Friday, March 15, 2019

Kronologi terkini pencemaran kimia di Sungai Kim Kim Pasir Gudang

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Berikut adalah kronologi perkembangan terkini kejadian pencemaran sisa bahan kimia yang menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang diarah tutup dipercayai susulan pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, pada 7 Mac.

* 13 Mac: Semua 111 sekolah di daerah Pasir Gudang diarah tutup.

- Sejumlah 947 orang dirawat dengan sembilan daripadanya di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI. Seramai 166 orang dirawat di HSI.

- Kerajaan negeri meluluskan peruntukan kecemasan sebanyak RM6.4 juta sebagai bantuan segera untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan kepada mangsa dan keluarga serta kakitangan keselamatan yang terdedah dengan bahaya pencemaran itu.

- Tiga orang termasuk dua pemilik kilang ditahan.

* 14 Mac: Sehingga 12 tengah hari, seramai 2,775 orang awam telah menerima rawatan, tujuh dirawat di ICU.

- 92 tadika dan taska di kawasan terjejas juga ditutup bagi mengelakkan peningkatan jumlah mangsa.

- 51 laporan polis diterima berhubung kes pencemaran bahan kimia.

- Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan sumbangan berjumlah RM1 juta bagi memperhebatkan operasi menyelamat, merawat serta mencegah pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang.

- Keputusan analisis ke atas sampel yang diambil JAS dari Sungai Kim Kim menunjukkan kesemuanya mengandungi pelarut organik Benzene, Toulene, Xylene, Ethylbenzene dan D-Limonene.

- Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mendapatkan bantuan daripada tentera dan Petronas untuk menghantar sumber mereka daripada segi jentera, alat dan pakar untuk membantu menangani krisis itu.

- Sebilangan penduduk di Pasir Gudang mula mengambil inisiatif meninggalkan kediaman mereka buat sementara.

- Dewan Rakyat membahaskan usul tergempar isu pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang pada 4.30 petang.

- Tim Tinjau Chemical Biological, Radiological and Nuclear (CBRN) dan Tim Casualty Evacuation Unit Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan ke kawasan terjejas untuk mengesan, mengenalpasti dan menyahkan sisa kimia itu.

- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melawat mangsa di hospital.

- Dr Mahathir menegaskan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat bencana memandangkan situasi pencemaran ekoran pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim masih terkawal.

-- BERNAMA

Wednesday, March 13, 2019

BUDAYA SYARIKAT/ORGANISASI oleh Prof. Dr Mohd Hassan Mohd Osman

BUDAYA SYARIKAT/ORGANISASI
+Budaya organisasi/syarikat sangat penting untuk kejayaan dan kesihatan keseluruhan syarikat, staf, dan pelanggan.
.
+Budaya organisasi/syarikat ditakrifkan sebagai kepercayaan asas, andaian, nilai dan cara berinteraksi yang menyumbang kepada persekitaran sosial dan psikologi unik sesebuah organisasi/syarikat.
.
+Budaya juga termasuk visi, nilai, norma, sistem, simbol, bahasa, andaian, kepercayaan, dan tabiat organisasi/syarikat (Needle, 2004).
.
+Budaya organisasi/syarikat mempamerkan cara usahawan menjalankan perniagaan serta menentukan identiti dan imej syarikat, ia juga membantu staf dan pelanggan membina persepsi terhadap syarikat/organisasi anda.
.
+Jenis Budaya syarikat/organisasi menentukan sama ada staf yang berbakat akan terus kekal di syarikat atau ber hijrah ke syarikat lain.

Tuesday, March 12, 2019

MENGAPA KERAJAAN MALAYSIA MENERIMA STATUT ROM SEDANGKAN BANYAK NEGARA MENOLAKNYA?

MENGAPA KERAJAAN MALAYSIA MENERIMA STATUT ROM SEDANGKAN BANYAK NEGARA MENOLAKNYA?
Oleh: ISHAM JALIL
Baru-baru ini Kerajaan Malaysia telah menandatangani dan menerima Statut Rom.
Sebelum ini Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail ada mengulas berkenaan perkara ini.
Dan semalam Perdana Menteri Tun Mahathir berkata Tunku Ismail bukan wakil rakyat, oleh itu tidak ada sebab untuk beliau mengulas perkara ini.
Sebenarnya tidak perlu wakil rakyat untuk ulas perkara ini, isu Statut Rom ini adalah suatu isu yang penting yang memberi kesan kepada semua rakyat, oleh itu sesiapa sahaja boleh ulas berkenaannya.
Terdapat banyak permintaan untuk saya ulas perkara ini daripada netizen.
Pertama sekali, saya bukan wakil rakyat dan saya juga bukan seorang peguam hubungan antarabangsa.
Namun demikian, saya pernah belajar dan mengkaji undang-undang dan hubungan antarabangsa di Harvard University di peringkat sarjana dan pernah menulis beberapa kertas berkenaan konflik dan keadilan antarabangsa termasuk yang melibatkan Mahkamah Keadilan Antarabangsa, oleh itu saya faham sedikit sebanyak berkenaan hal ini.
Saya cuba huraikan berkenaan Statut Rom ini dan kesannya kepada Malaysia dengan bahasa yang mudah difahami ramai.
Saya telah membaca Statut Rom ini dari awal sehingga ke akhir dan mendapati ada beberapa masalah berkenaan perlaksanaannya di Malaysia.
Statut Rom adalah satu undang-undang antarabangsa yang membenarkan dan memberi kuasa kepada pihak luar atau pertubuhan antarabangsa iaitu Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk campurtangan di dalam urusan undang-undang dalam negara.
Biasanya undang-undang antarabangsa digunapakai dalam kes-kes yang melibatkan pertikaian dua atau lebih negara dalam isu-isu seperti peperangan antara negara, konflik perdagangan antarabangsa, pertelingkahan maritim dan sebagainya.
Namun dalam kes Statut Rom ini, ia memberi ruang kepada badan antarabangsa untuk mencampurtangan dalam kes-kes domestik dalam negeri yang melibatkan kes pertuduhan-pertuduhan jenayah pembunuhan beramai-ramai (genocide), jenayah perang, jenayah hak asasi manusia, dan jenayah kekerasan.
Jika kita menerima Statut Rom ini, tidak bermakna kita menolak jenayah-jenayah di atas dan sebaliknya jika kita menolak Statut Rom tidak bermakna kita menerima jenayah-jenayah di atas.
Sekiranya berlaku pembunuhan beramai-ramai (genocide), sesuatu negara tidak perlu menyertai Statut Rom untuk pihak antarabangsa mengambil tindakan seperti di Bosnia dan Rwanda sebelum ini.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) boleh mengambil tindakan tidak kira sama ada negara yang terlibat menandatangani Statut Rom atau tidak.
Oleh itu isu berkenaan Statut Rom ini bukanlah berkenaan jenis jenayah yang disiasat dan dijatuh hukuman, tetapi ianya berkenaan bidangkuasa dan kedaulatan: siapa yang berkuasa menyiasat dan menjatuhkan hukuman ke atas jenayah-jenayah ini.
Dalam Artikel 17 Statut Rom ini dinyatakan bahawa Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhak dan mempunyai kuasa untuk menyiasat dan menjatuhkan hukuman ke atas kes-kes berkaitan di mana mahkamah tempatan dalam negeri tidak mahu (unwilling) atau tidak berupaya (unable) untuk menjalankan siasatan dan menjatuhkan hukuman ke atas sesuatu kesalahan jenayah.
Menteri Luar Negeri Malaysia melalui kenyataan Wisma Putra menggunakan alasan ini dan mengatakan bahawa rakyat tidak perlu risau kerana Statut Rom tidak akan mengganggu-gugat kuasa dan imuniti Yang Dipertuan Agong kerana campurtangan asing dalam penyiasatan dan hukuman hanya akan dibuat sekiranya mahkamah tempatan dalam negeri tidak mahu (unwilling) atau tidak berupaya (unable) untuk menjalankan siasatan dan menjatuhkan hukuman ke atas suatu kesalahan jenayah berkaitan, dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa ini adalah mahkamah pilihan terakhir.
Menteri Luar melalui Wisma Putra dalam satu kenyataan semalam juga berkata bahawa Perlembagaan tidak perlu dipinda untuk menandatangani atau meratifikasi Statut Rom ini.
Terdapat dua perkara yang amat janggal dalam pemahaman dan keterangan Menteri Luar melalui kenyataan Wisma Putra ini.
PERTAMA, Mahkamah tertinggi dan terakhir di Malaysia adalah Mahkamah Persekutuan dan bukannya mahkamah asing atau mahkamah antarabangsa.
Ini termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan yang membawa maksud bahawa kuasa tertinggi dan terakhir hukuman undang-undang di Malaysia adalah di tangan Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 121 sehingga 131 Perlembagaan Persekutuan.
Kuasa ini tidak boleh diserah kepada kuasa asing tanpa meminda Perlembagaan.
Oleh itu kenyataan Menteri Luar atau Kerajaan bahawa Perlembagaan tidak perlu dipinda untuk menandatangani atau meratifikasi Statut Rom adalah kenyataan yang dangkal, tidak tepat atau salah sama sekali.
Negara-negara seperti Peranchis, Belgium, Luxembourg, Chile, Ukraine dan lain-lain telah mengkaji secara mendalam dan mendapati bahawa mereka perlu meminda perlembagaan mereka sebelum meratifikasi Statut Rom ini.
Malah kebanyakan negara yang telah menandatangani dan meratifikasi Statut Rom ini telah meminda perlembagaan mereka.
Terdapat perbezaan antara perlembagaan-perlembagaan negara-negara ini, namun asasnya tetap sama iaitu negara yang berdaulat dan merdeka tidak boleh menyerahkan kuasa perundangan mereka kepada kuasa asing. Perlembagaan Malaysia tidak terkecuali daripada asas ini.
Oleh kerana perkara di atas, sekiranya apa-apa kuasa perundangan yang melibatkan hukuman ke atas tuduhan jenayah ke atas rakyat Malaysia yang dilakukan di negara ini ingin diserahkan kepada kuasa luar atau badan asing maka Kerajaan perlu meminda Perlembagaan terlebih dahulu sebelum menandatangani statut atau meratifikasinya, bukan sesuka hati mendatangani Statut Rom ini seperti yang telah dilakukan oleh Kerajaan baru-baru ini sebelum ia di bawa ke Parlimen.
Untuk meminda Perlembagaan dan meratifikasi Statut Rom ini, perlu mendapat majoriti 2/3 di Parlimen dan sebab yang kukuh.
Namun demikian sebab-sebab yang ada oleh kerajaan untuk menandatangani Statut Rom ini adalah lemah dan merugikan negara malah mengancam kedaulatan negara dan keluhuran Perlembagaan.
Kerajaan berkata bahawa dengan menandatangani Statut Rom ini ia akan memudahkan kita untuk membuat kerja-kerja kemanusiaan di negara-negara lain.
Namun demikian, hujah ini amat lemah kerana gagal menilai keutamaan dan kepentingan negara.
Kita tidak boleh menggadaikan walau seinci kedaulatan negara hanya kerana kita ingin membuat kerja di negara lain.
Apabila kuasa perundangan di bawah Perlembagaan diserahkan kepada pihak asing, maka ia juga melemahkan kuasa Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua Negara.
Sebelum Merdeka dan semasa zaman penjajahan, kuasa tertinggi hukuman undang-undang di Malaysia (Malaya) adalah di tangan penjajah iaitu mahkamah dan hakim-hakim di England, yang mana kebanyakan atau hampir semua daripada mereka tidak pernah tinggal di Malaya lantas jauh sekali memahami kehidupan dan nilai-nilai budaya dan cara hidup masyarakat tempatan.
Namun mereka menjatuhkan hukuman terakhir ke atas tertuduh-tertuduh tempatan berdasarkan maklumat dan laporan-laporan atas kertas daripada pelapor-pelapor yang beribu batu jauhnya ke atas tertuduh yang mereka tidak pernah jumpa yang tinggal dalam masyarakat dan budaya yang mereka tidak kenal.
Ini mendatangkan masalah apabila hukuman yang dijatuhkan adalah tidak adil kerana maklumat dan laporan yang tidak betul atau kesalahfahaman hakim asing ke atas konteks kes tempatan.
Selepas Merdeka, kuasa menjatuhkan hukuman kepada warganegara Malaysia terhadap tuduhan jenayah yang berlaku di negara ini adalah diserahkan kepada institusi keadilan tempatan atau mahkamah dan hakim tempatan yang lebih memahami undang-undang dan budaya tempatan dengan menggunakan undang-undang tempatan berdasarkan Perlembagaan supaya keadilan lebih dapat dicapai.
Kuasa ini juga adalah di atas landasan moral dan falsafah “self-determination” untuk negara merdeka bermaksud setiap negara yang berdaulat mempunyai hak menentukan untung nasib, halatuju atau hukuman undang-undang ke atas rakyat sendiri dan tidak bergantung kepada campurtangan kuasa asing.
Selepas Merdeka, Malaysia tidak perlu lagi merujuk atau berserah kepada kuasa luar untuk menjatuhkan hukuman ke atas rakyatnya sendiri terhadap tuduhan jenayah yang berlaku di dalam negeri.
Namun apabila kerajaan menerima dan menandatangani Statut Rom ini, ia menggugat dasar “self-determination” dan kedaulatan undang-undang negara, dan umpama menyerah kuasa kepada kuasa asing yang sebenarnya tidak perlu.
Dalam sejarah, sesuatu negara yang merdeka hanya akan menyerahkan kedaulatan setelah kalah perang dan setelah ia tidak mempunyai pilihan lain.
Namun Kerajaan Malaysia kini umpama belum apa-apa telah serah kedaulatan tanpa melawan atau memikir panjang.
Banyak negara di dunia tidak menerima dan tidak menandatangani atau meratifikasi Statut Rom ini seperti negara India, China, Amerika Syarikat, Singapura, Indonesia dan Vietnam.
Beberapa tahun lalu beberapa negara yang sebelum ini menandatangani Statut Rom seperti Afrika Selatan, Russia, Burundi dan Gambia telah mengambil keputusan untuk keluar dari kerjasama dengan Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan membatalkan penerimaan Statut Rom tersebut.
Negara-negara yang tidak menandatangani atau menarik diri ini tentunya mempunyai sebab-sebab yang kukuh.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan Statut Rom mempunyai masalah kredibiliti, legitimasi dan motif.
Sebelum ini reputasi mereka telah tercemar dengan tuduhan memilih kes yang dijadikan alat geopolitik kuasa besar untuk menekan dan membuli negara-negara kecil dunia ketiga terutama di Afrika dengan tuduhan jenayah hak asasi manusia.
Kini terdapat 11 kes di bawah siasatan Mahkamah Keadilan Antarabangsa menggunakan Statut Rom dan hampir kesemua kes-kes ini adalah ke atas negara-negara kecil dan membangun terutama di Afrika seperti Burundi, Georgia, Central African Republic, Mali, Cote D’Ivoire, Libya, Kenya, Sudan, Uganda dan Congo.
Terdapat juga kes di mana Statut Rom dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa dijadikan alat oleh pemimpin Kerajaan untuk menjatuhkan dan menghukum pemimpin pembangkang.
Di Côte d’Ivoire sebagai contoh, Presiden Alassane Ouattara telah meminta Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk menggunakan Statut Rom untuk menghukum seteru politiknya iaitu ketua pembangkang dan bekas Presiden Laurent Gbagbo.
KEDUA, keputusan sama ada mahu atau tidak mahu untuk membicarakan sesuatu kes sepatutnya diserahkan kepada pertimbangan sistem Kehakiman Negara dan bukan kepada keputusan pihak lain terutama kuasa luar.
Jika Kerajaan menerima campurtangan asing melalui Statut Rom atas sebab mahkamah tempatan tidak mahu atau tidak mampu untuk membicarakannya seperti di atas, maka ianya seolah-olah kerajaan tidak percaya dengan sistem perundangan dan kehakimannya sendiri; ianya adalah suatu tamparan dan penghinaan kepada cabang Kehakiman negara.
Dalam Artikel 17 Statut Rom (ne bis in idem) menyatakan konsep ‘ne bis in idem’ atau maksudnya ‘tidak boleh dibicara dua kali atas perkara yang sama’ digunakan untuk menghalang mahkamah tempatan membuka, membicara dan menjatuhkan hukuman ke atas kes yang sedang disiasat atau telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Namun sebaliknya, berdasarkan Artikel yang sama, kes yang telah dibicarakan di mahkamah tempatan negara, boleh dibuka semula dan dibicarakan lagi di mahkamah antarabangsa pula.
Oleh yang demikian, konsep undang-undang ‘ne bis in idem’ membawa takrifan yang pilih kasih (double standard) atau songsang dalam Statut ini.
Jika mahkamah tempatan mahu dan mampu membicarakan sesuatu kes yang sedang atau telah dibicarakan oleh Mahkamah Tindakan Antarabangsa sekali pun, mahkamah tempatan tidak boleh berbuat demikian.
Ini tidak adil dan tidak masuk akal malah bertentangan dengan kenyataan dalam Artikel yang sama iaitu Mahkamah Antarabangsa hanya akan mengambil tindakan sekiranya mahkamah tempatan tidak mampu (unable) atau tidak mahu (unwilling) membicara kes tersebut.
Menteri Luar melalui kenyataan Wisma Putra juga mengatakan bahawa takrifan jenayah yang boleh diambil tindakan juga adalah jelas dinyatakan dalam Statut Rom ini.
Ini tidak betul. Takrifan jenayah mengikut Artikel 5 ke 9 Statut ini adalah terlalu umum dan subjektif dan bergantung kepada budibicara dan takrifan pendakwaraya antarabangsa.
Contohnya, dalam Artikel 7 menyebut ‘pemenjaraan atas sebab jenayah hak asasi manusia’; kenyataan ini adalah amat umum dan boleh ditakrif secara meluas.
Contohnya, sekiranya seseorang dipenjara oleh sebab jenayah sodomi mengikut undang-undang tempatan, namun undang-undang antarabangsa menakrifkan pemenjaraan sebab jenayah sodomi ini adalah bertentangan dengan hak asasi manusia, maka Statut Rom boleh digunapakai untuk mahkamah asing mencampuri dan mengubah keputusan mahkamah tempatan ini.
Dan mahkamah tempatan perlu akur dan tidak boleh buat apa-apa sebab Statut Rom yang telah ditandatangani perlu dihormati dan dilaksana (berdasarkan asas ‘pacta sunt servanda’).
Artikel 54 dan 98 Statut ini membawa maksud bahawa pihak pendakwaan dan penyiasat antarabangsa boleh menjalankan siasatan di Malaysia tanpa pihak berkuasa undang-undang tempatan.
Artikel 89 membawa maksud bahawa warganegara Malaysia yang dituduh atas sesuatu jenayah oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa perlu diserahkan kepada pihak berkuasa antarabangsa untuk dibicarakan dan dijatuhkan hukuman.
Artikel-artikel dalam Statut Rom seperti di atas dengan jelas melemahkan kedaulatan negara dan keluhuran Perlembagaan.
Saya ingin persoal, Menteri dan Timbalan Menteri di Wisma Putra ini faham atau tidak apa yang telah mereka lakukan ini?
Malaysia bukan negara Afrika. Sistem Kehakiman negara kita adalah baik dan mampu untuk menegakkan keadilan.
Dan kita sudah Merdeka. Kita tidak perlu menyerahkan kedaulatan negara kita kepada kuasa asing lagi.
Biarlah kita menentukan untung nasib kita sendiri di sini.
ISHAM JALIL
Presiden SUKARELAWAN MALAYSIA
12 Mac 2019

Tuesday, February 26, 2019

Lawatan Muhibbah Rombongan Universiti Airlangga, Surabaya, Indonesia ke UiTM.

Ketua dan Wakil Ketua Badan Eksekutif Mahasiswa (BEM) KM Universitas Airlangga terpilih Sdr. Galuh Teja Sakti dan Sdr. M. Fairuzzudin Zuhair membuat pembentangan Proposal Airlangga Leadership Program "Industrial Revolution 4.0:Millenials and Future Leader" kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM 19/20 untuk program usahasama dialog halatuju kepimpinan mahasiswa nusantara era revolusi industri 4.0.




Diskusi santai rombongan daripada Universiti Airlangga, Surabaya, Indonesia dan UiTM Shah Alam. Mencari titik persamaan di antara titik-titik perbezaan untuk mencipta sesuatu yang menjadi kebanggaan kedua-dua universiti. UiTM "Usaha, Taqwa, Mulia". Universiti Airlangga "Excellent with Morality"


Tuesday, February 19, 2019

Ibnu Sina

Nama lengkap Ibnu Sina adalah Abu ‘Al-Husain ibnu ‘Abd Allah ibn Hasan ibnu ‘Ali ibn Sina. Ibnu Sina dilahirkan di Afsyna dekat Bukhara pada tahun 980 M dan meninggal pada tahun 1037 M dalam usia 58 tahun. Jasadnya dikebumikan di Hamadzan. Ibnu Sina dilahirkan dalam masa kekacauan, ketika Khilafat Abbasiyah mengalami kemunduran dan negeri-negeri yang mula-mula berada di bawah kekuasaan khilafah tersebut mulai melepaskan diri satu persatu untuk berdiri sendiri. Ibnu Sina dibesarkan di daerah kelahirannya. Ia belajar al-Qur’an dengan menghafal dan belajar ilmu-ilmu agama serta ilmu-ilmu pengetahuan umum seperti astronomi, matematik, fizik, logik, perubatan, dan ilmu metafizik. Sebelum mencapai usia 16 tahun, beliau sudah menguasai ilmu kedoktoran, sehingga banyak orang yang datang kepadanya untuk berguru. Beliau menguasai ilmu kedoktoran ini secara teori dan praktikal (Aan Rukmana, 2013:22). Ibn Sina terkenal sebagai anak yang memiliki kepandaian sangat luar biasa (chil prodigy). Pendidikan Ibn Sina bersifat ensiklopedik mulai dari tata bahasa, geometri, fizik, perubatan, hukum, dan teologi. Pengetahuan yang pertama kali ia pelajari adalah membaca al-Qur’an, setelah itu ia melanjutkan dengan mempelajari ilmu-ilmu agama Islam seperti Tafsir, Fiqh, dan Usuluddin (Abuddin Nata, 2003 :62).

Friday, February 15, 2019

Prof Ir Dr Mohd Azraai Kassim dilantik Naib Canselor UiTM.



Shah Alam, Feb 14, 2019 -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini telah mengumumkan pelantikan YBhg. Prof. Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang baharu untuk tempoh 3 tahun berkuat kuasa 15 Februari 2019 hingga 14 Februari 2022.

Beliau mengambil alih tugas yang sebelum ini disandang oleh YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said yang telah memegang jawatan tersebut bermula Februari 2016 hingga Januari 2019.
YBhg. Prof. Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim memiliki kelulusan PhD dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar dari University of Newcastle, Sarjana Sains Kejuruteraan Kesihatan Awam serta Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Awam dari University of Manchester Institute of Science and Technology (UMIST), United Kingdom.

YBhg. Prof. Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim telah berkhidmat bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sejak tahun 1983 dengan memegang pelbagai jawatan baik di peringkat Fakulti Kejuruteraan Awam mahupun jawatan kanan UTM seperti:

(i) Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) - 7 Disember 2000 hingga 6 Disember 2003
(ii) Dekan School of Professional and Continuing Education (SPACE) - 12 Januari 2004 hingga 29 Februari 2008.
(iii) Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) - 1 April 2009 hingga 15 Januari 2012
(iv) Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) - 16 Januari 2012 hingga 15 Januari 2015
(v) Pengarah Urusan dan CEO UTMSPACE - 1 Februari 2015 sehingga kini.

Selain daripada kerjaya akademiknya yang cemerlang, Prof. Mohd Azraai juga merupakan ahli kepada beberapa badan profesional seperti Malaysian Society for Engineering Technology (MySET), International Water Association (IWA) United Kingdom, Environmental Management and Research Association of Malaysia (ENSEARCH), Environmental Professionals Register of Malaysia (EPRM), Registered Professional Engineer, Board of Engineers Malaysia (BEM), Registered ASEAN Chartered Professional Engineer (ACPE) dan Harvard Business School Alumni Club of Malaysia, beliau juga merupakan Felo di Institution of Engineers Malaysia (IEM).

Dalam kesempatan ini seluruh warga UiTM mengucapkan jutaan terima kasih kepada YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said yang selama 3 tahun ini telah memegang dan memimpin tampuk UiTM dengan penuh dedikasi, setia, disiplin, komited dan jayanya sebagai Naib Canselor. Beliau sememangnya seorang pemimpin yang berkredibiliti dalam memajukan dan memperkasa agenda bangsa tanpa kenal erti putus asa.

Seluruh warga universiti amat berbesar hati dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan YBhg. Prof. Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim sebagai Naib Canselor UiTM yang baharu.
Semoga dengan pelantikan ini, visi dan misi UiTM untuk menjadi sebuah universiti unggul yang cemerlang serta menerajui dinamisme bumiputera dalam semua bidang profesional di Malaysia
dan antarabangsa akan terus diperkasakan.

Tuesday, February 12, 2019

10 CIRI IKLAN FACEBOOK YANG BAIK oleh Norizan Sharif

10 CIRI IKLAN FACEBOOK YANG BAIK
1. Konten asli. Usah ciplak.
2. Gunakan testimonial video. Elakkan print WhatsApp chat sebagai testimoni (kurang menyakinkan).
3. Kongsi gambar perkhidmatan atau produk. Elok juga letak gambar “sebelum” dan “selepas” perkhidmatan (contoh: potong rumput atau cat rumah).
4. Usah hype. Maksud hype ialah gempaq sana, gembaq sini. Usahlah nak gempaq-gempaq sangat, tak ada orang yang ter-gempaq pun.
5. Gunakan elemen humor, beri fakta. Manusia suka humor. Manusia suka fakta.
6. Pastikan ejaan betul. Elakkan ringkasan perkataan. Nampak macam malas sangat.
7. Semak semula maksud tulisan kita berulang-kali. Contoh: “Harga barang menurun sewaktu Tahun Baru Cina” (bomoh mana dia pakai?)
8. Usah tulis panjang-panjang macam tulisan saya ini. Orang “scan” iklan dalam satu atau dua saat saja.
9. Orang lebih percaya cakap pelanggan berbanding iklan. Masukkan gambar pelanggan dalam iklan kita.
10. Iklankan di page, bukan personal profile. Page ialah tempat kita berbisnes.

Monday, February 11, 2019

Muhammad An-Nas Nu'manullah Cedera Terkena Kaca Sliding Door

Pada sekitara jam 9.30 malam tadi Muhammad An-nas Nu'manullah tercedera terkena kaca sliding door. Saya bergegas menghantarnya ke Bahagian Kecemasan dan Trauma, Hospital Shah Alam. Luka pada bahagian lutut yang di alami anak saya ini agak dalam dan mengeluarkan banyak darah. Doktor yang merawat beliau mengambil x-ray bahagian yang tercedera dan menjahit luka yang terlibat. Sepanjang penolong perubatan menjahit luka yang dialami oleh beliau, beliau langsung tidak menangis malahan melihat sendiri bagaimana pasukan perawat menjahit lukanya sehingga selesai.





Wednesday, January 30, 2019

Pemimpin Yang Baik oleh Tan Sri Nordin Kardi

Seorang pemimpin yang baik, terutamanya peringkat negara, memadai dengan mempunyai dua sifat:

#Pertama, tanggung jawab
#Ke-dua, etika

Tanggung jawab dapat dilihat apabila ditunaikan kewajipan bertulis atau tidak bertulis yang diketahui atau boleh diketahui pihak awam secara terbuka.

Etika meliputi kesempurnaan tanggungjawab itu ditunaikan yang sebahagian besarnya diketahui oleh pemimpin itu dan selebihnya diketahui oleh awam.  Bukannya asal kerja tertunai.  Kesempurnaan tanggungjawab itu menyebabkan kelihatan keindahan daripadanya, yang demikian itu dipanggil estetika atau kehalusan tinggi.

Tuesday, January 22, 2019

Najib perlu pilih bela Sondakh atau peneroka FELDA

Oleh Khaidir A Majid

PENEROKA FELDA sekali lagi menjadi sasaran kempen pilihan raya. Kali ini giliran FELDA Sungai Koyan yang sebahagiannya termasuk dalam kawasan Parlimen Cameron Highlands yang berdepan dengan pilihan raya kecil, Sabtu ini.
Ramai ahli politik yang mahu menggelar diri mereka sebagai pembela warga peneroka, turun padang mendampingi kumpulan pengundi yang penting ini. Tidak ketinggalan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Najib yang kini juga berstatus Orang Kena Tuduh (OKT) dalam beberapa kes rasuah dan pengubahan wang haram, muncul minggu lalu di FELDA Sungai Koyan, mengingatkan peneroka mengenai zaman kegemilangan dinikmati mereka.
Katanya, ketika era pemerintahan Barisan Nasional, termasuk ketika beliau menjadi PM, peneroka meraih pendapatan tinggi, menikmati pinjaman tanpa faedah, bonus raya, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan sebagainya.
Najib mendakwa semua ini tidak dapat dinikmati di bawah kerajaan Pakatan Harapan yang menurutnya, tidak membantu menaikkan harga minyak sawit. Itu kata Najib, tetapi apakah sebenarnya berlaku kepada FELDA ketika Najib memerintah?
Semua ini bukan rahsia, tetapi mudah diselongkar daripada rekod awam seperti keratan akhbar. Secara latar belakang, sebelum 2012, FELDA ialah entiti kerajaan yang berupaya membiayai aktiviti sendiri.
FELDA berupaya berbuat demikian kerana ia memiliki cash-cow bergelar FELDA Global Ventures Holdings (FGVH). Unit perladangan ini menyumbang kira-kira RM1.1 bilion kepada FELDA setiap tahun.
Daripada jumlah ini, FELDA mampu mengusahakan aktiviti sosioekonomi dan kebajikan kepada lebih 110,000 peneroka. Antaranya seperti bina rumah, bina jalan, beri biasiswa, beri bantuan, beri pinjaman, bayar bonus, beri duit raya dan sebagainya. Semuanya tanpa memerlukan dana kerajaan.
Hilang punca pendapatan
Pada 2012, cash-cow itu disenaraikan di bursa saham - satu idea disokong Najib yang ketika itu menggelarkan langkah berkenaan sebagai game-changer atau pengubah nasib. Akibat penyenaraian itu, FELDA kehilangan punca pendapatan lumayan.
Sebagai ganti, FELDA dijamin bayaran RM250 juta setahun dan 15 peratus keuntungan perladangan FGV melalui perjanjian pajak tanah ditandatangani FELDA dengan syarikat senaraian awam berkenaan.
Selain itu, FELDA dibayar bonus khas RM9 bilion oleh FGV, sebagai dana operasi dan modal untuk mencari cash-cow baharu. FELDA dan sekutunya turut memegang kepentingan ketara dalam FGV.
Apa terjadi selepas episod penyenaraian FGV? Harga saham syarikat itu merosot, keuntungannya tidak pula memberangsangkan berikutan kejatuhan harga minyak sawit dunia. FELDA pun terkesan kerana tidak dapat sumbangan pendapatan sewajarnya daripada FGV menerusi perkongsian keuntungan.
Amat jelas hakisan pendapatan FELDA ini bermula ketika Najib menjadi PM. Apa yang lebih memburukkan, sebahagian besar RM9 bilion bonus khas diterima FELDA tidak dilabur untuk melahirkan cash-cow baharu untuk lembaga itu.
Malah, beberapa pelaburan yang dibuat oleh unit pelaburan FELDA kini dalam siasatan kerana disyaki ada penyelewengan.
Najib tidak boleh lepas tangan dengan apa yang berlaku dalam FELDA ketika itu kerana pengerusi dan seluruh anggota lembaga FELDA sebelum ini dilantik dengan pembabitan beliau. Jika pincang tindakan lembaga pengarah sebelum ini, pincanglah juga keputusan Najib melantik mereka.
Rentetan merosotnya prestasi FGV dan pelaburan baharu FELDA yang tidak mendatangkan pulangan tunai segera, arus tunai FELDA mula terjejas. FELDA mula terpaksa berhutang untuk melaksanakan program sosioekonomi dan kebajikan untuk peneroka.
Kini hutang FELDA dikatakan mencecah RM8 bilion berbanding berstatus kaya tunai sebelum 2012. Lebih memeritkan lagi, dalam mengalami arus tunai yang meruncing, FELDA memasuki janji niaga yang menambahkan lagi hutangnya.
Antaranya ialah pembelian ekuiti dalam syarikat perladangan Indonesia, PT Eagle High Plantations daripada Peter Sondakh, rakan Najib. Janji niaga bernilai AS$505 juta itu (atau 590 rupiah sesaham) adalah pada premium 95 peratus daripada harga pasaran EHP ketika itu.
Dengan nilai sahamnya sekitar 180 rupiah sekarang, FELDA kini menanggung kerugian di atas kertas lebih daripada AS$300 juta (RM1.2 bilion). Mungkinkah ada tidak kena di bawah janji niaga itu?
Di sinilah Najib boleh muncul sebagai wira jika beliau benar-benar mahu membela nasib peneroka. FELDA masih boleh terselamat daripada janji niaga merugikan itu jika pengurusan baharu dapat membuktikan lembaga itu memasukinya secara dipaksa.
Di bawah undang-undang kontrak, paksaan boleh menjadi alasan untuk lepas keluar daripada sebarang perjanjian. Dalam hal ini, Najib boleh membantu pengurusan baharu FELDA dalam mendapatkan bukti itu.
Najib banyak maklumat
Ketika Najib menjadi Perdana Menteri, FELDA diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Perdana Menteri. Sudah tentu Najib mempunyai banyak maklumat berhubung pelbagai janji niaga yang diikat FELDA ketika itu, termasuk janji niaga EHP.
Lebih-lebih lagi, pembelian ekuiti EHP oleh FELDA mendapat pembiayaan melalui Kementerian Kewangan dan sudah tentu sebagai Menteri Kewangan ketika itu, Najib sudah dimaklumkan perincian, termasuk risiko janji niaga berkenaan.
Dalam konteks ini, Najib boleh berjasa kepada warga peneroka. Jika FELDA dapat lepas keluar daripada janji niaga EHP, Sondakh terpaksa membayar semula AS$505 juta yang diterimanya sebelum ini dan hutang FELDA dapat dikurangkan secara ketara.
Jika ini boleh dilakukan, banyak bakti yang dapat ditabur semula oleh FELDA kepada peneroka. Soalnya apakah Najib sanggup tampil untuk membantu FELDA daripada cengkaman hutang ini?
“Malu apa Bossku”, apatah nasib Peter Sondakh berbanding nasib 112,000 peneroka?

Sunday, January 20, 2019

Isu Isu Ketua Hakim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Peguam Negara, Menteri Undang-Undang dan Peguam Persendirian menari sepentas.

Isu Ketua Hakim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Peguam Negara, Menteri Undang-Undang dan Peguam Persendirian menari sepentas.

1. Saya dimaklumkan insiden yang tular di atas berlaku di Kota Kinabalu Sabah di majlis makan malam Opening of Legal Year (OLY) peringkat Sabah dan Sarawak. Video-video yang dapat diakses oleh saya menunjukkan penjawat-penjawat awam di atas bersama beberapa orang lain lagi menari sepentas semasa majlis makan malam tersebut.

2. OLY di Sabah dan Sarawak telah diadakan sejak dari 2001 lagi. Di Peringkat Persekutuan OLY juga diadakan.  Kebiasaannya pada malam hari disusuli dengan majlis makan malam dihadiri oleh dif-dif kenamaan. Saya difahamkan majlis makan malam tidak diadakan di peringkat Persekutuan pada tahun ini. Dalam majlis makan malam OLY Sabah dan Sarawak tersebut diadakan persembahan oleh pegawai dan peserta dari setiap bahagian yang hadir. Persembahan pula adalah pelbagai termasuk nyanyian dan tarian.

3. Adalah khilaf jika dikatakan disebabkan pertukaran Kerajaan Persekutuan acara ini diadakan kerana ia telah lama diadakan  di Sabah dan Sarawak iaitu sejak 2001. Tuan rumah acara ini digilirkan mengikut rundingan bersama di Sabah dan Sarawak.

4. Dalam acara OLY 2019 ini setiap stesen mengadakan persembahan dan insiden yang berlaku adalah semasa persembahan tuan rumah. Majlis makan malam pula adalah norma lazim diadakan setiap tahun oleh badan kehakiman dan guaman sejak sekian lama.

5. Saya dimaklumkan beberapa dif kehormat termasuk Ketua Hakim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Peguam Negara dan Menteri Undang-Undang dijemput ke pentas untuk menjayakan bersama persembahan tuan rumah namun dikatakan tidak semua yang berada di pentas dijemput  oleh penganjur ke pentas.

6. Manakala yang di bawah pentas pula menari tarian tradisional yang dinamakan ‘manuk-manuk’ dimana tarian dilakukan dengan berbaris dan mengelilingi dewan.

7. Pada pandangan saya tidak menjadi kesalahan bagi pihak penganjur menganjurkan OLY 2019 dengan persembahan dari setiap bahagian bagi memeriahkan makan malam tersebut. Hal yang demikian adalah lazim dilakukan khususnya di Sabah dan Sarawak. Apatah lagi hanya yang dijemput sahaja yang hadir ke majlis berkenaan.

8. Bagi saya isunya bukanlah majlis makan malam dan persembahan yang diadakan itu tetapi persoalan mengapa individu-individu tertinggi badan kehakiman turut serta menari dan kelihatan bermesra dengan cabang kerajaan yang lain serta peguam persendirian yang seolah-olah memberi isyarat keakraban hubungan mereka sehingga mungkin boleh menjejaskan keadilan.

9. Saya mendesak Ketua Hakim Negara, Hakim Besar Sabah dan Sarawak dan Peguam Negara menjelaskan kenapa mereka naik ke pentas dalam majlis rasmi seperti ini menari bersama sedangkan di pentas tersebut terdapat Menteri Persekutuan, Peguam Negara, peguam-peguam persendirian yang akan menimbulkan tohmah kepada institusi yang sedang mereka ketuai. Walaupun mereka dijemput ke pentas, bagi memelihara kesucian institusi yang mereka ketuai, sewajarnya mereka menolak jemputan tersebut kerana menimbulkan fitnah.

10. Suatu keadilan bukan hanya perlu dilakukan tetapi mesti juga dilihat dilakukan.

11. Oleh itu jika kelihatan Hakim-Hakim sangat mesra menari bersama peguam di pentas yang sama ia akan menimbulkan syak wasangka di kalangan orang awam.

12.  Untuk penjelasan saya lampirkan di bawah ini sebahagian daripada Kod Etika Hakim 2009

Kewajipan mematuhi Kod

4.  (1) Seseorang hakim hendaklah mematuhi peruntukan-peruntukan yang ditetapkan dalam Kod ini.

    (2) Pelanggaran mana-mana peruntukan yang ditetapkan dalam Kod ini boleh menyebabkan seseorang hakim dikenakan tindakan tatatertib mengikut peruntukan Kod ini.

Mendukung integriti dan kebebasan badan kehakiman
5. Seseorang hakim hendaklah menjalankan fungsi kehakiman dengan bebas berdasarkan penilaian tentang fakta dan mengikut pemahamannya tentang undang-undang, bebas daripada apa-apa pengaruh luar, dorongan, tekanan, ancaman atau gangguan, secara langsung atau tidak langsung daripada mana-mana pihak atau bagi apa-apa sebab.
Mengelakkan ketidaksopanan dan gambaran ketidaksopanan dalam semua aktiviti kehakiman
6. (1) Seseorang hakim hendaklah pada setiap masa, berkelakuan mengikut cara yang menggalakkan integriti dan kesaksamaan badan kehakiman.
(2) Seseorang hakim tidak boleh :-
(a) membenarkan apa-apa hubungan mempengaruhi kelakuan kehakiman atau penghakimannya

Dalam melaksanakan tugas-tugas kehakiman dengan adil dan cekap
7 (8) Seseorang hakim tidak boleh berkelakuan mengikut cara yang tidak wajar sebagai seorang hakim atau yang boleh membawa atau dikira akan membawa nama buruk kepada jawatannya sebagai seorang hakim.
Dalam bab mengurangkan risiko percanggahan dengan tanggungjawab kehakiman hakim semasa menjalankan aktivitu luar kehakiman

8. (1) Seseorang hakim hendaklah memastikan bahawa semua aktiviti luar kehakimannya tidak: –
(a) menimbulkan keraguan yang munasabah tentang keupayaan untuk bertindak dengan saksama sebagai seorang hakim;
(2) Seseorang hakim hendaklah mengelakkan hubungan rapat dengan anggota profesional perundangan secara individu, khususnya mereka yang menjalankan amalan di dalam mahkamah hakim itu, jika hubungan sedemikian mungkin menimbulkan syak atau tanggapan pilih kasih yang munasabah
(7) Seseorang hakim tidak boleh berkelakuan dengan cara yang boleh membawa nama buruk kepada jawatannya sebagai seorang hakim.

13. Adalah sangat jelas ketiga-tiga cabang iaitu Kehakiman (Ketua Hakim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak dan beberapa hakim lain) Executive (Menteri Undang-Undang) dan Legislatif (Peguam Negara yang menggubal undang-undang) ditambah pula dengan beberapa Peguam Persendirian menari dengan gembira berkongsi satu pentas bersama menimbulkan pelbagai tohmahan kepada pihak kehakiman. Persoalan juga timbul adakah insiden ini memberi isyarat prinsip pengasingan kuasa yang sekian lama diamalkan sudah pudar atau tidak lagi dipentingkan.

14.  Walaupun pelanggaran etika seorang hakim mesti diadukan kepada Ketua Hakim pelanggaran etika Ketua Hakim mestilah diadukan kepadas Yang Di Pertuan Agong kerana Yang Di Pertuan Agong melantik Ketua Hakim.

15. Saya juga sedar terdapat beberapa kalangan daripada peguam dan badan eksekutif yang mempertahankan insiden tersebut dengan pelbagai alasan termasuk menjadi norma lazim para peguam dan hakim mengadakan majlis makan malam dan berdansa, tidak menimbulkan sebarang wasangka serta tiada perlanggaran etika. Jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut ini ialah dengan merujuk kepada Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

16. Oleh yang demikian aduan perlulah dibuat kepada Perdana Menteri agar membuat representasi kepada  Yang Di Pertuan Agong menurut Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan terhadap Ketua Hakim dan kepada Ketua Hakim bagi Hakim-Hakim Yang lain mengikut etika berkenaan jika Perdana Menteri berfikir hakim-hakim tersebut wajar dipecat, sekiranya tidak tindakan lain menurut undang-undang perlu diambil. Walau bagaimanapun ketua hakim tidak boleh menghakimi aduan tersebut kerana beliau bersama-sama di dalam majlis berkenaan.

17. Yang Di Pertuan Agong boleh menubuhkan suatu tribunal jika suatu representasi dibuat oleh Perdana Menteri bagi memecat Hakim yang melanggar etika atau suatu tindakan menurut undang-undang juga boleh diambil sekiranya pemecatan bukanlah suatu yang wajar akibat  perlanggaran etika kehakiman atau tidak, insiden yang ditularkan ini, mengikut Perkara 125 tersebut.

Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

9 Pembohongan Dalam Perniagaan oleh Roslan Ab Hamid

SEMBILAN PEMBOHONGAN DALAM BISNES.
PERTAMA : TAHU CARA BOLEH BUAT MESTI BOLEH BUAT.

(ITU BOHONG. IA TIDAK AKAN JADIKAN KITA BOLEH BUAT)
.
1. Tahun 1990-1991, panjat tangga lebih dari 20 buah bank. Pohon pinjaman. Semuanya tak dapat. Terlalu muda dan tiada pengalaman urus wang.
.
2. 1993 - jual bisnes dan sertai dua korporat. Masuk atas jemputan Chairman syarikat yang nampak potensi saya. Tapi diletakkan pada meja hujung jalan mahu ke restroom (kamar kecil). Tiap tiap hari kena belasah. "Apa salah aku?"
.
3. Gaji paling rendah di kalangan pengurus syarikat. Dalam masa 5 tahun, saya gandakan 10 kali pendapatan bawa pulang. Sepanjang 15 tahun berada dalam dunia korporat, sempat saya tulis sembilan (9) pembohongan yang halang kita maju dalam dunia bisnes.
.
4. Pertama: Jika saya tahu caranya, tentu saya boleh buat. Ini bohong. Jangan sekadar cari tahu, "how to do it". Cari tahu juga bagaimana untuk dorong diri - "want to succeed". Aku ingin sukses. Ingin yang tidak dapat ditahan dan sanggup rempuh gelombang.
.
5. Ingin yang bergelora bagiakan taufan gila. Membara . Menyala dan terus berkembang jadi satu kegilaan yang meluru capai tujuan. Level "want" ini ada dalam diri kita. Dalam kawalan kita. Bangunkan raksasa besar ini.
.
6. DI - Desire and attention - adalah perkara hidup. Ia boleh membesar apabila disirami dengan kata kata, gerak tindak dan posture pernafasan sang juara setiap hari.
.
7. 2E- Energy and Enthuasism yag kita pilih. Perkara luar OE - Outside Event tidak akan dapat  mempengaruhi kita. Sejarah masa lalu juga tidak. Kita ada kuasa untuk memilih dan kita pilih untuk berjaya.
.
8. Adakah kita fikir kita layak. Kita berhak. Dunia dan seisinya akan berpihak pada kita. Inilah yang dipanggil Mighty Why. Saya tulis terang pada tahun 1992, saat turun dari PUNB dan mereka tidak luluskan permohonan saya, "without the desire, no system - no matter how brilliant - can work. Desire first".
.
9. Untuk sukses, kita tidak boleh bergerak solo. Kita harus bina tim. "Learning to want to have a Great Team". Demikian lah tulisan masa itu. Namun selagi saya bersatus "kayu" mana mungkin besi mahu merapati. Tugas pertama, jadi besi berani dulu. Magnet yang mampu tarik besi. Magnet tidak ada emosi sentap. Magnet tidak meratap.
.
10. Ada dua pilihan . Pertama , bina empayar rekaan. Ada ratusan staf yang entah apa apa. Otak kecil. Emosi sempit. Sentap memanjang. Pilihan kedua, bina pasukan hebat. Dapatkan keuntungan besar. Hanya perlu jumpa sekali sekala dengan tim otak Ferrari. Mereka tahu apa yang mereka mahu.
.
11. Dalam bisnes - "grow or go". Bisnes bukan bangunan mati yang tidak membesar. Bisnes adalah umpama tumbuhan yang akan tumbuh membesar apabila ada matahari, air dan baja yang sesuai. Bisnes perlu pada penjagaan dari ahli dalam bidang. Setiap hari adalah satu permulaan semula.
.
12. Kita mesti sentiasa belajar Jadi penekun yang sabar.  "Nothing great was ever created without enthusiasm". Enthusiasm maksudnya adalah antusiasme, gairah, kegairahan, rasa antusias, semangat besar, gelora, kegembiraan yg besar. Setiap hari kita menunggu untuk bermula.
.
13. Enthusiasm datang dari perkataan "en thos" - perkataan Grek - "The God within. Which is the level you need to play at to win big".
.
14.  Enthusiasm adalah "ownership of your life" Dengan izin Tuhan, saya lekatkan hari PUNB tolak permohonan saya itu dalam kepala. "Sesungguhnya aku boleh sukses biarpun hari ini ditolak dan dihumbang jauh" "Saat dilontar pedih, aku tidak sedih. Aku cuma tingkatkan suhu pembakar supaya semangat sentiasa mendidih"
.
15. Untuk ikuti tulisan 9 Pembohongan dalam bisnes ini - 8 yang lain subscribe telegram  The Circle of Legends (DRAH).

Naratif Malaysia Baru

Menurut Muhaimin Sulam dalam artikelnya ini:

Keresahan terhadap masa depan orang Melayu dan Islam mula kedengaran dan semakin meluas.

Dalam era Malaysia Baru yang dikatakan berasaskan demokrasi, progresif, dan inklusif ini ia mempunyai tafsiran yang pelbagai.

