Monday, May 25, 2009

Mengetahui Hakikat Sesuatu Yang Di Ingat - oleh Imam Al-Qusyairi (Part 9)

"Yang Maha Memelihara"

Nama Allah yang kelapan ialah Al-Muhaymin, Ia bermaksud "Yang Maha Memelihara". Allah S.W.T adalah yang mengatur, menjaga dan memelihara serta menentukan rezeki, kehidupan dan umur MakhlukhNya. Dia juga yang mengawasi dan melindungi segala sesuatu. Dia juga Maha Memerhati, Menjaga serta menaungi hamba-hambaNya dalam semua keadaan. Dia yang memerhati segala sesuatu dan tiada sesuatupun yang terlepas daripada pengawasanNya. Dialah yang mentadbir dan mengurus segala sesuatu daripada yang mikro sehinggalah yang makro.

Perhatikan pada alam yang luas ini, renungi pada pertukaran siang dan malam, perhatikan pada diri sendiri kita sendiri, perjalanan degupan jantung yang mengedarkan darah ke seluruh anggota tubuh, lihat pada bulan dan kaitannya dengan pasang surut lautan, peredaran bulan dan matahari, segalanya berjalan mengikut hukum alam yang telah ditetapkan Allah. Semuanya dibawah pengawasan, peliharaan dan pentadbiranNya.

Bagaimana menerapkan sifat Allah Al-Muhaimin ini ke dalam diri, meresapinya ke hati dan menjadi budaya melalui tindakan kita? Menjawab persoalan ini, mari kita lihat pada kehidupan harian kita, bermula daripada subuh sehingga ke subuh pada hari berikutnya, bermula dari hari ke hari yang berikutnya pada minggu hadapan, bermula dari bulan sehingga ke bulan yang sama pada tahun hadapan dan seterusnya.

Sepanjang melalui hari-hari yang mendatang, sewajarnya kita memelihara kejujuran kita bila melaksanakan sesuatu, menjaga tanggungjawab kita dalam melaksanakan tugas, kita memelihara displin semasa melaksanakan sesuatu tugasan, memelihara kerjasama dengan rakan sejawat, memelihara wawasan dan halatuju kita, menjaga keadilan kita terhadap diri sendiri dan orang lain, menjaga rasa prihatin kita terhadap orang dipersekitaran kita yang sama-sama membantu kita. Jika kita berzikir 100 kali dengan menyebut Al-Muhaimin, Insyaallah Allah akan memelihara kita zahir dan batin dimana hati menjadi bersih dan terang.

Mengetahui Hakikat Sesuatu Yang Di Ingat - oleh Imam Al-Qusyairi (Part 8)

"Yang Mengutamakan Keamanan"

Nama Allah yang ketujuh ialah Al-Mukmin, yang bermaksud "Yang Mengutamakan Keamanan" ada juga yang mentafsirkan sebagai "Yang Mengurniakan Keamanan". Ada juga ulamak menafsirkan Al-Mukmin sebagai "Yang Maha Membenarkan", ada juga yang mentafsir Al-Mukmin sebagai "Yang Maha Melindungi". Samada "Yang Mengutamakan Keamanan", "Yang Mengurniakan Keamanan" , "Yang Maha Membenarkan" atau "Yang Maha Melindungi" prinsipnya adalah sama, iaitu Dia adalah Dzat yang Maha Membenarkan, Dia membenarkan DiriNya, Malaikat-MalaikatNya, Rasul-RasulNya, Kitab-KitabNya, Membenarkan Qada dan QadarNya dan membenarkan Hari Kemudian (Hari Pembalasan). Apabila Dia membenarkan segala janji-janjiNya kepada hambaNya dan hamba-hambaNya mengakui kebenaran akan janji-janjiNya itu, maka secara automatik, Dia juga mengurniakan keamanan kepada hamba-hambaNya dan secara langsung Dia (Allah) juga mengutamakan keamanan dan menjadi pelindung kepada hamba-hambaNya.

Pokok dan syaratNya yang utama dalam perhubungan ini , ialah hamba-hambaNya perlu mengakui dahulu kebenaran rukun iman, kemudian barulah Allah mengurniakan keamanan dan mengutamakan keamanan kepada hamba-hambaNya yang mengimaniNya. Kemudian akan lahir rasa aman pada hati hamba-hambaNya yang mengakui kebenaran Allah S.W.T. Menikmati perlindungan dan keamanan dariNya kerana kepatuhan mentaati segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Keamanan zahir dan keamanan batin, perlindungan zahir dan perlindungan batin daripadaNya (Allah). Secara fitrahnya semua manusia mencintai keamanan, semua manusia membenci peperangan. Peperangan hanya akan berlaku bila manusia tidak berpegang kepada tali Allah yang terangkum dalam sifat "Al-Mukmin" Allah S.W.T itu.

Bagaimana kita menerapkan sifat Al-Mukmin ini didalam jiwa, pemikiran dan tindakan kita? Jawabannya mudah, kita mulai dengan membenarkan 6 rukun iman sebagai prinsip hidup dan melaksanakan 5 rukun islam berdasarkan hati kita yang ikhlas seperti Allah melihat kita walaupun kita tidak melihat Allah. Maka jadilah kita muslim yang mukmin. Segala tindakan dan perbuatan kita meletakan Allah dihadapan sebagai benteng keamanan, kepercayaan dan perlindungan. Insyaallah kita sentiasa dalam peliharaan dan perlindungan Allah. Dengan berzikir "Ya Mukmin" sebanyak 136 kali dengan memahami maksudnya akan menyebabkan anda, keluarga anda sentiasa dilindungi Allah dan harta benda anda dilindungi daripada dicuri orang.

Mengetahui Hakikat Sesuatu Yang Di Ingat - oleh Imam Al-Qusyairi (Part 7)

" Yang Maha Sejahtera"

Nama Allah yang ke-enam ialah As-Salam, yang bermaksud Yang Memiliki Kesejahteraan dan Keselamatan, Allah S.W.T adalah dzat yang memiliki segala kesejahteraan dan keselamatan, Allah Maha Sejahtera ke atas diriNya, Ia sentiasa sihat, sentiasa sejahtera dan sentiasa selamat. Allah bebas daripada sebarang penyakit, masalah kesihatan, malapetaka dan lain-lain kekurangan yang berkaitan kesejahteraan atau keselamatan sebagaimana manusia. Maha Sejahtera Allah daripada awal yang tiada permulaan sehingga akhir yang tiada bernoktah. Allah tidak memerlukan pengawal peribadi untuk memastikan Ia selamat. Allah tidak memerlukan doktor untuk memastikan Ia sentiasa sihat sejahtera. Allah adalah Dzat yang maha sempurna, yang berdiri dengan sendiriNya dengan penuh kesejahteraan dan keselamatan.

Dzat dan Sifat Maha Sejahtera Allah itu terpancar pada di alam ini melalui kejadian langit dan bumi, pada penciptaan manusia dan segala makhlukNya, lihat dan renungkan, betapa sejahteranya peredaran bulan, bumi, matahari dan planet-planet yang lainnya sehingga mereka tidak berlanggaran antara satu sama lain, lihat dan renungkan pada api, air, tanah dan angin, betapa api memberikan kesejahteraan untuk kita memasak masakan, betapa air memberikan kesejahteraan ketika kita meminumnya ketika kehausan, betapa tanah memberikan kesejahteraan kepada kita dengan menumbuhkan tanaman yang kita tanam diatasnya , betapa angin memberikan kesejahteraan ketika kita bernafas.

Bagaimana kita menerapkan sifat Maha Sejahtera Allah ini ke dalam diri kita? Kesejahteraan sering dikaitan dengan selamat, sihat wal afiat, kebahagiaan dan ketenangan jiwa. Apabila kita memberikan salam "Asalamualaikum" kepada seseorang, ia bermaksud kita memohon kepada Allah supaya memberikan kesejahteraan yang berupa kesihatan yang baik, selamat dari malapetaka, diberikan ketenangan jiwa dan kebahagiaan kepada orang tersebut. Apabila salam kita dijawab dengan "Waalaikumusalam" , bermaksud orang yang menerima salam daripada kita tadi, memohon kepada Allah supaya kita dikurniakan perkara yang sama, justeru itu, berikanlah salam kepada sesama muslim ketika kita bertemu. Jadikan ia satu budaya dalam hidup kita. Insya-Allah jika demikian budaya anda, maka anda sentiasa dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, bebas daripada kemalangan dan malapetaka, sentiasa bahagia dan dikurniakan ketenangan jiwa oleh Allah S.W.T Berzikir sebanyak 136 kali dengan menyebut 'Ya Salam' akan menyembuhkan penyakit yang kita alami, demikian juga, ia boleh menyembuhkan penyakit orang lain.

