Semoga UiTM akan menjadi lebih dinamik, maju dan berwibawa berasaskan budaya kualiti, beretika profesional dan permuafakatan ilmu dibawah kepimpinan beliau. Saya berhasrat untuk merealisasikan konvergensi suara, data dan video di UiTM. Semoga berlaku suatu pembaharuan dalam bidang ICT di UiTM menyaksikan halatuju ICT yang lebih mesra pengguna, selamat dan berdaya saing.
1 comment:
UiTM Dan UTAR Bekerjasama Bagi Merapatkan Perhubungan Kaum
MELAKA: Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan mengadakan kerjasama dengan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) untuk perkongsian dalam bidang ilmu selain merapatkan perhubungan kaum antara kedua-dua universiti itu.
Naib Canselor UiTM Datuk Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata kerjasama penuntut dan tenaga pengajar kedua-dua universiti itu yang mempunyai kekuatan masing-masing diharap akan membawa satu pembaharuan.
"Idea kerjasama antara UiTM dan UTAR ini untuk kamu bercampur dan saling mengenali antara satu lain," katanya kepada Bernama di Program Khidmat Masyarakat "Kasih Sayang 1Malaysia" anjuran UiTM di Rumah Seri Kenangan, Cheng, di sini hari ini.
Majlis anjuran penuntut Diploma Komunikasi dan Pengajian Media Massa adalah acara kunjungan pertama UiTM pada tahun ini kepada 250 penghuni warga emas yang hampir 50 peratus terdiri daripada bukan Melayu.
Turut hadir ialah Pengarah UiTM cawangan Melaka, Datuk Dr Mizan Hitam dan Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Prof Madya Dr Mohd Adnan Hashim.
Menurut Sahol kerjasama pertama antara dua institusi pengajian tinggi itu ialah kempen hijau yang dianjurkan fakulti tersebut yang akan diadakan pada bulan depan.
"Selain itu, kami merancang bagi para pelajar UiTM dan Utar untuk saling menghadiri kuliah masing-masing selain penganjuran majlis sosial, sukan dan pesta masakan," katanya.
Sahol berkata beliau turut memberi penekanan kepada para penuntut UiTM untuk mengambil subjek Bahasa Mandarin yang kini telah meningkat 50 peratus sejak beliau dilantik sebagai Naib Canselor.
"Bagi saya, apabila pelajar belajar bahasa Mandarin maka mereka akan lebih menyayangi masyarakat Cina, sayangi juga bangsa lain di negara ini untuk kita terus bersatu," katanya.
Mengenai "Program Kasih Sayang 1Malaysia", beliau berkata semua kampus di UiTM di seluruh negara akan diarah untuk menganjurkan program sedemikian.
"Peranan UiTM bukan semata-mata terhad kepada memberi ilmu pengetahuan untuk dimanfaatkan oleh para pelajar, malah lebih dari itu, mereka perlu menyayangi seluruh masyarakat etnik di negara ini tidak mengira agama dan kepercayaan yang dianuti," katanya.
Beliau berkata progam lawatan kepada warga emas ini akan disusuli dengan program lawatan ke rumah kebajikan anak-anak yatim dan pertubuhan kebajikan lain.
Sahol dan kira-kira 50 penuntut meluangkan masa hampir empat jam melawat dan bermesra dengan penghuni itu serta menyaksikan pertunjukan persembahan kebudayaan dan kesenian oleh para pelajar di samping penyampaian cenderamata
Post a Comment