Thursday, January 3, 2013

HUBUNGAN YANG WUJUD DI ANTARA SUB-KONTRAKTOR(DOMESTIK) DENGAN KONTRAKTOR UTAMA


1.0 Pengenalan

Berdasarkan pengambilan sub-kontraktor maka suatu perjanjian akan dibentuk dalam menunjukkan wujudnya hubungan di antara kontraktor utama dengan sub-kontraktor. Hubungan di antara kontraktor utama dengan sub-kontraktor(domestik) wujud melalui pengambilan atau perlantikan yang dibuat oleh kontraktor utama dalam mendapatkan khidmat sub-kontraktor, dan membawa kepada perjanjian yang mengikat kedua-dua pihak. 

 Perjanjian yang dibuat berkisar mengenai kaedah yang digunakan seperti beberapa helaian kertas, resit harga dan sebagainya. Entri ini membincangkan hak dan tanggungjawab kedua-dua pihak, dan pembayaran kerja yang dilakukan oleh kontraktor utama kepada sub-kontraktor(domestik) berdasarkan faktor masa. Faktor masa yang dimaksudkan adalah pembayaran dalam masa dua minggu, sebulan dan sebagainya.

1.1 Hak Dan Tanggungjawab Sub-kontraktor(Domestik) Dan Kontraktor Utama

Secara amnya, hak dan tanggungjawab sub-kontraktor dan kontraktor utama berkisar tentang kontrak yang telah dipersetujui di antara mereka. Syarat-syarat kontrak yang terlibat ialah kontrak kerja subkontrak yang dibuat disamping kontrak utama. Selain peruntukan tersebut, kedua-dua pihak juga perlu mematuhi common law dan peruntukan oleh kerajaan (persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan). Hak dan tanggungjawab yang akan dinyatakan seterusnya merupakan hak dan tanggungjawab yang sepatutnya dilakukan tetapi ia tertakluk kepada syarat-syarat yang ditandatangani atau dipersetujui di antara sub-kontraktor domestik dengan kontraktor utama. (Joseph R. Proctor Jr Member).

Hak dan tanggungjawab sub-kontraktor domestik dan kontraktor utama akan dinyatakan secara terperinci melalui dua keadaan iaitu:-

* Hak dan tanggungjawab sub-kontraktor terhadap kontraktor utama
* Hak dan tanggungjawab kontraktor utama terhadap sub-kontraktor

1.2 Hak Dan Tanggungjawab Sub-kontraktor(Domestik) Terhadap Kontraktor Utama

Hak dan tanggungjawab sub-kontraktor akan dibincangkan dalam dua keadaan iaitu hak sub-kontraktor yang terbahagi kepada beberapa bahagian dan disusuli oleh tanggungjawab sub-kontraktor. (Agreement And Conditions of Building Contract, 1995)

1.2.1 Hak Sub-kontraktor

Sub-kontraktor mempunyai hak tertentu apabila ia menandatangani kontrak dengan kontraktor utama di bawah peruntukan yang dinyatakan sebelum ini. Antara hak yang biasa diwujudkan di dalam sesuatu kontrak yang ada pada sub-kontraktor adalah seperti berikut:-
      
* Mendapat kemudahan melaksanakan kerja subkontrak
* Memperolehi bayaran
* Menangguh perlaksanaan kerja subkontrak
* Hak lanjutan masa

a) Mendapat kemudahan melaksanakan kerja subkontrak

Sub-kontraktor mempunyai hak untuk mendapatkan kemudahan melaksanakan kerja subkontrak daripada kontraktor utama. Kemudahan ini termasuklah kemudahan peralatan dan kemudahan pengurusan. Kemudahan peralatan ialah kemudahan menggunakan kelengkapan kontraktor utama untuk melaksanakan kerja subkontrak. Contohnya, kemudahan penyimpanan, jalan masuk, perancah, segala kelengkapan dan sebagainya. Manakala kemudahan pengurusan pula ia berbentuk kemudahan mendapatkan lukisan-lukisan kerja subkontrak, khidmat penyelia tapak, pejabat (jika perlu) dan lain-lain. Walaupun demikian bidang kemudahan yang diberikan bergantung kepada jenis subkontrak yang dibuat.

Jika subkontrak kerja keseluruhan digunakan maka hak untuk mendapatkan kemudahan hanya terhad kepada peralatan yang tertentu sahaja. Hal tersebut merangkumi hak menggunakan jalan masuk ke tapak, menggunakan perancah, bakalan air dan elektrik. Walaupun demikian, sub-kontraktor ini perlu membayar segala perbelanjaan / sewa tersebut jika diperuntukkan di dalam syarat kontrak. Manakala, sub-kontraktor buruh mempunyai hak yang lebih meluas berbanding sub-kontraktor kerja keseluruhan. Hak mendapat bahan dan peralatan yang sesuai serta kemudahan pengurusan perlu diberikan oleh kontraktor utama terhadap sub-kontraktor buruh berbanding sub-kontraktor keseluruhan.

Walau bagaimanapun, sub-kontraktor keseluruhan mempunyai hak yang sama di kalangan sub-kontraktor buruh. Jika berlaku ketidakadilan sehingga mengganggu perjalanan kerja subkontrak, mereka boleh mengadu hal kepada kontraktor utama untuk kemudahan yang lebih baik. Walaupun demikian sub-kontraktor tidak dapat mengambil tindakan dari segi kontrak kerana tiada peruntukan yang khusus. Ia hanya berlandaskan kaedah perikemanusiaan dan amalan biasa.

b) Memperolehi bayaran

Sub-kontraktor mempunyai hak untuk mendapat semua bayaran kerja subkontrak yang telah dilaksanakan dalam projek binaan tersebut. Bayaran yang dimaksudkan adalah seperti berikut:-
      
* Bayaran interim
* Bayaran tambahan di dalam perubahan kerja subkontrak 
* Bayaran kerugian disebabkan tindakan kontraktor utama.

Pelulusan pembayaran ini akan tertakluk kepada kerja subkontrak dilaksanakan. Jika tidak memenuhi syarat kontrak maka sub-kontraktor tidak layak menerima bayaran. Hak yang terlibat berkaitan dengan bayaran adalah seperti berikut:-

* Jumlah yang sewajarnya
* Tempoh sesuatu pembayaran
* Kaedah bayaran oleh kontraktor utama

Faktor di atas perlu dipertimbangkan oleh kontraktor utama secara adil dan saksama. Amalan biasa pembayaran hanya akan dibuat apabila sub-kontraktor menghantar tuntutan secara bertulis untuk mendapatkan bayaran kerja yang dilakukan oleh mereka.

c) Menangguh perlaksanaan kerja subkontrak

Sub-kontraktor juga mempunyai hak untuk menangguh kerja subkontrak jika tindakan kontraktor utama tidak mengikut kontrak asal. Antara sebabnya ialah kegagalan kontraktor membayar kerja subkontrak kepada sub-kontraktor tersebut.

d) Hak lanjutan masa

 Lanjutan masa juga boleh diperolehi oleh sub-kontraktor jika ia berpunca dari sebab-sebab yang munasabah. Kebiasaannya hak ini boleh diperolehi jika berlaku perkara yang tidak dapat dielakkan seperti yang tertulis di dalam kontrak utama.

1.2.2 Tanggungjawab sub-kontraktor

 Sub-kontraktor bertanggungjawab untuk melaksanakan kerja subkontrak yang telah diberikan seperti mana yang telah dijanjikan. Di bawah ini dinyatakan beberapa tanggungjawab yang biasa wujud di dalam subkontrak iaitu seperti berikut:-

* Pematuhan nilai kualiti
* Menjaga kepentingan awam
* Menjaga kebersihan tapak bina

a) Pematuhan nilai kualiti

Kualiti kerja subkontrak dan bahan yang digunakan perlu mengikut penentuan kontrak. Oleh yang demikian menjadi satu kewajipan kepada sub-kontraktor mendapatkan bahan dan melaksanakan kerja subkontrak dengan baik.

Namun demikian, sub-kontraktor kurang mengemari untuk mengikut arahan kontraktor utama kerana menjaga keuntungan dalam projek yang dijalankan.

b) Menjaga kepentingan awam

 Secara munasabah, sub-kontraktor sentiasa perlu memastikan kepentingan awam tidak terjejas akibat daripada kerja subkontrak yang dilaksanakannya. Secara langsung ia menjaga kepentingan kontraktor utama di dalam projek berkaitan. Kepentingan ini merangkumi kerosakan harta benda, keselamatan, keselesaan dan seumpamanya. Peruntukan dan syarat undang-undang yang berkaitan kepentingan awam perlu diikuti, contohnya peruntukkan oleh kerajaan tempatan.  
      
c) Menjaga Kebersihan Tapak Bina

Apa-apa lebihan atau buangan daripada sesuatu subkontrak yang dijalankan perlu dibersihkan semula oleh sub-kontraktor. Sub-kontraktor perlu memastikan hal ini dilakukan di akhir kerja subkontrak tanpa menjejaskan harta pihak lain di tapak bina. Jika tidak dilaksanakan kontraktor utama layak mengambil orang lain untuk melakukan obligasi itu dan potongan pembayaran akan dibuat mengikut perbelanjaan yang ditanggung. Walaupun demikian, sub-kontraktor tidak boleh dibebankan oleh pembersihan tapak akibat dari kerja pihak lain, contohnya sub-kontraktor lain.

3.3 Hak Dan Tanggungjawab Kontraktor Utama Terhadap Sub-kontraktor(Domestik)

Hak dan tanggungjawab kontraktor utama akan dibincangkan dalam dua keadaan iaitu hak kontraktor utama yang terbahagi kepada beberapa bahagian dan disusuli oleh tanggungjawab kontraktor utama. Perkara ini dijelaskan melalui Agreement And Conditions of Building Contract yang dikeluarkan oleh Persatuan Arkitek Malaysia.
   
1.3.1 Hak kontraktor utama

Kontraktor utama mempunyai hak tertentu apabila ia menandatangani kontrak dengan sub-kontraktor di bawah peruntukan yang dinyatakan sebelum ini. Antara hak yang biasa wujud di dalam sesuatu kontrak yang ada pada kontraktor utama adalah seperti berikut:-
      
* Memeriksa kerja subkontrak
* Menolak kerja subkontrak
* Memotong bayaran
* Mengambil sub-kontraktor lain
* Menamatkan kontrak

a) Memeriksa kerja subkontrak

Kontraktor utama mempunyai hak untuk memeriksa kerja subkontrak yang telah dilaksanakan oleh sub-kontraktor. Pemeriksaan boleh dibuat pada bila-bila masa diperlukan samada diminta oleh pegawai penguasa atau tidak. Walaupun demikian, hak ini hanya tertakluk kepada kerja subkontrak yang dilaksanakan sahaja. Pemeriksaan tidak boleh dibuat ke atas kelengkapan yang digunakan. Walaupun demikian, kontraktor utama boleh menasihati bagi penggunaan peralatan yang sesuai demi kepentingan kerja subkontrak berkenaan.

b) Menolak kerja subkontrak

Kerja subkontrak yang tidak mencukupi mutu yang ditetapkan dari segi bahan atau sumber yang digunakan, perlaksanaan dan hasil kerja, boleh ditolak oleh kontraktor utama. Penolakan ini boleh dibuat dalam bentuk keseluruhan atau sebahagian daripada kerja subkontrak berkenaan.

c) Memotong Bayaran

Hak memotong bayaran sebahagian daripada bayaran kemajuan merupakan wang tahanan boleh dilakukan oleh kontraktor utama. Walaupun demikian potongan wang tahanan janganlah melebihi daripada nilai peratusan yang diperuntukkan di dalam kontrak utama. Kontraktor utama juga berhak memotong sesuatu bayaran jika sub-kontraktor gagal memenuhi obligasinya. Oleh itu, sub-kontraktor harus melaksanakan kerja yang diamanahkan dengan sempurna dan berkesan.

d) Mengambil sub-kontraktor lain

Hak mengambil sub-kontraktor lain untuk menyelesaikan kerja yang tertangguh disebabkan sub-kontraktor pertama boleh digunakan oleh kontraktor utama. Segala bayaran yang berkaitan boleh dipotong daripada bayaran yang sepatutnya dibayar kepada sub-kontraktor pertama. Walaupun demikian, ia perlulah menyatakan atau membuktikan bahawa sub-kontraktor telah cuai sehingga menjejaskan kepentingan kontraktor utama dari pandangan pegawai penguasa atau pihak berkuasa.

e) Menamatkan kontrak

Penamatan kontrak boleh dibuat oleh kontraktor utama jika sub-kontraktor gagal menjalankan obligasi yang sepatutnya. Penamatan ini tertakluk kepada obligasi yang besar mengikut syarat subkontrak sahaja tetapi tidak meliputi yang kecil. Contohnya, sub-kontraktor gagal mengikuti arahan dari segi kualiti bahan dan sumber serta gagal memenuhi masa projek binaan yang ditetapkan. 

Oleh itu, kontraktor utama berhak mengugurkan subkontrak yang dibuat di antara mereka. Namun begitu, kontraktor utama kurang mengamalkan atau mempraktikkan cara sebegini kerana sikap terbukaan yang ditunjukkan, oleh yang demikian sub-kontraktor akan diberikan masa untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. (Perkara ini dijelaskan berrdasarkan Panduan Pentadbiran Kontrak Kerja Raya – 1985)

1.3.2 Tanggungjawab kontraktor utama

 Kontraktor utama bertanggungjawab terhadap sub-kontraktor berdasarkan subkontrak yang dibuat. Di bawah ini dinyatakan beberapa tanggungjawab yang diwujudkan dalam subkontrak yang dibuat di antara sub-kontraktor adalah seperti berikut:-

* Mengkoordinasikan sub-kontraktor
* Menyediakan kelengkapan kerja
* Menghubungkan sub-kontraktor dengan perunding
* Menyelesaikan masalah sub-kontraktor
* Mengawasi kerja sub-kontraktor

a) Mengkoordinasi Sub-kontraktor

Kontraktor utama mempunyai tanggungjawab untuk mengkoordinasikan semua sub-kontraktor di bawahnya. Langkah ini perlu dilakukan untuk memastikan perjalanan kerja subkontrak memenuhi kehendak kontrak utama dan subkontrak.

b) Menyediakan kelengkapan kerja

Kelengkapan kerja perlu disediakan oleh kontraktor utama kepada sub-kontraktor, terutamanya sub-kontraktor buruh. Kelengkapan yang disediakan mestilah mencukupi, sesuai dengan kerja dan produktif.

c) Menghubungkan sub-kontraktor dengan perunding

Kontraktor utama perlu menghubungkan sub-kontraktor di bawahnya dengan pihak perunding atau pegawai penguasa. Hal ini perlu dilakukan untuk memudahkan pemeriksaan dan pengiktirafan kerja subkontrak yang dilaksanakan.

d) Menyelesaikan masalah sub-kontraktor

Apa-apa masalah yang dihadapi oleh sub-kontraktor, berhubung dengan sub-kontraktor kerja perlulah diberikan perhatian oleh kontraktor utama. Kontraktor utama perlu menasihati dan menyelesaikan masalah yang dihadapi jika ianya berpunca daripada tindakannya. Ia akan menjamin kelancaran kerja dan kualiti serta hasil kerja yang dilaksanakan.

e) Mengawasi kerja subkontrak

Kontraktor utama juga perlu dari semasa ke semasa mengawasi kerja subkontrak yang dilaksanakan oleh sub-kontraktor. Sehubungan dengan itu, kontraktor utama perlu menyediakan wakil di tapak bina untuk memudahkan sub-kontraktor mendapatkan maklumat yang sepatutnya bagi keadaan di kawasan tersebut.

1.4 Bentuk Hubungan Kontrak

1.4.1 Lisan

Hubungan kontrak secara lisan ini sangat meluas digunakan oleh sub-kontraktor di Malaysia. Kontrak ini hanya digunakan untuk subkontrak yang berharga rendah iaitu di bawah RM 5000.00. Kontraktor utama tidak mengemari kaedah ini kerana penipuan sering berlaku. Walaupun demikian ia masih digunakan kerana memudahkan pengurusan di peringkat awal. Dimana, sub-kontraktor tidak perlu mengambil masa untuk menandatangani projek atau penyediaan dokumen yang hanya membuang masa dan kos.

Selain itu, kaedah ini mempunyai kelemahan yang ketara sekali semasa pembayaran kerja dibuat oleh kontraktor utama. Ini kerana, pertikaian boleh berlaku seandainya tiada bukti yang kukuh atau surat yang sah untuk kerja subkontrak dibuat tidak disertakan dalam pembayaran yang diminta kepada kontraktor utama. Di samping itu juga, kontraktor utama terpaksa berdepan dengan tanggungjawab apabila berlaku masalah terhadap projek binaan yang dibuat oleh sub-kontraktor tersebut. Ini kerana, tiada perjanjian yang dibuat menyatakan kerja-kerja membaikpulih akan ditanggung oleh sub-kontraktor. Oleh demikian, dapat dilihat dengan jelas bahawa bentuk hubungan yang diwujudkan amat berisiko.

1.4.2 Beberapa helaian kertas

Selain daripada lisan, bentuk perjanjian paling mudah digunakan ialah perjanjian di atas beberapa helaian kertas. Kontraktor utama dan sub-kontraktor akan membuat perbincangan terlebih dahulu sebelum perjanjian ditandatangani. Di dalam perjanjian ini, perkara berkaitan dengan harga dan skop kerja sahaja diterangkan. Hak dan tanggungjawab secara khusus tiada dinyatakan dengan jelas atau tiada langsung dinyatakan. 

1.4.3 Surat Tawaran

Surat tawaran daripada kontraktor utama yang ditandatangani oleh sub-kontraktor juga menjadi satu bentuk perjanjian subkontrak. Semua syarat yang dinyatakan di dalam surat tersebut biasanya telah dipersetujui oleh kontraktor utama dan sub-kontraktor di peringkat perbincangan lagi setelah sebutharga dinyatakan.

Perjanjian sebegini amat digemari oleh sub-kontraktor dan kontraktor utama. Sebaliknya, bentuk subkontrak ini mempunyai beberapa kelemahan iaitu berkaitan dengan hak dan tanggungjawab, dimana kontraktor utama dan sub-kontraktor gagal menunjukkan hak dan tanggungjawab yang jelas serta lengkap di antara mereka. 

1.4.4 Borang piawai syarikat

Penggunaan borang piawai syarikat selalu digunakan oleh syarikat kontraktor yang besar atau mempunyai kakitangan berkaitan dengan kontrak. Ia dibuat oleh kakitangan kontraktor utama, yang didasarkan kepada fasal di dalam borang yang ada di Malaysia. Borang piawai syarikat sebenarnya dicipta oleh syarikat atau kontraktor utama dalam membuat perjanjian subkontrak dengan sub-kontraktor lain. 

Secara dasarnya, perjanjian di dalam bentuk ini lebih baik dari bentuk yang telah dihuraikan di atas. Ia lebih jelas bidang hak dan tanggungjawab di antara kontraktor utama dengan sub-kontraktor, walaupun kesan berat sebelah mungkin berlaku kerana kontraktor utama yang mencipta fasal di dalamnya. Borang piawai syarikat yang dimaksudkan mungkin terkandung pelbagai perkara seperti lanjutan masa, pembayaran, arahan kerja dan sebagainya.

1.5 Kaedah Pembayaran Kemajuan Subkontrak

Kaedah pembayaran kemajuan subkontrak boleh dikelaskan dalam pelbagai cara iaitu seperti berikut:-

* Selepas dibayar oleh pegawai penguasa
* Selepas siap semua kerja subkontrak
* Dua minggu sekali
* Setiap bulan

Penerangan terperinci mengenai kaedah pembayaran kemajuan subkontrak akan dibincangkan di bahagian seterusnya. (Perkara ini dijelaskan berdasarkan Panduan Pentadbiran Kontrak Kerja Raya – 1985 yang dibuat oleh Jabatan Kerja Raya dan masih digunakan sehingga sekarang)

1.5.1 Selepas dibayar oleh pegawai penguasa

Di dalam bahasa Inggeris kaedah pembayaran ini dikenali sebagai pay after paid atau pay when paid. Pembayaran hanya akan dibuat oleh kontraktor utama apabila pegawai penguasa membayar kepadanya walaupun sub-kontraktor telah layak menerima pembayaran bagi kemajuan kerja subkontrak. Keadaan ini tidak mengambarkan keadilan kepada sub-kontraktor, sub-kontraktor seakan-akan lebih tertindas lagi apabila di dalam syarat yang dibuat dijelaskan bahawa pembayaran hanya akan dibuat apabila pegawai penguasa membayar kepada kontraktor utama ke atas kerja subkontrak yang telah dilaksanakan oleh sub-kontraktor.

Kontraktor utama berbuat demikian untuk mengelakkan masalah kekurangan aliran tunai terutamanya beberapa projek dilaksanakan serentak pada sesuatu masa. Sebaliknya, sub-kontraktor tidak mengemari kaedah ini kerana ia perlu menyediakan banyak modal di peringkat awal. Tidak keterlaluan dinyatakan di sini, masalah kekurangan modal akan berlaku kesan dari tindakan tersebut melainkan syarikat mempunyai aset cair yang besar.

1.5.2 Selepas siap semua kerja subkontrak

Pembayaran kemajuan akan dibayar selepas siap semua kerja subkontrak yang dilakukan oleh sub-kontraktor tersebut. Kebiasaannya kerja subkontrak yang terlibat adalah dalam jumlah yang kecil, disebabkan itu pembayaran dilakukan selepas siap projek binaan. Kaedah ini sangat sesuai bagi kerja subkontrak dalam jangkamasa pendek iaitu tidak melebihi dua minggu. Jika melebihi dua minggu, kaedah ini tidak sesuai kerana ia akan menimbulkan masalah kekurangan modal oleh sub-kontraktor seperti yang telah dijelaskan sebelum ini.

1.5.3 Dua minggu sekali

Sub-kontraktor buruh sahaja perlu dibayar oleh kontraktor utama setiap dua minggu sekali untuk kerja subkontrak yang sedang dibina. Ini kerana pembayaran yang dibuat oleh kontraktor utama kepada sub-kontraktor buruh merupakan gaji pekerja yang disubkontrakkan. Cara ini adalah yang terbaik bagi menjaga kebajikan pekerja untuk penghidupan mereka sehari-hari. Kebiasaannya pekerja yang dibayar gaji dengan cara ini melakukan kerja-kerja seperti kerja konkrit, batu-bata, kerja kayu, kerja tetulang besi dan sebagainya. Sebaliknya bagi sub-kontraktor buruh yang terlibat dalam pertukangan khas akan dibayar setiap bulan. 

1.5.4 Setiap bulan

Pembayaran kemajuan berdasarkan setiap bulan digunakan bagi kerja subkontrak yang panjang tempohnya. Sub-kontraktor kerja keseluruhan dan sub-kontraktor buruh pertukangan khas akan dibayar setiap bulan berpandukan penilaian kerja yang dihantar. Kontraktor utama akan melihat hasil kerja yang dilakukan setiap bulan maka pembayaran akan dibuat oleh kontraktor utama berdasarkan kerja yang dilaksanakan. Perkara yang sama juga berlaku kepada kontraktor utama dimana pihak berkuasa akan datang melihat hasil kerja sebelum pembayaran dibayar kepada kontraktor utama.

Keseluruhan kaedah pembayaran di atas akan tertakluk kepada tuntutan pembayaran kemajuan kerja subkontrak yang dipohon oleh sub-kontraktor. Sub-kontraktor berhak memjelaskan keupayaan kontraktor utama dalam cara pembayaran yang akan dilakukan. Ia juga tertakluk kepada pelulusan penilaian kerja atau hasil kerja yang disembahkan, berkemungkinan sub-kontraktor akan meminta lebih pembayaran daripada yang sepatutnya. (Perkara ini dijelaskan oleh En Azhar Kahar berdasarkan temuramah yang dilaksanakan)

1.6 Rumusan

Kesimpulannya,  Hubungan di antara kontraktor utama dengan sub-kontraktor wujud melalui pengambilan atau perlantikan yang dibuat oleh kontraktor utama dalam mendapatkan khidmat sub-kontraktor, dan membawa kepada perjanjian yang mengikat kedua-dua pihak. 

Secara lumrahnya, tanggungjawab dan hak yang membawa kepada wujudnya hubungan di antara satu pihak dengan pihak yang lain. Oleh itu, dalam hubungan sub-kontraktor(domestik) dengan kontraktor utama perkara yang utama adalah tanggungjawab dan hak di antara satu sama lain yang telah dibincangkan serta dijelaskan dalam ini. Perbincangan dalam bab ini berkisarkan mengenai tanggungjawab dan hak kontraktor utama berserta sub-kontraktor(domestik) dalam hubungan yang dibuat di antara mereka. 

 Antaranya perjanjian lisan, helaian kertas, borang kontrak syarikat dan sebagainya. Perjanjian ini akan membuktikan di antara satu sama lain bahawa mereka sudah menjalinkan hubungan dalam kontrak, maka mereka perlu menjalankan kewajipan atau kerja yang diamanahkan bersesuaian dengan kehendak kontrak. Akhir sekali, bab ini juga membincangkan tentang pembayaran kerja yang dilakukan oleh kontraktor utama kepada sub-kontraktor(domestik) berdasarkan faktor masa. Faktor masa yang dimaksudkan adalah pembayaran dalam masa dua minggu, sebulan dan sebagainya.

No comments: