecil ini tidak mungkin dapat meminggirkan potensi setiap seorang anak Malaysia dan mengabaikan bakat anak-anak muda kita.
Kita mesti memastikan setiap orang, tidak kira latar belakang etnik, agama, ekonomi dan daerah mendapat peluang bukan sahaja dalam menguasai ilmu di bidang pendidikan, tetapi juga melibatkan diri dalam program-program yang mengetengahkan bakat dan potensi mereka di mana ianya selari dengan konsep keterangkuman.
Universiti pada dekad ini, arah tujunya banyak dipengaruhi dan ditentukan oleh proses globalisasi dan kuasa pasaran. Semua ini menuntut pengorbanan dan pembaharuan malah keberanian melakukan rejuvenasi, mengembali dan menyuburkan semula budaya akademia sebenar dalam universiti.
Sebagai sebuah organisasi yang berteraskan pendidikan, universiti harus menjadi medan di mana semua idea dan pemikiran dapat diperdebatkan secara ilimiah dan terbuka, dan juga memberi ruang kepada idealisme positif berkembang memandangkan komitmen mencari kebenaran sememangnya mendasari kewujudan sesebuah universiti.
Selain itu, komitmen yang tinggi terhadap kecemerlangan dan kepelbagaian juga perlu diperkukuhkan. Tiada kejayaan yang bermakna jika sesuatu itu tidak mencapai tahap kecemerlangan.
Oleh itu, kecemerlangan harus membudaya dan dibudaya terutamanya dalam kalangan masyarakat universiti. Pengurusan universiti mesti peka yang mereka adalah institusi yang mengurus pekerja berilmu dan pendekatan pengurusan perlulah memenuhi aspirasi ini.
Mereka mesti membangunkan budaya bekerja secara berkumpulan, mampu menguruskan bakat yang ada dan bersedia serta terbuka dalam soal peralihan kuasa kepemimpinan. Dalam menjayakan hasrat kerajaan agar ada nilai dalam perbelanjaan (value for money), semua peruntukan yang diberikan kepada universiti mesti diuruskan sebaik mungkin, telus dan impaknya mesti dirasakan.
Pimpinan utama universiti perlu mempunyai visi dan misi yang jelas, memahami budaya dan kehendak universiti masing-masing, mempunyai kesungguhan dan semangat, dan berlumba-lumba untuk meningkatkan kemajuan prestasi dan kreadibiliti universitinya. Kesemua pemimpin terutama Naib Canselor mestilah mampu menonjolkan kepemimpinan akademik yang berupaya mendapat penghormatan, menjadi rujukan, dan mendapat sanjungan ahli akademik yang lain.
Dalam masa yang sama, Naib-naib Canselor mesti mampu membangun dan menjalinkan jaringan dan hubungan intelektual termasuk di peringkat antarabangsa terutamanya dalam usaha mengumpul dana bagi mengukuhkan pendapatan dan kedudukan kewangan universiti.
Pendek kata, Naib Canselor dan kepemimpinannya mesti berani melagang perubahan untuk memastikan universiti mereka mampu bersaing dalam mendapatkan pelajar paling berbakat, menjadi fakulti paling tersohor dan mendapat geran penyelidikan paling ternama.
Sudah sampai masanya pemimpin utama di universiti memainkan peranan yang lebih luas dari lingkungan universiti masing-masing terutamanya bagi universiti penyelidikan untuk menjayakan peranan yang lebih global sifatnya.
Sehubungan dengan itu, sebahagian universiti kita juga mesti memiliki pengiktirafan antarabangsa jika kita ingin mengekalkan daya saing Malaysia. Sektor pengajian tinggi terutamanya di peringkat universiti, sudah menjadi perkara universal. Bila kita bercakap mengenai Universiti Oxford atau Harvard, kita tidak melihatnya sebagai sebuah universiti milik negara atau bertaraf kebangsaan semata-mata tetapi mereka dilihat sebagai universiti milik antarabangsa yang diiktiraf dunia.
Oleh itu, universiti kita harus berani mengambil cabaran untuk meningkatkan kedudukan masing-masing di peringkat antarabangsa. Naib-naib Canselor dan pasukan kepemimpinannya mestilah bersedia mengorak langkah untuk meletakkan universiti mereka sebagai entiti yang memiliki pengiktirafan antarabangsa melangkaui lingkungan kebangsaan atau negara.
Justeru, saya ingin menyeru agar kedudukan dan pencapaian universiti diukur berasaskan kepada sama ada mereka kekal 'Relevant' (relevan), 'Referred' (dirujuk) dan 'Respected' (dihormati). Dan ukuran 3R ini mestilah diasaskan kepada tiga (3) peringkat persekitaran yang mengelilinginya iaitu di peringkat kebangsaan, serantau dan juga global.
Setiap universiti perlu berusaha membangun dan mencapai kedudukan itu secara berperingkat. Dan ukuran tersebut pula perlu diasaskan kepada hubungan dan peranan setiap universiti dengan semua pemegang taruhnya iaitu kerajaan, pelajar, industri dan masyarakat, di mana setiap pemegang taruh akan melihat dan menilai setiap institusi kita sama ada ia kekal relevan, dirujuk dan dihormati.
Mungkin bagi memenuhi keperluan ini, maka setiap universiti perlu untuk membangunkan niche area mereka masing-masing lantaran terus menjadikannya sebagai satu kekuatan. Kalau bidang tujahan kita adalah dalam pengurusan atau keusahawanan atau pengurusan dalam kewangan Islam atau perubatan tropikal, kita mesti yakin dan tahu di tahap manakah kita berada dalam jangkauan status universiti kita, adakah kita telah diterima dan diiktiraf di peringkat kebangsaan, serantau dan global, atau universiti kita masih tidak mencapai mana-mana peringkat yang diikitiraf.
Ruang lingkup dan sumber persediaan kita tidak harus bersifat terlalu kecil sebaliknya mestilah melangkaui ruang lingkup yang besar agar kita dapat bergerak dan bertindak dengan berkesan di kesemua peringkat.
Tidak dinafikan, universiti pada hari ini, bukanlah semata-mata menjadi menara gading dan gedung ilmu tetapi ia juga sepatutnya menjadi tempat penjana tenaga masyarakat yang dinamik, sentiasa membangun dan maju. Bagi memperkukuhkan lagi peranan dan kedudukan universiti untuk memimpin masyarakat dan negara, kementerian akan memperkenalkan satu lagi Projek Agenda Kritikal (Critical Agenda Project-CAP) iaitu Program Pemindahan Ilmu (Knowledge Transfer Programme, KTP), menjadikan jumlah CAP di bawah Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) kepada 23 kesemuanya.
Selain dari menjayakan usaha pemindahan ilmu, bersesuaian dengan kesejagatan kerjaya ahli akademik, mereka perlu digalakkan untuk terlibat dengan mobiliti untuk menyumbang kepakaran kepada sektor-sektor perkhidmatan awam yang lain sama ada melalui kaedah peminjaman, berkhidmat secara pentadbiran dan sebagainya.
Bagi menjayakan mobiliti akademik ini, beberapa perkara perlu diberikan penekanan, antaranya pengurusan universiti perlu membina dasar baharu yang mendukung "peranan ahli akademik untuk pembangunan negara".
Kepimpinan universiti perlu mempunyai pemikiran terbuka serta mempercayai bahawa sumber akademik yang bernilai universal, perlu dimanfaatkan untuk pembangunan negara dalam kerangka pelan mobiliti akademik yang baharu.
Walaupun penting bagi ahli akademik untuk menjalankan tugas asas di institusinya, mereka perlu digalakkan menyumbang merentasi fakulti/institusi, universiti atau agensi luar (kerajaan mahupun swasta) berasaskan kepakaran dan keupayaan mereka. Justeru, konsep pelantikan bersama (double-triple, multi appointment) boleh dikaji dan dipertimbangkan.
Selain itu juga, bagi mengiktiraf tenaga akademik yang terlibat dalam mobiliti akademik ini, penilaian tahunan, penghormatan, kenaikan pangkat dan penilaian pencapaian perlu mengambil kira keseluruhan sumbangan mereka di semua peringkat di luar fakulti selain universitinya.
Hari ini misalnya, terdapat ramai tenaga akademik daripada IPTA khususnya, dipinjamkan untuk mengisi jawatan-jawatan terbuka atau open post di pelbagai kementerian dan jabatan, sama ada di dalam atau di luar negara. Peminjaman mereka pastinya berasaskan kepada kemampuan dan kepakaran yang dimiliki oleh mereka, justeru itu, kementerian dan jabatan-jabatan yang terlibat amat menghargai kesediaan dan komitmen mereka untuk bersama-sama menggembleng tenaga membantu negara dalam kapasiti yang berbeza.
Kepulangan mereka nanti ke IPTA masing-masing iaitu selepas tempoh peminjaman tamat, diharapkan pengiktirafan dan kedudukan yang bersesuaian wajarlah diberikan kepada mereka dengan mengambil semangat kerangka mobiliti akademik yang akan kita perkenalkan ini.
Seperti yang kita semua sedia maklum, kerajaan telah memperkenalkan konsep cross-fertilization di mana beberapa ahli akademik boleh dilantik berkhidmat di pelbagai kementerian dan agensi dan saya berhasrat untuk melihat pengalaman mereka dapat dimanfaatkan oleh kerajaan dan swasta dan pengalaman baharu itu pula dapat di bawa pulang semula ke universiti masing-masing. Universiti hendaklah bersedia menerima mereka dalam kapasiti baharu sesuai dengan pengalaman dan pengiktirafan yang telah diberikan.
Justeru, universiti diminta meneliti semula perkara ini agar bakat mereka dapat dimanfaat di pelbagai peringkat untuk membantu negara, serta dalam masa yang sama dapat mengekalkannya untuk kembali berkhidmat dengan universiti apabila kemudiaan kelak.Jika ini gagal dilaksanakan, saya bimbang universiti akan kehilangan lebih ramai bakat pada masa hadapan dan hasrat negara untuk perkongsian ilmu tidak akan tercapai.
No comments:
Post a Comment