Wednesday, September 3, 2008

Bahagian A : Pengurusan Kalbu Untuk Meraih Kejayaan Abadi - Beribadah Dengan Ikhlas Kerana Allah

1. BERIBADAH DENGAN IKHLAS KERANA ALLAH S.W.T SENTIASA.

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَارَكَاتُهُ

Asalamuu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, yang dengan segala nikmatNya itu Ia menyempurnakan mengerjakan amal saleh yang menurunkan dia akan berkat, segala puji bagi Allah atas taufiqNya, kuasa atas taat.

Kami minta ampun akan Allah dari segala taqsir (lalai mengerjakan ibadat). Dan aku naik saksi bahawasanya tiada Tuhan yang sebenarnya, melainkan Allah. Tuhan yang esa, tiada sekutu bagi Nya. Dan aku naik saksi bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. hambaNya lagi pesuruhNya.

Dan segala keluarganya, segala sahabat-sahabatnya, segala zuriatnya dan isi rumahnya yang mereka itu baik dan suci. Memadailah kami dengan Allah, dan Ia lah Tuhan sebaik-baik tempat berserah diri. Tiada daya dan upaya menjauhkan maksiat dan mengerjakan taat melainkan dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Besar.

Ibadah adalah segala sesuatu yang dijalankan dengan niat lurus kerana Allah dan ikhtiar di jalan-Nya. Ibadah merangkumi seluruh aspek kehidupan, bermula daripada bangun pagi, gosok gigi, mandi pagi, bersolat subuh, pergi kuliah untuk belajar, makan tengah hari, sembahyang zohor, pergi perpustakaan mentelaah pelajaran, pergi ke kelas, sembahyang asar, masuk makmal melaksanakan ujikaji, balik ke rumah, sembahyang magrib, makan malam, sembahyang isyak, surfing internet, chatting, sembang-sembang dengan kawan-kawan, masuk tidur semula, hatta masuk bilik air. Semua aktiviti tersebut adalah ibadah jika niat kita lurus kerana Allah S.W.T.

Untuk membolehkan kita beribadah ikhlas kerana Allah maka kita perlu meluruskan niat kita dalam melakukan segala hal-hal yang ingin kita lakukan kerana Allah. Kita mulakan setiap sesuatu pekerjaan dengan membaca Basmillah Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Melalui cara ini kita dapat beribadah dengan benar, beribadah dengan benar maksudnya ialah kita melakukan dan membangunkan sesuatu asas dalam diri kita yang menjadikan misi hidup kita semakin jelas.

Contohnya, bila kita masuk ke dalam kelas untuk belajar subjek calculus, sebaik sahaja kita duduk di atas kerusi, sambil menunggu pensyarah sampai kita mulakan dengan Basmillah dan luruskan niat 'aku belajar ilmu calculus ini untuk menambah ilmu ku demi kerana mu ya Allah'. Niat tadi menyebabkan misi kita belajar ilmu matematik tadi menjadi jelas. Itulah namanya beribadah dengan benar.

Demikian juga kita perlu lakukan dalam ibadah-ibadah yang selainnya. Mari sama-sama kita lakukan, bermula hari ini, bermula saat ini, kita cuba beribadah dengan benar. Beribadah dengan benar adalah langkah pertama yang perlu kita lakukan untuk mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat. Kunci kepada ketinggian budi ialah keikhlasan kita kepada Allah S.W.T.

No comments: