Raffles berpendapat bahawa amat penting bagi British mengambil Pulau Singapura atau Pulau Karimun kerana kedudukannya yang sangat strategik disamping untuk menyaingi pengaruh Belanda yang semakin kuat di gugusan pulau-pulau melayu, tetapi akhirnya Raffles membuat keputusan untuk mengambil Pulau Singapura, maka bertolaklah Raffles dengan diiringi Mayor Farquhar ke Pulau Singapura daripada Pulau Pinang.
Pada tarikh 29 Januari 1819 mendaratlah Raffles ke Pulau Singapura. Temenggung Abdul Rahman memerintah Pulau Singapura diatas nama Sultan Johor-Riau-Lingga dan jajahan takluknya, aktiviti ekonomi utama rakyat singapura yang berjumlah lebih kurang 300 orang itu, hanya menangkap ikan dan memburu dihutan. Rumah yang paling cantik dan berupa macam rumah hanyalah rumah Temenggung Abdul Rahman, rumah-rumah lain hanyalah berdindingkan buluh dan beratapkan rumbia dan nipah. Kehidupan rakyat jelata hanyalah umpama 'kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang' Terdapat pukat-pukat dijemur dipersisiran pantai dan sampan-sampan nelayan.
Setibanya Raffles di Pulau Singapura, beliau bertemu dengan Temenggung Abdul Rahman. Raffles memujuk Temenggung untuk membenarkan Kompeni British mendirikan logi di Pulau Singapura, dengan pembinaan logi tersebut dijangkakan ia akan merancakkan aktiviti ekonomi di Pulau Singapura, tetapi, dengan syarat Temenggung Abdul Rahman perlu mengikat perjanjian dengan Kompeni Inggeris untuk tidak berkerjasama dan membenarkan kerajaan selain daripada Kompeni Inggeris bertapak di Pulau Singapura.
Raffles dengan bijaksana bertanya kepada Temenggung Abdul Rahman, perjanjian ini perlu ditandatangi oleh Sultan, Siapa Sultan? Raffles tahu bahawa di Istana Riau pada ketika itu, berlaku perselisihan keluarga. Sultan Johor-Riau-Langga baru ditabalkan dengan persetujuan Belanda, yaitu, Sultan Abdul Rahman Muazam Syah(1818). Justeru, mana mungkin Sultan Abdul Rahman Muazam Shah bersetuju berkerjasama dengan Kompeni Inggeris kerana baginda telah mengikat perjanjian berkerjasama dengan Belanda. Sambil mereka-reka draf perjanjian yang bakal ditandatangani maka Raffles mengambil kesempatan terhadap perselisihan keluarga yang berlaku dalam Istana Riau.
Sepatutnya yang menjadi Sultan Johor-Riau-Langga ialah Tengku Long (Sulung) kerana baginda ialah putera yang tertua (sulung), tetapi kerana sebab-sebab tertentu maka dilantik Abdul Rahman sebagai Sultan yang bergelar Sultan Abdul Rahman Muazam Shah oleh Belanda. Tengku Long akhirnya merempat dan hidup seperti rakyat biasa, malahan Tengku Long tidak diberikan elaun sara hidup untuk meneruskan kehidupan. Raffles menghantar wakil beliau bertemu dengan Tengku Long untuk melantik baginda menjadi Sultan Pulau Singapura dan menjemput Tengku Long datang ke Pulau Singapura.
Pada tanggal 2 Februari 1819 maka sampailah Tengku Long ke Pulau Singapura. Baginda disambut dengan hormat penuh istiadat oleh Raffles dan Temenggung Abdul Rahman. Pada tanggal 6 Februari 1819 maka diadakan upacara istiadat melantik baginda sebagai Sultan Pulau Singapura dengan panggilan Sultan Hussain Shah. Sebaik sahaja selesai pertabalan tersebut maka dibuatlah perjanjian dengan Sultan Hussain Shah dengan Inggeris. Inggeris mengakui bahawa Sultan berhak dalam menghukum rakyatnya, bangsa melayu, tetapi kuasa untuk menjaga keamanan di Pulau Singapura diberikan kepada Inggeris sepenuhnya. Sebagai imbuhan, Sultan diberikan elaun sebanyak 5,000 Dollar Sepanyol setahun dan Temenggung diberikan elaun sebanyak 3,000 Dollar setahun. Dalam masa yang sama Sultan diberikan gaji sebanyak 1,500.00 Dollar sebulan dan Temenggung diberikan sebanyak 800.00 Dollar sebulan. Sejak daripada tarikh itu, maka terpecah dualah kerajaan melayu yang besar, sebahagian dibawah Belanda iaitu kepulauan Riau Lingga, kepulauan Karimon dan Singkep, manakala satu lagi dibawah Inggeris iaitu Pulau Singapura dan Johor.
Agenda Kompeni Inggeris tidak mati setakat itu, matlamat akhir mereka ialah menakluk sepenuhnya Pulau Singapura dan menjadikan Singapura sebagai milik mereka sepenuhnya. Maka ketika resident Inggeris bernama John Crawfurd memerintah(1824), diaturkannya satu rancangan, dimana gaji Sultan dan gaji Temenggung tidak dibayar oleh Crawfurd. Maka terpaksalah Sultan dan Temenggung berhutang untuk meneruskan kehidupan. Semakin lama semakin banyak hutang Sultan dan Temenggung. Bila Sultan dan Temenggong meminta gaji mereka, Crawfurd berkata tunggu bulan depan, bila sampai bulan yang dijanjikan, Crawfurd menagguhkan lagi pemberian gaji tersebut kepada bulan hadapan, demikianlah seterusnya.
Setelah Sultan dan Temenggung benar-benar terhimpit oleh hutang, akhirnya Crawfurd mengusulkan kehendaknya yang baru kepada Sultan dan Temenggong, berikut ialah kehendak baru Kompeni Inggeris:-
(a) Serahkan sepenuhnya Pulau Singapura dan Pulau-Pulau sekelilingnya kepada inggeris.
(b) Inggeris membayar gantirugi sekaligus sebanyak 33,200 Ringgit kepada Sultan dan 26,800 Ringgit kepada Temenggung.
(c) Selama masih hidup Sultan dibayar gaji sebanyak 1,300.00 sebulan dan Temenggung dibayar 700.00 Ringgit sebulan.
(d) Kalau Sultan dan Temenggung meninggalkan Pulau Singapura, masing-masing akan dibayar sebanyak 20,000.00 Dollar Sepanyol.
Disebabkan desakan kewangan dan himpitan hutang, maka, Sultan dan Temenggung tidak berfikir panjang lagi, mereka menerima tawaran yang diberikan oleh Crawfurd tanpa banyak soal. Akhirnya Sultan Husain Shah berpindah ke Melaka dan di Melakalah baginda meninggal manakala Temenggung Abdul Rahman terus menetap di Pulau Singapura sehingga beliau meninggal. Maka, sejak dari itu, lepaslah Singapura kepada Inggeris dan menjadi milik Inggeris sepenuhnya.
Pada hari ini, dari Tembok Johor kita boleh melihat bangunan pencakar langit berceracakkan di Pulau tersebut, pada malam hari, ia diterangi dengan lampu neon yang berwarna-warni, ia telah menjadi Pusat Perdagangan Asia Tenggara,berkumpul disana segala bangsa dari seluruh dunia. Anak melayu masih ada tetapi terpencil dikaki-kaki bukit, diperkampungan dan persisiran sungai. Semua jawatan penting negara disandang oleh orang bukan melayu dan orang melayu seperti melukut di tepi gantang.
(Diadaptasi daripada Dari Perbendaharaan Lama oleh Prof. Dr. HAMKA)
No comments:
Post a Comment