Monday, November 9, 2009

One username, one password, One patient, one record, One Hardware Platform, Single common database.- Solve Integration Issues

Sistem aplikasi pengurusan maklumat pesakit yang dibangunkan untuk Fakulti Perubatan UiTM bakal menjadi benchmarking kepada perkhidmatan pusat kesihatan negara. Konsep satu pengguna satu katakunci memudahkan pengguna menggunakan aplikasi THIS. Konsep satu pesakit, satu rekod pula bertujuan untuk mempercepatkan carian maklumat pesakit disamping ia dapat mengelakan kecelaruan data dan rekod pesakit berlaku. Semua aplikasi THIS akan menggunakan UiTMedicalNet sebagai one single platform seperti lebuhraya untuk menghubungkan Kampus Selayang dan Kampus Sg. Buluh menggunakan single common database.

UiTMedicalNet - Dua Dalam Satu, Satu Dalam Dua, Dua Dalam Dua, Satu Dalam Satu.

Infrastruktur ICT yang menghubungkan Fakulti Perubatan Kampus Selayang dan Kampus Sg. Buluh ialah UiTMedicalNet. Dua kampus ini walaupun mereka berada dilokasi yang berbeza tetapi mereka berada di dalam satu rangkaian. Data pesakit di CTC Kampus Selayang boleh diakses dari CTC Kampus Sg. Buluh dan sebaliknya. Begitu juga maklumat pesakit dalam bentuk video, gambar dan suara. Maklumat ini boleh diakses selagi mana mereka get connected dengan UiTMNet.

UiTMNet : Infrastruktur konvergensi voice, video dan data UiTM - Sebuah Kerjasama Telekom Malaysia - UiTM Ke Arah Reseach University.

UiTM akan mempunyai infrastruktur ICT yang mampu membawa voice, video dan data diseluruh kampusnya menjelang 1 Jan 2010. Infrastruktur ini dinamakan UiTMNet yang akan menghubungkan semua kampusnya di 13 negeri di seluruh negara. Ia akan menjadikan UiTM sebagai pelanggan Telekom Malaysia Berhad yang mempunyai sistem rangkaian IPVPN (Metro-E) terbesar dikalangan IPTA di Malaysia.

Wednesday, November 4, 2009

Fakulti Perubatan Kampus Sg. Buluh - IMMB, CTC dan RC




Pada hari ini saya membuat lawatan ke projek Fakulti Perubatan Sg. Buluh. Difahamkan kemudahan IMMB, CTC dan RC akan mula beroperasi pada 2 Januari 2010. Impian Fakulti Perubatan UiTM untuk mempunyai bangunan CTC dan IMMB sendiri hampir menjadi kenyataan.

Tuesday, November 3, 2009

Fakulti Perubatan Kampus Selayang - Klinik Pakar , Asrama dan Blok Akademik


Sedikit masa lagi Fakulti Perubatan Kampus Selayang akan mula beroperasi sepenuhnya. Kemudahan yang dapat menampung 500 orang mahasiswa perubatan, 100 orang tenaga pengajar dan 200 kakitangan sokongan tersebut menjadi mercu tanda kepada 'benchmarking' Pusat Perubatan negara . Fasa ke-3 dalam episod pembangunan Fakulti Perubatan UiTM sudah bermula.

Friday, October 16, 2009

Open Standard Adalah Penyelesaian Kepada Ketidaksepaduan

Hanya satu cara untuk menyelesaikan masalah ketidaksepaduan adalah dengan menggunakan open standard. Semua pembangunan aplikasi perlu dibangunkan berdasarkan satu standard yang terbuka. Maksudnya, semua pihak rela menunjukan 'source code' dan mencari jalan intergrasi berasaskan open platform. Setakat mana dan sejauh mana kita jujur dalam memperkata hal ini. Itulah yang saya persoalanya.

Friday, October 9, 2009

Sistem Maklumat Kesihatan Bersepadu - Sebuah Impian atau Kenyataan?

Fakta yang tidak dapat disangkal ialah sistem THIS Hospital Selayang dan THIS Hospital Sg. Buluh adalah sistem THIS yang tidak bersepadu. Maksudnya THIS Hospital Selayang dan THIS Hospital Sg. Buluh tidak boleh bercakap antara satu sama lain secara elektronik, macam itik dengan ayam. Saya difahamkan sesuatu sedang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan untuk menyelesaikan masalah ini, tapi bila masalah ini dapat diselesaikan masih tidak dapat dijangkakan.

Apapun suatu yang saya yakin, secara teknikal, masalah ini boleh diselesaikan. Perlu ada penterjemah yang boleh menerjemah bahasa itek kepada ayam dan sebaliknya secara elektronik . 'Penterjemah' ini perlu dibangunkan mengikut standard HL 7 dan semua standard aplikasi perubatan antarabangsa lain. Bagi saya, sebagai rakyat Malaysia, alangkah bangganya saya jika kita dapat membangunkan 'penterjemah' ini menggunakan platform 'open source' dan ia dibangunkan oleh vendor tempatan rakyat Malaysia tanpa bergantung dengan vendor daripada luar negara. Penterjemah ini dinamakan 'broker' atau 'interface engine".

Monday, September 7, 2009

Malaysian Health Informatics Association (MHIA) - Tan Sri Dato' Dr. Abu Bakar Suleiman dilantik sebagai Presiden semula bagi sesi 2009/10

Secara rasminya saya telah menjadi ahli persatuan informatik kesihatan malaysia pada 5 september 2009. Saya menghadiri AGM persatuan tersebut pada 5 september 2009 bertempat di Board Room, Bukit Jalil Golf & Country Resort. Tan Sri Dato' Dr. Abu Bakar Suleiman dilantik semula sebagai presiden dan Dato' Dr. Jai Mohan mengekalkan jawatan Timbalan Presiden. Semasa ucapannya Tan Sri Dato' Dr. Abu Bakar Suleiman menekankan betapa MHIA perlu berperanan secara aktif diperingkat tempatan dan global kerana MHIA mewakili Malaysia sebagai persatuan yang bernaung dibawah International Medical Informatic Association. MHIA disarankan untuk berkerjasama dengan industri dalam bidang informatik kesihatan terutamanya yang melibatkan standard, polisi dan halatuju health informatic di Malaysia.

Saya berazam untuk terlibat secara aktif didalam MHIA dan menyumbangkan sesuatu yang bermakna kepada MHIA khususnya dan negara amnya. Secara kebetulan, UiTM dalam proses untuk melaksanakan projek Total Healthcare Information System (THIS) dan saya terlibat secara terus dengan projek ini. Sesuatu yang memeranjatkan saya apabila dimaklumkan bahawa data elektronik di Hospital Selayang jika dibawa ke Hospital Sg. Buluh, sistem THIS Hospital Sg. Buluh tidak boleh membaca data elektronik tersebut, begitu juga sebaliknya. Maksudnya sistem THIS sediada tidak bersepadu diantara satu hospital dengan hospital yang lain.

Monday, August 31, 2009

Salam Kemerdekaaan Ke-52 Negara Ku Malaysia

Pada hari ini, negara kita menyambut hari kemerdekaan yang ke-52, maksudnya kita telah merdeka selama 52 tahun. Pada saya kemerdekaan mempunyai makna yang luas, dalam konteks negara, ia bererti negara kita bebas daripada penjajahan, kita mengurus dan mentadbir negara kita sendiri, negara kita bebas daripada belenggu penjajah. Malangnya masih terdapat segelintir masyarakat Malaysia yang mindanya masih terjajah. Minda yang mengagongkan barat dan tidak percaya kepada kebolehan bangsa malaysia sendiri.

Malahan mereka lebih inggeris daripada orang inggeris sendiri. Masih terdapat masyarakat yang tidak boleh bertutur dalam bahasa malaysia walaupun kita telah merdeka selama 52 tahun. Kadang-kadang saya terasa kita seolah-olah sedang berhadapan dengan krisis identiti, melihat kepada respon masyarakat terhadap kibaran jalur gemilang, masyarakat kita terlalu sukar untuk mengibar jalur gemilang di hadapan rumah sebagai tanda penghargaan erti kemerdekaan. Kecuali di bangunan kerajaan, banyak bendera malaysia dikibarkan. Inilah yang saya maksudkan masyarakat kita semacam berhadapan dengan krisis identiti.

Saturday, August 22, 2009

Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak

Saya mengucapkan selamat menyambut Ramaddan Al-Mubarak kepada semua pembaca blog saya terutamanya semua warga UiTM. Alhamdulillah, kita dapat bertemu kembali pada ramadan kali ini, semoga kehadiran ramadan kali ini menjadi ramadan yang terbaik dalam hidup kita.

Malam tadi saya menunaikan solat tarawih di Dewan Makan Kolej Delima, program tersebut adalah anjuran JPK Delima dan julung-julung kali diadakan di Kolej Delima sempena kehadiran Ramadan kali ini yang secara kebetulan Pusat Islam UiTM masih lagi dalam proses untuk dinaiktaraf dan masih tidak dapat digunakan kerana kerja-kerja menaiktaraf masih dijalankan oleh kontraktor yang terlibat.

Akhir kata, selamat menyambut ramadan al mubarak. semoga kita bersama-sama menuju kepada keredaanNya.

Saturday, July 25, 2009

Program Benteras Ragut dan Rogol & Tabung B2R

Pagi tadi saya menjadi Pegawai Pengiring bagi program di atas yang diadakan di Dataran Merdeka Kuala Lumpur. Program tersebut dianjurkan oleh Puteri UMNO untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terutamanya golongan wanita tentang jenayah ragut dan rogol, majlis tersebut dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri Malaysia. UiTM menghantar satu bas peserta menyertai program tersebut. Kami selamat sampai semula ke UiTM lebih kurang jam 1.00 petang.

Saturday, July 18, 2009

Taklimat Mahasiswa NR Fakulti Sains Gunaan

Pagi tadi sekitar jam 11.00 pagi saya dan En. Ariffin Yusof memberikan taklimat mahasiswa NR untuk Fakulti Sains Gunaan. En. Ariffin Yusof dalam ucapannya menasihat pelajar NR supaya sentiasa mematuhi peraturan universiti dan menjaga sahsiah rupa diri mahasiswa dimana sahaja anda berada, samada didalam kampus atau diluar kampus.

Semasa memperkenalkan diri kepada semua mahasiswa NR tadi, saya menganjurkan pendekatan 5s diamalkan oleh semua mahasiswa NR, S-salam, S-Senyum, S-sopan, S-Sayang dan S-Sama-sama berkerjasama. Setiap kali berjumpa kawan anda untuk pertama kali pada hari itu ucapan salam kepadanya kemudian lemparkan senyuman ikhlas kepada rakan anda itu, disusuli dengan sopan santun dalam tingkahlaku, kemudian dilangsungkan dengan sayang-menyayang diantara satu sama lain dan akhir sekali sama-sama saling berkerjasama dalam apa pun perkara yang anda lakukan. Jika ini yang anda amalkan, natijahnya anda akan ramai kawan dan disenangi oleh semua rakan taulan anda.

Sekitar jam 3.00 ptg saya menerima panggilan telefon daripada seorang mahasiswi meminta pertolongan kerana rakan serumah beliau tidak sedarkan diri di Pusat Perdagangan, Seksyen 7. Saya menghubungi Pusat Kesihatan UiTM untuk bersiap sedia menghantar ambulan jika keadaan memerlukan, kemudian saya terus bergegas ke rumah mahasiswi tersebut, setibanya saya dirumah beliau, kelihatan seorang siswi dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring diatas tilam, dikelilingi oleh rakan serumah beliau. Saya menghubungi ambulan UiTM untuk membawa siswi tersebut ke Pusat Kesihatan UiTM, sekitar 10 minit kemudian, ambulan sampai dan kami menghantar siswi tersebut ke Pusat Kesihatan UiTM.

Saya mengekori ambulan daripada belakang ke Pusat Kesihatan UiTM, setelah sampai di Pusat Kesihatan, mahasiswi tersebut dirawat oleh doktor yang bertugas, doktor tersebut membuat pemeriksaan dan akhirnya mencadangkan supaya siswi tersebut dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk rawatan lanjut, siswi tersebut akhirnya dibawa pula ke Hospital klang dan saya sekali lagi mengekori ambulan daripada belakang.

Dihospital klang, siswi ini dibawa ke wad kecemasan, saya tidak dibenarkan masuk ke wad tersebut kerana doktor bertugas dibantu oleh jururawat sedang merawat siswi tersebut, sekitar 30 minit, saya dimaklumkan oleh doktor bahawa siswi tersebut sudah mula sedarkan diri, tapi dia masih tidak boleh bercakap. Saya meninggalkan hospital setelah abang kepada siswi tersebut sampai. Rupanya baru saya ketahui bahawa siswi tersebut adalah pelajar yang menghadiri taklimat NR yang saya berikan pagi tadi.

Tuesday, July 14, 2009

Penjara Bakal Dibina Bersebelahan Kampus Puncak Alam UiTM - Apa rasionalnya?

Pada semester ini Kampus Puncak Alam UiTM telah pun mula beroperasi, Fakulti Farmasi, Fakulti Sains Kesihatan dan Fakulti Pengurusan dan Teknologi Pejabat UiTM menjadi fakulti perintis memulakan kuliah disana. Seramai lebih kurang 4,500 orang pelajar menjadi pelajar perintis melalui kehidupan sebagai mahasiswa di Kampus Puncak Alam. Sudah menjadi kelaziman, ditempat baru, dibangunan baru, diasrama baru dan segala-galanya baru, keadaannya berbeza daripada keadaan di Kampus Induk Shah Alam. Para mahasiswa perlu pandai menyesuaikan diri dengan persekitaran disana.

Bersebelahan Kampus UiTM Puncak Alam tersebut, satu projek bertajuk "Cadangan Merekabentuk, Membina dan Menyiapkan Kompleks Penjara Tegar Di Atas Hakmilik H.S.D 5560 (Lot PT. 1589) Mukim Jeram, Daerah Kuala Selangor, Selangor Darul Ehsan" sedang pesat dijalankan. Projek tersebut dimiliki oleh Pejabat Penjara Malaysia, ia dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Selangor dan dibina oleh kontraktor Kembang Serantau Sdn. Bhd.

Saya berpendapat adalah tidak wajar sebuah penjara dibina bersebelahan pusat pengajian tinggi kerana ia tiada keserasian dan kesinambungan budaya ilmu, sesuatu yang janggal dan tidak masuk akal. Sepanjang pengetahuan saya, tidak ada satu pun penjara dibina bersebelahan institut pengajian tinggi di Malaysia dan ini adalah julung-julung kalinya sebuah penjara dibina bersebelahan pusat pengajian tinggi. Saya musykil bagaimana perkara ini boleh berlaku dan tidak faham bagaimana para perancang projek tersebut mendapat ilham untuk membina penjara tegar tersebut bersebelahan kampus UiTM Puncak Alam. Pada hemat saya, sewajarnya kementerian dalam negeri menilai semula kesesuaian lokasi tapak projek pembinaan penjara tegar tersebut.

Perjumpaan Pengetua Kolej Delima dan Semua Mahasiswi Delima

Pada jam 8.00 malam(13 Julai 2009) tadi satu perjumpaan diantara Pengetua, Pegawai Pembangunan Pelajar Kolej Delima dan semua mahasiswi kolej Delima telah diadakan di Dataran Delima, semasa ucapan alu-aluannya, puan pengetua,Prof. Madya Zaiton Endut menasihatkan pelajar supaya sentiasa mematuhi peraturan kolej dan memberikan komitmen terhadap semua aktiviti yang dianjurkan oleh kolej delima. Beliau juga menasihati pelajar supaya tidak terjebak ke lembah percintaan yang membawa kerosakan kepada diri sendiri kerana objektif utama kehadiran para mahasiswi ke UiTM adalah untuk menimba ilmu, jadi gunakanlah peluang belajar di UiTM ini sebaik mungkin untuk membina masa depan yang lebih cemerlang demi nusa, bangsa dan agama. Tambahnya lagi pengurusan kolej delima komited untuk mewujudkan suasana persekitaran asrama yang selesa dan merangsangkan berahi menuntut ilmu disini.

Selepas perjumpaan tersebut saya bersama En. Ariffin Yusof membuat rondaan disekitar seksyen 2 untuk memantau keadaan mahasiswa/i NR UiTM disitu. Kami bertemu dengan mahasiswa/i yang menginap diseksyen 2 dan bertanya khabar mereka. Secara keseluruhannya, keadaan persekitaran diseksyen 2 dalam keadaan yang baik dan memuaskan. Kami juga melawat sekitar Pusat Perdagangan, di seksyen 7 dan memantau keadaan mahasiswa disana. Masalah parking kenderaan masih seperti dahulu, kereta diletakan ditempat yang tidak sepatutnya, motorsikal pun begitu.

Friday, July 10, 2009

Selamat Menyambung Pembelajaran Kepada Semua Mahasiswa Senior UiTM

Pada 6 hb. Julai 2009 yang lalu sesi pengajian Julai 2009 telah pun bermula di UiTM, para mahasiswa sibuk dengan persediaan untuk fasa perjuangan seterusnya dalam mengejar segulung ijazah ataupun diploma. Memandangkan kapasiti asrama hanya mampu menampung sekitar 20 ribu orang sahaja, maka ada lebih kurang 20 ribu lagi pelajar terpaksa menjadi mahasiswa NR. Tinjauan saya di Pusat Komersial Seksyen 7 Shah Alam mendapati semua kedai makanan dan minuman di situ telah mula sibuk dan dipenuhi oleh mahasiswa UiTM.

Baru-baru ini Naib Canselor kita telah mengeluarkan pekeliling untuk membekukan semua aktiviti ke luar negara disebabkan penularan wabak Influnza H1N1, tujuannya untuk mengelakkan daripada wabak ini menular dikalangan warga UiTM kerana jika wabak ini menular didalam kampus kita sudah tentu ia akan menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di UiTM. UiTM telah menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk menangani wabak ini dengan penglibatan kepakaran daripada Fakulti Perubatan UiTM, itu adalah usaha proaktif UiTM sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan terhadap wabak tersebut.

Akhir kalam, saya mengucapkan selamat menyambung pembelajaran di UiTM kepada semua mahasiswa samada pelajar NR atau bukan NR. Semoga semester ini akan membawa kebahagiaan, kegembiraan, kecemerlangan dan kesejahteraan kepada saudara dan saudari.

Monday, June 29, 2009

Selamat Datang Ke UiTM Kepada Semua Pelajar Baru

Semalam dan kemarin adalah hari pendaftaran kepada pelajar baru UiTM. Saya mengucapkan selamat datang dan tahniah kerana anda telah terpilih menjadi pelajar UiTM, terutama kepada pelajar baru perubatan, pergigian dan sportrek yang mendaftar dikolej delima UiTM. Perjalanan masih jauh, disini anda bermula, justeru itu, tanamkanlah azam dalam diri saudara/i untuk menjadi mahasiswa cemerlang, gemilang dan terbilang.

Tuesday, June 23, 2009

Segalanya Diciptakan Berpasang-pasangan.


Semuanya dijadikan Tuhan berpasangan, lelaki lawannya perempuan, teruna lawannya dara, jantan lawannya betina, baik lawannya jahat, positif lawannya negatif, sejuk lawannya panas, malam lawannya siang dan begitulah seterusnya.Pada sebelah sini, ada begitu dan pada sebelah sana ada begini. Semuanya ada pasangannya dan dari situ terbinanya sebuah ikatan, tali pengikat, fitrah yang semacam tenaga yang mencantumkan mereka, yang memberikan suatu energi atau kekuatan.

Cuba kita renungkan pada pasangan kekasih yang sedang bercinta, ada tenaga yang mengikat mereka untuk cuba membahagiakan diantara satu sama lain, saling bertolak ansur, saling memberi dan menerima, saling hormat menghormati. Tenaga yang terbentuk dalam perhubungan sang kekasih tadi datangnya daripada dalam diri, dari hati yang tulus, ikhlas dan suci. Tapi jika tenaga itu tidak dapat dikawal, hanya mengikut rasa nafsu nafsi, hanya kerana seksual, kekuatan yang hadir daripada tenaga yang terhasil pada perhubungan sang kekasih itu akan membawa mereka kepada kekecewaan, kebinasaan dan kehancuran.

Demikian jugalah dengan semua segala yang ada dan berwujud, samada yang bernyawa atau tanpa nyawa, segala yang berjisim mengeluarkan tenaga, itulah yang telah dibuktikan secara saintifik oleh Albert Enstain. Tenaga yang hadir itu pun berpasangan-pasangan juga, tenaga ini perlu keseimbangan, tidak boleh dikurangkan pada yang kiri dan dilebihkan pada yang kanan, kerana ia akan menyebabkan tiada keseimbangan, jika itu berlaku, akhirnya kebinasaanlah akibatnya. Namun dari situlah bermulanya kesempurnaan.

Seni dan Kejujuran - Seniman Meletakkan Yang Hak Kepada Yang Berhak


Seniman adalah orang yang cepat rasa terharu apabila melihat atau mendengar kesusahan, kepayahan, kemiskinan dan kemelaratan yang ada disekitarnya. Bila dia melihat keindahan, kecantikan, kesempurnaan dan kehebatan, jiwanya turut rasa terharu juga. Pendeknya, seniman adalah orang yang dapat melihat yang zahir dan dapat merasai yang batin terhadap segala sesuatu yang diperhatikannya, didengarnya dan dirasainya, mungkin pada sesama manusia, mungkin pada tumbuh-tumbuhan, mungkin pada haiwan dan mungkin pada segala sesuatu dipersekitarannya. Sesudah terharu, dia mula berkhayal, memikir bagaimana hendaknya supaya ia menjadi lebih baik.

Bila melihat anak kecil yang kebuluran kerana kemiskinan, hati seorang seniman akan rasa terharu, dia dapat merasai kesengsaraan yang dilalui anak kecil tadi, lantas dia berkhayal dalam pemikirannya untuk meringankan penderitaan anak kecil itu, supaya anak kecil itu dapat makan dan minum bagi menghilangkan kelaparan, supaya anak kecil itu menjadi lebih baik. Demikianlah kejujuran jiwa seorang seniman.

Disebalik rasa terharu, pada khayal yang indah itu, timbullah kemahuan, lahirlah ilham dan terciptalah tindakan yang jujur dan ikhlas untuk membantu, itulah seniman. Dia kaya dengan rasa terharu dan khayal. Disitulah kekayaannya yang sejati. Yang dua itulah rukun dalam mencipta seni, diambilnya pena, ditulis bahasa hatinya, ayat demi ayat, terlahirlah bait-bait syair, dilukis perasaan hatinya, garis demi garis, terbina sebuah lukisan, dilagukan suara hatinya, nada demi nada, sehingga tercipta lagu yang menyentuh kalbu. Demikianlah kejujuran hati seorang seniman sejati.

Jiwa seniman dapat menggarap kemiskinan, kesengsaraan, kepayahan dan kepahitan, jiwa seniman umpama radar yang menerima frekuensi keindahan, kecantikan, kesempurnaan dan keelokan serta mencernakannya bahasa hati dan bahasa jiwanya tadi kepada bahasa ibunda dengan ungkapan yang indah dan menyentuh jiwa pembaca, pendengar dan khayalak.

Monday, June 22, 2009

Cinta dan Seni - Bahasa Dari Alam Buat Jiwa Yang Mengerti...

Tanpa cinta, tiada seni. Kenapa nampak keindahan? sebab ada cinta. Kenapa nampak kehalusan? kerana ada cinta. Justeru itu, seni ada dimana-mana dan wujud pada semua, manakala cinta pula bersemi pada semua sehingga nampak kesenian. Maka dapat disimpulkan bahawa dengan cinta alam diciptakan oleh Tuhan. Di atas nama Allah, Yang Maha Pemurah dan Yang Maha Penyayang, segala yang ada dilangit dan segala ada dibumi diciptakan.

Pelbagai jalan ditempuh untuk orang mencari Allah. Tetapi dengan cintalah jalan semudah-mudahnya, bercintalah, sampai anda menjadi satu dengan yang anda cintai. Yang mana satukah yang anda cintai? Dari mana anda hendak memupuk cinta itu? Apakah dari keindahan alam? atau dari kecantikan gadis yang tanpa pakaian? atau dari ketampanan seorang lelaki? atau ditanah tempat kita dilahirkan? Itu semua bukanlah cinta, itu baru bunga-bunga dalam menuju cinta.

Hakikat hidup umpama sebatang pohon yang rendang dan subur. Maka janganlah dicukupkan sehingga hanya mencintai sekuntum dari bunganya, sehelai dari daunnya, seranting dari rerantingnya, serangkai dari buahnya. Kalau hanya buahnya yang dicintai, bagaimana dengan serangga yang memagar bunga? bagaimana dengan akar yang membawa garam galian untuk kegunaan daun? bagaimana dengan bumi tempat pokok itu tumbuh? dan bagaimana dengan matahari yang memberikan suria?

Sekiranya buah dihujung dahan berhak beroleh rahmat cintamu, maka seluruh pohon itu pun, dan tempat dia tumbuh, alam sekeliling pohon itu pun, berhak beroleh cintamu, sehinggakan buah yang busuk, dahan yang mati dan daun yang gugurpun berhak mendapat rahmat cintamu kerana itu adalah sebahagian daripada hasil keelokan buah yang engkau cintai tadi. Itulah hakikat kehidupan.

Cinta ialah air tirta kehidupan. benci adalah racun yang membawa maut. Jika kebencian menelusuri dan masuk menyelinap dalam pohon kehidupan, maka tumbanglah pohon itu. Biarkan cinta itu mengalir pada seluruh pohon umpama darah mengalir pada diseluruh tubuh, jika perjalanan darah sudah tidak teratur, maka penyakitlah yang akan datang menimpa. Tidak akan ada daun yang layu, dahan yang rapuh selama urat masih sempurna menghisap sari dari bumi tempatnya menyusu.

Janganlah cinta diletakan pada sifat, sebab sifat boleh berubah ditelan zaman, langsungkan terus cinta itu pada zat. Adapun zat yang hakiki, zat yang mutlak, ialah zat Allah. Itulah wujud yang sempurna, yang tiada terpecah lagi. Kalau direnungi lagi, cinta sejati itu ialah Allah. Sebab Allah cinta akan DiriNya.

Thursday, June 18, 2009

Menara Pemancar Telekomunikasi Didalam Kampus UiTM Shah Alam - Bagaimana Kesan Radiasinya Kepada Warga UiTM?

Dalam kampus UiTM Shah Alam terdapat 4 batang monopole pemancar sistem telekomunikasi yang dimiliki oleh syarikat telekomunikasi tempatan, rupa tiang monopole tersebut seumpama pokok, ada batang, daun dan ranting. Dicelah-celah daun-daun tersebut kelihatan peralatan pemancar yang pelbagai bentuknya, ada berbentuk bulat, rod panjang dan empat segi panjang. Lokasi monopole tersebut yang berhampiran kediaman pelajar seperti di Kolej Teratai dan Delima, Kolej Anggerik, Kolej Cempaka dan berdekatan dengan Fakulti seperti di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi.

Persoalannya ialah setakat mana kesan radiasi yang dihasilkan oleh pemancar tersebut kepada warga UiTM terutama kepada pelajar yang tinggal berhampiran pemancar tersebut seperti di kolej delima 3 dan kolej teratai, sehingga hari ini tiada penyelidikan dan pemantauan untuk mengesan radiasi tersebut dijalankan oleh UiTM dan sesiapa pun. Adakah radiasi tersebut dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh WHO?

Pada tahun 2001, World Health Organization (WHO) telah mencadangkan kepada negara kita untuk mengukur kekuatan radiasi electromagnetic fields (EMF) yang dihasilkan oleh semua pemancar telekomunikasi yang terdapat diseluruh negara dan mengambil langkah sewajarnya seperti menetapkan piawaian keselamatan radiasi electromagnetic fields (EMF) yang selamat untuk digunapakai oleh Kerajaan Malaysia. Justeru itu, Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia, UMMC dan beberapa agnesi lain telah menjalankan kajian terhadap beberapa sampel pemancar telekomunikasi di negara ini.

Hasilnya Kementerian Kesihatan Malaysia menerbitkan buku bertajuk “Guidance to Safety and Health Aspects of Base Stations and Mobile Phones” sebagai panduan dalam hal radiasi pemancar telekomunikasi. Malangnya sehingga hari ini, Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia sebagai suruhanjaya yang bertangungjawab terhadap penguatkuasaan, pemantauan dan penilaian perkara tersebut masih tidak berbuat apa-apa terhadap semua pemancar telekomunikasi yang terdapat di Malaysia termasuklah di UiTM.

Selaras dengan idea 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, sebagaimana yang dilaungkan oleh Perdana Menteri dan menjadi agenda utama negara pada masa kini maka sewajarnyalah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mengambil langkah proaktif untuk menangani perkara tersebut kerana Kementerian Komunikasi dan Multimedia dahulu GAGAL dalam melaksanakan tugasan tersebut.