Sunday, January 6, 2019

ST Rosyam Mart oleh Ustaz Azhar Ab. Syukur

Rosyam Nor

Saya orang politik dan saya ahli perniagaan. Setakat ini saya mengasingkan perniagaan saya dari politik. Akan datang tak tau la pula 🤣🤣🤣

Adapun Rosyam Nor, saya tak peduli tentang fahaman politik dia. Ikut dia... dulu nak sokong UMNO, hak dia. Sekarang dia nak sokong BERSATU... hak dia juga.

Saya nak ulas tentang ST Rosyam Mart. Ada yg kata 10% saham tu dia dapat percuma. Sebab guna nama... Sebagai ahli perniagaan, saya merasakan ada kemungkinannya share 10% itu diberi percuma tetapi harus diingat, ‘membentuk’ nama ROSYAM NOR tidak percuma. Ianya satu perjuangan yg panjang dan hanya Rosyam Nor sahaja yg mengetahuinya 🤔

Pernah sahaja saya memberi saham 10% kepada kawan saya  yg popular dalam salah satu syarikat saya secara percuma. Itu strategi perniagaan. Adalah amat amat tidak cerdik jika saya memberi saham 10% kepada orang yg saya tidak dapat faedah darinya. Pahala? Kalau nak bagi pahala, saya sedekah kan aje, tak perlu letak nama sesiapa... buat menyusahlan urusan dokumen syarikat 😜

K... bye

Cerita D. I. Y oleh Roslan Ab Hamid

CERITA ENCIK D.I.Y
.
1. Mr D.I.Y, peruncit pembaikan rumah terbesar di Malaysia. Mereka sedang mencari tawaran awam permulaan yang boleh menaikkan kira-kira RM2.1bil (US $ 500mil). Perbincangan mengenai penyenaraian Mr D.I.Y. berada di peringkat awal, dan perincian tawaran itu boleh berubah mengikut masa dan keadaan.
.
2. Mr D.I.Y. mempunyai lebih daripada 500 cawangan di seluruh Malaysia.  Ia mempunyai lebih daripada 4,000 pekerja dan melayani lebih 78 juta pelanggan setiap tahun di kedai-kedai di negara Asia Tenggara, menurut laman webnya.
.
3. Syarikat itu juga telah mengembangkan operasinya ke Thailand, Brunei dan Indonesia.
.
4. Mr D.I.Y., yang disokong oleh firma ekuiti swasta Creador, boleh disenaraikan sebaik sahaja akhir tahun ini. Ia sedang mempertimbangkan untuk menyenaraikan hanya operasi domestiknya .
.
5. Ketua Pegawai Eksekutif Creador Brahmal Vasudevan berkata bahawa Mr D.I.Y. sedang meneroka IPO dan menjangka membuat keputusan pada bulan depan. Mr D.I.Y. menyertai firma yang disokong ekuiti swasta lain dalam usaha untuk menjual saham di Malaysia.
.
6. Antaranya- pengusaha restoran KFC QSR Brands (M) Holdings Sdn., Yang disokong oleh CVC Capital Partners, dan Leong Hup International Bhd, pengeluar makanan unggas yang dimiliki oleh Affinity Equity Partners, juga telah bersedia untuk menyenaraikan di pasaran domestik.
.
7. Pengumpulan dana daripada jualan saham kali pertama di Malaysia jatuh kira-kira 90% pada tahun 2018 kepada US $ 180 juta, terendah tahunan dalam sekurang-kurangnya satu dekad, mengikut Bloomberg.

ST Rosyam Noor Mart oleh Dato Norhisham Md Nor

Terdetik hati saya,wah pandai Rosyam Nor bukak Pasaraya dengan harga yang murah dan menawan.Saya siap lawat juga 2 minggu lepas St Rosyam nor di Setiawangsa.

Bagus susunan rak dan banyak produk melayu dalam tu.Satu kebanggaan pada saya sebab nampak produk Chili boh Zubir Food pun ada sekali.Tempe dan produk melayu lain juga banyak ditonjolkan kedepan.Wah bagus dan hebat!

ST Rosyam Noor Mart tu terang-terang JV SRI Ternak (ST) dan Rosyam Noor.Ok mari saya huraikan pasal dari kaca mata Saham.

1.Hari ini,saya tengok ramai kata Dato Rosyam noor menipu dan Dato Rosyam nor kata dia kena tikam dengan orang yang tak senang dengan kemajuan business dia.

2.Pihak yg hentam betul dan Yang menjawab juga betul,cuma Yang hentam tak faham pasal kuasa saham dalam business Begitu juga Rosyam yang tak dapat nak menjawab tepat pasal isu saham 10% dia ada dalam St Rosyam tu.Kalau jawab dari sudut saham,insha Allah selesai.

3.Pada saya Dato Rosyam langsung tak menipu kerana memang St Rosyam tu adalah milik dia.Walau ada 10%, dengan adanya 4 cawangan sudah cukup membuktikan dato Rosyam orang kaya baru.kalau dato Rosyam pegang 100% saham tetapi hanya sebuah kedai runcit sahaja apa guna! bab peratus saham ni,ramai yg bangga ada 51% shares atau 100% shares syarikat gitu kecik jer bertahun2 tak kemana bangga saham besar.Orang Kaya tak pikir peratus saham tapi pikir syarikat biar besar.

4.Walaupun pegang hanya 10%,kerja beliau lebih mudah dan dapat bergabung dengan orang yang lebih pakar handle business pasaraya.Rosyam nor pegang sikit takpa sebab kerja dia kurang.Jangan nak tamak pegang saham besar tapi kerja tak pandai. Biar sikit,tapi bergabung dengan orang pandai.

5.Tony Fernades pun bijak,dia hanya ada kurang 45% bagi sahamnya di Air Asia Thailand, Airasia Philiphine dia pegang 40% sahaja.Begitu juga di Indonesia dia pegang minoriti.No problem asal lesen lepas dan business kasi jalan.Kumpul-kumpulkan semua saham dia yg minoriti tu akan menjadikan dia Majoriti.faham?

4.ST Rosyam nor kira mudah,kalau satu pasaranya bagi profit 2juta setahun kalau ada 4 cawangan adalah RM8juta setahun.Ini contoh congakkan saya sahaja.Maka kalau ada 8juta profit automatik boleh dapat Value syarikat RM120juta berdasarkan P/E 12.Dengan nilai syarikat 120juta Dato Rosyam ada shares 10% dia punya net worth adalah dalam RM12Juta!

5.Orang bisness dan orang kaya dinilaikan pada net worth.Nilai bersih bukan dinilaipada berapa banyak rumah atau asset yang dia ada.Nilai networth ini satu benda yg orang bisness wajib tahu.

6.Rumah ada value,kereta ada susut nilai dan ada value,jam rolex atau jam Omega juga ada value,kenapa tak tahu yg syarikat juga wajib ada value.9 dari 10 usahawan tak tahu kira value syarikat.

7.Dekat St Rosyam Noor Mart pegang 10%, Tapi syarikat kilang beras,Chili boh,ayam yang supply kat St Rosyam Noor Mart dia boleh pegang lebih majoriti contohnya 70%.Banyak supply chain yg Rosyam Noor boleh pegang majoriti.Kalah didepan,menang dibelakang (Stategy ini harap dato rosyam tahulah)

8.Kalau ada bukak lagi 10 cawangan dan Dato rosyam pandai kuasai supply chain maka 'profit pool' akan bertambah.Dato rosyam boleh pegang shares kat bahagian supply dengan majoriti.

9.lagi sekali,Dato rosyam nor tak tipu dalam business.Korang tak baik kata dia tipu sebab St Rosyam nor mart tu memang dia punya saham sikit dan majoriti saham 90% dipegang oleh bangsa cina.Joint Venture ini bagus.Melayu cina dayak ke Matsaleh no issue sebab nak meniaga janganlah ko nak pengang 100%.ini cara salah!

Dalam game ni saya nampak rosyam bijak macam jack ma! ya cumanya dia tak proses sampai IPO.

8.kenapa saya kata Rosyam bijak macam jack ma,sebab Jack Ma hanya ada 7% dalam pemilikkan saham Ali Baba.Klik ni kalau tak caya

https://www.investopedia.com/articles/investing/111114/top-five-alibaba-shareholders.asp.

Jack Ma hanya ada 7%,cumanya selepas proses dilution berlaku dari tahun 1999 sehingga hari ini.

9.Tahu tak yang Billgates orang terkaya dunia cuma hanya ada 1.3% saham sahaja dalam Microsoft.1% saham Mcdonald kalau anda pegang bersamaan RM5.2billion.So,sikit saham Rosyam Noor asalkan syarikat berkembang!

10.So,Dato Rosyam Noor takda niat nak menipu pun sebab dia memang boleh claim St Rosyam Noor Mart tu dia punya.Bab dia pegang 10% tu bukan isu besar kalau ko faham apa tu kuasa JV dan saham.Lagipun dia tu 'spirit' dalam pasaranya tu.Tukar lah nama Ah seng siapa nak datang pasaraya tu.Kalau Rosyam nak pegang 90% tahu ke dia handle business rangkaian mart yg mencabar.Ada ka dia modal yg cukup kuat.

11.bab JV ni benda biasa dalam dunia korporat.Jangan ingat pegang 10% tu kecik sebenarnya kalau Rosyam noor ada 5% pun dah cukup besar.Ingat komen saya yg no 7 diatas.

Okeylah,kena kuasai saham dan jangan gaduh-gaduh kata melayu kena tunggang dengan cina bagai.Walhal dengan structur sahamlah yang akan menyatukan melayu dan cina.

Dalam Ali Baba ada beratus kaum dan bangsa pengang saham Alibaba satu dunia.Relak Ja Jackma.so,apasal ko nak sibuk kata rosyam nor tipu kalau ko sendiri tak da cds akaun dan beli sikit saham kat Bursa tu?

Sekian 😊

- rakyat malaysia yang faham isu perniagaan

#TakFahamTakpa

Pencapaian Elitis Prestasi Ultra Luar Biasa oleh Roslan Ab Hamid

PENCAPAIAN ELITIS, PRESTASI ULTRA LUAR BIASA
.
1. Tahu bahawa kita akan mati pada satu hari akan dapat mengelakkan diri dari terus terperangkap dalam jerat berfikir- kita bakal kehilangan. Ia sudah lama dalam ketentuan Tuhan. Tugas kita adalh terobos sahaja apa yang perlu selagi nafas masih berhembus.
.
2. Jika tahun ini tahun terakhir dalam hidup kita, apakah yang akan kita lakukan secara berlainan dari tahun tahun sebelumnya? Jadi diri sendiri. Semua diri yang lain telah diambil oleh orang lain.
.
3. Cinta sejati dari bening hati. Pilihan terbaik. Impian segar. Projek berani. Benamkan ketakutan lama. Genius dalam diri yang luar biasa. Kebaikan yang tersebar.
.
4. Setahun itu ada 365 hari. Jika ada 5 perkara yang kita lakukan setiap hari , ada 1825 perkara yang dapat kita sudahkan. Ia adalah "highest version of highest vision" yang kita dapat lakukan.
.
5. Usah biarkan ksatria pahlawan dalam jiwa kita binasa, lantaran "kekecewaan kesepian terasa diketepikan" dan kita tidak memperoleh kehidupan yang kita impikan.
.
6. Bertemu petang esok dalam acara Momentum 2019 anjuran Dewan Seri Hatinie, Shah Alam.

P/s - Saya In Sya Allah akan hadir di Dewan Seri Hatinie,  Shah Alam,  esok.

HALAL MARKET, HALAL CERTIFIED, HALAL CURATED dan HALAL OPTION oleh Norizan Sharif

HALAL MARKET, HALAL CERTIFIED, HALAL CURATED dan HALAL OPTION
1. Pasaran halal di Amerika Syarikat dianggarkan bernilai US$20 billion.
2. Apa yang dimaksudkan dengan pasaran halal (halal market) ialah kuasa beli yang ada untuk beli produk dan perkhidmatan halal.
3. Adakah US$20 billion itu akan pergi kepada “halal-certified products”? Tak.
4. Saya beli 100% produk halal untuk kegunaan rumah, tetapi 99% produk yang saya gunakan tak ada label halal di bungkusan.
5. Kedai runcit halal di sini pula memilih barangan halal berdasarkan pengeluar dan kandungan (ingredients) - bukan sama ada ia ada label halal atau tidak. Sekiranya tak ada kandungan haram, maka halal-lah. Inilah yang dimaksudkan dengan “halal-curated products.”
6. Di sesetengah restoran, ada makanan halal dan tidak. Ada juga yang tawarkan “halal option,” iaitu kalau kita nak ayam halal, maka mereka gunakan ayam halal. Sekiranya tidak, mereka gunakan ayam sembelihan biasa. Steak pun macam itu juga, boleh pilih.
7. Kita boleh keluarkan “halal-certified products.” Bagus. Namun apabila kita nak pasarkan produk kita di luar negara, kita mesti tahu pengguna ada pelbagai kaedah bagi menentukan sama ada sesuatu produk itu halal atau sebaliknya.
8. Di Amerika Syarikat dan banyak negara lain, pengguna sudah mula pakai apps untuk tentukan sama ada produk itu halal atau tidak. Cukup dengan scan bar code, kita tahu halal atau haram.

Ulasan Buku Kerdipan Bintang Melayu di Langit Turki Karya Dr. Mat Rofa Ismail oleh Muhammad bin Hashimee

KERDIPAN BINTANG MELAYU DI LANGIT TURKI, oleh Mat Rofa Ismail. 2015. Grup Buku Karangkraf Sdn.Bhd: Selangor. Hlm. 380. ISBN 978-967-86-0486-4.

Sebelum memulakan perbahasan tentang kandungan buku ini, pengulas ingin mendahulukan pengenalan ringkas tentang penulis buku “Kerdipan Bintang Melayu Di Langit Turki”. Penerangan ringkas tentang latar belakang penulis dapat membantu dalam memahami dengan lebih mendalam tentang isi kandungan buku ini. Beliau Mat Rofa bin Ismail adalah bekas pensyarah di Universiti Putra Malaysia UPM, Selangor. Penglibatan beliau di UPM bermula semenjak tahun 1979 di mana beliau dilantik sebagai tutor di Jabatan Matematik Fakulti Sains UPM. Beliau meneruskan kerjaya beliau sebagai pensyarah di UPM dan dilantik sebagai Professor Madya pada tahun 2001. Pencapaian

beliau di dalam bidang Etnomatematik melayakkan beliau untuk dilantik sebagai Ketua Laboratori Etnomatematik dan Didaktik di Institut Penyelidikan Matematik UPM. bermula dari tahun 2010 dan menjadi penyelidik bersekutu dari awal penubuhan institusi tersebut.


Bidang kepakaran beliau ialah Mantik dan Etnomantik, Falsafah Sains Pendekatan Kualitatif, dan Etnosains Dan Etnomatematik Alam Melayu dan sebagainya.  Secara umumnya, buku ini merupakan cetusan perbahasan tentang sejarah hubungan Kerajaan Uthmaniyyah dengan Alam Melayu. Ianya dipecahkan kepada sebelas bab. Bab pertama berjudul Perjalanan Ilmiah ke Turki. Di dalam bab ini kelihatan penulis hanya merakamkan coretan santai tentang lawatan beliau ke Bumi Turki. Lawatan tersebut adalah hasil jalinan kerjasama antara Universiti Putra Malaysia dengan Universiti Yaldiz pada tahun 2013.Namun di dalam perkongsian penulis tentang lawatan beliau di Turki penulis tidak lupa untuk menyelitkan fakta-fakta bersejarah khususnya yang berkaitan tentang penyelewengan yang dilakukan oleh para orientalis di dalam karangan-karangan sejarah mereka.

Menurut beliau sejarah yang diubahsuai ini dicipta oleh para orientalis yang dilatih khusus bagi memperlekehkan sumbangan Islam terhadap pemikiran dunia. Malahan, mereka turut memperbesarkan salah laku sultan pemerintahan Uthmaniyyah yang boleh dianggap sebahagian kecil jika dibandingkan dengan Sistem Khilafah yang dibawa oleh kerajaan Islam itu sendiri. Penulis juga tidak lupa untuk membawa perbincangan tentang Hubungan Sosial Malaysia Turki, di mana jalinan Turki Malaysia ini masih boleh dilihat dari segi lawatan pelancongan dari Malaysia yang menjadikan Turki sebagai destinasi utama perjalanan mereka. Perkara ini jelas mencetuskan pertembungan budaya Malaysia Turki. Penulis juga kelihatan amat terkilan melihat peniaga Turki yang mampu berbahasa Melayu, bahkan mereka menggunakan produk automotif Malaysia.

Dalam bab dua hingga bab sembilan, kelihatan penulis mengambil pendekatan ilmiah yang serius di dalam pembawaan beliau fakta sejarah hubungan Turki- Melayu. Asas utama hubungan Turki Melayu tercetus demi mengekang penjajahan kuasa besar barat yang cuba meluaskan jajahannya. Oleh itu, Usaha sama Melayu Turki ini diwujudkan bagi menentang kemaraan tentera penjajah barat melalui beberapa aspek:



1. Aspek Ketenteraan: Misi Kerajaan Uthmaniyyah yang mahu melindungi negara Umat Islam daripada jajahan barat dilaksanakan dengan menghantar pelbagai jenis bantuan ketenteraan ke Tanah Melayu. Kerajaan Uthmaniyyah telah menghantar bantuan logistik ketenteraan termasuk pakar persenjataan, alat peperangan dan pelbagai jenis bantuan ke Tanah Melayu.Ini dilakukan demi memastikan penaklukan Portugis Kota Melaka dipatahkan. Namun begitu usaha ini tidak berhasil apabila Portugis bertindak melantik tali barut dari penduduk Tanah Melayu untuk mencetuskan perpecahan dalam kalangan Umat Melayu itu sendiri. Hasil dari rancangan jahat ini, berlakunya permusuhan antara Kesultanan Aceh dan Johor yang menjejaskan seruan Jihad Umat Islam untuk menentang penjajah. Portugis juga berjaya mendapat kerjasama dari Kerajaan Perak dan Pahang dalam mengekalkan penjajahan Melaka.

2. Aspek Diplomasi: Visi kerajaan Uthmaniyyah untuk mewujudkan Sistem Khilafah yang menjamin perlindungan bagi negara Islam juga dilaksanakan dengan mewujudkan rangkaian diplomasi Turki – Melayu. Lebih menarik lagi wakil diplomasi Turki-Melayu ini dilantik dari kalangan Ulama tersohor seperti Sheikh Ahmad Al Fatani yang telah mengunjungi Sultan Abdul Hamid II untuk memohon bantuan bagi mengusir British dari Tanah Melayu. Sheikh Ahmad Al Fatani juga amat digeruni oleh British kerana keteguhan beliau dalam menyebarkan seruan Jihad untuk menentang penjajah. Sheikh Ahmad Al Fatani telah berjaya membentuk rangkaian Kesultanan Tanah Melayu yang bersatu untuk memerangi jajahan British dan tali barutnya. Beliau turut mencipta aksara tulisan Melayu berbentuk aksara Sanskrit Moden di dalam mengurus rancangan pembebasan Tanah Melayu supaya tidak dikesan oleh pihak British. Antara usaha Sheikh Ahmad Al Fatani di dalam melawan penjajahan British juga adalah dengan mewujudkan jalinan kerjasama antara persatuan Islam dan Negara serantau. Usaha ini sekali gus mengukuhkan jalinan Ulama dan pemerintah di dalam mengekang cengkaman British di Tanah Melayu. Beliau menjadikan Universiti Al Azhar di Mesir sebagai Pusat utama bagi menggerakkan usaha pembebasan Tanah Melayu. Galakan untuk menghantar pelajar dari Tanah Melayu ke university Al Azhar dijadikan platform utama di dalam menghasilkan tokoh Ulama yang berwibawa seperti Sheikh Tengku Mahmud Zuhdi di Selangor dan Paduka Nik Mahmud di Kelantan. Ideologi Jihad dalam menentang penjajahan British disebar luas melalui pemikir tersohor ini yang juga merupakan bekas pelajar di Universiti Al Azhar.


3. Aspek Pendidikan: Pembebasan tanah air tidak akan tercapai tanpa pembebasan minda. Sistem Madrasah Sulaimaniyyah dijadikan sebagai tonggak utama di dalam penghasilan sebuah tamadun ilmu yang agung bagi Kerajaan Uthmaniyyah Turki. Ianya diasaskan oleh Sultan Sulaiman yang mahukan sistem Pendidikan syumul dari aspek kerohanian dan keilmuan. Sistem Pendidikan Madrasah Sulaimaniyyah dibahagikan kepada 11 tahap pengajian. Ianya merangkumi pelbagai bidang ilmu seperti pengajian Fiqah, Tafsir, Hadis, Akhlak, Siasah, Pentadbiran, Ekonomi, Pelayaran, Geografi, Perubatan, Farmakologi, Falak, Matematik dan Sains Tabii. Dengan terbentuknya Sistem Pendidikan Madrasah Sulaimaniyyah, khazanah ilmu Turki telah berkembang dengan begitu pesat. Tokoh agung seperti Ebusuud Affandi di dalam bidang Fiqh dan Tafsir, Ibnu Kemal di dalam bidang Hadis, Lutfi Pasha di dalam bidang Siasah dan pakar-pakar yang lain adalah hasil didikan dari Sistem Madrasah Sulaimaniyyah. 

Infrastruktur ilmiah turut dinaikkan taraf demi menyokong perkembangan ilmu. seperti Balai cerap kajian astronomi untuk kajian Ilmu Falak, loji rawatan air yang menggunakan teknologi Hidrolik Yunani, hasil ciptaan alat-alat baharu seperti jam saku, jam dinding turut menjadi simbol kemajuan ilmu di bawah pemerintah Kerajaan Uthmaniyyah di Turki. Bahkan, segala kemajuan yang dikecap Barat ketika ini boleh dianggap hasil usaha dari tokoh ilmuwan Kerajaan Uthmaniyyah. Ilmu Farmakologi ubat ubatan adalah hasil dari kajian Ibnu Al Baitar yang telah mengkaji tumbuh-tumbuhan bagi tujuan rawatan penyakit. Kajian Ibnu Al Baitar turut digelar sebagai Ilmu Al Nabat yang memberi makna Ilmu Tumbuhan. Karya agung Ibnu Al Baitar Aqrabazin turut menjadi cetusan di dalam bidang teknologi di mana beliau telah menghasilkan minyak zaitun yang mampu menyerap cahaya matahari di siang hari untuk dijadikan lampu pada waktu malam. Ianya memberi cahaya walaupun tanpa dinyalakan api, Lampu-lampu ini dijadikan sumber cahaya menerangi masjid-masjid di Turki.


4 Aspek Kerohanian: Jika di Tanah Melayu ada Sheikh Ahmad Al Fatani maka di Turki ada Badiuzzaman Said Nursi sebagai pemegang obor jihad di dalam melawan penjajah barat. Namun begitu, pendekatan Badiuzzaman Said Nursi lebih berkonsepkan Tasawuf iaitu penyucian hati.Ini kerana beliau amat mementingkan kekuatan iman sebelum kekuatan luaran, baginya punca lemah umat Islam adalah kerana hilangnya sifat ikhlas di dalam perjuangan, saling berbalah dan berpecah belah dan juga menyukai permusuhan. Penyakit hati ini haruslah diubati dengan Tasawuf agar kemenangan itu direstui Allah S.W.T. Badiuzzaman Said Nursi sangat tegas di dalam agama, beliau kerap memerangi konsep sekularisme yang dibawa Barat demi memisahkan agama dari kehidupan. Beliau kerap  kali berhujah dan berdebat dengan tokoh barat dan pendukung konsep sekularisme dalam masyarakat. Antara karya agung Badiuzzaman Said Nursi adalah Rasail Al Nur, ianya merupakan karya yang menghimpunkan buah fikiran Badiuzzaman Said Nursi tentang keesahan Allah S.W.T dan memanifestasikan Syahadah di dalam kehidupan. Karya yang setebal lima ribu halaman ini telah menjadi obor pembakar semangat bagi gerakan Jihad di dalam menentang penjajahan Barat sehingga ianya telah diharamkan pada era pemerintahan Ataturk. Namun begitu karya ini berjaya disembunyikan oleh pelajar Badiuzzaman Said Nursi lalu ianya ditanam dan disembunyikan.



Secara keseluruhan, pengulas menyimpulkan bahawa Mat Rofa Ismail telah berjaya memberikan pencerahan yang jelas berkenaan dengan hubungan Melayu-Turki di zaman pemerintahan Uthmaiyyah. Gaya bahasa santai dan istilah yang mudah difahami berjaya menarik minat pembaca untuk mendalami rahsia-rahsia hubungan Melayu-Turki ini. Namun pengulas berpendapat kronologi peristiwa yang disebut di dalam penulisan ini didapati tidak begitu jelas dan tersusun. Ini mungkin atas pendirian penulis untuk mengelakkan unsur bosan di dalam karya beliau. Kaitan hubungan Melayu-Turki juga tidak kelihatan dengan begitu jelas pada beberapa bab, amatlah baik jika penulis mengaitkan konsep Madrasah Sulaimaniyyah dengan Madrasah Melayu Nusantara dan konsep Tasawuf Badiuzzaman Said Nursi dengan konsep Tasawuf Ulama Tanah Melayu. Namun begitu karya Kerdipan Bintang Melayu Di Langit Turki merupakan karya yang amat istimewa di dalam membahaskan hubungan peranan Turki Uthmaniyyah di rantau Tanah Melayu.



Muhammad bin Hashimee
Pusat Pengajian Teras,
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

Saturday, January 5, 2019

Perancangan Strategik Diri oleh Roslan Ab Hamid

STRATEGIC PLANNING DIRI
.
1. Ingatan Puan Guru Ainon Mohd,
.
"Apabila kita mempunyai strategic plan, barulah kita nampak perkara yang patut dianggap proriti dan perkara yang bukan proriti".
.
2. Hidup dalam dunia sendiri. Dalam acuan yang telah tetap. Dalam lorong yang telah ditentu untuk berlari.
.
3. Setiap pagi, ada lintasan 10 perkara mustahil yang telah tersurat untuk dicapai. Dan lima perkara setiap hari untuk disiapkan sebagai kemenangan kecil menjadikan 2000 setahun.
.
4. Hari ini bangun jam 4 pagi. Berjaya buat perkara patut perlu. Itu perkara pertama. Kemenangan kecil pertama. Naik pesawat jam 8.30 pagi dari KBR ke KUL. Selamat sampai . Ini kemenangan kedua.
.
5. Sampai KL jam 9.30 pagi. Terlewat satu jam untuk sampai kelas . Bertekun belajar sampai jam 5 petang.
.
6. Robin Sharma kata duduk dan tekuni dengan seorang guru baru tiap tahun dan saya akan ikuti guru ini sepanjang tahun 2019. Ada banyak mutiara dalam cengkerang yang  dapat kutip. Ini kemenangan ketiga hari ini.
.
7. Tamat, ambil grab. 40 minit sampai rumah. Rehat kejap. Jam tujuh, bertolak ke Putrajaya. Ada jemputan dari sahabat. Majlis kahwin anaknda beliau. Ini kemenangan keempat. Setia dalam persahabatan.
.
8. Apakah kemenangan kelima? Kita cari jalan sebelum tidur malam ini. Cipta kemenangan kecil.  Demikian cara bekerja. (opsss malam ni jam 12 tengah malam ada tayangan  Master Z: The Ipman Leagacy) - kita hayun pergi tonton.
.
9. Tiada lagi "era angan angan" dan duduk tanpa buat apa apa. Apa yang utama - buat buat buat sampai dapat.
.
10. Bersahabat dengan mereka yang berlari dalam lorong sama macam kita. Apa yang berlaku di luar lorong bukan urusan saya.  Jauhkan diri dari mereka yang "loqlak". Mereka yang gebang dan banyak sembang.
.
11. Jangan tanya  tentang orang. Saya tidak bercakap tentang aib orang. Tiada dengki dan iri. Apa yang jelas nampak dari tempat tinggi hanya jalan menuju kesuksesan.
.
12. Tidak lagi kalut tentang manusia itu atau manusia ini. "Lantak pi lah kau orang". Jika kalian berpartner dan lepas itu bergaduh, jangan mengaduh. Itu lumrah. Jalan Terus.

Apa Makna Belanjawan Defisit oleh Nik Hasyudeen

Apa makna belanjawan kerajaan yang defisit?

Masih banyak kerajaan di dunia yang merekodkan hal-hal kewangan mereka secara tunai. Berapa banyak pendapatan diterima berbanding dengan perbelanjaan yang dibayar. Jika bayar lebih dari terima, itulah defisit.

Macamana nak biayai defisit tu? Berhutanglah. Maknanya, semakin besar defisit, semakin banyak hutang. Jika defisit kecil pun, hutang tetap bertambah.

Apa kesannya kepada rakyat?

Ni kena diberitahu sebab kalau tidak semua nak mintak saja, tak kisah apa yang akan terjadi di masa depan.

Yang pertama, pokok hutang kena bayar lah. Ini akan dimasukkan ke dalam belanja pengurusan tahun-tahun mendatang.

Kedua, faedah atau kos pembiayaan pun kena bayar jugak. Ini pun dimasukkan ke dalam belanja pengurusan.

Ketiga, oleh kerana pendapatan kerajaan tidak akan melonjak dengan besar melain diperkenalkan “cukai penyelamat negara” seperti GST, jumlah perbelanjaan pengurusan akan semakin membesar kerana belanja tetap seperti gaji dan pencen tidak boleh dielakkan oleh kerajaan. Berapa yang tinggal untuk belanja pembangunan seperti sekolah baru dan belanja subsidi untuk kurangkan kos sarahidup rakyat?

Projek yang dibiayai secara Public Private Partnership (PPP) yang ada orang pandai tak iktiraf sebagai hutang pun kena dibayar juga. Ini sebenarnya belanja pembangunan yang dibiayai dahulu oleh pihak ke tiga dan kerajaan bayar ansur-ansur setiap tahun. Kalau projek berkenaan tidak ada hasil seperti perumahan kerajaan, kerajaan kena cari duit dari kos pengurusan atau mengurangkan kos pembangunan lah. Ni akan tambah defisit lagi jika akhirnya kerajaan kena berhutang.

Pinjaman pihak ketiga yang dijamin oleh kerajaan yang tidak ada aliran tunainya sendiri atau aliran tunainya negatif seperti PTPTN pun kerajaan kena tanggung juga. Tambah lagi defisit.

Bila hutang semakin tinggi, orang yang beri pinjam pun mula takut. Ini yang menyebabkan penarafan hutang mula dikaji semula. Apa kesannya jika penarafan turun? Kos hutang akan bertambah dan pembayaran seperti yang saya nyatakan di atas akan bertambah, bahagian yang nak dibelanjakan oleh rakyat akan berkurangan.

Nak ubah kitaran ini bukan senang. Jika hutangnya bertimbun dan dah dilonggokan bertahun-tahun, nak kikis sedikit demi sedikit kena tunggu lama. Nak naikkan cukai, semua orang tak suka. Nak jual harta, apa lagi yang tinggal? Nanti anak cucu marah pulak.

Ni tak berbeza dengan syarikat, kecil atau besar. Jika selama ini bergaya dengan hutang, akhirnya bungkus jugak. Jika hutang itu diambil kerana desakan pemegang saham dan pengarah takut tak popular dan tidak dilantik semula, hutang yang bertujuan untuk membahagiakan itu akhirnya jadi racun. Semua terlibat.

Rakyatlah pemegang saham itu.

Friday, January 4, 2019

Ekonomi Dunia Muram oleh Nik Hasyudeen

Krisis ekonomi dunia yang terakhir ialah dalam tahun 2008. Semenjak itu, bank-bank pusat di Amerika, Eropah dan Jepun menyuntik kecairan ke dalam sistem ekonomi dengan membeli bon-bon swasta. Akibatnya pasaran kewangan kembali cergas dan akhirnya ekonomi sebenar pun bertambah rancak.

Setiap pesta akan berakhir. Semenjak beberapa tahun kebelakangan, proses pembelian bon diterbalikkan. Wang diserap oleh bank-bank pusat. Rezab Amerika mula menaikkan kadar faedah.

Cakap-cakap berkenaan pengucupan 2 ekonomi terbesar dunia, Amerika dan China, mula kedengaran. Ini ditambah dengan peperangan dagangan di antara keduanya yang dimulakan oleh Trump. Mula-mula acah saja, kemudian tarif dinaikkan. Ini menyebabkan barangan bertambah mahal di kedua-dua belah pihak. Pengguna terpaksa bayar harga lebih tinggi. Kuasa beli berkurangan.

Bila ekonomi semakin perlahan, operasi kilang-kilang di China dan Amerika mula sejuk. Ada yang kurangkan aktiviti dan ada yang tutup. Ini akan juga mengurangkan kuasa beli pekerja yang terlibat. Maka, permintaan kepada barangan dan perkhidmatan lain akan terjejas. Apple pun dah kurangkan jangkaan jualan iPhone.

Apa akan terjadi kepada perniagaan di tempat-tempat lain? Mana-mana perniagaan yang terletak di atas rangkaian bekalan Amerika dan China akan terjejas sama. Permintaan berkurangan dan kena ambil tindakan mengurangkan kerugian. Kitaran ini akan berulang-ulang di atas rantaian bekalan masing-masing.

Bukan itu sahaja, bilangan pelancong, terutama dari China akan turun. Jika mereka datang pun mereka berbelanja lebih kurang dari biasa. Banyak perniagaan yang bergantung kepada mereka akan sejuk sama.

Suasana ini akan memaksa pelbagai kerajaan untuk berbelanja lebih bagi menggantikan ekspot. Masalahnya, jika hutang tinggi, ianya akan menjadi kekangan. Jika berbelanja dengan berhutang, penarafan kredit boleh terjejas, kos pembiayaan dan faedah naik, aliran tunai kerajaan akan terjejas kerana kena agihkan lebih dana untuk urus hutang.

Saya kongsikan senario ini supaya kita maklum akan putaran ekonomi dunia. Oleh kerana saiz ekonomi domestik Malaysia tidaklah besar sangat, kita bergantung kepada pasaran luar untuk berkembang. Bila mereka demam, kita pun kena selsema.

Sebab itu PM ke 4 mahukan orang Malaysia beranak banyak-banyak, nak sasarkan sampai 70 juta. Sekarang tak sampai dari separuh angka itu. Kenalah PM ke 7 fikirkan bagaimana nak hadapi suasana ini. Hampir nak sama dengan tahun 1997 kan? Mungkin dia serahkan cabaran ini kepada PM 8?

Selamat beribadah di hari Jumaat.

Doakan pejuang Islam ini yang mungkin mati diseksa di dalam tahanan oleh Abdul Muein Abadi


Dahulu Presiden Mesir, Mohamed Morsi kini ditahan di penjara "Kala Jengking" dan diberikan layanan kejam. - Gambar fail Reuters

TERKINI dilaporkan bahawa Dr. Mohamed Morsi – Presiden Mesir yang digulingkan oleh tentera pro-Israel pimpinan al-Sisi pada 2013 – berdepan kemungkinan untuk mati dalam tahanan atau mati pramasa (premature death) akibat seksaan dan layanan kejam. 

Dalam tempoh beberapa hari sahaja lagi, yakni dalam Januari 2019, beliau juga akan kembali dibicarakan di Mahkamah – satu taktik penyeksaan mental dan fizikal secara berturut-turut yang diulang-ulang rejim al-Sisi sejak enam tahun lalu.

Dr. Morsi dilayan dengan kejam di penjara Tora yang digelar penjara ‘Kala Jengking’ – malah hingga ke tahap di mana sebuah panel yang dinamakan Detention Review Panel (DRP) yang turut dianggotai para peguam dan ahli parlimen Britain mengecam kaedah tahanan ini yang dicela sebagai ‘di bawah tahap yang sepatutnya berdasarkan undang-undang antarabangsa’. 
Mengapakah semakin hari semakin zalim sekali layanan rejim al-Sisi ke atas Dr. Morsi khususnya dan anggota Ikhwan Muslimin secara umumnya?  Malah, majalah berpengaruh ‘Foreign Policy’ terbitan Disember 2018 mengecam rejim al-Sisi dengan tajuk ‘Sisi Isn’t Mubarak. He’s Much Worse’ yang bermaksud al-Sisi lebih teruk berbanding rejim diktator Hosni Mubarak yang memerintah Mesir sejak akhir 1970-an hingga 2011. 

Untuk rekod, Dr. Morsi ialah Presiden Mesir pertama – dan terakhir – yang diundi secara bebas dan demokratik oleh rakyat Mesir di seluruh negara dalam pilihan raya Presiden 2012 selepas Revolusi Januari 2011 (fenomena kebangkitan ‘Arab Spring’) yang menumbangkan diktator sebelum itu iaitu Hosni Mubarak. 

Saat ini, rejim al-Sisi sebenarnya berhadapan masalah mentadbir Mesir yang cukup kronik; isu bekalan air yang asas, subsidi roti, masalah bekalan makanan khususnya kentang, isu perumahan, isu gaji pekerja, dan juga peluang pekerjaan, subsidi sosial, serta hutang kerajaan – kesemuanya membawa kepada satu kesimpulan: rejim al-Sisi amat lemah dan gagal sama sekali sebagai kerajaan. 

Lalu mengapa tidak timbul sebarang kebangkitan rakyat secara besar-besaran seperti mana yang dihadapi Dr. Morsi dan diktator Hosni Mubarak sebelum ini? 

Jawapannya adalah seperti mana yang dihuraikan Foreign Policy terbitan Disember 2018: rejim al-Sisi sejak merampas kuasa daripada Dr. Morsi pada 2013 bergantung sepenuhnya pada cara menangkap, menyerang, melakukan keganasan, dan juga membunuh sesiapa yang dilihat cuba mencetuskan penentangan kepada rejim beliau. 

Bagi mengesahkan pemerintahan beliau, al-Sisi telah mengadakan pilihan raya yang mudah untuk dimenangi – dengan pengharaman dan penangkapan besar-besaran anggota gerakan Islamis Ikhwan Muslimin.

Menyedari betapa gerakan Islamis Ikhwan Muslimin masih berpengaruh besar di hati rakyat Mesir – ditambah pula dengan kegagalan beliau sebagai kerajaan – al-Sisi menggunakan cara keganasan untuk kekal berkuasa. 

Pembunuhan beramai-ramai penyokong Dr. Morsi sewaktu ‘Rabaa Massacre’ pada Ogos 2013 dahulu hanyalah permulaan.  Hari ini, meski pun ‘menang besar’ dalam pilihan raya olok-olok yang dianjurkan beliau sendiri, al-Sisi kini mula mencuba untuk meminda Perlembagaan Mesir 2014; beliau kini cuba untuk sama ada memanjangkan tempoh penggal Presiden atau pun menghapuskan sama sekali had tempoh penggal tersebut untuk terus berkuasa.

Keadaan ini sama sekali bertentangan dengan dasar kerajaan Dr. Morsi dahulu yang menghadapi tiga cabaran besar.  Cabaran pertama ialah tuduhan kerajaan Morsi bersikap eksklusif kononnya tidak melibatkan parti lain dan juga kaum wanita dan minoriti dalam kerajaan beliau. 

Melalui Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), Dr. Morsi mengetuai Jemaah Ikhwan Muslimin memenangi pilihan raya presiden pada Jun 2012. 

Kerajaan Dr. Morsi dituduh hanya melantik anggota Ikhwan yang merupakan ahli politik FJP sahaja dalam kerajaan sedangkan sebenarnya Dr. Morsi telah melantik tiga orang wanita dan dua orang ahli politik Kristian ke jawatan utama pada Ogos 2012. 

Cabaran kedua ialah anasir tinggalan diktator Hosni Mubarak yang terdiri daripada Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF), para hakim Mahkamah Tinggi Perlembagaan Mesir yang sekular dan anti-Islamis, serta kroni industri pro-Mubarak (dan Tamrroud anti-Ikhwan Muslimin). 

SCAF sebagai contoh, kononnya menjadi ‘perantara’ rakyat Mesir dengan kerajaan apabila berlaku peralihan kuasa.  Namun pada hakikatnya, ia hanyalah sekelompok elit yang menjaga kepentingan masing-masing – jauh mengatasi kepentingan rakyat Mesir. 

Ramai pihak menuduh kononnya Dr. Morsi tergesa-gesa dalam cubaan mereformasi angkatan tentera Mesir – contohnya tindakan beliau melucutkan kedudukan Panglima Mohamed Hussein Tantawi dan Leftenan Jeneral Sami Hafez Anan serta memecat Pengarah Perisikan Murad Muwafi. 

Namun pada hakikatnya Dr. Morsi telah berusaha mengimbangi tuntutan tentera – langkah sama yang dilakukan Erdogan di Turki – termasuklah memberi pelbagai kelebihan kepada belanjawan dan syarikat milik tentera.  Contohnya ialah pengecualian pemotongan subsidi minyak, imuniti daripada semakan dan kawalan belanjawan, dan juga autonomi sistem buruh yang diamalkan syarikat milik tentera Mesir.

Malah, tentera Mesir melalui SCAF juga menerima beberapa keutamaan dalam projek kerajaan seperti projek automotif Al-Nasr Automotive Manufacturing Company (NASCO) yang diserahkan kepada Kementerian Pengeluaran Pertahanan dan juga projek tablet ala-iPad Mesir, Inar yang diberi kepada Benha Electronics Company (Benha) yang sebahagiannya juga milik Kementerian Pengeluaran Pertahanan Mesir.

Kerajaan FJP pimpinan Dr. Morsi juga bertindak menghentikan rancangan penswastaan besar-besaran aset kerajaan – termasuklah syarikat-syarikat milik tentera Mesir. 

Selain itu, Dr. Morsi turut memberikan posisi yang tinggi kepada para pegawai tentera di Autoriti Terusan Suez, Pertubuhan Arab untuk Perindustrian, dan juga kedudukan di Kementerian Pertahanan – di samping berjanji mewujudkan kehadiran tentera Mesir di Sinai dan juga mempelbagaikan sumber persenjataan asing dan latihan buat tentera Mesir.

Walau bagaimanapun, kerajaan Dr. Morsi juga mengusahakan pengurangan monopoli tentera dalam projek berskala besar dan berimpak tinggi Mesir seperti dalam kes Projek Pembangunan Koridor Terusan Suez. 

Rancangan Dr. Morsi untuk menjadikan Terusan Suez sebagai hab logistik dan pusat pembuatan barangan berat global ini tentulah menarik firma-firma berkaitan tentera yang dominan di Mesir seperti kilang pembuatan menara, kotak gear, dan juga bilah fiberglass yang digunakan dalam turbin angin. 

Namun begitu, kerajaan Dr. Morsi bertindak meletakkan posisi pembuatan keputusan tertinggi projek gergasi ini di tangan Timbalan Perdana Menteri yang melapor secara terus kepada beliau, sekali gus mengetepikan kedudukan dominan tentera Mesir.

Langkah inilah sebenarnya yang membawa kepada rampasan kuasa tentera menjatuhkan kerajaan Dr. Morsi.

Mahkamah Tinggi Perlembagaan Mesir menjadi ancaman seterusnya yang berusaha menggugat kerajaan Dr. Morsi dahulu.  Contoh yang paling nyata apabila ia bertindak membubarkan Dewan Perwakilan Rakyat yang dipilih rakyat pada Jun 2012 – sejurus sebelum Dr. Morsi memenangi pilihan raya Presiden dalam bulan yang sama.  Pembubaran ini susulan kejayaan Ikhwan Muslimin melalui parti FJP menguasai majoriti kerusi parlimen pada waktu itu.

Kerajaan Dr. Morsi juga difitnah cuba menjadi diktator semata-mata kerana mengusahakan pemusatan kuasa eksekutif di tangan Presiden.  Hakikat sebenarnya ialah langkah ini terpaksa diambil bagi melindungi proses penggubalan Perlembagaan Mesir agar selari dengan keseimbangan antara hak asasi manusia dan Syariah. 

Langkah ini jelas bersifat pencegahan kerana kuasa eksekutif yang kuat diperlukan untuk melindungi Perlembagaan daripada disabotaj para hakim pro-bekas diktator, Hosni Mubarak yang jelas menguasai Mahkamah Tinggi Perlembagaan Mesir.

Akibat pakatan tentera Mesir dengan firma-firma gergasi (yang sengaja menjahanamkan bekalan tenaga dan keperluan asas rakyat selepas kemenangan FJP pimpinan Dr. Morsi) serta media (seperti Nilesat yang menguasai satelit strategik dalam menyiarkan berita palsu dan fitnah), emosi sebahagian rakyat Mesir telah dibakar untuk sekali lagi berhimpun – kali ini memberi tekanan ke atas kerajaan Morsi agar meletak jawatan. 

Sejarah menjadi saksi betapa akhirnya Dr. Morsi telah ditahan dan digulingkan oleh tentera Mesir di bawah al-Sisi – yang hari ini telah membawa kerosakan dahsyat ke atas kehidupan rakyat Mesir dan juga sistem politik mereka akibat ketiadaan ilmu pentadbiran dan juga kerakusan membolot hasil negara ke tangan kroni tentera.

Campur tangan asing juga jelas menjadi faktor besar dalam konteks politik Mesir ini – negara seperti Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dikesan menyalurkan dana berulang kali kepada para jeneral tentera Mesir dalam merencana gerakan Tamarroud bagi menjatuhkan kerajaan FJP Dr. Morsi.

Arab Saudi juga secara terbuka dinamakan sebagai antara perancang utama gerakan rampasan kuasa tentera ini dengan kerjasama erat Jeneral al-Sisi yang ketika itu merupakan Menteri Pertahanan.  Tidak menghairankan sama sekali apabila hanya seminggu selepas Dr. Morsi dijatuhkan, UAE telah menjanjikan sokongan sebanyak USD3 bilion manakala Arab Saudi pula menjanjikan USD5 bilion kepada rejim tentera Mesir pro-Israel pimpinan al-Sisi itu (UAE juga didakwa kerajaan AKP pimpinan Erdogan sebagai dalang rampasan kuasa Turki pada 2016).

Saat ini, Dr. Morsi berdepan dengan beberapa siri hukuman penjara yang panjang di bawah rejim al-Sisi seperti penjara seumur hidup kerana dituduh menjadi ‘perisik’ kepada gerakan Islamis Palestin, Hamas. 

Beliau setakat ini telah dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun atas tuduhan melakukan kekerasan ke atas perusuh pada Disember 2012 sebelum ditambah lagi hukuman penjara selama 25 tahun kerana dituduh menjadi ‘perisik’ Qatar.

Sebelum ini beliau turut berdepan hukuman mati pada 2015 atas tuduhan melarikan diri dari penjara sewaktu Revolusi Mesir 2011 namun ia telah ditarik balik atas tekanan dalaman dan juga tekanan antarabangsa.

Sama-sama kita doakan semoga Allah melindungi Dr. Mohamed Morsi – seorang lelaki hafiz al-Quran dengan ijazah kedoktoran dalam bidang kejuruteraan yang telah mengorbankan segala-galanya demi tanggungjawab yang tidak diminta-minta, tanggungjawab yang tidak dijadikan lubuk kontrak dan projek ketua bahagian parti, tanggungjawab yang kini direhatkan dari bahunya.


* Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkelulusan Research Master dari Utrecht University, Belanda (2014) dan kini merupakan calon Doktor Falsafah di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda.

TUJUH NASIHAT RUMI oleh Roslan Ab Hamid

TUJUH NASIHAT RUMI
.
1. Mawlana Jalāl ad-Dīn Muhammad Rūmī, lahir 1207 di Afghanistan dan meninggal 1273 di Konya, Turki menulis, "Berhenti bertindak kecil kecilan. Anda adalah alam semesta dalam gerakan gembira". "Jangan melihat ke luar. Lihat lah ke dalam diri dan cari lah arti dan tujuan itu"
.
2. Nasihat nasihat Rumi amat bermakna. Pertama, dari segi kemurahan hati dan membantu orang lain. Dalam hal kedermawan dan menolong orang, jadilah seperti sungai. Rumi kata, jadi seperti sungai yang terus mengalir tanpa henti tanpa kembali. Bukankah satu kebaikan yang kita tanam akan menjadi pokok kebaikan? 
.
3. Dari pokok kebaikan, akan ada buah kebaikan yang banyak. Ini bermakna bahawa satu kebaikan yang kita lakukan, Tuhan akan membalas dengan kebaikan yang bertambah baik terutama jika kebaikan itu dilakukan secara berterusan. Konsistensi dan frekuensi.
.
4. Kedua, ada bait kata puisi dari karya Jalaluddin Rumi yang terkenal iaitu "Dengan hidup hanya sepanjang nafas, jangan menanam apa-apa kecuali cinta" Dalam hal kasih sayang dan cinta, jadi lah matahari. Maksudnya ialah hidup hanya persinggahan, jangan biarkan kebencian menguasai diri. Usahakan mencintai sebanyak mungkin untuk orang di sekeliling kita. Memberi kehangatan kepada siapa saja tanpa diskriminasi. Bukankah setiap manusia tidak suka pada kebencian?
.
5. Ketiga, dalam hal menutup keaiban orang, jadilah seperti malam. Malam gelap membuat orang tidak dapat melihat apa-apa. Inilah perumpamaan, sebagai manusia, mesti menutup aib saudaranya. Seseorang yang diberi mandat untuk menyimpan rahsia mestilah seperti malam yang menutup rapat tanpa membocorkannya.
.
6. Keempat. Dalam hal marah, jadilah seperti orang mati. Ketahuilah, kemarahan itu seperti bara api di hati orang-orang yang boleh memusnahkan diri. Ini dapat dilihat dari kemerahan kedua-dua mata dan ketegangan urat di leher orang yang dikendalikan oleh kemarahan. 
.
7. Mengawal kemarahan bukanlah perkara yang mudah. Cara yang paling berkesan adalah untuk diam. Kerana keputusan yang diambil dalam kemarahan boleh menjadi keputusan yang salah.
.
8. Kelima. Dalam hal kesederhaan dan kerendahan hati jadi lah seperti bumi. Bumi selalu menempatkan dirinya di bawah walaupun kadang-kadang ia lebih baik daripada langit. Sebagai manusia biasa yang penuh dengan kekurangan, tidak ada apa yang dapat kita kongsi, termasuk pengetahuan yang kita rasa "hak milik" kita. 
.
9. Terdapat tiga tahap orang yang berpengetahuan, iaitu: ada 3 tingkatan orang berilmu iaitu: 
.
+ Pertama, orang berilmu yang dengan ilmunya menjadikan orang itu merasa pintar. Ini timbulkan riak dan bongkak.
+ Kedua, orang berilmu yang dengan ilmunya menjadikan seseorang itu disukai Allah dan dicintai orang (tawadu). 
+ Terakhir orang berilmu yang dengan ilmunya menjadikan dirinya semakin tidak tahu apa-apa”. Artinya bahwa kerendahan hati seseorang dapat dicapai salah satunya dengan ilmu. 
.
10. Bina insaf diri. Jadilah manusia yang penuh kerendahan hati kerana Tuhan tidak menyukai sifat sombong. Sedikit ada lintasan sombong akan menjauhkan kita dari Syurga Allah.
.
11. Keenam. Dalam hal tolerasi jadilah seperti laut. Hidup dengan keberagam kepelbagaian menuntut seseorang harus boleh saling menghargai satu sama lain. Jadilah seperti laut yang mempunyai sifat lapang dan siap menampung setiap pandangan-pandangan berbeza. 
.
12. Laut itu menampung jutaan khazanah alam. Jangan jadikan perbezaan menjadi alat pemecah belah tetapi jadikan perbezaan ini sebagai sebuah alat pemersatu. Caranya adalah dengan toleransi. 
.
13. Jadikanlah perbezaan yang ada sebagai penambah khazanah ilmu pengetahuan. Pegang teguh pada prinsip. Tetapkan dalam diri mana yang menjadi pilihan kita dan sentiasa hormati apa jua keputusan orang lain.
.
14. Ketujuh. Tampil sebagai diri kita seadanya dan jadilah diri pada masa keseorangan sebagaimana diri kita pada luaran. Hiduplah dengan penuh kejujuran dengan menampilkan jati diri dengan apa adanya. 
.
15. Pada dasarnya kejujuran merupakan kunci bagi seseorang jika ingin dipercaya. Setiap rezeki yang dihasilkan dari kejujuran pastilah akan menjadi energi positif yang menghadirkan kebahagian dan kedamaian dalam jiwa. Hidup jujur itu menyihatkan. Fikiran dan emosi akan selalu berada dalam zon positif. Zon perkembangan yang membahagiakan.

Ucapan Profesor Matematik Melayu pertama Shaharir Mohd Zain ketika menerima gelar Profesor Emeritus daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tuan-Puan patut baca ini. Ucapan Profesor Matematik Melayu pertama Shaharir Mohd Zain ketika menerima gelar Profesor Emeritus daripada Universiti Kebangsaan Malaysia. Universiti yang ditubuhkan dengan keringat dan air mata untuk menyaksikan menerbitkan ilmu dan sains dalam bahasa sendiri.

PENILAIAN ILMU MENERUSI WARISAN SENDIRI.

Bersyukurlah kita kepada Allah SWT yang masih mengizinkan kita bersama melangsungkan majlis ini.

Saya berterima kasih kepada rakan-rakan di Pusat Pengajian Sains Matematik dan khususnya Dekan Fakulti Sains yang berusaha memuliakan saya hingga saya berada di sini. Kata-kata manis dan menjulang tinggi budi dan sumbangan keilmuwan saya baharu sekejap tadi sungguh menyerba-salahkan saya dan tiadalah dapat dibalas dengan lebih daripada terima kasih jua.

Saya pastinya juga berterima kasih amat kepada kepemimpinan utama universiti yang menyanjungi saya sehingga menyantuni saya seperti hari ini lalu meluncurkan saya ke awangan.

ORANG UNJUR KITA TADAH

ORANG BERTUTUR KITA BERMADAH

Pohon ikutilah ceritera rasa saya ini selanjutnya.

Jika menggunakan istilah bahasa Melayu yang terpahat pada batu bersurat Talang Tuwo di Sumatera bertarikh 684 M, UKM pada saya sebuah parlak keilmuwan. Ini metafora perlak saya daripada makna asalnya, sebuah taman botani diraja yang indah permai dengan anak-anak sungainya dan dipastikan mengandungi segala pokok yang boleh dimakan buah atau isinya untuk subahagia rakyatnya. Itulah ibaratnya kerana bagi saya, UKM berupa tempat yang ada pelbagai muara imu daripada sebuah sungai yang berliku yang anu hulunya dan berpencarlah anaknya yang berlubuk dan bermengabang mencipta kubang menjadi tempat-tempat bermandi-manda dan kekadang menyelam ke lubuk setelah puas berkubang dan bermandi-manda berpuisi, berprosa, berujikaji dan bercanda kata, mencipta pusaka.

Saya seorang daripada warga ilmuwan itu yang pernah berada di muara bernama Fakulti Sains dan berlubukkan sains matematik, bermengabangkan matematik fizik dan berkubangkan mekanik quantum dan matematik kewangan. Itulah sebabnya setelah berkelana dari UKM hampir sedasawarsa dan hari ini ditatangi dan disantuni oleh pemegang amanah institusi ini, maka saya terasa begitu sebak di hati dalam mengenang baik hati dan budi dalam rindu.

Saya percaya penghargaan ini bukan suatu pembanggaan atau penyanjungan terhadap saya dalam nirvana keilmuwan saya tetapi saya anggap suatu pertaruhan tahap kepercayaan terhadap kekuatan hati-budi saya yang mungkin menjanjikan harapan dan gapaian lebih tinggi dalam beberapa impian bersama. Dua daripada unsur kepercayaan itu saya kira adalah terhadap perkara yang sudah disebut dalam ucapan Dekan Fakulti Sains tadi, iaitu yang saya ingin ungkapkan semula sebagai wahana pewarisan ilmu UKM, dan penilaian semula ilmu di muara-muara yang selama ini dianggap tidak mungkin berhulukan di pergunungan sendiri.

Perkara wahana pewarisan ilmu UKM , iaitu pengantar ilmu kepada para pelajar UKM, sejak dalam sedasawarsa kebelakangan ini, sering menjadi igauan dan tangisan rakyat terbanyak terutamanya mereka yang mengikuti sejarah dan matlamat penubuhan universiti ini. Mereka sudah menangis dan sekali sekala meraung sejak UKM menyahut dasar PPSMI pada 2003 dahulu lagi tetapi berhenti terisak-isak pada 2011 apabila kerajaaan mengisytiharkan pemansuhan dasar tersebut di sekolah dan mengeluarkan juga Pelan (Tindakan) Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pengajian Tinggi 2011-2015 dengan harapan UKM dengan penuh kebijaksanaannya meniti Pelan tersebut. Mereka memerhati sesaujana akan penitian UKM ini dan sehingga kini isakan mereka masih belum dapat dihentikan, walaupun mereka juga menerima desiran gemalai pemimpin baharu UKM yang meniup wawasan mengembalikan wahana ilmu UKM, sesuai dengan Pelan Tindakan tersebut yang tinggal hanya setahun sahaja lagi tetapi mereka mengharap-harap akan disambung dengan Pelan Tindakan Kedua dan seterusnya. Penghargaan yang diberi kepada saya hari ini memberi harapan impian baharu saya sendiri pula tentang kealangkahan manisnya pula rasanya jika saya dicekau untuk dipergunakan atau diperhambakan saya bagi tujuan merealisasikan impian murni kepemimpinan baharu UKM kini.

Perkara penilaian semula ilmu memang menjadi perjuangan dalam buana keilmuwan saya sejak 1980-an dan tugas paling berat hingga kini ialah meyakinkan sarjana kesebidangan dengan saya, sains matematik, menerima hakikat sarat-nilainya ilmu. Bukan sahaja kerana ajaran agama Islam tidak memisahkan ilmu dengan iman (agama), iaitu “ilmu” yang terpisah atau tidak mempedulikan iman tidak diiktiraf Islam sebagai ilmu tetapi cuma bertaraf pengetahuan sahaja (yang perlu dipertingkatkan martabatnya ke singhasana ilmu), menyebabkan ilmu semestinya sarat nilai iman itu.

Bukti sarat-nilainya atau tidak semestanya ilmu pasti akan terbukti jika seseorang menilai ilmu yang diajar kepada pelajarnya atau yang diselidikinya sendiri itu dalam acuan sistem kepercayaan batinnya sendiri. Yang termudahnya, tetapi kini semakin sukar kerana wahana ilmu dipaksa dalam bahasa Inggeris sahaja, ialah melihat istilah penting dalam sesebuah ilmu itu dalam bahasa Melayu. Contohnya, istilah optimum yang menjadi satu istilah besar dalam matematik tulen dan ekonomi dan pengurusan yang maknanya dalam bahasa Inggeris biasa ialah “the best” dan matematiknya begitu canggih itu, amatlah sukar menyedari tidak semestanya konsep optimum itu.

Akan tetapi sebaik sahaja istilah optimum ini dijelaskan dalam bahasa Melayu sebagai model untuk melaksanakan makna yang dimaksudkan dengan kata sifat “yang paling baik” hampir dengan serta-mertalah rasanya seseorang akan menyedari yang kita ada makna “paling baik” yang amat berbeza dan yang memerlukan matematik yang berbeza. Bahkan “paling baik” dalam kebudayaan Melayu ialah “berpada-pada” (buat baik tidak dinasihatkan supaya seoptimum mungkin) dan apabila dihayati nilai islam pula maka “yang terbaik” ialah “yang wusta” sehingga memerlukan matematik baharu yang layak dinamai matematik pewustaan bagi menggantikan matematik pengoptimuman itu.

Begitulah juga halnya istilah “pembangunan” dengan development yang selama ini kita dikelabui dengan kebenaran teori pembangunan yang berasaskan kepada konsep development, bukannya pembangunan dalam pengertian sebenar istilah dalam Bahasa Melayu yang berasal daripada “bangun” itu dan adanya sejarah dasar pembangunan kita yang asli pada zaman Sriwijaya yang bermatlamatkan subahagia, bukannya bermatalamatkan kebendaan atau kejasmanian secara dominannya.

Penilaian ilmu menerusi aspek lainnya mungkin lebih sukar lagi, tetapi tetap perlu diterokai, iaitu menerusi pemeriksaan falsafah sesebuah ilmu yang besar kemungkinannya akan menerbitkan falsafah ilmu kita yang berhulukan sungai Thames itu betentangan dengan falsafah keagamaan kita seperti falsafah dalam fizik teori ialah ateisme, deisisme (tuhan tak relevan) atau apedulisme (falsafah tak peduli apa agama pun) atau peduli agama bukan Islam seperti Hinduisme dalam sebuah teori mekanik quantum.

Penilaian yang juga sukar caranya tetapi masih juga perlu dilakukan ialah penilaian aksiom sesebuah teori seperti aksiom teori kejadian alam semesta ini (terkenalnya teori deguman besar itu) beraksiomkan “dari ada kepada ada” sedangkan aksiom yang kejadian mengikut Islam ialah “dari tiada kepada ada.”

Penilaian atau kritikan ilmu juga amat berpotensi dapat dilakukan menerusi penggalian khazanah ilmu kita sendiri sejak abad ke-5 M dahulu, iaitu yang ditulis dalam Bahasa Melayu di batu-batu bersurat (dalam huruf Palawa dari India) dan manuskrip Melayu sejak abad ke-13 M (dalam huruf Jawi dari Arab). Penyelidikan etnoilmu dalam Bahasa Melayu ini sekaligus membantu kita mengurangkan rasa rendah diri kita berbanding dengan Eropah (Inggeris terutamanya) dan memupuk rasa pertriotisme yang lebih tinggi kerana ketiadaan pengetahuan adanya ilmu kita sendiri dalam Bahasa Melayu ) sejak abad ke-5 Masihi menyebabkan ilmu yang kita ajar sekarang amat berpusatkan Eropah (kalau pun bukan Inggeris) yang memudahkan lagi pengenyahan kebudayaan kita sendiri.

Penilaian ilmu menerusi falsafah dan aksiom ilmu serta warisan ilmu sendiri memerlukan keinsafan kepada kemuliaan sistem nilai dan sistem kepercayaan kita sendiri serta sebahagian daripada pencapaian tamadun kita sendiri berbanding dengan hak orang lain. Lagi sekali saya bukan sahaja berhasrat menyemarakkan bidang kritikan ilmu ini malah sangguplah diperhambakan diri ini dalam pemupukan keinsafan ini di muara bidang saya nanti, jika peluang dan ruang diberikan nanti, insya Allah.

Y. Amat Bhg Tun Procanselor, para pemimpin UKM yang dihormati, dan para hadirin yang bersabar sekalian) demikian sedikit cetusan rasa yang tidak sepertinya ini untuk renungan para hadirin sekalian terutamanya rakan-rakan kesebidangan saya, dan para graduan semuanya, demi gambaran wawasan dan impian bersama kita tentang wajah ilmu kita nanti bagi memajukan dan mengindahkan lagi parlak keilmuwan khususnya di UKM ini atas landasan asal kewujudan universiti ini.

Akhir kata, lagi sekali, terima kasih tak tepermanainya kepada semua peringkat kepemimpinan Universiti.

*Ucapan balas penerimaan Profesor Emeritus UKM, dibaca pada petang 3 Okt 2014 di Dewan Cancelor UKM. Judul untuk tujuan penyiaran oleh Roketkini. Teks ucapan ini disiarkan seadanya tanpa sebarang penyuntingan.

**Shaharir Mohamad Zain adalah bekas Profesor Matematik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Mantan Presiden ASASI ini adalah pakar dalam bidang Matematik, Fizik Kuantum, Sains Islam, Etnomatematik, Etnosains dan Bahasa Melayu.

Pernah bertugas sebagai Zamil Penyelidik Kanan di Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya, Shaharir adalah salah seorang intelektual yang bukan sahaja menguasai bidangnya dengan mendalam, tapi juga berani meneroka bidang lain.

Shaharir adalah Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) dan pelopor gagasan pemeribumian ilmu dalam konteks tamadun Melayu.

Beliau telah menulis 24 buah buku, menerjemah lima buah buku terutamanya bidang falsafah sains, serta menjadi penyunting bagi 10 buah buku di samping ratusan jurnal, makalah, prasidang yang rentas-bidang.

13 SAHABAT PEMBINA MOMENTUM oleh Roslan Ab Hamid

13 SAHABAT PEMBINA MOMENTUM
.
Kelilingi diri dalam lingkungan 13 orang yang ada aura sebegini.
.
1. Pertama, mereka yang berjiwa besar dan punya ambisius (cita cita) tinggi. Mereka yang melepasi perkara keduniaan. Mereka yang ada visi akhirat.
.
2. Kedua, Mereka yang sentiasa berpagi pagi -optimis, positif dan bahagia.
.
2. Kedua, mereka yang ada idea bernas serta ambil keputusan melakukannya dengan penuh kesungguhan.
.
3. Mereka yang memiliki misi dan ingin mencapai tujuan yang sama dengan kita.
.
4. Mereka yang merupakan pencari solusi dan pemecah masalah yang bijak.
.
5. Mereka yang dapat membantu memanfaatkan potensi dan menemukan apa yang terbaik untuk kita. Teguran mereka mungkin keras namun jelas ia ikhlas.
.
6. Mereka yang dapat menginspirasi diri dan sentiasa berikan contoh terbaik. Pada diri mereka ada jejak kesuksesan yang jelas.
.
8. Mereka yang selalu bergerak maju dalam kehidupan. Tidak berkeluh kesah. Tidak ambil kisah pada kutukan dan cacian.
.
9. Mereka yang dapat memberikan pandangan atau umpan balik (feedback) yang benar.
.
10. Mereka yang berjanji serta menepati janji mereka.
.
11. Mereka yang menerima kita dengan seadanya. Sabar dengan kelemahan diri kita.
.
12. Mereka yang beriman dan berpesan pesan dengan kebenaran dan kesabaran.
.
13. Mereka yang berjanji untuk berjiran di syurga.

Macai dan Kemacaian Politik oleh Fathi Aris Omar

Macai dan kemacaian seseorang bermula semudah ini sahaja: kita mengundi parti yang menang dan kita rasa menjadi sebahagian daripada [rangkaian kuasa] kerajaan.

Jadi apabila ada pihak lain sindir, perlekeh dan kritik kerajaan, kita tiba-tiba mudah tersinggung. Hati kita terasa panas, dan kita mudah melenting untuk mempertahanan parti [kerajaan] itu.

Sepatutnya kita hanya mengundi perubahan dan selalu mengawasi perjalanan kerajaan demi memastikan perubahan itu dilaksanakan; bukan menjadi macai.

Namun ia selalunya tidak berlaku begitu kerana kita rasa menjadi "sebahagian" rangkaian kuasa itu!

Padahal rakyat, selepas membuang undi, kerja mereka sepatutnya mengawasi kuasa. Mengawasi ertinya berhati-hati, selalu waspada dan mencurigai gerak pemimpin kerajaan. Kerana di tangan mereka ada amanah yang kita sampaikan melalui undi kita. Tetapi tidak jadi begitu pula.

Pengundi tidak dapat "menjarakkan diri" daripada kuasa kerana kemenangan itu atau kerana setuju dengan dasar [manifesto] kerajaan itu atau kerana suka pada pemimpin kerajaan tertentu.

Pengundi, pada asalnya rakyat biasa yang memilih, "menganut" kekuasaan [macam memeluk agama] dan "memperibadikan" unsur kekuasaan itu [seakan-akan sebahagian keluarga kita].***

Macam kita terasa kalau ibu bapa kita dimaki atau adik-beradik kita dikeji. Macam kita terasa jika anutan agama kita terusik.

Demikian hebatnya kuasa memacaikan seseorang; menukar pengundi, rakyat biasa, menjadi ejen kekuasaan tidak rasmi.

Padahal kita bukan anggota parti atau dekat dengan aktivis parti atau anak penggiat parti. Kita hanya pengundi biasa tetapi "dirasuk" unsur kuasa itu. Ajaib, memang ganjil.

Dulu penyokong BN mengalami psikologi ini, kini penyokong PH pula menganutnya.

*** TAMBAHAN: Psikologi ini, rasa kebersamaan, macam kita berada di tengah keluarga dan di kampung halaman. Sense of belonging.

Kalau kita sokong PAS, kita tiba-tiba rasa Kuala Terengganu diperintah oleh "kita". Kalau kita sokong PH pula, mula tumbuh perasaan Putrajaya dan Dataran Merdeka "kita punya". Tiba-tiba ia muncul...

SEMANGAT MEMBANGSA YANG MUDAH TERPADAM oleh Roslan Ab Hamid

SEMANGAT MEMBANGSA YANG MUDAH TERPADAM
.
1. Sebulan lepas, sekitar November, kalangan orang kuat partai cuba timbukan semangat Melayu dengan kempen boikot kedai Cina. Seperti biasa, semua ini akan gagal apabila ia dimulakan hanya dengan bekal "semangat politik".
.
2. Beberapa buah bas cuba diangkut untuk membeli di ST Rosyam Mart. Saya senyum sahaja. Benarlah semangat tidak akan lama dapat mengugat. Apatah lagi apabila ia di buat tanpa ada usul dan siasat.
.
3. Sekitar buan Jun,saya ada google, tentang usaha, pengusaha pasar borong, Sri Ternak Group of Companies, merancang membuka lebih banyak pasar raya berkonsep moden di Lembah Klang.
.
4. Pengarah Eksekutif Sri Ternak Group of Companies, Datuk Raymond Ho bekata pasar raya berkonsep  moden itu lebih menarik memandangkan pelanggan hari ini mengutamakan barangan harga patut.  Pada masa yang sama mahukan persekitaran membeli-belah yang selesa.
.
5. Ini kata Datuk Raymond Ho, “Kami yakin kedai berkonsep baharu ini akan menyediakan persekitaran lima bintang dan perkhidmatan bertaraf dunia, dan pada masa yang sama menjual barangan pada harga borong,” katanya kepada Bernama.
.
6. Dan Datuk Raymond Ho, berkata lagi, "Sri Ternak Group baru-baru ini melancarkan pasar raya berkonsep moden pertamanya, ST Rosyam Mart di Setiawangsa, secara usaha sama dengan selebriti Datuk Rosyam Nor. Ho berkata lagi, pasar raya baharu kumpulan itu yang dengan usaha sama Rosyam dilancarkan lepas Aidil Fitri.
.
7. ST Rosyam Mart yang beroperasi 24 jam merupakan  pasar raya keempat dalam kumpulan Sri Ternak Group, selepas dua premis di Selayang dan sebuah di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan.
.
8.  Garisbawahi, kita sokong Datuk Rosyam. Dia adalah usahawan yang hebat. Namun , jangan kita mainkan cerita bangsa dan agama hanya untuk semarakkan kempen boikot yang tidak kena pada tempat dan masa. Akhirnya kita yang malu sendiri.
.
9. Soal bisnes dan keusahawanan jangan ditimbulkan dalam amarah politik yang entah apa apa. Ia tidak akan ke mana mana dan kita akan jadi bulldozer orang politik sahaja akhirnya.

Thursday, January 3, 2019

ANNUAL BUSINESS PERFORMANCE REVIEW oleh Norizan Sharif

ANNUAL BUSINESS PERFORMANCE REVIEW

1. Sepanjang hari ini saya habiskan masa buat Annual Business Performance Review untuk bisnes kecil saya di sini.

2. Sekiranya anda belum buat lagi untuk bisnes anda, elok buat pada awal tahun ini. Kalau sudah buat pada tahun lepas, tahniah.

3. Dengan buat Annual Business Performance Review, kita boleh tahu tahap "kesihatan" bisnes kita, membuat penjajaran semula (realignment) dan menentukan sasaran untuk tahun seterusnya.

4. Dalam konteks bisnes saya, saya buat perkara-perkara berikut:

PERTAMA, saya review visi dan misi. Adakah visi dan misi kita patut kekal atau berubah. Visi dan misi sama seperti tayar masuk lubang. Apabila tayar gelong, buat penjajaran semula.

KEDUA, saya review prestasi kewangan. Kita boleh bandingkan prestasi kewangan tahun ini dengan tahun sebelumnya. Apakah perubahan yang berlaku?

Berapa peratus bertambah / berkurangan perolehan (revenue)? Adakah pertambahan / pengurangan ini diselaraskan dengan kos operasi? Apakah kos operasi / sumber yang telah / perlu diselaraskan?

Berapa peratuskan perolehan kita datang dari core activities dan non-core activities? Adakah kita nak kekal peratusan ini, atau terbalikkan pada tahun seterusnya?

KETIGA, saya review impak sosial (non-financial impacts). Berapa ramaikah yang mendapat manfaat secara langsung atau tak langsung dari bisnes yang kita lakukan? Apakah kesan sosial kepada kehidupan mereka?

KEEMPAT, saya review semula milestones, sasaran kewangan dan sosial untuk tahun seterusnya. Sekiranya prestasi tahun lepas menunjukkan sasaran tahun ini boleh dikekalkan, saya kekalkan. Sekiranya tidak, saya pinda.

Dan KELIMA ialah saya review semula business plan. Saya buat business plan dalam bentuk PowerPoint dan ia saya sesuaikan dengan keputusan review tersebut.

Setiap usahawan mesti jadikan business plan sebagai "living document."

5. Sama ada pendapatan bisnes anda RM10K setahun, RM100K setahun, RM1 juta setahun atau RM100 juta setahun, buat Annual Business Performance Review.

Wednesday, January 2, 2019

Cabaran 2019 dan gugatan dalaman agenda pembaharuan oleh Ahmad Lutfi Othman



Tahun yang mengukir sejarah, 2018, baru berlalu. Ia bukan sahaja meninggalkan di belakang memori indah paling manis, tetapi juga membentangkan di hadapan, cabaran berliku 2019 bagi membina semula negara yang hampir hancur.

Runtuhnya regim yang dianggap kebal zaman berzaman — Umno-BN — adalah peristiwa cukup besar dan menakjubkan. Terus merayakannya adalah langkah wajar meskipun kita sudah menginjak ke tahun baharu selepas lapan bulan revolusi elektoral yang mengujakan itu.

Berdekad lamanya, kita mencuba pelbagai cara dan strategi untuk menewaskan penguasa zalim dan rasuah itu tetapi tidak terkalahkan. Terselit harapan demi harapan, seperti pada PRU1990 tetapi sinarnya pudar pada 1995. Muncul semula dengan keyakinan lebih menyerlah pada PRU1999 tetapi dikecewakan bagai kaca terhempas pada 2004.

Tanpa siapa menduga selepas empat tahun BN menang gemilang meraih lebih 90 peratus kerusi Parlimen, dalam PRU2008, lima negeri ditawan pembangkang, dan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat berjaya dinafikan. Impian menukar kerajaan muncul semula.

PRU2013 ditunggu penuh ghairah sehingga Najib Razak sukar memilih tarikh pembubaran Parlimen. Gabungan oposisi perlukan satu lagi lonjakan tangkas untuk meranapkan dinasti Umno-BN. Meskipun menguasai undi popular sekitar 52 peratus, dan jumlah kerusi Dewan Rakyat meningkat namun Pakatan Rakyat hilang Kedah dan Perak.

Duka itu berlanjutan apabila koalisis pembangkang bercempera. Perbedaan gagal diuruskan secara hikmah dan bijaksana. Anwar Ibrahim dihumban semula ke penjara. Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyejukkan mata kembali ke Rahmatullah. Pas dan DAP bergerak semula ke posisi asal;dua kutub yang bertentangan. Seterusnya Pas terbelah dua.

Harapan pudar dan hampir padam, bagai sumbu kehabisan minyak. Kita menunggu hampir enam dasawarsa untuk menyaksikan peralihan kerajaan, tetapi malangnya, yang muncul adalah barisan oposisi yang saling syak wasangka. Mujur ada petanda jelas di setiap penjuru bahawa majoriti rakyat sudah bersedia bangkit untuk berubah. Mereka mahu Malaysia baharu yang lebih adil, bebas, makmur, dan berintegriti.

Di sisi lain, pembangkang bukan hanya bersengketa tetapi ada gerak di sebalik tabir yang cuba membina hubungan sulit dengan elit penguasa. Ia tambah mengecewakan rakyat yang bertekad menolak penguasa korup tetapi risau dengan prestasi seteru BN.

Politik sentiasa dinamik dan bergejolak. Terbuka kepada pelbagai kemungkinan dan potensi. Justeru, hakiskan segala rasa putus asa dan patah hati. Oposisi tidak sehaluan, namun Umno lebih bergolak kencang.

Rasuah makin membengkak. Dana kerajaan dicuri besar-besaran. Kehidupan rakyat tambah perit. Ditindan cukai yang menekan setiap warga. Mereka hanya memerlukan sedikit keyakinan untuk memilih kerajaan baharu yang lebih baik. Sekian lama rakyat didakyahkan propaganda buruk tentang pemerintahan alternatif.

Sebenarnya yang diperlukan hanyalah peratusan kecil undi Melayu yang beralih. Tengku Razaleigh Hamzah ada baktinya. Anwar Ibrahim ada jasanya. Pimpinan Pas, seperti Ustaz Fadzil Noor dan Ustaz Nik Aziz ada peranan besarnya. Kita cuma menunggu pelengkap kepada satu kitaran yang hampir sempurna.

Selepas Pas terbahagi, dan perkembangan itu dikira menyambung hayat Umno-Najib, harapan lebih tertumpu kepada perpecahan dalaman Umno apabila Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal memberontak. Lebih penting lagi, majoriti Melayu yang tidak berparti terpengaruh dengan aksi tiga tokoh itu. Bagaimana psikik Melayu dapat dilenturkan untuk lebih terbuka menerima kemungkinan regim Umno-BN boleh diganti.

Merentasi isu-isu dalaman parti politik, rakyat lebih terkesan dengan himpitan hidup seharian, muak dengan gaya super mewah pembesar dan isteri, jijik terhadap keangkuhan penguasa yang curang dan menghargai personaliti Mahathir sebagai kepala lokomotif perubahan.

Justeru, revolusi tanpa darah 9 Mei 2018 adalah manifestasi kebangkitan rakyat Malaysia yang cekal-berani. Ia bukan lagi hanya kekuatan tersudut parti-parti dalam Pakatan Harapan. Hinggakan calon Bebas pun boleh menang besar menewaskan BN. Ada wakil PH yang tidak terurus kempennya, kontang kantung dananya, turut menang bergaya. Sumbatlah segala tohmahan untuk memburukkan PH, canangkanlah DAP menjadi kuasa dominan, hebahlah parti Melayu sekadar tunggangan, namun majoriti rakyat sudah buat keputusan mantap, regim kleptokrasi ini mesti dihumban turun.

Benar, hikayat era perubahan baru bermula. Pembersihan mulai berjalan tetapi semak-samun masih menganggu. Pembaharuan perlahan-lahan mengisi tempat. Banyak janji belum tertunai. Rakyat tertunggu-tunggu dan mungkin ada yang tidak sabar. Maka, jangan diserabutkan lagi oleh tingkah-laku serta karenah sang menteri dan pendukung parti. Zaman baharu menuntut ditinggalkan budaya dan amalan lapuk yang merosakkan.

Ya, tidak mudah mengendalikan empat atau lima parti dalam sebuah kerajaan baharu. Masing-masing pula dalam proses pengembangan dan pemantapan. Sebahagiannya seolah-olah bertindih konstituensi yang sama. Apatah lagi tiap parti nampak seimbang, tiada “abang besar” dan kuasa dominan.

Jangan sesekali ambil mudah dengan seteru politik yang makin melemah untuk cuba sabotaj sesama sendiri. Usah pandang enteng usaha Umno dan Pas mengeksploitasi sentimen kelompok Melayu. Belajarlah untuk saling menghargai sesama sekutu. Tidak perlu tamak menguasai sumber yang terhad.

Sedarlah, ada kuasa tersembunyi rakyat yang tidak terjangka momentumnya. Mereka mengundi untuk perubahan selepas letih menunggu lebih separuh kurun. Kesabaran seperti dahulu mungkin tidak berulang lagi.

Usah mengejar status majoriti dua pertiga di Parlimen sehingga melonggarkan prinsip dan integriti. Jika perlukan sokongan untuk meminda Perlembagaan, ia tidak semestinya dicapai hanya dengan undi penyokong kerajaan. Wacana dan debat perlu terus disuburkan.

Usaha pembaharuan terdedah kepada kritikan dan bantahan, termasuk daripada kalangan sendiri. Apabila kepentingan dan peluang terjejas, kawan pun bolrh bertukar lawan, sahabat boleh jadi musuh.

Wacana Paradoks Sejarah Melayu bersama tokoh Penulis Ustaz Rohidzir Rais


Friday, December 28, 2018

MOMENTUM 2019 - 21 PERKARA UTAMA oleh Dato Roslan Ab. Hamid

MOMENTUM 2019 - 21 PERKARA UTAMA 1/3
.
1. Hidup ini sementara. Sampai masa kita akan pulang ke kampong asal. Usia Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam 63 tahun . Titik disitu usia kita. Apabila dapat tambahan kira bonus untuk terus lakukan kebaikan. Sekarang, kira berapa minggu lagi ada berbaki.
.
"Dari Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Umur umatku antara 60 sampai 70 tahun. Dan sangat sedikit di antara mereka yang melewati itu" (HR Ibnu Majah dan Tirmidzi)
.
2. Setiap manusia, paling kurang ada 120 bakat. Gunakan bakat yang kita ingin kembangkan untuk berada di padang lebih besar. Usah bertunggu tangga di kampung yang sama. Sekurang kurangnya rentas nusantara ataupun pergi lebih jauh ke pelusuk dunia.
.
3. Jangan merasa terlalu sibuk untuk buat baik. Sebarkan kebaikan. Berjalan merata dunia di mana sahaja. Berikan 10% dari pendapatan untuk kerja kerja baik. Berikan 10% dari masa untuk buat kebaikan.
.
4. Genius dalam apa jua bidang terletak pada "kegilaan luar biasa" untuk melakukannya. Genius bahasa pada kekerapan menulis. Genius bisnes pada puluhan kali jatuh sebelum bangkit dengan perkasa.
.
5. Redah pada tempat yang paling kita takuti. Kita takut pada 3 tahun pertama belantara berpuaka. Redah aja. Paling teruk, hilang modal dan tumpukan hutang. Pada hujung ketakutan itu ada kesuksesan. Fokus ke mana ingin pergi bukan pada usikan jembalang yang mengilai mencaci
.
6. Masyarakat akan beritahu apa "reasonable and possible" . Apa yang masuk akal dan mungkin. Usah ambil peduli sangat. Redah dan dengan suara hati. Naluri akan berkata benar apabila jiwa kita jauh dari iri hati dan dengki.
.
7. Berapa banyak yang kita mahu laburkan untuk "Pendidikan Profesional dan Pengembangan Pribadi" pada tahun 2019. Ganda tiga pelaburan kita untuk hal ini dan pendapatan kita akan mengganda dua.






MOMENTUM 2019 - 21 PERKARA UTAMA 2/3
.
8. Apabila kita tergolong sebagai yang paling pintar dalam bilik mesyuarat, tinggalkan segera kamar perbincangan itu. Ia membawa makna kita berada pada tempat yang salah. Ia juga mungkin salah pada tingkah kita yang lebih banyak berkaca mata dari bercermin muka.
.
Sentiasa lingkung diri dengan mereka yang lebih baik dari kita. Dengar dengar dan dengar. Buat rumusan dalam tulisan dan bertindak segera sebaik sahaja perbincangan tamat. Itu namanya Gerak Tindak Lanjut.
.
9. Performa luar biasa (epic performance) datangnya dari kebolehan untuk berkata "tidak". Ia bukan datang dari perkataan "ya". Jangan mudah mengangguk pada semua tugasan. .
.
Buat apa yang dalam upaya kita dan lakukan dengan cemerlang. Siap untuk buat perkara yang belum pernah kita buat. Cuma berikan tempoh percubaan 6 bulan hingga setahun pada perkara belum pernah dibuat. Fokus. Kuasai satu perkara dan kita akan kuasai banyak perkara.
.
10. Komited untuk jadi ahli dalam bidang kita. Komited untuk menjadi "juara kelas berat"-heavyweight champion dalam bidang kita. Sesuatu yang tidak dipertikaikan lagi. Jangan cuba jadi jaguh dalam semua perkara - tetapi sekadar dipandang ringan oleh teman teman sebaya dalam bidang.
.
11. Kejayaan ada dua . Impak dan Income. Impak itu bertahan lebih lama. Reputasi mewangi itu umpama haruman yang dapat dihidu dari jarak jauh. Income biarpun manis juga, namun salah cara dan gaya, ia boleh memdatangkan penyakit diabetes.
.
12. Kesilapan akan jadi kegagalan apabila kita biarkan ia tanpa ada usaha untuk bangkit semula. 5 perkara menentukan manusia. Hawa, Nafsu, Akal, Fikiran dan Hati. Maqam ilmu ada di hati. Jaga hati kita dari dengki dan iri hati. .
Saat kita tidak memandang aib orang, kesuksesan akan datang bertandang mengintai untuk kita bawa pulang.
.
13. Bersopan santun. Sentiasa optimistik. Menepati masa dengan 30 minit lebih awal. Jika lewat beritahu. Itu tanda orang beradab, berakhlak dan bertaqwa. Mengalah berkali kali. Itu tanda kita akan menang pada hujung.
.
14. Pekerjaan utama sebagai ketua adalah lihat kehebatan pada ahli dalam tim. Beritahu mereka akan kehebatan itu dengan puji perbuatan. Satu pujian diawal pagi akan jadikan ahli pasukan bersemangat sepanjang hari.

MOMENTUM 2019 - 21 PERKARA UTAMA 3/3
.
15. Bangun awal pagi. Itu kunci paling pasti untuk gembira sepanjang hari. Jika kita tidak bangun pada pagi hari, sebekum ayam berkokok dan burung belum keluar sarang, itu tanda kita tidur lewat malam tadi.
.
Jangan bergadang, tidur lewat malam dan jadi kutu embun. Ia tanda awalan, kita bakal tertinggal jauh di belakang berbanding dengan teman sebaya dalam perjalanan marathon jarak jauh untuk capai impian.
.
16. Sentiasa cergas. Kita akan dapat memberikan khidmat terbaik kepada ramai orang yang memerlukannya. Kecergasan datang dari dua perkara. Makanan yang kita amakan dan latihan harian yang kita jalani.
.
17. Jangan tunggu dapat Insprasi baru ingin bertindak. Bertindak dahulu, kemudian dalam perjalanan mendapat hasil kita akan peroleh inspirasi.
.
18. Kerja keras. Tiada apa yang dapat menggantikan kerja keras. Ia adalah permulaan sebelum kita pintar dan tahu mendepani situasi untuk kerja cerdas.
.
19. Dalam setiap situasi , kerja ikhlas. Kemurahan hati insani akan sentiasa mengalahkan kekurangan dalam perkara materi. Jadi orang tenang. Orang tenang akan menang. Orang tenang akan senang.
.
20. Dunia ini dihuni oleh pecundang dan pemenang. Pecundang selalu bergantung pada kebertuahan. Pemenang berusaha tanpa henti henti untuk capai impian.
.
21. Optimalisasi harian akan mengarah pada peningkatan eksponensial. Hanya mereka yang meningkat secara eksponential sahaja akan dapat capai puncak. Peningkatan linear adalah memenatkan. Saat sampai ke destinasi mereka yang hidup mereka meningkat secara linear sudah penat dan tidak lagi dapat menikmati apa yang diingini.
.
Jadikan setiap hari yang ada pada tahun 2019 , antara detik indah dan setiap hari, setiap cara , kita jadi lebih baik dalam usaha dan lebih mulia pada pandangan Tuhan pencipta.