Kerajaan Melayu Srivijaya adalah salah satu kerajaan maritim yang kuat dan berpusat di Palembang,Sumatera dan mempunyai pengaruh yang cukup besar di Nusantara dengan daerah kekuasaan yang membentang dari Kemboja, Thailand,Semenanjung Malaya,Sumatera, Jawa dan Kalimantan (Coedes 1968). Apabila I-Ching tiba di Srivijaya, kerajaan ini sudah pun mempunyai sistem sosiopolitik dan budaya yang teratur dan sudah diiktiraf sebagai pusat pembelajaran bahasa Sanskrit dan agama Buddha yang terbaik di Asia Tenggara.
Inskripsi yang paling tua mengenai Srivijaya ialah Inskripsi Kedukan Bukit di Palembang, bertarikh 682 yang beraksara Pallava dan berbahasa Melayu (Casparis 1975;Bambang Budi Utomo, Nik Hassan Shuhaimi 2009). Inskripsiini juga menunjukkan pengaruh bahasa Melayu dalam penghasilan inskripsi di Nusantara yang mana sebelumnya menggunakan bahasa Sanskrit dan menjadi bukti penting dalam peranan orang Melayu dalam pentadbiran kerajaan-kerajaan awal.
Batu Bersurat Telaga Batu |
Empayar Srivijaya dianggap oleh segolongan sarjana sebagai empayar Melayu yang terulung di Asia Tenggara sebelum terbinanya empayar Kesultanan Melaka dan kebangkitan Srivijaya sebagai sebuah empayar berlaku apabila kerajaan Funan mengalami zaman kejatuhan yang juga sebuah empayar Melayu yang diasaskan sejak abad pertama Masihi dan tumbang pada pertengahan abad ke-6 Masihi.
Bagi golongan yang diperintah pula mereka mestilah berbakti kepada raja. Rakyat haruslah membayar cukai dan memberi sumbangan tenaga bagi pekerja raja dan menerima kerahan tenaga untuk mempertahankan raja di dalam peperangan, dan tidak menderhaka kepada raja. Maka balasannya adalah kesejahteraan dalam hidup. Perkara itu jelas tercatat dalam inskripsi-inskripsi Telaga Batu. Inskripsi itu memberi gambaran tentang bagaimana raja Srivijaya dapat mengekalkan kedudukannya sebagai raja yang berdaulat.
Persetiaan itu menjadi simbol kepada konsep kesetiaan kepada pemerintah iaitu konsep tidak menderhaka. Bagi semua golongan yang diperintah, tanpa mengira kelas, sekiranya mereka menderhaka, seperti dalam inskripsi Kota Kapur, maka akibatnya mereka akan menerima balasan yang buruk (Bambang Budi Utomo & Nik Hassan Shuhaimi 2009). Dari inskripsi Telaga Batu pula bentuk derhaka ialah menjadi tali barut kepada musuh raja, mencuri, bersubahat dengan musuh raja, menganiaya orang lain melalui kuasa magis, cuba mendapat maklumat tentang keadaan dalam istana raja, memberi maklumat kepada gundik diraja tentang dalam istana atau berbaik-baik dengan golongan yang terlibat dengan khazanah diraja. Mereka yang melakukan penderhakaan itu akan menerima balasan mati akibat daripada sumpahan air yang diminum itu. Bagi mereka yang setia, balasannya adalah tantra-mala, kesejahteraan dan bebas daripada seksa selepas mati (Casparis 1975)|
Sebagai kesimpulan kepada perbincangan di atas dapatlah dikatakan iaitu Srivijaya mempunyai asas organisasi sosial dan politik yang teratur yang melahirkan sistem pentadbiran yang sistematik. Pada keseluruhannya masyarakat Srivijaya mempunyai dua kelas utama, iaitu pemerintah dan yang diperintah. Kelas yang diperintah itu dapat dibahagi kepada beberapa kelas lain yang berasaskan kepada tugas dan keturunan. Inskripsi-inskripsi Srivijaya menunjukkan raja Srivijaya sangat-sangat mengambil berat tentang kesejahteraan rakyat di samping meninggikan kedudukan dan keagungan raja sebagai pemerintah. Raja Srivijaya mengamalkan dasar luar yang cergas dan menggalakkan perdagangan. Hubungan pemerintah dan yang diperintah dipertegaskan melalui persetiaan rakyat melalui upacara minum air sumpah yang mana balasan baik dan jahat jelas dinyatakan. Raja Srivijaya menganggap dirinya sebagai Cakravatin.
(Sumber - Empayar Melayu Srivijaya : perkembangan sejarah organisasi sosial dan pentadbiran. Available from: ttps://www.researchgate.net/publication/305225116_Empayar_Melayu_Srivijaya_perkembangan_sejarah_organisasi_sosial_dan_pentadbiran