Saya melihat deretan semut hitam yang melalui dahan pokok tersebut sehingga ke pangkal pokok rambutan dan deretan semut itu terus melalui laluan di atas tanah, saya menjejaki laluan deretan semut itu sehingga sampai ke sarangnya, setiap kali sang semut bertemu kawannya yang melalui laluan tersebut, mereka seolah-olah memberi salam, semacam ada komunikasi diantara mereka, didalam sarang terdapat semut yang lebih besar saiznya dan bersayap, masing-masing sibuk dengan tugas masing-masing, tiada rehat, mereka terus berkerja, ada yang mengangkut makanan, ada yang terus berjalan, ada yang mengigit makanan dan pelbagai aktiviti sang semut didalam sarangnya.
Pengajaran terbesar yang saya dapat saksikan daripada kumpulan semut hitam ini ialah komitmen dan sikap sang semut dengan semut-semut yang lain. Semut sentiasa berusaha secara terus menerus untuk berjaya dan mendapatkan apa yang diinginkan, ia merangkak diatas dahan, kemudian terjatuh, namun ia tetap berusaha untuk bangun dan berusaha merangkak kembali di atas dahan tersebut, dan terus berjalan lagi tanpa mengenal lelah, jemu dan bosan. Apabila laluan tersebut terhalang, maka semut akan berusaha lalu ke kiri dan ke kanan, namun jika ia mendapat kesukaran, sang semut akan memanjat objek yang menghalang laluannya, mereka terus berusaha, sehingga akhirnya berjaya sampai ke sarangnya semula.
Teladan yang boleh diambil daripada peristiwa ini ialah ketabahan, kesabaran, tekad kuat, sikap pantang menyerah dan berusaha tanpa mengenal erti lelah dan bosan. Semut tidak menoleh ke belakang, sekali ia bergerak kehadapan, ia akan terus kehadapan sehingga matlamatnya tercapai.
Saya menyeru semua mahasiswa UiTM untuk mencontohi semut dalam perjalanan saudara dan saudari menuntut ilmu di UiTM. Kalian akan menjadi mahasiswa yang berjaya jika kalian mencontohi sifat dan perangai semut.