Setiap kelompok cuba memaknakan istilah tersebut berdasarkan kecenderungan pegangan politik dan indentiti masing-masing.

Awalnya selepas PRU14, perubahan itu bersifat politik namun kini telah sifatnya berkembang menjadi lebih daripada sekadar perebutan kuasa.

[....]

Meskipun Mahathir mengetuai kerajaan dan ada parti serpihan Umno - iaitu Bersatu - situasi tersebut masih tidak cukup kuat untuk menggantikan ikon kuasa politik Melayu baru.

Amanah pula masih tercari-cari hala tuju dan identiti parti selepas PAS kian mengukuhkan kedudukannya di kawasan majoriti Melayu dan Pantai Timur.

PKR pula sedang bergelut membina kekuatan sedangkan DAP menjadi parti yang mendapat banyak faedah jika mereka bertindak lebih matang dan wajar.

Friday, January 18, 2019

NOTA PAGI JUMAAT oleh Roslan Ab Hamid

NOTA PAGI JUMAAT.
.
1. Dalam hidup ada Life Success Triangle. Tiga sudut kesuksesan sejati. 
.
2. Pertama, personal mastery. Mampu mengelola diri sendiri. Kedua, interpersonal mastery. Boleh membangun hubungan dengan orang lain.Ketiga, leadership mastery mampu memimpin secara efektif.
.
3. Di mana sahaja kita pergi bangunkan tiga keupayaan ini. InshaAllah akan terbentang jalan untuk sukses.
.
4. Apakah Happiness Equation . Ia adalah "want nothing + do anything = have everything". Tidak ghairah mahu memilki dan menjawat jawatan apa apa + lakukan yang terbaik dalam bidang kita = punyai apa yang kita impikan".
.
5. Semalam saya hadir dan tumpang dengar perbincangan agung antara Tuan Nik Hasyudeen dan Prof Dr Nor Azizi, Naib Canselor UMK. Mengutip apa yang terbaik dari mereka.
.
6. Satu kesimpulan yang saya dapat - bukan mudah untuk membentuk entrepreneur mindset. Minda keusahawanan. Ia tidak terbina di menara gading waima di Cambridge University. Ia tidak terbina di Istana Kuasa Putrajaya. Ia terbina di jalanan dan lorong lorong sepi keterdesakan kehidupan.
.
7. Sebab itu saya merayap antara Jakarta - Surabaya - Jogjakarta - Medan - Makassar. Berjalan antara Kota Bharu dan Kuala Lumpur. Menelusuri Kota Bangkok dan Manila.
.
8. Duduk menghadap Dato' Radzi di Jakarta, Dato Hussam di Shah Alam dan Puan Guru Ainon di Janda Baik. Belajar dan terus belajar.
.
9. Memdaftar belajar dengan Tuan Shahar Sahad di Sidang @ Subang serta sekali sekala mengopi dengan Tuan Haji Jerry di Shah Alam. Malah andai terdengar mana mana guru muda sekalipun, saya tidak kisah untuk duduk dan belajar mencatat nota. Belaja dan terus belajar.
.
10. Nota: The Circle of Legends yang kami tubuhkan untuk bina bahtera usahawan telah penuh dengan 70 orang usahawan Melayu. Tinggal lagi untuk cari 30 orang usahawan Cina dan India . Kita kan orang Malaysia. Siap secara bersama untuk rentas Asia Tenggara.

PRK Dun Semenyih: Penamaan Calon 16 Feb, Mengundi 2 Mac


Majlis Pelancaran Pekaj Pelancongan Muslim - Jejak Cheng Ho




Laksamana Cheng Ho yang kita belajar di sekolah dulu hanya sedikit kisahnya. Ia tak menarik perhatian kerana itu kisah orang China. Begitulah tanggapan aku si budak sekolah.

Hanya setelah aku mendengar ceramah Ann Wan Seng pada tahun 2011, barulah hati ini tertarik untuk serius mengkaji lanjut.

Haji Muhammad Cheng Ho.

Itulah nama yang disebut beliau. Ditambah pula fakta bahawa CH bukannya Cina muallaf. Lantas AWS pun berseloroh dengan audien.

"Cina yang muallaf ke.. Melayu yang muallaf?"

Gurauan ini memecah keheningan majlis. Beliau mengaku tidak pernah ke China untuk menyemak fakta yang diperolehi daripada bacaan. Jadi, beliau menyarankan kami untuk menjejak sejarah CH di China.

Dari tahun ke tahun, ada sahaja fakta baharu dan menarik ditemukan. Aku sebenarnya diamanahkan menjejak Islam di China seawal tahun 2001 lagi. Tidak begitu fokus waktu itu.

Hanya selepas menetap setahun di Guangzhou pada 2008/2009 barulah minat bertambah. Lebih-lebih lagi setelah bertemu semula Prof Awang Sariyan Kembara Bahasa di Beijing yang giat menjejaki kehidupan orang Islam di beberapa provinsi di China. Ceramah AWS itu adalah rentetan daripada pemusafiran aku.

Pada tahun 2012, Abdul Hakim Shahbuddin Arina Abd Nor Sakinah Ya'cub Hdariyani Kampun ditugaskan menjejaki kampung kelahiran CH. Siapa sangka mereka ditemukan dengan waris CH generasi ke-18 dan ke-20. Syukur, alhamdulillah.

Sejak itu, aku pun sering diundang menyampaikan kuliah berkenaan Islam di China dan CH.

Pada satu sesi perkongsian dengan pelajar Malaysia lulusan Beijing, aku ditemukan pula dengan Faris Zhang. Lalu kami pinang dia untuk bersama lanjutkan kajian supaya dia boleh semak dengan sumber-sumber China.

Hubungan dengan generasi ke-20 terus dijaga sehinggalah pada tahun 2018, kami sekali lagi bertemu dengan mereka di Kunming. Kali ini khusus mencari bahan untuk menyiapkan buku 'Laksamana Zheng He: Teladan Merentasi Zaman'.

Sungguh. Pencarian maklumat dan ilmu ini tiada noktahnya. Ada sahaja bahan baharu yang kami perolehi.

Sewaktu Faris Zhang mengunjungi muzium CH di Melaka, aku perkenalkannya dengan Abang Mohd Halim Noordin. Dikenalkan pula dengan En. Nurman Mohd Baroldin. Bertambah-tambahlah maklumat baharu dari Melaka.

Terkini, Ahad ini aku diminta sampaikan kuliah berkenaan CH di Bandar Baru Bangi. Dalam majlis yang sama, kami akan lancarkan pakej melancong sambil menjejaki sejarah CH di Kunming.

Tujuan utamanya ialah untuk mengangkat CH sebagai ikon pemimpin milik umat sebagaimana Al-Fatih kini meniti di bibir masyarakat. Baca buku itu, kemudian kita jejak bersama. Alang-alang melancong, biar menguat jiwa.

Oh ya, buku itu masih dalam proses. Dah siap nanti, aku war-warkan. Tak lama lagi insyaAllah.

Berkelapangan Ahad ini, kita jumpa ya.

#rahmatanlilalamin
#zhenghe
#chengho