Thursday, May 21, 2009

Mengetahui Hakikat Sesuatu Yang Di Ingat - oleh Imam Al-Qusyairi (Part 6)

" Yang Maha Suci"

Al-Qudus adalah nama Allah yang kelima. Al-Qudus bermaksud Allah Yang Maha Suci, Allah suci daripada segala sifat kerendahan, sifat kekurangan, sifat keburukan, sifat baru sebagaimana makhlukNya dan sifat kerosakan. Allah Maha Bersih daripada sifat-sifat tersebut. Allah S.W.T adalah Zat Maha Sempurna yang suci, murni dan bersih, pada zahir dan batin, daripada awal sehingga akhir dari sifat-sifat kelemahan, kekurangan, kenegatifan dan keburukan. Allah S.W.T itu bersifat Maha Agung dan Maha Tinggi. KesucianNya itu menjadikan Dia Maha Bersih, Maha Cantik, Maha Kemas, Maha Tersusun dan Maha Menginspirasikan. Dia ialah Dzat yang mengilhamkan inspirasi melalui sifatNya Yang Maha Suci dan Yang Maha Bersih.

Bagaimana kita menumbuhkan sifat Maha Suci Allah S.W.T itu didalam diri kita? perkara ini dapat kita fahami apabila kita kembali kepada fitrah semulajadi manusia, secara fitrahnya semua manusia suka dan ingin kepada kesucian dan kebersihan, apabila kita memandang sesuatu yang suci dan bersih, hati kita akan suka, gembira, rasa terhibur dan rasa seronok , menyebabkan kita terus ingin memandang sesuatu yang suci dan bersih itu, mahu terus duduk disitu , kerana pada sesuatu yang suci dan bersih ada kelembutan, ketenangan dan sumber inspirasi.

Justeru itu maka sewajarnya kita menyerap sifat suci Allah ini dengan sentiasa menjaga kebersihan pada diri sendiri, menjaga kebersihan tempat kita tinggal, sentiasa kemas, sentiasa cantik dan sentiasa teratur. Harta yang kita perolehi daripada kurniaan Allah juga perlu kita bersihkan dengan mengeluarkan zakat.

Hati yang suci adalah hati yang bebas daripada sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, dendam, benci dan sakit hati. Hati yang suci, murni dan bersih adalah hati yang bebas daripada prasangka buruk, memegang prinsip hidup yang salah, membuat kesimpulan berdasar pengalaman yang negatif, mempunyai kepentingan peribadi bila melakukan sesuatu, melihat pada sudut pandang yang salah, suka membanding-banding dan bersikap fanatik terhadap sesuatu. Itulah sifat Allah Yang Maha Suci yang perlu kita terapkan didalam hati kita, kelak pemikiran kita dan tindakan kita akan berdasarkan suara hati yang meletakan Allah S.W.T dihadapan dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan. Kesucian juga sering dikaitankan dengan putih, jernih, asli dan bening, ia juga adalah simbul bersih daripada noda dan dosa serta tidak mengikut kehendak nafsu haiwani.

Mengetahui Hakikat Sesuatu Yang Di Ingat - oleh Imam Al-Qusyairi (Part 5)

"Yang Maha Kuasa"

Nama Allah yang ke-empat ialah Al-Malik iaitu Yang Maha Kuasa. Dalam Al-Quran ada disebut Al-Azizul Malik yang bermaksud Yang Maha Perkasa dan Maha Kuasa, Maalikul Mulk bererti Yang Maha Memiliki segala kekuasaan, Al-Malik bererti Raja Yang Maha Kuasa, ada juga yang mentafsirkan Al-Malik dengan maksud Maha Merajai atau Maha Memerintah. Apapun tafsiran tersebut, prinsipnya ialah Allah S.W.T adalah Zat Yang Maha Berkuasa, Maha Pencipta dan Menjaga hukum-hukamNya atas alam semesta yang dipanggil hukum alam, hukum sebab dan akibat. Allah Yang Maha Kuasa bererti KemampuanNya, KeupayaanNya, KebolehanNya, kudratNya, tenagaNya, pengaruhNya, kerajaanNya dan pemerintahNya Maha Tinggi, Maha Sempurna dan Maha Agong terhadap segala sesuatu.

Kuasa Allah itu wujud pada sekalian makhlukhNya samada dilangit dan dibumi dalam pelbagai bentuk. Daripada pelbagai kuasaNya itu wujud kerajaanNya di langit dan di bumi. KuasaNyalah yang memberi tenaga pada elektron yang mengelilingi inti atom, mengerakkan bumi beredar mengikut orbitnya mengelilingi matahari, menghidupkan sel-sel didalam tubuh manusia dan pelbagai lagi.

Dalam konteks politik, KUASA selalu dikaitkan dengan pemerintahan dan kerajaan, dalam demokrasi, kuasa pemerintahan diberikan kepada rakyat yang terbanyak melalui pemilihan, contohnya, Barrack Obama dilantik menjadi President Amerika Syarikat setelah mendapat undian terbanyak daripada rakyat Amerika melalui pilihanraya. Dalam bidang mekanikal KUASA selalu dikaitkan dengan keupayaan dan kekuatan sesuatu enjin yang dipanggil kuasa kuda, semakin besar kuasa kuda enjin tersebut semakin kuatlah keupayaan enjin tersebut, dalam bidang elektrik kuasa, ia diertikan sebagai hasil darab beza upaya dan arus elektrik yang diukur dalam kilowatt. Semakin besar kuasa sesuatu peralatan elektrik maka semakin besarlah tenaga elektrik diperlukan untuk menggunakan alat tersebut. Kesimpulannya, kuasa melambangkan pengaruh, kekuatan, hak, prestaj dan kerajaan. Ada orang yang dipanggil gila kuasa kerana sifatnya yang terlalu rakus dengan kuasa.

Bagaimana sifat Allah Yang Maha Kuasa ini ditumbuhkan dalam diri, jiwa dan tindakan kita? Perkara ini dapat difahami dengan mengambarkan diri kita sebagai Raja kepada anggota-anggota komponen tubuh yang lain, tubuh kita yang satu ini terbina daripada anggota-anggota yang lain seperti kepala, dahi, mata, telinga, tangan, dada, perut, kaki dan lain-lain lagi. Dalam tubuh kita ada jantung, hati, urat, tulang dan sebagainya. Dalam kepala kita ada otak, saraf dan pelbagai lagi. Tiga komponen utama iaitu body, mind and soul ini membentuk diri kita yang satu ini.

Justeru itu, diri kita yang satu ini perlu menjadi Raja kepada body, mind and soul. Kita perlu berkuasa untuk menguasai pemikiran supaya dekat dengan Allah, mempengaruhi anggota tubuh untuk melakukan perlakuan yang diredhai Allah, mengarahkan jiwa supaya tunduk kepada Allah dengan kuasa ihsan, cahaya iman dan sinar islam. Contohnya, semasa solat, kita berkuasa untuk membersihkan jiwa daripada sifat-sifat mazmumah , berkuasa mengarahkan anggota tubuh untuk melaksanakan 13 rukun sembahyang dengan baik, tertib dan sempurna, berkuasa merajai pemikiran khusyuk kepada Allah. Contoh yang lain, semasa melaksanakan tugas harian kita dipejabat kita berkuasa melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan kemampuan, keupayaan, kebolehan, kudrat, tenaga, pengaruh, kerajaan tubuh dan pemerintah diri ke tahap terbaik, cemerlang dan sempurna. Dengan demikian hasil daripada pekerjaan kita akan menjadi terbaik dan sempurna.

Dengan berzikir " Ya Malik" sebanyak 121 kali setiap pagi atau setelah gelincir matahari , maka dengan izin Alah kita akan sentiasa dihargai orang secara sewajarnya dan hidup dalam kecukupan.

Wednesday, May 20, 2009

Mengetahui Hakikat Sesuatu Yang Di Ingat - oleh Imam Al-Qusyairi (Part 4)

" Yang Maha Pengasih"

Ar-Rahim adalah nama Allah yang ke-tiga, maksudnya Allah itu Maha Pengasih, Dia mengasihi semua hambaNya yang beriman kepadaNya. Ada juga yang mentafsir Ar-Rahim sebagai Yang Maha Penyayang, samada pengasih atau penyayang ia daripada satu rumpun, iaitu Rahmat, yang bererti murah, kasih, sayang, cinta dan rindu. Allah mengasihi, menyayangi, mencintai dan merindui hambaNya yang beriman kepada Nya, beriman kepada kalimah tauhid, "Tiada Tuhan yang disembah, melainkan Allah". Itulah sifat Allah Yang Maha Pengasih.

Apakah sebab kedua sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim dijelaskan dahulu daripada nama-namaNya yang lain? Perkara ini dapat difahami jika kita bayangkan orang yang masih primitif kepercayaannya terhadap Tuhan, kita telah mengetahui bahawa kepercayaan adanya Zat Yang Maha Kuasa, adalah sama tumbuhnya dengan akal manusia. Tetapi sebahagian daripada mereka mengambarkan tuhan itu sebagai sesuatu yang amat ditakuti, amat menakutkan, seram, kejam dan ganas yang memaksa orang memujanya. Lalu disediakan sembelihan kurban sebab Tuhan itu dahaga darah kurban, lantas didirikan orang berhala yang bentuknya sangat seram, matanya terbeliak, giginya bersiong yang keluar di kiri dan kanan dari mulutnya, yang tidak hilang murkanya kalau tidak diberikan korban.

Justeru, sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim mengambarkan sifat utama Tuhan, iaitu Allah, yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang, Allah itu bukan pembenci dan pendendam, bukan haus darah kurban. Bukan kejam, ganas, menyeramkan dan menakutkan. Allah itu sebagaimana namaNya yang bersifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim.

Bagaimana kita menumbuhkan sifat Ar-Rahim Allah itu ke dalam jiwa, pada pemikiran dan tindakan kita? Perkara ini dapat dilakukan dengan menyemai perasaan cinta, kasih dan sayang secara tulus ikhlas kerana Allah kepada sesama muslim, bermula daripada ibubapa, ahli keluarga terdekat, sanak saudara, jiran tetangga, sahabat handai, rakan seperjuangan, orang dipersekitaran kita dan sebagainya. Bila sifat Ar-Rahim ini tumbuh dalam hati kita maka kita tidak akan menyakiti hati dan mengecewakan orang yang kita cinta, kasih dan sayang itu kerana cinta, kasih dan sayang kita itu kepada mereka adalah kerana Allah. Dengan berwirid 100 kali sehari menyebut YA-RAHIM akan melembutkan hati orang lain untuk menyayangi anda dan anda menyayangi orang lain, menyebabkan urusan anda dengan orang lain akan menjadi mudah dan senang.

Tuesday, May 19, 2009

Mengetahui Hakikat Sesuatu Yang Di Ingat - oleh Imam Al-Qusyairi (Part 3)

"Yang Maha Pemurah"

Ar-Rahman adalah nama Allah S.W.T yang kedua. Maksudnya Yang Maha Pemurah. Allah itu Maha Pemurah kepada semua makhlukNya, melalui sifat RahmanNya, semua makhlukNya, dari golongan malaikat, jin, syaitan, manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, langit dan bumi, matahari dan bulan, bintang dan segala galaksi diangkasa lepas, dan seluruh makhluknya dibumi dan dilangit mendapat kemakmuran yang tidak dapat diperhitungkan lagi banyaknya kerana sifat RahmanNya itu.

Ada juga yang mentafsirkan Ar-Rahman sebagai Yang Maha Pengasih, samada Yang Maha Pengasih atau Yang Maha Pemurah, prinsipnya sama, iaitu bersifat 'memberi' atau 'mengurniakan', selaras dengan firmannya dalam hadist kursi "Aku perbendaharaan yang tersembunyi".

Pada malaikat dikurniakanNya ketaatan dan kebaikan, pada syaitan dikurniakanNya kemungkaran dan kejahatan, yang daripada kemungkaran dan kejahatan itu, manusia mengenal ketaatan dan kebaikan, pada Jin dikurniakan-Nya umur yang panjang, pada manusia dikurniakan akal dan fikiran, pada haiwan dikurniakanNya nafsu, pada tumbuh-tumbuhan dikurniakanNya klorofil hijau, pada matahari dikurniakanNya cahaya, pada bulan dikurniakan-Nya sinar, pada bintang dikurniakanNya petunjuk dan begitulah seterusnya.

Itulah Allah yang bersifat Ar-Rahman. Pada manusia dikurniakanNya tanah, air, angin dan api untuk manfaat seluruh manusia, samada manusia itu mungkar atau taat kepadaNya, mereka tetap menerima manfaat kurniaan daripada sifat Ar-RahmanNya. Samada Yahudi, Nasrani, Islam, Hindu, Buddha hatta orang aties sekalipun (tidak percaya kepada Tuhan) menerima manfaat daripada sifat Ar-RahmanNya itu.

Bagaimana kita menyerapkan sifat Rahman di dalam jiwa, pemikiran dan tindakan kita? tindakan pertama yang kita perlu lakukan ialah membebaskan hati kita daripada buruk sangka, prejudis dan niat buruk kepada sesiapapun, samada muslim atau non-muslim, islamik atau non-islamik. Bebaskan hati daripada belenggu prasangka buruk kepada sesiapapun. Bila hati telah jernih, bening dan bersih, maka sifat Rahman itu akan subur dan mekar dalam diri.

Hasilnya ialah jika Lim Kit Siang yang beragama Buddha dalam kesusahan kita hulurkan bantuan membantu beliau, jika Murugiah yang beragama Hindu dalam kepayahan kita berikan pertolongan menolong beliau, jika Mahadir yang beragama islam dalam kesukaran kita redakan kesukaran beliau, begitulah seterusnya. Kita bersifat suka 'memberi', suka 'menolong' dan suka 'membantu', itulah caranya kita memasukan sifat Ar-Rahman Allah itu ke dalam diri kita. Sehingga diri kita menjadi sebati dengan sifat pemurah, suka menderma, suka membantu, suka memberi, suka menolong dan suka menasihat.

Jika kita berzikir "Ya Rahman" sebanyak 500 kali selepas selesai solat 5 waktu, serta memahami dan menghayati makna AsmaNya itu akan menjadikan kita bersifat kasih sayang, pemurah dan pengasih. Insyaallah dengan demikian atas izin Allah, hati akan menjadi terang dan tidak mudah lupa.

Monday, May 18, 2009

Mengetahui Hakikat Sesuatu Yang Di Ingat - oleh Imam Al-Qusyairi (Part 2)

99 Nama Allah S.W.T ialah 1. Allah 2. Al-Rahman 3. Al-Rahim 4. Al-Malik 5. Al Qudus 6. As-Salam 7. Al-Mukmin 8. Al-Muhaymin 9. Al-Aziz 10. Al-Jabbar 11. Al-Mutakabir 12. Al-Khaliq 13. Al-Baari' 14. Al-Musawwir 15. Al-Ghaffar 16. Al-Qahhar 17. Al-Wahhab 18. Ar-Razzaq 19. Al-Fattah 20. Al-Alim 21. Al-Qaabid 22. Al Baasit 23. Al-Khaafid 24. Ar-Raafi' 25. Al Mu'izz 26. Al-Muzil 27. As-Sami' 28. Al-Basir 29.Al-Hakam 30. Al-'Adlu 31. Al-Khabir 32. Al-Halim 33. Al-'Azim 34. Al-Ghafur 35. Asy-Syakur 36. Al-'Aliyu 37. Al-Kabir 38. Al-Hafiz 39. Al-Muqit 40. Al-Hasib 41. Al-Jalil 42. Al-Karim 43. Ar-Raqib 44. Al-Mujib 45. Al-Waasi' 46. Al-Hakim 47. Al-Wadud 48. Al-Majid 49. Al-Baa'its 50. Asy-Syahid 51. Al-Haqqu 52. Al-Wakil 53. Al-Qawiyu 54. AL-Matin 55. AL-Waliyu 56. Al-Hamid 57. Al-Muhsi 58. Al-Mubdi'u 59. Al-Mu'idu 60. Al-Muhyi 61. Al-Mumit 62.Al-Hayyu 63. Al-Qayyum 64. Al-Waajid 65. Al-Maajid 66. Al-Waahid 67. Al-Ahad 68. As-Samad 69. AL-Qaabir 70. Al-Muqtadir 71. Al-Muqaddim 72. Al-Muakhir 73. Al-Awwal 74. Al-Akhir 75. Az-Zahir 76. Al-Baatin 77. Al-Waali 78. Al-Muta'ali 79. Al-Barru 80. At-Tawwabu 81. Al-Muntaqim 82. Al-Al-'Afuwu 83. Ar-Ra'ufu 84. Maalikul-Mulki 85. Dzul-Jalaali Wal-Ikram 86.Al-Muqsith 87. Al-Jaami'u 88. Al-Ghaniyu 89. Al-Mughni 90. Al-Maani'u 91. Adh-Dharru 92. An-Naafi'u 93. An-Nuur 94. Al-Haadi 95. Al-Badi'u 96. Al-Baaqi 97. Al-Waarits 98. Ar-Rasyid dan 99. As-Sabbur. Inilah yang dinamakan Asma Ul Husna. Inilah nama Allah dan mencerminkan sifatNya melalui nama tersebut yang Maha Agung, Yang Maha Tinggi dan Yang Maha Sempurna. 99 nama ini wajar kita tanam dan suburkan dalam diri, jiwa dan pemikiran kita sehingga ia subur menghijau dan segar mekar sehingga semua tindakan kita adalah cerminan daripada 99 nama tersebut.

Dalam post ini kita mulakan dengan nama Allah S.W.T yang pertama iaitu ALLAH. ALLAH adalah Zat Yang Maha Tinggi, Maha Mulia dan Maha Kuasa. Zat Pencipta Seluruh Alam, langit dan bumi, matahari dan bulan, dan seluruh yang ada. DIA adalah yang wajibul wujud, yang sudah pasti ADA, yang mustahil tiada. Dalam bahasa melayu kuno dapat diertikan sebagai Dewa atau Tuhan. Segala sesuatu yang dianggap sakti dan dipuja. Pada batu bersurat Terengganu yang ditulis dengan huruf arab, kira-kira tahun 1303 Masehi, kalimat Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah diertikan dengan Dewata Mulia Raya. Lama kelamaan, perkembangan bahasa melayu dan indonesia semakin maju, kata-kata dewa tidak dipakai lagi bagi mengungkap Tuhan. Tuhan dalam konteks bahasa melayu dan indonesia adalah merujuk kepada ALLAH. Dalam perkembangan bahasa masa kini, sayugia diperingatkan bahawa istilah Tuhan antara orang islam dan kristian adalah berbeza.

Kita orang islam apabila menyebut Tuhan ia merujuk kepada ALLAH, Zat Yang Berdiri Dengan sendiri Nya, kepada Nya kita memohon segala sesuatu, tidak beranak dan diperanakan, dan tidak ada yang menandingiNya sesuatu jua pun, berbeza dengan orang kristian apabila menyebut Tuhan ia merujuk kepada Yesus Kristus, kadang-kadang bercampur baur, sebab menurut ajaran mereka tuhan adalah 'Triniti", atau Tri-Tunggal, yang tiga tetapi satu, dia yang satu tetapi tiga. Dia yang tiga tetapi satu itu ialah Tuhan bapa, Tuhan anak(Isa Al Masih) dan Tuhan ibu (Rohul Kudus). Mereka menyebutnya "Tuhan Yesus". Jadi Tuhan dalam kacamata Islam dan kristian adalah berbeza. Allah tidak dapat digambarkan oleh imiginasi pemikiran manusia, jika Ia dapat digambarkan maka ia bukan Allah.

Bagaimana kita menanam nama ALLAH di dalam jiwa, tubuh dan pemikiran kita sehingga ia subur, mekar dan sebati? Jawaban nya ialah kita mulakan segala aktiviti rutin dalam kehidupan dengan memulakannya dengan nama ALLAH seperti membaca Bismillah, sebaik sahaja tersedar daripada tidur disubuh hari, semasa bangun kita ucapkan Alhamdulilah kerana Allah masih memberikan nafas untuk kita hidup, gosok gigi kita mulakan dengan Bismillah, bila mandi kita baca bismillah, mendirikan solat subuh kita mulakan dengan niat kepada Allah, kita masuk kenderaan untuk ke pejabat kita mulakan dengan nama Allah, melangkah kaki turun dari kenderaan ke pejabat kita sebutkan Allah, mengadap komputer untuk memulakan kerja kita mulai dengan Bismillah, masa sarapan pagi kita mulai dengan Bismillah, kita sambung kerja lagi selepas sarapan kita mulai dengan Bismillah, bila tiba masa rehat tengah hari kita ucapan nama Allah, semasa menyambung kerja semula kita ucapkan Allah.

Malahan semasa nafas naik zikirkan Ya Allah dan semasa nafas turun zikirkan Ya Allah. Zikir ini dinamakan zikir Ismudz Zat, yang terkumpul seluruh fadhilat zikir Al Asma ul Husna. Mereka yang mengamalkannya dengan hati yang khusyuk dan memenuhi segala tertib, rukun dan syaratnya semata-mata mengharapkan keredaan Allah S.W.T, Insyallah akan mendapat manfaat yang tidak terhingga nilainya. Berzikir Ismudz Zat sebanyak 5000 kali setiap hari dengan mengikut kaedah-kaedahnya yang benar akan memberikan fadilah kebersihan rohani dan merupakan syarat mutlak untuk dapat menghubungkan diri dengan Zat Yang Mahasuci Isyaallah.

Zikir Ya Allah itu boleh disebutkan secara jahar(kuat) atau secara sirr(perlahan dalam hati). Digalakkan secara sirr supaya tidak menimbulkan fitnah. Zikirkan Allah, Allah, Allah Ya Allah sepanjang masa, setiap ketika dan setiap masa di dalam hati kita. Lakukan sehingga zikir itu meresap ke dalam pemikiran separa sedar (subconscious mind) kita. Insyaallah, Anda akan bertemu suatu kenikmatan jiwa berupa kelapangan dada, ketenangan fikiran dan kejernihbeningan jiwa yang tidak terungkap dengan kata-kata tapi dirasai didasar hati.

Sunday, May 17, 2009

Batu Pahat,Johor - Sebuah Kenangan #1

Pada hari ini di sebelah pagi, saya pergi ke Pasar Batu Pahat, Johor, menemani Ibu Mertua, Makcik dan Atok membeli barangan basah untuk keperluan harian, saya tidak mengikut mereka masuk ke pasar, saya hanya menunggu mereka ditempat letak kereta berhampiran pasar tersebut, disebabkan cuaca agak panas, saya keluar dari kereta dan menunggu mereka di kedai gunting rambut kaki lima.

Kedai ini agak unik kerana ia berada di kaki lima, terdapat sebuah kerusi panjang untuk pelanggan duduk dan menunggu, satu kerusi tinggi yang diperbuat daripada rotan yang sudah uzur, dihadapan kerusi rotan tersebut terdapat cermin dan tempat meletak peralatan yang digunakan untuk mengunting rambut. Tiada kipas angin dan tiada lampu elektrik. Semuanya berada diruang yang terbuka, jika anda mengunting rambut di kedai ini, semua orang yang lalu lalang dihadapan pasar tersebut dapat melihat anda.

Saya berkenalan dengan Cikgu Hassan, tuan punya kedai gunting tersebut. Saya memulakan perbualan dengan memberikan salam kepada beliau, sambil memohon kebenaran untuk duduk dikerusi panjang tersebut sementara menunggu ibu mertua, makcik dan atok siap berbelanja di pasar. Menurut beliau usia beliau telah mencecah 82 tahun, beliau adalah pesara guru dan isterinya masih berkerja di Hospital Batu Pahat sebagai jururawat terlatih. Beliau kelihatan masih sihat dan bertenaga walaupun telah berusia 82 tahun. Kami berbual pelbagai isu, daripada kesah peribadi beliau, bersambung kepada sejarah negara, cerita politik sehinggalah kepada cerita agama. Menurut beliau, sebelum merdeka, semua sekolah di negara kita beroperasi separuh hari pada hari khamis dan cuti pada hari jumaat, tetapi selepas merdeka sekolah bercuti pada hari sabtu dan ahad.

Suatu yang menarik perhatian saya ialah komen beliau tentang politik, kata beliau, samada pihak Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional, kedua-dua pemimpinnya mempunyai nafsu, hendak kepada pangkat, jawatan, kehormatan, harta, kekayaan, wang, pengaruh dan sebagainya, mereka adalah manusia biasa, jadi janganlah kita berpecah belah diperingkat akar umbi kerana politik. Kita sebagai rakyat perlu pandai menilai dan memilih pemimpin yang wajar kita jadikan pemimpin. Tambah beliau lagi "saya tidak memilih pemimpin kerana parti, tetapi saya memilih pemimpin berdasarkan kualiti kemanusiaan individu pemimpin tersebut, mungkin Pakatan Rakyat dan mungkin juga Barisan Nasional. Bergantung kepada kualiti kemanusiaan calon yang bertanding dalam pilihanraya tersebut." Perbualan kami yang sedang rancak itu tiba-tiba terhenti setelah mereka sampai.

Friday, May 15, 2009

Wajah-Wajah Alam Semesta - Betapa Manusia Terlalu Kerdil Disebalik Alam Semesta Yang Terlalu Luas



"Wajah-wajah alam semesta yang dirakam oleh The Hubble Heritage Project . Tanda kebesaran Illahi akan kewujudanNya"

Thursday, May 14, 2009

Tiang Membangunkan Keluarga Sakinah - Rumah Ku Syurga Ku

Petua menjaga hati isteri
  1. Tunjukkan rasa sayang terhadap isteri samada melalui kata-kata maupun perbuatan seperti pelukan.
  2. Jauhilah daripada ucapan yang menyinggung perasaan isteri sekalipun dalam keadaan marah
  3. Apabila dalam keadaan marah yang amat sangat, berusahalah mengawal diri. Beristigfar dan berselawat serta berwuduk. Ingatlah semula segala kenangan manis dan memahami bahawa isteri memerlukan bimbingan daripada suami dan memahami bahawa tiada orang yang tidak melakukan kesilapan.
  4. Apabila timbul rasa bosan ataupun jemu terhadap isteri, cubalah ulangi kembali masa-masa manis ketika dulu atau ajaklah isteri keluar makan di tempat yang agak istimewa, ataupun melancung ke tempat-tempat yang indah.
  5. Janganlah merendah-rendahkan isteri di depan orang lain.
  6. Janganlah memuji wanita lain di depan maupun belakang isteri.
  7. Hargailah dan berilah pujian kepada pengorbanan isteri.
  8. Bantulah isteri dalam kerja-kerja seperti memasak, mengemas dan sebagainya.
  9. Cubalah fahami keadaan dan masalah isteri dengan mengambil berat perasaan dan kesihatan isteri terutamanya ketika haid dan mengandung.
  10. Berilah bimbingan kepada isteri dalam melakukan sesuatu agar ia bertambah semangat dan bermotivasi.
  11. Bantulah isteri dalam melakukan kebaikan dan ibadah
  12. Berdoalah agar hati dan perasaannya sentiasa patuh kepada Allah dan hormat pada suaminya.
Petua mencurahkan jalinan kasih
  1. Bisikkan kasih sayang dari masa ke semasa. Pengesahan dari mulut suami ada kesan mendalam terhadap keyakinan isteri.
  2. Buktikan kasih sayang daripada suami - Hadiah dan penghargaan, Senyuman, Perbualan mesra, Gurauan, Khidmat dan bantuan dalam mengendalikan kerja-kerja rumah - Kerjasama mendidikan anak, menyelesaikan masalah dan hal-hal lain
  3. Sentuhan sayang - Peluklah isteri sekurang-kurangnya 7 kali sehari dan bukan tujuh hari sekali. - Dalam diri wanita 99 kawasan yang dapat memberi kepuasan kepada isteri apabila dirangsang suami.
  4. Isteri mengharapkan pimpinan agar selamat di dunia dan akhirat - Suami sebagai contoh bagi isteri - Suami memiliki ciri-ciri boleh dibanggakan isteri - Suami sebagai tempat bergantung - Sumber semangat dan kekuatan - Isteri mengharapkan kemaafan dari suami setiap masa
  5. Isteri mengharapkan doa yang berterusan daripada suami.
Petua mengetahui cinta pasangan hidup

Jika isteri ataupun pasangan menunjukkan sikap-sikap seperti di bawah ini, itu membuktikan bahawa cintanya terhadap kita sungguh mendalam:-
  1. Isteri mencintai kita dengan sesungguhnya biasanya perasaannya tetap dan stabil terhadap suaminya. Suami tidak akan menemui sikap isteri pada minggu ini atau bulan ini sangat menyintai sedangkan pada masa yang lain, ia berubah. Ia tidak menuntut sesuatu kepada suami baik tentang gaya dan sebagainya.
  2. Pasangan yang bercinta iaitu suami dan isteri saling memberi perhatian khusus antara sesamanya. Selalu berbincang, humor serta selalu membuat sikap-sikap yang lucu. Suami isteri selalu saling mendorong untuk menjaga badan dan kesihatan.
  3. Suami isteri yang betul-betul saling mencintai akan menunjuk kan cintanya dengan tingkah laku yang lemah lembut setiap hari Membantu menyiapkan pekerjaan peribadi dan rumahtangga secara bersama.
  4. Pasangan suami isteri yang sedang mencurahkan cinta dan kasih sayang, mereka selalu mengucapkan sesuatu tentang cinta, seperti sayang atau I love you ataupun memanggil sesamanya nama kesayangan.
  5. Jika seseorang isteri betul-betul cinta terhadap suaminya, ia tidak akan melukai atau menyakiti hati suaminya. Ia juga tidak mengungkapkan kata-kata yang menyinggung perasaan suaminya seperti "Kamu tidak pandai mengurus badan." atau "Kamu terlalu gemuk atau kurus." serta ungkapan-ungkapan lain.
  6. Pasangan yang saling mencintai, apakah isteri sangat menyintai suami atau sebaliknya, akan selalu memberikan pujian yang sesuai baik dalam bentuk kata-kata maupun perbuatan.
  7. Suami isteri akan berhubungan dan berbicara secara baik, dengan wajah yang berseri-seri dan sikap yang menyenangkan. Misalnya suami memeluk isteri sambil berjalan kaki ketika bersiar-siar kemudian pelukan itu disambut baik oleh isteri.
  8. Setiap keberhasilan dan kejayaan selalunya mereka rasakan dan nikmati bersama. Misalnya diungkapkan dengan menepuk bahu isteri sambil memeluk dan menciumnya sebagai hadiah kejayaan.
  9. Seorang pencinta biasanya seorang pendengar yang baik. Dia tidak akan berbicara sebelum pasangannya habis berbicara. Dia tidak akan memotong setiap perbicaraan suaminya. Ia baru akan berbicara bila diminta untuk memberi cadangan.
  10. Suami isteri sanggup menerima kekurangan-kekurang an di antara mereka. Isteri yang sangat menyintai suaminya sanggup menerima hakikat keperibadiannya serta cara percakapan suaminya. Ia tidak sekadar menyintai suaminya lantaran suami pandai mencari harta dan wang.
  11. Orang yang saling menyintai tidak akan berahsia antara sesama mereka. Tetapi selalu membahagikan rasa suka dan duka untuk diselesaikan bersama.
  12. Pasangan yang bercinta sedar perkara-perkara yang dapat merunsingkan perasaan pasangannya. Mereka mengerti perasaan masing-masing. Misalnya isteri sedar jika menyampaikan masalah rumahtangga ketika suami sedang letih akan menimbulkan kemarahan suami.
Petua menjadi lelaki pilihan

Ciri-ciri lelaki pilihan

1. Taat kepada Allah dan Rasul-Nya
2. Mempunyai ilmu pengetahuan agama
3. Bekerja menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran
4. Mempunyai sifat berjuang mencapai kecemerlangan dalam hidup
5. Sentiasa membersihkan dirinya daripada sebarang kemungkaran
6. Selalu bertaubat dan memperbanyakan amalan-amalan sunat
7. Tidak mengharapkan balasan atau pujian apabila melakukan sesuatu
8. Tidak takut kepada cercaan orang yang suka mencela
9. Mengetahui dan faham serta mengamalkan segala kewajipannya dengan baik
10. Bersifat lapang dada, penyantun dan pemaaf
11. Berhemah tinggi dan cermat
12. Sentiasa tenang dan waspada
13. Jika ia berkahwin, dia dapat melayan isteri dengan baik kerana sebaik-baik suami adalah suami yang paling baik terhadap isteri.

Lelaki pilihan wanita

1. Bersifat pelindung dan bertanggungjawab
2. Bersifat tegas tetapi lemah lembut dan penyayang
3. Berpendirian teguh
4. Bersikap terbuka dan matang
5. Bertimbang rasa dan memahami jiwa wanita
6. Mempunyai sifat kepemimpinan.
7. Boleh berbincang dan berterus terang
8. Penyabar
9. Mempunyai perancangan dan matlamat hidup yang baik dan jelas
10. Cerdik dan bijaksana
11. Peramah dan mesra
12. Kerjaya yang terjamin
13. Berwawasan untuk kesejahteraan dunia dan akhirat.

Hakikat Pertengkaran

Hampir seluruh perkahwinan mengalami pertengkaran, meskipun ramai orang malu mengakuinya. sebenarnya jika sebuah perkahwinan tanpa pertengkaran sama sekali membuktikan matinya emosi. Bukanlah bererti pertengkaran itu baik namun pertengkaran juga mendatangkan kebaikan dan keburukan. Jika terjadi pertengkaran kerana sesuatu yang tidak diingini berlaku dalam diri pasangan hidup. Tujuannya adalah agar sesuatu yang tidak baik itu hilang dari pasangannya, baik dalam bentuk peribadi maupun pekerjaannya.

Sebenarnya pertengkaran itu sebagai petanda awal dari sebuah Perkahwinan. Di mana suami isteri mulai cuba untuk menyatukan selera, tujuan dan keperluan hidup mereka. Jika mereka takut berbincang kerana kuatir akan berlaku pertengkaran, akhirnya ia akan menimbulkan masalah yang lebih besar pada masa akan datang. Jika suami isteri bertengkar secara kecil-kecil tidak membawa kepada pergaduhan, akhirnya mereka akan dapat mengatasi perselisihan dan kemudiannya mereka akan merasa lebih akrab.

Jika seorang suami merasa marah terhadap seseorang di tempat kerjanya, setelah pulang ke rumah, mungkin ia akan meluahkan rasa marahnya itu pada isterinya. Jika anda berpendapat suatu kemarahan harus diluahkan, maka anda akan meluahkan pada isteri anda. Pada hal dalam Islam, kita disuruh bersabar. Jika pertengkaran tidak dapat dielakkan lagi kerana mungkin salah menyampaikan sesuatu ataupun pasangan kita tidak mahu menerima hakikat diri kita, maka usahakanlah agar pertengkaran itu tidak membawa bencara. Perhatikan keadaan persekitaran agar tiada pihak lain ikut sama atau menjadi tekanan perasaan.

Petua-petua menghadapi Pertengkaran
  1. Jika terjadi pertengkaran, maka janganlah mencari kelemahan pasangan kita. Dan tidak wajar pertengkaran tersebut hanya ingin mencari kemenangan. Tetapi usahakanlah untuk menyelesai kan masalah secara bersama.
  2. Jika pertengkaran itu menyangkut tentang satu topik, janganlah masalah-masalah lain dimasukkan sama Kerana ia akan menjadikan suatu pertengkaran yang besar yang boleh membawa bencana..
  3. Batasi kekasaran jika berlaku pertengkaran. Jangan bertindak menggunakan fizikal seperti memukul, melemparkan barang dan sebagainya. Cara ini tidak akan menyelesaikan masalah malah akan menimbulkan masalah yang lebih besar. Di dalam pertengkaran, gunakan bahasa yang sesuai agar pasangan tidak tertekan. Kata-kata yang menyakitkan hatinya seperti: "Ini semua salah kamu...!", "Engkau bodoh...!", " Engkau selalu melakukan kesalahan... !" dan sebagainya. Sebaliknya gunakanlah perkataan yang lembut seperti, "Hati saya luka kerana perbuatan itu...", "Kamu tak sedar, betapa hancurnya hati saya..." dan lain-lain.
  4. Setelah bertengkar, jangan biasakan diri suka menyendiri, kemudian menjauhkan diri dari pasangan hidup. Jangan memisahkan diri kerana ia tiada nilainya sama sekali dalam perkahwinan. Bahkan ia merugikan hubungan suami isteri.
  5. Jangan cuba menggunakan seks atau wang untuk membalas pertengkaran kerana cara ini akan menyebabkan terjadinya pertengkaran yang lebih hebat.
  6. Jangan membiarkan pihak ketiga ikut serta dalam pertengkaran keluarga. Kehadiaran pihak ketiga misalnya mertua, ipar, adik beradik hanya akan menambahkan kecurigaan dan mungkin menambah menyala api pertengkaran. selesaikan secara baik antara suami isteri.
  7. Jangan bertengkar di depan anak-anak kena ini akan menjadikan anak-anak bingung dan tertekan perasaan. Jika ini berlaku, akan ujud banyak lagi masalah lain.
Petua memilih wanita idaman atau perempuan

Tidak semua orang dapat memilih pasangan hidupnya sesuai dengan keinginannya. Tetapi ramai juga yang pandai menyesuaikan diri dengan pasangannya walaupun tidak menepati ciri-ciri wanita idamannya.

Calon-calon isteri pilihan.
  1. Wanita yang solehah
  2. Wanita yang boleh melahirkan anak
  3. Wanita yang bukan keluarga terdekat
  4. Wanita yang berakal.

Wednesday, May 13, 2009

SURIA TERBENAM JUA - Ajaran "Pandang Ke Timur"

Bagaimana Jepun Membangun?

Apabila Jepun mula maju ke arah permodenan semasa Pemulihan Meiji 1868, peringkat pendapatanya hampir sama dengan india dalam tahun 1960. Jepun adalah sebuah negara yang tidak pernah dijajah tetapi ia adalah negara yang menjajah. Di Jepun, kelas samurai yang berpendidikan sedia menerima pembaharuan dan berusaha melaksanakan permodenan ekonomi. Prinsip takdir yang mengikat menjadi ikatan antara pekerja dan majikan menyebabkan mereka saling bantu membantu untuk mencapai kemajuan syarikat.

Zaman Shogon Tokugawa membawa Jepun ke era budaya ilmu, pada zaman tersebut penyelidikan sains dan teknologi digalakkan, kelas feudal dihapuskan, meritokrasi dicambahkan dan diamalkan di semua peringkat masyarakat. Melalui peranan kerajaan yang luas, Jepun meningkatkan pengeluaran dan menyertai industri-industri pertumbuhan tinggi dan mengelakkan pelaburan yang bertindih. Pada hari ini, selepas 140 tahun daripada Pemulihan Meiji, Jepun telah menjadi kuasa gergasi ekonomi dunia.

Tuesday, May 12, 2009

Etika Usahawan Muslim - Kenapa Tidak Releven Untuk Diamalkan?

Saya bertemu dengan seorang sahabat yang telah melibatkan diri dengan dunia perniagaan hampir 20 tahun, bermula daripada kecil-kecilan sehinggalah beliau memiliki pejabat besar yang beroperasi di Matahari, Sunway. Beliau adalah kontraktor Elektrik dan banyak terlibat dengan projek Tenaga Nasional Berhad. Kami berbual dan bertukar-tukar fikiran tentang kehidupan, agama dan seluk beluk perniagaan.

Saya adalah pegawai kerajaan dan sememangnya saya tidak mempunyai pengalaman dalam perniagaan, tapi saya pernah belajar teori perniagaan dan tahu serba sedikit tentang etika usahawan muslim melalui pembacaan. Diantara ciri-ciri usahawan muslim ialah amanah sehingga dipercayai, berkredibiliti, jujur, komitmen 100 peratus, melaksanakan penambahbaikan berterusan sehingga kesempurnaan, kreatif dan Inovatif, tidak takut persaingan, membangkitkan potensi terbaik dalam diri, mencari karunia Allah sebanyak-banyaknya dan berzakat bila beroleh keuntungan.

Jadi saya mencadangkan kepada sahabat saya ini untuk mengamalkan dan menerapkan ciri-ciri usahawan muslim supaya perniagaannya lebih maju. Sahabat saya menjawab "itu sekadar teori sahaja, ia tidak sesuai dipraktikan dalam perniagaan sebenar, dalam konteks di Malaysia" saya bertanya kenapa begitu, jawab beliau "dalam perniagaan, kita tidak boleh jujur sangat, kalau kita jujur, perniagaan kita akan lingkup sebab semua rahsia perniagaan kita diketahui oleh pesaing". tambah beliau lagi "kalau kita hendak mendapatkan kontrak, kita kena layan semua kehendak S.O (site officer), kehendaknya pula pelbagai ragam dan bermacam-macam, kadang-kadang terpaksa melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak agama, namun kita tetap kena layan jika kita hendak kontrak".

Kesimpulannya kata beliau, etika usahawan muslim tidak releven untuk dilaksanakan di Malaysia jika mahu berjaya terutamanya menjadi kontraktor seperti beliau. Sebabnya budaya kontraktor di Malaysia sememangnya begitu. Berbeza jika perniagaan kita itu jenis yang melibatkan pengguna secara terus seperti kedai runcit, trading dan sebagainya.

(bersambung)

Monday, May 11, 2009

Komen Allahyarham Ahmed Deedat Tentang Masjid Sultan Abdul Aziz Shah Shah Alam, Selangor.


Pada 29 Februari 1992 di Auditorium MPSA (sekarang MBSA) Allahyarham Shaikh Ahmed Deedat, seorang pendakwah daripada Afrika Selatan telah menyampaikan sebuah ceramah bertajuk "Islam:The Way,The Truth and The Life". Shaikh Ahmed Deedat terkenal dengan kepetahan beliau berdebat dan kebolehan beliau menghafal bible, malahan beliau pernah berdebat dengan pemikir yahudi dan kristian tentang kebenaran Islam. Beliau adalah pakar dalam bidang perbandingan agama.

Semasa menyampaikan ceramah tersebut, beliau berkongsi pengalaman tentang umat Islam di Afrika Selatan, menurut beliau terdapat kira-kira setengah juta umat Islam di Afrika Selatan dan 250,000 daripadanya ialah orang melayu(pada tahun 1992 sekarang mungkin lebih besar jumlahnya). Mereka adalah muslim yang cekal, kuat semangat dan berjiwa besar. Orang melayu dikategorikan sebagai orang kulit berwarna. Justeru itu, di Afrika Selatan orang islam disana berhadapan dengan pelbagai tekanan dan mereka tidak dibenar menggunakan kemudahan awam seperti Dewan Awam kerajaan tempatan untuk tujuan menjalankan aktiviti berunsur agama. Oleh yang demikian mereka (orang islam) terpaksa melakukan semua aktiviti keagamaan di dalam masjid Juma di Dublin, Cape Town.

Di masjid Juma di Dublin, Cape Town, Afrika Selatan untuk tujuan menarik minat orang bukan islam memahami islam, mereka membenarkan pelawat bukan islam datang melawat dan masuk ke dalam masjid tersebut, pelawat tersebut akan diterangkan tentang azan,ditunjukan cara-cara berwuduk, falsafah berwuduk, cara menunaikan solat, falsafah bersolat, diterangkan tentang rukun iman, rukun islam, keesaan Tuhan dan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan pendidikan yang dilaksanakan di dalam masjid. Dengan cara tersebut, secara tidak langsung orang bukan islam akan didedahkan tentang islam.

Berbeza di Masjid SAAS, Shah Alam, Selangor, Malaysia dimana orang bukan islam tidak dibenarkan berada didalam masjid, malahan mengistiharkan bahawa orang alim yang membuat fatwa tersebut (tidak membenarkan orang bukan islam daripada memasuki masjid) telah melaksanakan hipokritsi peringkat tertinggi kerana membenarkan Queen Elizabet masuk ke dalam masjid tersebut pada tahun 1989 semasa lawatan beliau ke Malaysia tetapi sebaliknya tidak membenar orang cina dan india (bukan islam) masuk ke dalam masjid tersebut. "Ini soal prinsip" jelas beliau, kenapa Queen Elizabet boleh? dan kenapa orang cina atau india (bukan islam) tidak dibenarkan?

Sunday, May 10, 2009

Persediaan Mental Ketika Menghadapi Masalah atau Krisis

Semua orang pasti akan melalui dan menghadapi masalah dalam kehidupannya, contohnya masalah kewangan, masalah keluarga, masalah percintaan, masalah pelajaran, masalah perkerjaan dan sebagainya. Sikap kita dalam menghadapi suatu masalah yang sama selalunya berbeza-beza, bergantung kepada individu tersebut, ada orang yang dukacita, kecewa, tertekan dan sebaliknya ada orang tenang dan sabar dalam menghadapi masalah itu. Persoalannya disini ialah bukan masalah yang menjadi isu, tetapi sikap kita untuk menghadapi masalah tersebut yang lebih penting.

Dalam hidup ini, kita banyak bertemu dengan perkara-perkara yang kita suka dan yang kita benci. Jadi mental kita perlu bersedia menerima sesuatu yang kita suka dan yang kita benci. Mental kita perlu bersedia menerima realiti samada baik atau buruk dengan perhitungan iman kerana mungkin sesuatu yang kita suka itu dibenci oleh Tuhan dan sebaliknya. Sediakan payong sebelum hujan, itu menyebabkan samada hari itu hujan atau tidak, kita dapat hadapi cuaca pada hari itu dengan sikap yang baik, kita perlu menyempurnakan niat dan menyempurnakan ikthiar. Hasil selepas itu, kita tawakal kepada Tuhan. Biar Allah yang menentukan yang terbaik untuk kita.

Jika masalah itu telah terjadi dan masalah itu amat mengecewakan kita, maka kita perlu redha dan menerima kenyataan dengan hati yang terbuka sebab redha adalah nikmat hidup yang paling berharga. Orang yang tidak redha dengan masalah yang berlaku padanya akan menjadikan dia lebih kecewa dan tertekan. Terima kenyataan dengan seadanya. Jangan persulitkan diri sendiri. Hakikatnya pemikiran kitalah yang menentukan tahap kesusahan kita sendiri. Jadi redhalah dengan masalah yang telah berlaku. Kemudian kita perlu membuat pembetulan pada diri sendiri, sebab apa yang berlaku adalah akibat pantulan daripada tindakan kita. Disebalik kesulitan ada kemudahan. Jadi bertafakurlah untuk menilai kelemahan diri dan berazam untuk memperbaiki diri.

ESQ Model: ESQ Training


ESQ Model

The ESQ Leadership Training consists of :

1 Value - How to feel God consciousness. The modules are:

  • Inner Journey
  • Outer Journey
  • Zero Mind Process
6 Principles - How to internalise core values. The modules are:
  • Star Principle
  • Angel Principle
  • Leadership Principle
  • Learning Principle
  • Vision Principle
  • Well-Organised Principle

5 Actions - How to sustain the principles and core values. The modules are:

  • Mission Statement
  • Character Building
  • Self-Controlling
  • Strategic Collaboration
  • Total Action

Saturday, May 9, 2009

Mengetahui Hakikat Sesuatu Yang Di Ingat - oleh Imam Al-Qusyairi (Part 1)

"Kepunyaan Allah nama-nama yang indah"
- (Al-A'raf 7:180).

Nama-nama itu disifatkan indah kerana ia berupa sifat-sifat ketinggian, keagungan dan keluhuran yang dimiliki oleh Allah S.W.T. , 99 nama-nama itu mencerminkan 99 sifatNya Yang Maha Tinggi, Yang Maha Agung dan Yang Maha Sempurna. Kita sebagai hambaNya yang dikurniakan oleh Nya akal, boleh membaca, mengira, menulis, boleh memahami dan boleh menghayati erti 99 nama tersebut sewajarnya menerapkan 99 sifat-sifat tersebut ke dalam diri kita ketahap yang terbaik dan sesempurna mungkin di atas kapasiti kita sebagai hamba. Dengan demikian, barulah sempurna pengabdian dan penghambaan kita itu kepada Nya.

Sesiapa yang menyebut satu nama daripada nama-namaNya, serta memuja dan memuji dengan satu sifat daripada sifat-sifatNya (berzikir), maka sebutan itu pun menuntutnya supaya menumbuhkan sifat ke dalam diri nya sesuai dengan apa yang disebutnya dalam zikir tersebut. Contohnya, Al-Rahman adalah salah satu nama Allah yang bermaksud Maha Pemurah kepada segala makhluk-Nya dimana kemakmuran yang diperolehi daripada sifat Al-RahmanNya itu kepada kita itu tidak terhitung lagi, samada kepada orang muslim ataupun non muslim, binatang liar atau tumbuh-tumbuhan di dalam hutan khatulistiwa. Semua makhlukNya merasai, menikmati dan mendapat kemakmuran kerana sifatNya Yang Maha Pemurah.

Contohnya, udara yang mengandungi oksigen untuk kita bernafas, air dari gunung ganang dan mata air untuk kita minum, lautan sebagai media pengangkutan, hujan yang menyirami tanaman, tanah untuk kita bercucuk tanam, api yang kita gunakan untuk memasak dan sebagainya. Allah S.W.T melalui sifat RahmanNya mengurniakan udara, air, api dan tanah kepada semua makhlukNya samada yang baik atau yang jahat, yang mentaatiNya atau yang memungkiriNya. Semuanya mendapat faedah daripada sifat RahmanNya. Itulah maksud Allah S.W.T Yang Maha Pemurah.

Sifat Al-Rahman itu sewajarnya kita serapkan kedalam diri, jiwa dan pemikiran kita sehingga hati kita menjadi subur dengan sifat Al-Rahman. Bila sifat Al-Rahman itu menyubur dalam jiwa kita , maka, jika kita melihat Sami Vellu yang beragama Hindu di dalam kesusahan kita hulurkan tangan untuk membantu, jika kita bertemu, Ong Ka Ting yang beragama Buddha di dalam kepayahan, kita hulurkan tangan untuk menolong dan begitulah seterusnya. Jika kita melihat kucing dalam kelaparan, kita berikan makanan untuk kucing itu makan, jika kita melihat tanaman kekeringan, kita serami air supaya ia segar dan begitulah seterusnya.

Sesiapa yang telah mengenali nama Tuhannya, maka dia akan merasai kenikmatan jiwa yang tenang, menyenangiNya dan meningkatkan martabatnya di dunia dan di akhirat. Sesiapa yang membesarkan nilai penghargaannya kepada Allah maka Allah akan juga akan membesarkan nilai diri hambanya itu.

Pengurusan Hati - Kearah Pembinaan Peradaban Bangsa Melayu

Tubuh (body), pemikiran (mind) dan jiwa (soul) adalah unsur penting dalam diri seorang manusia. Jika 3 unsur ini dapat dipengaruhi, maka dapatlah individu itu dikuasai. Pada hari ini, dalam kacamata global, tubuh, pemikiran dan jiwa bangsa kita amat dipengaruhi oleh pemikiran barat. Malahan ramai dikalangan kita termasuklah saya sendiri terpengaruh tanpa disedari. Contohnya dengan menganggap bahawa solat, puasa, zakat, menunaikan haji dan lain-lain ibadah hanyalah aktiviti RITUAL dalam agama islam. Hakikatnya bukan demikian, ia menjangkau lebih jauh daripada itu.

Dalam konteks orang melayu, dari segi tubuh badan, kebanyakan kita tidak begitu menghiraukan kesihatan tubuh badan, terutamanya orang-orang melayu diluar bandar, selagi badan boleh berfungsi selagi itulah ia digunakan tanpa memikiran tentang penyelenggaraan tubuh. Bila darah tinggi, kencing manis datang menyerang dan saluran darah telah tersumbat oleh kolestrol maka pada ketika itu baru lah kita baru menyelenggara badan kita dengan bertemu doktor. Hakikatnya pemakanan dan minuman amat mempengaruhi kesihatan tubuh badan kita dalam jangka masa panjang.

Dari segi pemikiran bangsa melayu, bagi bangsa melayu kelas bawahan, kita hanya berfikir sekadar cukup makan, sekadar boleh hidup, manakala bagi orang melayu kelas menengah dan kelas atasan pula hanya memikirkan soal survival mereka sahaja tanpa memikirkan untuk membantu orang melayu kelas bawahan. Konsep tolong menolong antara satu sama lain, bantu membantu, sharing and caring tidak diamalkan diantara kita. Hasilnya jadilah kita sebagaimana keadaan sekarang, tewas dengan bangsa lain dari segi ekonomi dan perniagaan.

Dari segi jiwa bangsa melayu mempunyai kekuatan dan nilai-nilai yang baik, diantara kekuatan jiwa bangsa melayu ialah kita senang menerima tetamu terutama daripada bangsa lain, kita tidak memakan khinzir, jiwa bangsa kita lembut dan seni sifatnya, bangsa melayu jarang membunuh diri kerana kekecewaan atau masalah, tidak mengemari pertumpahan darah dan amat sabar. Mempercayai Tuhan dan memegang Islam sebagai agamanya. Hasilnya, semasa zaman penjajahan British, mereka berusaha keras untuk menukarkan agama kita kepada agama kristian melalui pendidikan dan mubaligh mereka tetapi mereka gagal melaksanakan agenda tersebut kerana kekuatan jiwa bangsa melayu.

Kesimpulannya, tubuh (body), pemikiran (mind) dan jiwa (soul) bangsa melayu memerlukan satu transformasi dan reformasi baru. Asasnya ialah agama, iaitu islam. Islam dalam erti kata sebenar, bukan islam yang memisah-misahkan antara kehidupan dunia dan akhirat. Hanya melalui cara ini bangsa melayu akan dapat membina tamadun bangsa Malaysia. Bangsa yang fizikalnya sihat, pemikirannya positif dan jiwanya merdeka daripada belenggu sesama makhluk. Tamadun baru yang bangsanya mengagungkan Allah S.W.T dalam pemikiran, tindakan dan perbuatan.

Friday, May 8, 2009

Bahaya Penyakit Hati - Hasad Dengki

Umumnya bangsa melayu sering dikaitkan dengan penyakit hati yang dipanggil hasad dengki. Hakikatnya bukan bangsa melayu sahaja yang memiliki sifat tersebut, semua bangsa di dunia juga mempunyai sifat tersebut. Hasad dengki kalau ia hanya sekadar lintasan hati, ia adalah perkara biasa. Tetapi kalau ia melibatkan tindakan terhadap yang didengki maka itu sesuatu yang mendukacitakan.

Kayu pengukur untuk menilai samada sifat hasad dengki itu tebal atau tidak dalam hati kita mudah. Cuba kita tanya diri sendiri sejauhmanakah tingkat kegembiraan kita apabila melihat orang lain susah dan sejauhmanakan tingkat kekecewaan kita apabila melihat orang lain senang? Kalau jawabannya tahap kegembiraan kita tinggi apabila melihat orang lain susah dan tahap kekecewaan tinggi jika kita melihat orang lain senang, maka, itu tandanya sifat hasad dengki itu telah menyelaputi hati kita. Ciri-ciri seseorang itu memiliki sifat hasad dengki kronik adalah seperti berikut:-
  1. Raup wajah seseorang pendengki sentiasa masam bila mendengar orang memuji orang yang didengkinya.
  2. Tutur kata seseorang pendengki lebih banyak mencela, memburukan dan menghina orang lain.
  3. Tindakan seseorang pendengki sentiasa ingin menjatuhkan orang lain.
  4. Hati pendengki sentiasa susah apabila melihat orang lain berjaya.
  5. Pendengki adalah orang yang takabur.
Pendengki sentiasa menggunakan masanya yang terluang untuk menjatuhkan orang yang didengkinya, selalunya hasad dengki ini menyelumbungi orang-orang yang satu derajat, contohnya pelajar dengan pelajar, lelaki dengan lelaki, wanita dengan wanita, dekan dengan dekan, ketua jabatan dengan ketua jabatan dan begitulah selalunya. Pendengki adalah orang yang tidak bersedia untuk bersaing.

Semoga kita bebas daripada penyakit hati ini kerana jika ia telah bersarang dalam hati kita maka ia umpama api yang memakan daun-daun kering terhadap amalan-amalan kebaikan kita. segala amalan kebajikan kita menjadi sia-sia jika kita memiliki sifat ini, umpama hangus dimakan api. Bukan itu sahaja, wajah kita juga cepat menjadi tua dan hilang sinarnya jika hati kita disaluti oleh sifat ini. Kita perlu yakin bahawa rezeki kita telah ditentukan oleh Allah SWT sejak azali lagi, kedengkian tidak boleh mengubah rezeki orang yang kita dengki!

Thursday, May 7, 2009

Kalam Ilahi

Kalam yang menulis hukum alam semesta
Kalam yang melukis garisan orbit cakerawala
Kalam yang mengira seluruh perjalanan masa
Kalam yang boleh dibaca oleh minda manusia

Kalam yang boleh difahami oleh hati manusia
Kalam yang boleh dirasai oleh jiwa manusia
Kalam yang boleh dihayati oleh akal manusia
Kalam yang tertulis pada kitabNya