Sejak minggu lepas, mahasiswa nr sudah mula sibuk mencari rumah sewa untuk dijadikan penginapan di sepanjang menelusuri salur galur kehidupan sebagai mahasiswa UiTM Malaysia Shah Alam. Saya sarankan carilah rumah sewa yang berdekatan dengan kampus, kawasan yang dilalui oleh bas RapidKL, dekat dengan kedai makan, hampir dengan kedai runcit dan carilah rumah yang sesuai mengikut kemampuan kewangan masing-masing, pastikan perjanjian sewa rumah ditandatangani, elakkan daripada berurusan hal ehwal sewaan tanpa resit. Kalau mahasiswa nr menghadapi masalah dalam pencarian ini, sila dapatkan bantuan daripada Unit Pengurusan Non-Resident, Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEP). Insya-Allah kami sedia membantu.
Sayugia saya ingin mengajak semua mahasiswa nr supaya belajar untuk bertegur sapa dan mengenali sekurang-kurangnya 6 buah rumah jiran anda dikiri dan kanan, didepan dan belakang, atas dan bawah dari rumah masing-masing, ucapkan salam apabila bertemu mereka, hormati mereka jika mereka lebih tua, nasihat mereka jika mereka lebih muda dan hargai mereka jika mereka sahabat nr. Sifat dan sikap sebegini akan mewujudkan suasana ceria dipersekitaran tempat anda menginap atau menyewa. Secara tidak langsung anda telah berperanan sebagai agen perubah masyarakat melalui sikap dan sifat yang saudara/i tunjukkan. Tindakan ini walaupun kecil tapi signifikan untuk mengubah persepsi negatif masyarakat setempat terhadap mahasiswa nr. Mulakan dengan salam, akhiri dengan perasaan hormat-menghormati, nasihat-menasihati dan harga-menghargai.
Banyak masalah akan selesai apabila wujud perasaan hormat-menghormati, nasihat menasihati dan harga-menghargai dalam perhubungan diantara mahasiswa dengan mahasiswa, perhubungan mahasiswa dengan masyarakat setempat dan perhubungan mahasiswa dengan mahasiswi. Justeru itu, mulai hari ini marilah kita bersama-sama, bermulakan dengan salam, yang tua dihormati, yang muda dinasihati dan yang sebaya kita hargai. Insyallah, Tuhan akan memudahkan jalan anda menuntut ilmu jika anda bersifat demikian.
No comments:
Post a Comment