Sejarah membuktikan bahawa kecemerlangan sesuatu tamadun manusia sejak dari zaman dahulu kala lagi adalah natijah dari ketinggian tahap kecemerlangan ilmu manusia pada zaman itu. Fakta sejarah membuktikan juga bahawa Tamadun Yunani, Rom dan Islam menjadi lemah dan tersungkur apabila masyarakatnya mulai melupakan pencarian ilmu dan asyik bersuka-ria melayan kemewahan hasil tuaian kerja keras silam (Alinor, 2005). Sejarah pasti akan berulang kembali jika kita tidak mengambil pengajaran dan melaksanakan rangka tindakan untuk mencapai kecemerlangan dan seterusnya melestarikannya.
Telah tercetus Gerakan Pascamoden di Eropah sekitar tahun 1840-an yang mengkritik pembangunan sains dan teknologi yang telah memutuskan landasan pembangunan ilmu daripada hal-hal berkaitan metafizik dan ketuhanan. Antara sarjana pascamoden ini termasuk Kierkegaard, Spengler, Foucault dan lain-lain. Mereka menyarankan agar dikembalikan semula semua bentuk ilmu kepada juzuk metafizik. Kembalinya mereka bukan kepada tradisi Yahudi-Kristian(mungkin kerana pengalaman buruk mereka dengan golongan gereja) tetapi untuk membina fahaman falsafah yang baru (Alinor, 2005). Penulis telah mencatatkan dalam era kontemporari terdapat gagasan dan saranan yang mengambil pendekatan baru.Sebagai landasan untuk perkembangan ilmu didalam dunia islam dan rantau Malaysia khasnya:
- Falsafah pengislaman ilmu (Syed Muhammad Naquib Al-Attas, 1973/2000)
- Falsafah pendidikan bersepadu (Tajul Arifin, 2002)
- Falsafah pendidikan terkamir (Shaharir 1984/1987), dan
- Falsafah pemeribumian ilmu (Shaharir, 1995/1997)
Budaya kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran ilmu di IPT akan dapat dipastikan dengan pengisian program pendidikan yang menggabungkan aspek al-fikr dan al-zikr sehingga tercetusnya kebijaksanaan (al-hikmah), (MILENIA Sept. 2009, ms 30). Tahap perolehan sesuatu ilmu yang dipelajari boleh dibahagikan kepada beberapa hirarki iaitu: Untuk tahu (mengetahui); untuk faham (memahami); untuk kenal (mengenali); untuk dihayati (menghayati); dan untuk mengamalkannya. Seterusnya, ungkapan kata “Ilmu itu adalah apa yang anda amalkan” boleh digunakan untuk memberi makna sama ada sesuatu ilmu yang dipelajari itu benar-benar memberi menafaat kepada tuan punya badan. Perolehan ilmu naqli dan aqli melalui bacaan keatas wahyu dan bacaan keatas kejadian alam semesta yang digarap dari ayat pertama al-Qur’an diturunkan:
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk )" (Surah al-‘Alaq 96: 1).
Ayat ini boleh dijadikan panduan dalam menerapkan tujuan utama sesuatu ilmu itu dipelajari dengan nas yang memerintahkan untuk kita melaksnakannya. Zaini Ujang (2009, ms 19) telah menerangkan konsep hikmah sebagai tambahan hirarki dalam perolehan ilmu seperti berikut: Selain daripada ilmu, konsep hikmah turut dijelaskan dalam al- Qur’an.Banyak ayat menjelaskan perbezaan antara ilmu dengan hikmah, misalnya dalam konteks Nabi Musa a.s (Surah al Qasas 28:14). Al-Qur’an turut membezakan antara kandungan kitab dengan hikmah (Surah al-Baqarah 2: 151).Hikmah adalah tahap lebih tinggi berbanding ilmu pengetahuan, maklumat, kemahiran, fakta dan data.
Malah hirarki perolehan ilmu itu masih boleh ditambah lagi dengan mengambil jalan tasauf (tariqat) yang bermujahadah dengan ilmu dan amal sehingga dapat mencapai maqam ma’rifat. Dengan ma’rifat akan Allah Ta’ala itu iaitu dapat martabat yang tinggi dan maqam yang mulia iaitu martabat anbia dan aulia yang arifin, yang muqarrabin seperti firman Allah Taala (Sairus-Salikin, Juzuk 3, Edisi Rumi 2003, ms 99):
“Dan mereka itu yang bersungguh-sungguh didalam menjalani akan jalan kami nescaya kami tunjukkan akan mereka itu jalan yang menyampaikan akan ma’rifat akan kami”. (Surah al-‘Ankabut 29: 69)
Pembentukan nilai dan peribadi diri jangan ditinggalkan, malah ianya mesti dipupuk melalui kaedah yang betul dan teruji. Pada hakikatnya teknologi bukan hanya benda atau wujud benda (material) semata, tetapi ia juga adalah kewujudan bukan benda (Ahmad Murad Merican, 2005). Ia punya nilai sejagat termasuk nilai etika dan nilai estetika yang perlu diisi oleh pereka dan pengguna teknologi.
(Oleh Mohd Jailani bin Mohd Nor - Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600, Bangi, Selangor, Malaysia. email : jailani@eng.ukm.my atau jai@mohe.gov.my)
No comments:
Post a Comment