Wednesday, February 24, 2010

myMetro | TMpoint bergerak

TELEKOM Malaysia Berhad (TM) terus komited menawarkan lebih banyak kemudahan kepada orang ramai terutama pelanggan apabila memperkenalkan TMpoint on Wheels (TMOW) iaitu unit TMpoint bergerak yang menyediakan pelbagai perkhidmatan ditawarkan syarikat telekomunikasi itu. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Zamzamzairani Mohd Isa, berkata 15 unit TMOW disediakan dengan peruntukan kira-kira RM2.4 juta.

Beliau berkata, TMOW akan bergerak di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak terutama di kawasan baru dan membangun yang tidak mempunyai premis TMpoint.

“Setiap TMOW menyediakan jualan produk dan perkhidmatan TM termasuk pembayaran bil, malah ia mempunyai ciri unik di mana TMOW turut mempunyai Klinik Jalur Lebar (Broadband Clinic) iaitu sudut khas untuk pelanggan mendapatkan khidmat nasihat mengenai Internet mereka.

“Selain itu, individu yang berada dalam lingkungan 50 meter dari TMOW juga akan dapat menikmati perkhidmatan WiFi percuma dan unit bergerak ini juga akan beroperasi pada hujung minggu,” katanya pada majlis pelancaran TMOW di Kuala Lumpur, semalam.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Khalid Ramli. Zamzamzairani berkata, pihaknya yakin TMOW dapat mendekatkan TM dengan pelanggan, sekali gus menyediakan ruang untuk berinteraksi serta memenuhi keperluan masyarakat dan mewujudkan kesedaran mengenai teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Antara perkhidmatan yang boleh didapati di TMOW termasuk perkhidmatan telefon untuk kediaman dan perniagaan (TM Homeline dan Businessline), perkhidmatan Internet (Streamyx), penjualan kelengkapan (set telefon, peralatan suara dan Internet), penjualan kad prabayar i-Talk, kutipan pembayaran bil TM dan khidmat pelanggan (aduan, pertanyaan dan khidmat nasihat).

Pelanggan juga boleh menjelaskan bil lain seperti Celcom, Astro, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syabas serta bil penguasa tempatan (cukai pintu) dan menambah nilai Touch n Go. Sejumlah 15 unit trak TMOW akan ditempatkan di semua negeri dan beroperasi setiap hari dari jam 10 pagi hingga jam 7 malam. Sebarang maklumat boleh melayari http://tmpoint.tm.com.my.

No comments: