Saturday, May 9, 2009

Pengurusan Hati - Kearah Pembinaan Peradaban Bangsa Melayu

Tubuh (body), pemikiran (mind) dan jiwa (soul) adalah unsur penting dalam diri seorang manusia. Jika 3 unsur ini dapat dipengaruhi, maka dapatlah individu itu dikuasai. Pada hari ini, dalam kacamata global, tubuh, pemikiran dan jiwa bangsa kita amat dipengaruhi oleh pemikiran barat. Malahan ramai dikalangan kita termasuklah saya sendiri terpengaruh tanpa disedari. Contohnya dengan menganggap bahawa solat, puasa, zakat, menunaikan haji dan lain-lain ibadah hanyalah aktiviti RITUAL dalam agama islam. Hakikatnya bukan demikian, ia menjangkau lebih jauh daripada itu.

Dalam konteks orang melayu, dari segi tubuh badan, kebanyakan kita tidak begitu menghiraukan kesihatan tubuh badan, terutamanya orang-orang melayu diluar bandar, selagi badan boleh berfungsi selagi itulah ia digunakan tanpa memikiran tentang penyelenggaraan tubuh. Bila darah tinggi, kencing manis datang menyerang dan saluran darah telah tersumbat oleh kolestrol maka pada ketika itu baru lah kita baru menyelenggara badan kita dengan bertemu doktor. Hakikatnya pemakanan dan minuman amat mempengaruhi kesihatan tubuh badan kita dalam jangka masa panjang.

Dari segi pemikiran bangsa melayu, bagi bangsa melayu kelas bawahan, kita hanya berfikir sekadar cukup makan, sekadar boleh hidup, manakala bagi orang melayu kelas menengah dan kelas atasan pula hanya memikirkan soal survival mereka sahaja tanpa memikirkan untuk membantu orang melayu kelas bawahan. Konsep tolong menolong antara satu sama lain, bantu membantu, sharing and caring tidak diamalkan diantara kita. Hasilnya jadilah kita sebagaimana keadaan sekarang, tewas dengan bangsa lain dari segi ekonomi dan perniagaan.

Dari segi jiwa bangsa melayu mempunyai kekuatan dan nilai-nilai yang baik, diantara kekuatan jiwa bangsa melayu ialah kita senang menerima tetamu terutama daripada bangsa lain, kita tidak memakan khinzir, jiwa bangsa kita lembut dan seni sifatnya, bangsa melayu jarang membunuh diri kerana kekecewaan atau masalah, tidak mengemari pertumpahan darah dan amat sabar. Mempercayai Tuhan dan memegang Islam sebagai agamanya. Hasilnya, semasa zaman penjajahan British, mereka berusaha keras untuk menukarkan agama kita kepada agama kristian melalui pendidikan dan mubaligh mereka tetapi mereka gagal melaksanakan agenda tersebut kerana kekuatan jiwa bangsa melayu.

Kesimpulannya, tubuh (body), pemikiran (mind) dan jiwa (soul) bangsa melayu memerlukan satu transformasi dan reformasi baru. Asasnya ialah agama, iaitu islam. Islam dalam erti kata sebenar, bukan islam yang memisah-misahkan antara kehidupan dunia dan akhirat. Hanya melalui cara ini bangsa melayu akan dapat membina tamadun bangsa Malaysia. Bangsa yang fizikalnya sihat, pemikirannya positif dan jiwanya merdeka daripada belenggu sesama makhluk. Tamadun baru yang bangsanya mengagungkan Allah S.W.T dalam pemikiran, tindakan dan perbuatan.

No comments: