BARU-baru ini kira-kira 1,000 orang Melayu berhimpun di tapak projek Datum Jelatek, Taman Keramat bagi membantah keputusan kerajaan negeri meneruskan pelaksanaan projek berkenaan. Itu bukan kali pertama mereka berbuat demikian.
Sebelum ini beberapa siri bantahan dibuat, tetapi ia ibarat masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Sebab itu bantahan kali ini kelihatan agak keras berbanding sebelum ini kerana rakyat tidak puas hati dengan respon kerajaan negeri Selangor.
Isunya cukup mudah untuk difahami. Mereka hanya mahukan kerajaan negeri menghentikan projek mewah itu yang difahamkan dibina di atas tapak tanah yang sebelum ini menempatkan empat blok Rumah Pangsa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Taman Keramat yang didiami 100 peratus orang Melayu, dirobohkan kerajaan negeri pada tahun 2011.
Sebelum ini Badan Bertindak Datum Jelatek mendakwa projek Datum Jelatek di atas tanah seluas 2.2 hektar dikatakan sebagai projek pembangunan semula termasuk kawasan perumahan kos rendah kepada penduduk tanpa perlu mereka keluar daripada kawasan berkenaan.
Sebaliknya, cadangan baharu melibatkan pembangunan empat bangunan eksklusif merangkumi unit kediaman, pejabat, hotel dan pusat beli-belah yang disasarkan untuk golongan berpendapatan tinggi dan korporat. Impian para penduduk untuk mendapatkan rumah mampu milik dan terus kekal di kawasan itu lenyap sama sekali.
Itulah realiti yang terpaksa dihadapi oleh sebahagian daripada penduduk Keramat yang terlibat. Mereka diibaratkan seperti ‘sudah kering terjemur, sudah garing diramas pula’ lebih-lebih lagi unit kediaman di bawah projek Datum Jelatek terlalu tinggi antara RM700,000 hingga RM11.6 juta seunit mengikut jenis dan keluasan.
Penduduk mendakwa, pampasan ditawarkan untuk rumah pangsa adalah RM130,000 bagi dua bilik dan RM166,000 bagi tiga bilik. Sementara pampasan rumah kedai RM155,000 bagi satu bilik dan RM197,000 bagi dua bilik.
Persoalannya, bagaimana mungkin para penduduk asal mahu membeli unit kediaman itu sekiranya pendapatan bulanan mereka sebanyak RM4,000 sebulan, dan pampasan diterima amat rendah.
Sudah tentunya mereka hanya mampu tengok sahaja kerana tidak berkemampuan untuk membelinya.
Sebagai contoh pengiraan kasar, jika seorang penduduk mahu membeli unit kediaman projek Datum Jelatek yang paling rendah iaitu RM700,000 selepas ditolak diskaun tujuh peratus Bumiputera harganya pun masih lagi tinggi iaitu RM651,000 seunit.
Harga itu tidak termasuk empat peratus kadar faedah tahunan yang dikenakan oleh institusi kewangan dan jika mereka membuat pembelian kediaman itu menerusi pinjaman selama 35 tahun ini bermakna jumlah keseluruhan pinjaman yang terpaksa ditanggung mereka ialah sebanyak RM1.5 juta.
Secara bulanannya, seorang pembeli perlu membayar ansuran bulanan pinjaman untuk rumah tersebut ialah sebanyak RM3,720 sebulan. Apakah jumlah itu setara dengan pendapatan mereka RM4,000 sebulan, sudah tentunya tidak cukup untuk menampung perbelanjaan mereka. Sekurang-kurangnya seorang pembeli memerlukan gaji RM20,000 sebulan.
Itu belum masuk bayaran kos peguam, duti setem dan sebagainya. Mana mungkin mereka mampu membelinya. Inilah isu yang mendukacitakan penduduk yang terlibat memungkinkan membuat bantahan terhadap projek Datum Jelatek ini.
Sedangkan kawasan itu dahulu adalah kawasan perumahan rakyat. Kawasan itu juga menjadi tanah tumpahnya darah mereka. Penduduk membantah projek Datum Jelatek kerana ia seolah-olah merupakan cubaan untuk menghalau mereka daripada kawasan yang telah mereka diami sejak sekian lama.
Dari perspektif lain khususnya berkaitan masa depan penduduk asal, projek Datum Jelatek ini bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Sebaliknya ia lebih bermatlamatkan mendapat keuntungan komersialberbanding keadilan sosioekonomi, dengan menjadikan masa depan penduduk di Taman Keramat sebagai taruhan untuk mencapai maksud itu.
Apalah gunanya pembangunan dan kemajuan jika ia memudaratkan rakyat lebih-lebih lagi dengan projek Datum Jelatek ini yang terang-terangan dikira sebagai projek mewah. Apakah rakyat Selangor ini semuanya kaya-raya, bergaji tinggi serta berkemampuan seperti Menteri Besar dan barisan Exco yang bekerja di kerusi empuk, mempunyai pemandu peribadi sendiri dan mendapat elaun itu-ini.
Sepatutnya, sebagai kerajaan negeri khususnya Menteri Besar yang mendakwa peduli rakyat, Mohamed Azmin Ali perlu mendahulukan kepentingan rakyat dalam membuat sebarang keputusan atau pembangunan di Selangor ini.
Keutamaan itu pula perlulah dituruti oleh setiap agensi atau anak syarikat di bawah kerajaan negeri, bukannya ghairah mahu mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda.
Isu pokok yang wajar dilihat ialah soal keadilan sosial dan ekonomi penduduk asal. Mereka seharusnya dipastikan tetap mendapat tempat dalam penyertaan ekonomi melalui hak pemilikan hartanah di kawasan bandar.
Tidak guna mahu menarik pembeli untuk sesuatu projek mewah, apatah lagi melibatkan orang asing sedangkan rakyat sendiri menderita sebagaimana peribahasa Melayu, ‘anak dipangku dilepaskan, beruk di hutan disusukan’.
Hakikatnya, isu bantahan penduduk terhadap projek Datum Jelatek ini tidak harus dipandang remeh oleh Menteri Besar dan konco-konconya yang mentadbir Selangor pada hari ini. Sewajarnya ia dibawa ke sesi pendengar awam seperti Jawatankuasa SELCAT Dewan Negeri Selangor agar penyelesaian yang adil dapat dicari kerana ia melibatkan rakyat serta anak syarikat negeri.
Penulis tidak mahu membuat spekulasi, namun keputusan kerajaan negeri mengutamakan serta mempertahankan keputusan melaksanakan projek mewah seperti Datum Jelatek dilihat seolah-olah menafikan hak sebahagian golongan Bumiputera dalam mendapatkan hak pembelaan yang sewajarnya.
Ia juga bertentangan dengan prinsip negeri berkebajikan yang kononnya menjadi perjuangan pakatan rakyat.
Walaupun tapak projek Datum Jelatek itu bukan melibatkan tanah rizab Melayu, namun kerajaan negeri perlu mempunyai pertimbangan yang adil memandangkan penduduk di Taman Keramat yang difahamkan adalah sebahagian usaha pentadbiran Selangor di bawah Barisan Nasional (BN) sebelum ini untuk mewujudkan Melayu bandar selain mengimbangi bilangan penduduk serta taraf sosial antara kaum.
Hakikatnya, siapakah yang sebenarnya mendapat keuntungan tersebut? Yang pastinya, bukan kepada penduduk-penduduk Taman Keramat yang membuat bantahan terhadap projek Datum Jelatek terbabit.
PENULIS ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang, Selangor
No comments:
Post a Comment