Naib Canselor UiTM, Datuk Prof Emeritus Ir Dr Mohd Azraai Kassim |
PERDANA Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini, ada menyatakan hasrat beliau untuk melakukan rombakan Menteri kabinet. Perdebatan beberapa pihak sejak tahun lalu terhadap perubahan beberapa kementerian, kini bukan lagi menjadi telahan.
Mungkin bagi sesetengah pihak itu perkara biasa. Perubahan dalam kepimpinan merupakan perkara yang sememangnya akan berlaku. Tiada apa yang pelik dan istimewa bagi sesetengah daripada kita, namun, pada pandangan saya perkara utama yang mendorong Perdana Menteri menjalankan perubahan drastik ini adalah untuk memberikan motivasi kepada barisan kepimpinan agar lebih agresif dalam memainkan peranan masing-masing.
Dalam persoalan ini, banyak teka-teki yang timbul. Banyak pula telahan yang muncul. Tidak kurang juga banyak pihak yang membuat andaian terhadap tumpuan utama rombakan ini. Perubahan dalam kepimpinan itu penting dan ada kebaikannya dalam membina sebuah negara yang mahukan kemakmuran rakyat.
Namun begitu, saya lebih tertarik untuk membicarakan kementerian yang saya sendiri berada di bawahnya, Kementerian Pendidikan. Kami mempunyai seorang menteri yang boleh dikatakan agak muda, Dr. Maszlee Malik. Sejak dari awal pelantikan beliau sudah mula ada cerita. Mungkin kerana kementerian ini adalah antara kementerian yang terpenting serta memainkan peranan yang besar dalam mencorak masa depan negara.
Sepanjang hampir dua tahun di bawah teraju beliau, banyak perkara dan peristiwa yang dilalui dan ditempuh. Maklum sahajalah, perjuangan merubah nilai bercampur cerita persepsi politik, tidak mudah untuk ditangani bersama. Ditambah pula apabila menerajui satu kementerian besar yang sebelum ini merupakan dua buah kementerian iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.
Tidaklah mudah seperti memetik hujung jari kerana bagi saya ianya memerlukan satu semangat dan segala roh perjuangan demi perubahan pendidikan masa depan anak-anak dan itulah yang beliau lakukan.
Sepanjang setahun, banyak perubahan drastik yang berlaku di bawah kepimpinan beliau sehingga membuka mata semua pendidik, bahawasanya perubahan yang dilakukan dalam pendidikan ini amat penting untuk melahirkan generasi yang berpengetahuan dari pelbagai aspek.
Di bawah Kementerian Pendidikan kini, terdapat sembilan teras pencapaian disasarkan iaitu yang pertama, manfaat untuk pelajar B40. Kedua, guru sebagai fokus utama. Ketiga, murid sebagai tonggak. Keempat, komitmen tangani isu sekolah daif. Kelima, perhatian penuh kepada OKU. Keenam, kewibawaan Institusi Pendidikan Tinggi. Ketujuh, peningkatan kerjasama dalam Pendidikan Tinggi. Kelapan, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional serta yang kesembilan adalah berfokus kepada pemerkasaan bahasa, budaya dan sastera.
Berpandukan pada teras yang pertama dalam pencapaian Kementerian Pendidikan, banyak perubahan telah dilakukan, antaranya membuka kuota sebanyak 60 peratus kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP) mulai tahun 2019, yang menyaksikan seramai 4,888 pelajar telah ditawarkan ke SBP. Daripada jumlah tersebut, 2,630 atau 53.8 peratus menerima tawaran ke sekolah berasrama penuh mulai sesi 2019.
Seterusnya, berdasarkan teras ini, kementerian juga memberi keutamaan kepada pelajar B40 dengan memastikan sebanyak 60 peratus daripada jumlah enrolmen dikhaskan kepada golongan ini. Di samping itu, dalam teras pencapaian ini juga kementerian telah menetapkan biasiswa dan bantuan kewangan dengan memperuntukkan RM68.1 juta dengan seramai 17,100 pelajar mendapat manfaatnya.
Guru sebagai fokus utama juga merupakan teras dalam pencapaian Kementerian Pendidikan yang mementingkan kebajikan dan imej seseorang guru tersebut. Bagi aspek bebanan tugas guru, kementerian telah berjaya memansuhkan sebanyak 30 peratus daripada beban kerja guru. Selain itu, kementerian juga berpegang kepada teras murid sebagai tonggak.
Melalui teras ini kementerian telah memansuhkan peperiksaan tahap 1 yang melibatkan lebih 1 juta murid. Lanjutan daripada pemansuhan tersebut, laporan penilaian pertengahan tahun telah dikeluarkan pada Jun 2019. Kementerian Pendidikan juga melakukan semakan semula Akta Pendidikan 1996 bagi mengadakan peruntukan pendidikan wajib selama 11 tahun.
Teras keempat ialah komitmen untuk menangani isu sekolah daif. Berdasarkan teras tersebut kementerian telah memulakan pembinaan sebanyak 107 sekolah yang dijangka siap pada penghujung tahun 2019. Seterusnya, sebanyak 93 sekolah sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
Jumlah paling tinggi dalam menangani isu sekolah daif ini adalah sebanyak 301 sekolah telah siap dibina dan dilengkapi dengan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC). Pembangunan sekolah daif ini ditambah baik dari aspek penggunaan impak, kaedah pelaksanaan dan skop pembinaan.
Hubungan kerjasama dengan kerajaan negeri juga turut dijalankan apabila sebanyak RM1 bilion peruntukan oleh kerajaan negeri Sarawak diberikan kepada kerajaan Persekutuan untuk membaiki sekolah daif.
Perhatian penuh kepada orang kurang upaya (OKU) juga merupakan teras dalam pencapaian Kementerian Pendidikan sekarang. Hal ini kerana, kementerian telah memperkenalkan Dasar Sifar Penolakan. Berdasarkan dasar ini, seramai 10,948 murid telah mendapat manfaat di bawah Murid Berkeperluan Khas (MBK) pada April 2019.
Kementerian Pendidikan juga telah mengambil pendekatan menjalinkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif seperti Persatuan Sokongan Ibu Bapa Dileksia Malaysia (PSIDM), Persatuan Down Syndrome Malaysia, Autism Malaysia dan Persatuan Pendidikan Khas Kebangsaan.
Selain itu, kementerian turut membuka ruang kepada MBK untuk menempatkan diri di setiap universiti dalam kuota khas.
Kewibawaan Institusi Pendidikan Tinggi juga menjadi teras dalam Kementerian Pendidikan di bawah teraju Dr. Maszlee. Kewibawaan ini terserlah apabila kementerian telah membuat pindaan AUKU dengan memansuhkannya yang akan digantikan dengan akta baharu sedang dirangka untuk dibentangkan di Parlimen pada tahun 2020.
Semua pelajar Universiti Awam juga diberikan mandat untuk mengendalikan pilihan raya kampus sendiri. Selain itu, suara mahasiswa juga mendapat perhatian apabila wakil pelajar dilantik menganggotai Senat Universiti.
Di samping itu, Kementerian Pendidikan memperkenalkan peningkatan kerjasama dalam pendidikan tinggi yang melibatkan urusan dengan Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).
Libat urus ini menghasilkan Roadmap untuk Pendidikan Tinggi Swasta supaya usaha sama Universiti Awam dan Swasta dapat dipertingkatkan.
Pendidian Teknikal dan Latihan Vokasional juga tidak terlepas dalam teras pencapaian apabila pada 21 Jun 2018 telah ditubuhkan jawatankuasa pemerkasaan TVET yang bertujuan untuk memperkasakan pendidikan dan hala tuju TVET.
Jawatankuasa ini juga beroperasi sebagai sekretariat merentasi semua Kementerian Penyelia TVET.
Tambahan lagi, pemerkasaan Kolej Vokasional (KV) turut dilakukan dengan membentuk Jawatan Khas Hala Tuju Kolej Vokasional dan pembentukan jawatankuasa tersebut bagi transformasi Pendidikan Vokasional dan mempergiat usaha berterusan dalam membentuk KV dan memenuhi standard MQA dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Akses Politeknik dan Kolej Komuniti juga diperluas melalui Program ACES (Apprenticeship Programme, Profesional Certificate, Entrepreneurship Programme dan Sijil Kolej Komuniti (Program Persediaan).
Begitu juga dengan kerjasama Institut TVET dari segi sumber, peralatan, fasiliti, tenaga pengajar dan kepakaran. Tahfiz TVET juga dilaksanakan melalui program Tahfiz TVET secara bermodul.
Seterusnya, dalam teras perancangan ini juga Kementerian Pendidikan telah memperkukuh jalinan kolaborasi Institusi TVET bersama industri dan agensi yang membawa impak kepada kebolehpasaran graduan.
Pemerkasaan bahasa, budaya dan sastera juga merupakan teras dalam pencapaian Kementerian Pendidikan. Pelbagai program telah dilaksanakan menerusi teras pencapaian ini seperti Program Sasterawan Negara Universiti. Program ini melibatkan hampir semua Universiti Awam yang telah mengadakan perbincangan dengan barisan Sasterawan Negara.
Kempen Dekad Membaca Kebangsaan (2021-2030) juga telah dilaksanakan dan menunjukkan lebih daripada 36,000 kegiatan berkaitan kempen membaca telah dirancang di seluruh negara bagi tahun 2019.
Semakan semula Dasar Bahasa Kebangsaan juga telah dilaksanakan melalui pembentangan draf pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam mesyuarat Lembaga Pengelola DBP Julai 2019.
Perubahan yang berlaku dalam pendidikan sepanjang setahun ini amat mementingkan nilai untuk kesejahteraan generasi akan datang. Sememangnya, perubahan ini dapat memberikan manfaat kepada semua pihak.
Mungkin menyingkap perubahan yang telah dilakukan oleh Dr. Maszlee jauh daripada kewajaran untuk dipanjangkan dan diuar-uarkan. Namun, jika tidak dikongsikan sudah tentu besar lagi persepsi dan jurang tanggapan masyarakat.
Perubahan dalam pendidikan bukanlah taruhan yang dinilai untuk setahun dua atau untuk dilihat kesannya sekelip mata. Walau apa jua tanggapan, demi membina generasi berintegriti yang mempunyai nilai-nilai murni serta membina kejayaan mengikut acuan kita, Dr. Maszlee telah menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan dan mengekalkan beliau di portfolio pendidikan adalah suatu keperluan yang bukan kepalang.
Semoga segala yang diusahakan oleh barisan kepimpinan di bawah Kementerian Pendidikan akan mencapai matlamat dan manfaatnya ke arah kemajuan pendidikan negara. – MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment