Thursday, July 31, 2008

Shahid Dalam Perjalanan Menuntut Ilmu.

Saya, En. Rosman dan En. Bakar berada diHospital Ampuan Rahimah Klang daripada pukul 9.00 malam sehingga semua urusan jenazah selesai. Jenazah allahyarham dibawa keluar daripada Jabatan Forensik HTAR pada jam 11.30 malam. Semoga roh allahyarham ditempatkan dalam tempat orang-orang yang beriman.

Jam 1.00 sehingga 3.00 pagi, saya berada di Apartment Baiduri menangani masalah sosial siswa dan siswi kita. Masalah bila lelaki terleka dan perempuan terlena. Pemerhatian saya di Apartment Baiduri mendapati masih terdapat mahasiswa yang keluar masuk lewat malam atas alasan 'lapar dan nak makan'. Polis telah menasihat kita supaya berada di rumah pada jam 12.00 malam dan mengurangkan aktiviti luar rumah selepas jam 12.00 malam. Saya rasa cadangan Polis tersebut rasional dan releven dalam kehidupan mahasiswa.

Wak Misnon wakil penduduk apartment baiduri yang kerap membuat aduan tentang gelagat mahasiswa nr di apartment baiduri mencabar saya supaya duduk jadi pak guard dipos pengawal pada jam 10.00 malam sehingga 4.00 pagi pada hari sabtu dan ahad untuk melihat gelagat siswa siswi UiTM di apartment tersebut. "Saya hanya boleh buat yang termampu, bertindak berdasarkan aduan dan bersikap proaktif terhadap aduan tersebut" jawab saya ringkas.

Jam 3.15 pagi saya memeriksa server farm dan network center psmb yang dilapurkankan kepanasan dan terganggu sistem operasinya, setelah sentuhan dilaksanakan suhu kaca bilik server farm dan network center tidak lah terlalu panas. Masih dalam tolerasi untuk beroperasi.

Wednesday, July 30, 2008

Seorang Mahasiswa NR Meninggal Dunia Akibat Kemalangan Jalan Raya Di sekyen 6 Berdekatan Mahkamah Shah Alam

Berita sedih. Semalam sepasang mahasiswa kita terlibat dengan kemalangan jalanraya tapi hanya melibatkan kecederaan parah, hari ini ada lagi berita kemalangan maut yang melibatkan mahasiswa nr. Saya akan ke hospital klang sebentar lagi untuk melihat mayat mahasiswa kita daripada fakulti kejuruteraan awam. Difahamkan allahyarham adalah mahasiswa tahun akhir daripada fakulti tersebut, keluarga beliau dalam perjalanan ke Shah Alam.

Melawat Mahasiswa NR UiTM Kemalangan Jalanraya di Hospital Kelang

Sekitar jam 9.30 malam sehingga 10.30 malam tadi, saya bersama sahabat saya En. Ariffin Md. Yusof melawat sepasang mahasiswa NR yang dimasukan ke wad Hospital Kelang akibat kemalangan jalanraya. Keadaan siswa NR tersebut stabil manakala keadaan siswi tersebut tidak diketahui kerana kami tidak dibenarkan masuk wad ICU. Difahamkan kemalangan tersebut berlaku pagi tadi semasa mereka dalam perjalan ke kuliah.

Pihak waris kedua-dua mangsa kemalangan telah dimaklumkan dan mengetahui mengenai kemalangan yang menimpa anak mereka. Saya menasihati siswa yang terlibat supaya bersabar dan menerima kemalangan ini sebagai ketentuan ilahi, dalam apa keadaan sekalipun, perjuangan untuk kelangsungan hidup perlu diteruskan, semangat kena kuat. Kami akan berusaha sebaik mungkin membantu siswa dan siswi terbabit untuk meringankan beban yang dialami oleh mereka. Saya meninggalkan nombor telefon bimbit saya kepada Puan Saniah, bonda kepada siswa terbabit, sebelum meninggalkah Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Nasihat saya kepada semua mahasiswa NR yang bermotosikal, samada yang bercouple atau yang solo atau single supaya sentiasa berhati-hati dijalan raya, pacu cermat, jiwa selamat. Jangan pacu motorsikal macam mat rempit, cilok kiri, cilok kanan dan main redah jaya sahaja. Takut-takut salah cilok terterap di atas jalan dan saya kena melawat anda di hospital pula.

Monday, July 28, 2008

Knowing Yourself - Kenali Diri Anda

Program Personaliti Anda Gaya Anda anjuran Kolej Delima mendedahkan ketahanan mental siswi dalam menangani perubahan melalui kaedah kenali diri. Lebih menarik ialah forum lelaki terleka, perempuan terlena mendedahkan seni dan teknik yang betul dalam perhubungan siswa dan siswi supaya perhubungan tersebut sentiasa selamat dan mendapat restu ilahi. Datanglah beramai-ramai pada 4 - 10 Ogos Di Kolej Delima UiTM Malaysia. Terdapat jualan pelbagai barangan, gerai pameran dan macam-macam lagi.

Wednesday, July 23, 2008

Gerbang SMS Kerajaan - mySMS sumbangan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) kepada Rakyat

Sepanjang hari pada hari ini saya menghadiri sesi latihan hand on bagi aplikasi SMS agensi-agensi kerajaan anjuran MAMPU di Glenmarie. UiTM adalah diantara 50 agensi kerajaan yang terpilih dalam fasa satu untuk projek Gerbang SMS Kerajaan - mySMS. Diantara IPTA yang terpilih ialah UKM, UM dan UPM. Ia akan dilancarkan di PICC pada 31 Julai 2008 ini.

Dalam ucapan alu-aluan Pn. Norhalina Abdul, Timbalan Pengarah, Seksyen Pentadbiran Infrastruktur e-KL daripada MAMPU semasa sesi taklimat disebelah pagi menyatakan bahawa Inisiatif Gerbang SMS adalah salah satu usaha kerajaan untuk mempelbagaikan saluran-saluran penyampai perkhidmatan. Kemajuan teknologi sedia ada dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan. Saluran SMS ini membolehkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan kerajaan dengan mudah dan cepat.

Justeru itu, selari dengan Bengkel Pengurusan NR semalam dan kemarin, saya akan mencadangkan kepada pengurusan universiti untuk menggunakan SMS sebagai tool komunikasi interaktif antara Unit Pengurusan NR HEP dengan mahasiswa NR, dengan cara ini sistem penyampaian antara HEP dan mahasiswa nr akan lebih baik dan berkesan.



Sebagai permulaan... SILA TAIP UITM dan hantar kepada 15888 anda akan menerima jawaban daripada 15888 seperti berikut RM.20 UiTM:Universiti Teknologi MARA, 40450 Shah Alam, Selangor. Tel:03-5544 2000 Web:http://www.uitm.edu.my maksudnya 20 sen charge dikenakan keatas air-time anda dan anda mendapat maklumat alamat, no tel, alamat UiTM dan web site UiTM.

Langkah di atas boleh diulangi untuk semua agensi kerajaan yang terpilih dalam projek ini. Contohnya dengan menaip JPN dan menghantar ke 15888 anda akan memperolehi maklumat mengenai Jabatan Pendaftaran Negara, menaip UM dan menghantar ke 15888 anda akan memperolehi maklumat mengenai Universiti Malaya dan sebagainya.

Saya menyokong projek mySMS kerana ini adalah langkah brilliant kerajaan untuk mendekatkan diri dengan pelanggan kerajaan iaitu RAKYAT. Pendek kata disinilah gerbang maklumat dan aduan rakyat bermula.UiTM wajar menyambut projek mySMS dan mengembangkannya dalam bentuk yang lebih kreatif dan inovatif melalui R n D.

Tuesday, July 22, 2008

Siswa dan Siswi NR : UiTM Memandang Serius Kebajikan Anda Sepanjang Menjadi Mahasiswa UiTM.

Kesimpulan Bengkel Pengurusan NR semalam dan hari ini ialah UiTM komited membantu mahasiswa nr melalui pelbagai pendekatan baru. Unit Pengurusan NR komited membantu mahasiswa nr dalam aspek kebajikan semasa anda diperantauan dan berada dicelah-celah masyarakat shah alam untuk menuntut ilmu disini.

Monday, July 21, 2008

Bengkel Pengurusan Mahasiswa Non-Resident, 21-22 Julai 2008 di Kolej Mawar UiTM Malaysia

Pada hari ini dan esok saya menghadir bengkel pengurusan mahasiswa NR yang dihadiri oleh pengurus asrama, penolong pengurus asrama, pegawai pembangunan pelajar non-resident dan ramai lagi dari seluruh negara termasuk UiTM Kampus Cawangan Sabah dan Sarawak.

Saya dilantik menjadi fasilitator kumpulan dua yang dianggotai oleh En. Ibrahim pengetua Kolej Puncak perdana, Dr. Zana, pengetua kolej mawar dan melati, en. kamal dari UiTM perak, En. Rosdi, En. Faizal, En. Fazley dari UiTM Cawangan Sabah dan Hajah Junaidah daripada UiTM Cawangan Trengganu.

Pokok perbincangan kami ialah mengenalpasti mekanisme yang sewajarnya yang perlu dilakukan UiTM untuk merancakkan dan menyemarakkan aktiviti yang melibatkan mahasiswa NR. Umum mengetahui bahawa tahap penglibatan mahasiswa nr terhadap aktiviti yang dianjurkan kurang mendapat sambutan daripada pelajar nr. Banyak faktor yang menyebabkan perkara ini terjadi diantaranya program yang tidak memenuhi kehendak pelajar nr, masa dan waktu program yang tidak sesuai, kurang publisiti dan sikap mahasiswa sendiri yang merasakan mereka lepas bebas bila menjadi mahasiswa nr dan tidak mahu beraktiviti dan melaksanakan program.

Kami semua ahli kumpulan dua bersetuju supaya UiTM mewujudkan Jawatankuasa Bersama antara UiTM dan masyarakat setempat dimana mahasiswa nr menginap bagi mengeratkan perhubungan diantara mahasiswa nr dengan penduduk setempat disamping menangani masalah semasa yang ditimbulkan oleh mahasiswa nr. Disamping itu, Jawatankuasa diperingkat ad-hoc diwujudkan semua kawasan dimana terdapat mahasiswa UiTM menyewa disitu, melalui mekanisme ini secara tidak langsung kita dapat mewujudkan sistem penyampaian yang berkesan kepada mahasiswa NR. Program-program yang melibatkan mahasiswa nr dan masyarakat setempat wajar dilaksanakan.

Pn. Azida Azmi, Ketua Timbalan Pendaftar, HEP & A, semasa sesi perasmian bengkel tersebut menyatakan bahawa UiTM serius dalam menangani hal ehwal kebajikan mahasiswa NR. Semua sistem HEP diseluruh negara mempunyai pegawai pembangunan pelajar NR dan unit pengurusan NRnya yang tersendiri. Demikian lah kata Pn. Azida bahawa pengurusan universiti serius menjaga kebajikan mahasiswa NR.

Sunday, July 20, 2008

Pusat Kesihatan UiTM: Tiada Lagi Doktor On Call Yang Ada Hanya Ambulance On-Call

Sekitar jam 1.35 petang tadi, saya menerima panggilan telefon daripada YDP JPK Kolej Delima memohon bantuan untuk menghantar seorang ahli exconya yang juga kawan baik beliau sakit. Saya menghantar pelajar tersebut ke Pusat Kesihatan UiTM untuk menjalani rawatan di situ. Setibanya di Pusat Kesihatan sekitar jam 1.45 petang, saya dimaklumkan klinik hanya akan beroperasi jam 2.00 petang, jadi kami terpaksa menunggu sehingga jam 2.00 ptg.

Setelah menjalani pemeriksaan, doktor yang bertugas menahan pelajar tersebut diwad sementara di Pusat Kesihatan kerana suhu badan siswi tersebut terlalu tinggi. Doktor memberikan ubat dan melaksanakan ujian pemeriksaan darah terhadap siswi berkenaan. Mengikut cerita doktor, terdapat jangkitan virus dalam darah siswi berkenaan.

Sementara menunggu siswi berkenaan mendapat rawatan saya sempat berbual dengan jururawat yang tertugas dikaunter pendaftaran. Mengikut cerita jururawat tersebut, sejak semester lepas lagi sudah tidak ada doktor on-call yang ada hanya ambulance on-call. Pusat kesihatan akan beroperasi mulai jam 8.00 pagi sehingga jam 5.00 petang pada hari sabtu, ahad dan cuti am. Pada hari biasa Pusat Kesihatan akan beroprasi mulai jam 8.00 pagi sehingga 9.00 malam.

Justeru itu, saya menasihat semua mahasiswa samada Non-Resident atau Resident, jika saudara/i rasa macam hendak deman atau kurang sihat datanglah ke Pusat Kesihatan pada waktu ia beroprasi. Jangan tunggu sampai lewat malam baru meminta bantuan Pegawai Pembangunan Pelajar di Kolej anda untuk menghantar anda ke Pusat Kesihatan kerana saudara/i tidak akan dihantar ke Pusat Kesihatan tetapi saudara/i akan dihantar ke klinik di sekitar Shah Alam dan saudara/i perlu membayar bil perubatan sendiri.

Siswi tersebut dibenarkan keluar daripada wad sementara sekitar jam 4.00 petang. Saya menasihat siswi tersebut supaya memakan ubat yang diberikan oleh doktor. Jika ada masalah lagi, jangan segan untuk menghubungi saya.

Saturday, July 19, 2008

Bancian Mahasiswa NR di Blok 9 Flat PKNS, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Saya baru balik bersama J/K Penduduk Blok 9 Flat PKNS seksyen 7, Shah Alam membuat bancian rumah sewa diblok berkenaan. Objektif utama bancian ini ialah untuk tujuan keselamatan semua penghuni blok 9. Saya membawa bersama PPP Kolej Jati En. Hamdani membantu saya melawat blok 9 untuk membuat bancian dari rumah ke rumah di tangga 8 dan 2 diblok tersebut bersama J/K Blok 9 yang diketuai oleh Pak Din berserta dengan ahli exco beliau yang lain, En. Rahman, En. Eden dan ramai lagi. Semua rumah student yang saya lawati bersama J/K blok 9 diblok tersebut didiami oleh siswi kita.

Pak Din menyeru semua student yang menginap diblok tersebut supaya jangan membuang sampai merata-rata, mengutip sampah dan membuang ditempat yang sepatutnya, menyertai program yang dianjurkan dalam J/K Penduduk Blok 9, kepada mahasiswi - jangan bawa lelaki masuk, kepada mahasiswa - jangan bawa perempuan masuk.

Baru-baru in Y.Bhg. Prof. Dato Dr. Nassudin telah bersetuju untuk berkerjasama dengan wakil penduduk tempatan melalui Rukun Tetangga dan Jawantankuasa Perwakilan Penduduk untuk bersama UiTM menjaga nama baik universiti.

Kempen Sahabat NR sedang giat dijalankan. semua mahasiswa NR wajar bangun dan menyertai sahabat NR untuk kepentingan bersama. bersatu kita kuat, bercerai kita roboh. Banyak perkara yang memerlukan kita berkerjasama untuk ditangani secara bersama.

Friday, July 18, 2008

Syair : Wahai Kita Bernama Mahasiswa

Wahai kita bernama mahasiswa
Bangun dan bangkit dari lena
Lama sudah kita terlena
Diulit mimpi fatamorgana

Wahai kita bernama mahasiswa
Mari bangun bersama-sama
Menyusun lagu dan irama
Menyanyikan lagu pusaka bangsa

Wahai kita bernama mahasiswa
Mari kita bersama-sama
Berkorban jiwa dan raga
Demi kelangsungan saka bangsa

Wahai kita bernama mahasiswa
Masa berkata-kata telah tiada
Masa yang ada sedikit cuma
Buat membetul kesilapan lama

Wahai kita bernama mahasiswa
Ingat pesanan ayahanda dan bonda
Jangan lupa taati mereka
Kerana syurga dibawah telapak kaki bonda

Wahai kita bernama mahasiswa
Ingat pesanan pensyarah kita
Belajar bukan untuk periksa sahaja
Belajar kerana tuntutan jiwa

Wahai kita bernama mahasiswa
mari kita bersama-sama
membulatkan tekad dan azam lama
menjadi agen perubah bangsa



Nukilan
Ahmad Rais Johari
Taman Negara Kuala Tahan
Julai 14, 2008

Mahasiswa Non-Resident : Jaga Nama Baik UiTM

Sebagaimana yang pernah saya nyatakan melalui post yang lalu, semua mahasiswa NR UiTM tertakluk kepada Akta 174. Mahasiswa UiTM tidak tertakluk kepada AUKU. Justeru itu, dengan rendah diri saya menyeru semua mahasiswa NR supaya menjaga nama baik UiTM melalui percakapan yang sopan santun, perbualan yang berbudi bahasa, tingkahlaku yang baik dan perbuatan yang beretika semasa berhadapan dengan orang awam disekitar rumah, taman dan tempat saudara dan saudari menginap.

Sebagai mahasiswa UiTM anda perlu menjaga nama anda, nama keluarga anda, nama bangsa anda, nama agama anda dan nama universiti anda. Kegagalan saudara/i menjaga nama baik universiti melalui kata-kata, berbuatan, tingkahlaku dan tindakan boleh menyebabkan saudara/i didakwa di Mahkamah Pelajar Hal Ehwal Pelajar.

Pengalaman di Taman Negara Kuala Tahan - Cerita Tentang Pacat

Sejak zaman kanak-kanak dan remaja saya sudah biasa dengan pacat. Saya tidak merasa geli atau takut dengan pacat dalam apa keadaan sekalipun, saya pernah menoreh getah dengan bonda saya didalam kebun getah yang banyak pacat, saya juga biasa mengecop dan menyabit dahan kelapa sawit, ladang kepala sawit tersebut juga mempunyai banyak pacat.

Saya juga biasa dengan aktiviti mengusahakan sawah padi bermula daripada menanam, mengerat, memukul dan menanggung padi ke tepi ban sebelum ia dikumpulkan dibangsal. Sawah itu juga banyak pacat. Berbeza dengan lintah, pacat tidak mempunyai nilai komersial. Sehingga hari ini saya masih belum mendengar perusahaan menternak pacat dijalankan oleh usahawan tani di negara kita.

Bercerita tentang pacat, saya baru tahu melalui Fais dan melalui abang Lan semasa di Taman Negara rupanya pacat mempunyai dua jantina, mula-mula jadi jantan kemudian bertukar menjadi betina selepas pacat tersebut mendapat darah atau menghisap darah, secara automatik persenyawaan akan berlaku, pacat tersebut akan mati dan menelurkan puluhan anak-anak pacat yang lain.

Pacat berkorban demi meneruskan kelangsungan hidup generasi nya. Satu pengorbanan untuk puluhan generasi baru. Mati Satu, tambah sepuluh. Begitulah kelangsungan generasi pacat berterusan. Setakat hari ini pacat masih belum dalam kategori haiwan melata yang lupus atau dilindungi oleh perhilitan.

Wednesday, July 16, 2008

Hari Ini Adalah Hari Yang Mengembirakan Saya

Hari ni adalah hari yang mengembirakan buat saya. Faktor pertama kerana saya difahamkan Program Pentauliahan Profesional (3P) akan diteruskan lagi pada november ini walaupun bagaimanapun jumlah pelajar yang menyertai program ini akan dikecilkan.

Faktor kedua ialah Request for Information(RFI) Total Healthcare Information System untuk Fakulti Perubatan dan Fakulti Pergigian yang saya bentangkan pada mei lalu kepada Jawatankuasa Penggunaan dan Penilaian Komputer(JPPK) telah diluluskan.

Faktor ketiga ialah Polisi ICT UiTM yang telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Eksekutif Universiti telah diluluskan dan diperakui oleh Lembaga Pengarah Universiti. Saya terlibat secara terus bersama pengarah, mantan timbalan pengarah, pengurusan, pentadbiran, ketua jabatan, ketua unit, pegawai sistem maklumat diseluruh cawangan dalam PSMB, mantan dekan FTMSK, Dr. Zaiton, dan banyak lagi orang perseorangan yang lain untuk membangunkan dan menyunting polisi ICT ini sejak tiga tahun yang lalu.

Faktor ke empat ialah saya dapat melihat dan mendengar debat bertajuk ' Hari Ini Bentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak' antara Datuk Seri Anwar Ibrahim vs Datuk Ahmad Shabery Cheek Menteri Penerangan secara langsung melalui Astro Awani. Buat pertama kalinya sepanjang hayat saya yang sudah menghampiri 40 tahun, debat secara terbuka dan tanpa suntingan begini diadakan.

Tuesday, July 15, 2008

Pengalaman Dari Alam : Lapan

".....usahawan yang berjaya kebanyakannya mempunyai kredibiliti, integriti dan akauntibiliti yang tinggi..."

Monday, July 14, 2008

Pengalaman Dari Alam : Tujuh

"....masyarakat orang asli kaum batek menggunakan sumber-sumber alam semulajadi sepenuhnya untuk meneruskan kelangsungan hidup, mereka hidup tanpa kemudahan asas, asas kehidupan mereka adalah alam semulajadi...."

Catitan Pengalaman Dari Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang

Kami bertolak ke Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang daripada perhentian bas kolej teratai UiTM sekitar jam 9.00 pagi. Seramai 30 orang mahasiswa NR menyertai ekspedisi ini dan diiringi oleh 4 orang pegawai pengiring termasuk saya. Kami berehat sebentar di Genting Sempah untuk bersarapan dan meneruskan perjalanan semula ke Kuala Tahan melalui Jerantut. Perjalanan berjalan lancar dan kami sampai di Kuala Tahan sekitar jam 2.00 petang. Kami disambut oleh Abang Lan dan Saudara Laili sebaik sahaja tiba di Kuala Tahan.

Pada sebelah petang hari jumaat(11 hb. Julai 2008) kami meneroka Gua Telinga. Penerokaan ke Gua Telinga memerlukan kami menelusuri sungai tembeling, mendaki tebing dan masuk ke hutan melalui jalan yang berbecak dan berlumpur sejauh lebih kurang 1 kilometer. Dalam perjalanan kami menemui perkampungan orang asli, rumah mereka bertiangkan dahan kayu yang bercabang, beratapkan dan berdindingkan bertam kering yang dianyam rapi dan berlantaikan batang buluh yang telah dibelah kemas. Wajah dan warna kulit mereka sama seperti orang kulit hitam Afrika. Mereka adalah orang asli kaum batek.

Perjalanan dari jeti Kuala Tahan mengambil masa lebih kurang sejam untuk sampai ke Gua Telinga. Sebaik sahaja kami sampai di Gua Telinga kami terpaksa menunggu sebelum dibenarkan masuk ke dalam gua kerana ramai pelawat disitu. Penerokaan ke dalam gua memerlukan kami menggunakan lampu suluh untuk melihat kerana suasana di dalam gua tersebut terlalu gelap, kami terpaksa merangkak, menerap, bertinggung, memanjat, menelusuri anak sungai dan berpaut pada batu-batuan semulajadi di dalam gua tersebut untuk masuk dan keluar daripada gua. Lebih menakutkan ialah berkawan-kawan kelawar berterbangan di atas kepala kami, beratus-ratus kelawar bergayut-gayutan di atas permukaan dinding gua. Kami dinasihatkan tidak menganggu kelawar tersebut untuk menggelakkan kelawar tersebut terkejut. Seorang peserta siswi yang menyertai eksplorasi ini menangis kerana terlalu takut pada kelawar sehingga dia terpaksa ditenangkan oleh siswa yang rapat dengan beliau.

Pada sebelah malam kami membuat ekspedisi night walk melalui laluan berstruktur yang disediakan untuk melihat serangga, haiwan melata dan haiwan liar di dalam hutan Taman Negara. Kami terpaksa menyeberang sungai tembeling menggunakan bot

Ekspedisi night walk ini berakhir di menara tinjau sebelum kami berpatah balik ke Jeti . Disini kami dapat melihat dua ekor rusa sedang meminum air dikolam berhampiran.

Sunday, July 13, 2008

Program Eksplorasi Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang Anjuran Jawatankuasa Perwakilan Pelajar - Non Resident (JPPNR) UiTM

Alhamdulilah....perjalanan pergi dan balik daripada Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang telah selamat. Saya sampai rumah saya di Kolej Delima sekitar jam 8.15 pm. Tiada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Semua berjalan lancar berkat komitmen semua mahasiswa NR yang menyertai aktiviti lasak ini.

Saya, En. Ariffin, En. Fais dan En. Razali menjadi pegawai pengiring untuk eksplorasi ini. Tugas utama kami ialah memastikan semua mahasiswa yang terlibat dalam eksplorasi ini selamat dan semua aktiviti yang dijalankan disepanjang 3 hari dua malam tersebut mengikut kehendak Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni(HEP).

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada JPPNR, semua pegawai pengiring, semua penunjuk jalan yang membantu kami memasuki gua telinga, mendaki bukit, meredah denai, menelusuri sungai, melalui titian gantung dan meneroka perkampungan orang asli, tok batin perkampungan orang asli kaum batek, krew 8TV yang membuat liputan, pengusaha mortel yang menyediakan penginapan, syarikat penaja, pemandu bot, pemandu bas UiTM, En. Laili , Polis, Jabatan Perhilitan dan ramai lagi yang tidak tertulis disini.

Pengalaman selama projek ini berlangsung mengajar saya tentang cinta, kasih, sayang dan rindu. Cinta kepada alam semulajadi, sayang kepada hidupan yang melata, kasih kepada sungai dan rindu kepada kehijauan alam.

Friday, July 11, 2008

Program Eksplorasi Taman Negara, Pahang Anjuran JPPNR

Pagi ini jam 7.30 nanti saya akan bertolak ke Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang mengiringi mahasiswa nr ber'ekspedisi' dan ber'eksplorasi' mengharungi hutan dara, menelusuri sungai dan beriadah didalam belantara. Saya amat merindui kesegaran udara hutan nan menghijau, bunyi derauan arus sungai yang berderau, melihat kilauan ikan yang berenang dicelah-celah batu, menikmati kedinginan air dari gunung tahan yang mengalir daripada berpuluh-puluh sungai kecil yang bergabung menjadi satu.

Semoga selepas ekspedisi ini, semua peserta yang terdiri daripada mahasiswa NR akan insaf dan sedar betapa manusia perlu bermesra dan bercumbu dengan alam semulajadi yang terdiri daripada pokok, rimba, hutan, belantara, sungai, air, udara, api, pacat, ikan dan unggas untuk kesejahteraan manusia sendiri.

Saya akan kembali ke Shah Alam pada malam hari ahad (13 Julai 2008). Saya berdoa semoga perjalanan kami mendapat keberkatan dan kepulangan kami nanti mendapat kerahmatan daripada Ilahi, semoga tidak berlaku kejadian yang tidak dingini sepanjang ekspedisi dan eksplorasi ini berlangsung.

Thursday, July 10, 2008

Perjuangan Meneruskan Kelangsungan Melayu

Jam 2.00 sehingga lewat petang hari ini, saya melawat Industronics Berhad di Seri Kembangan. Rombongan UiTM diketuai oleh Penolong Naib Canselor Jabatan Komunikasi Korporat, Prof. Madya Dr. Ahmad Redzuan Abd. Rahman, Puan Bosirah Daud, En. Abdul Halim Mohd. daripada Unit Majlis , Pejabat Pengurusan Fasiliti termasuk beberapa orang kakitangan teknikal Jabatan Komunikasi Korporat, selepas tamat lawatan di Industronics Berhad kami ke UKM, Bangi.

Dalam perjalanan balik ke UiTM Shah Alam, saya sempat berbual dengan Dr. Redzuan membincangkan pelbagai isu termasuk isu kelangsungan bangsa bumiputera terutamanya melayu. Menurut beliau, populasi bangsa bumiputera hari ini tidak lebih 60 peratus daripada populasi keseluruhan rakyat malaysia, trend baru masyarakat melayu moden hari ini ialah memiliki keluarga yang kecil, mempunyai satu, dua atau tiga orang anak. Justeru itu, jelas beliau, sesuatu perlu dilakukan untuk menjadikan populasi bangsa bumiputera meningkat ke 70 peratus, diantaranya ialah menggalakkan bangsa bumiputera memiliki keluarga yang besar, seperti mengamalkan poligami, tidak mengamalkan 'amalan merancang keluarga', menggalakkan dan memudahkan perkahwinan. Dalam masa yang sama, jelas beliau, sesuatu perlu dilakukan untuk mengurangkan kadar penceraian dikalangan pasangan bumiputera islam.

Saya setuju dengan idea Dr. Redzuan malahan saya setuju anak adalah aset pada sesuatu keluarga, lebih ramai anak, maknanya lebih banyak harta yang dimiliki oleh keluarga itu, tetapi untuk mendapatkan anak juga bukan kerja yang mudah, tambah saya, saya telah berkahwin hampir 9 tahun tetapi baru dikurniakan seorang anak walaupun kerja-kerja untuk mendapatkan anak telah banyak kali dilakukan. 'Belum ada rezeki' Dr. Redzuan mencelah, 'tapi kena ada usaha dan ikhtiar, jangan serah pada takdir per se, perlu makan ubat dan berubat, ubat moden dan ubat traditional' katanya lagi.

Banyak yang saya belajar dari Dr. Redzuan hari ini, baru saya tahu, rupanya beliau seorang yang suka bergurau dan berjenaka, disebalik jenaka dan gurau beliau tersembunyi falsafah yang amat dalam. Beliau juga berjiwa seni dan meminati sukan bola sepak. Jiwa saya rasa sedikit terubat bila idea convergence voice, video dan data yang selalu saya utarakan dalam forum-forum melibatkan ICT di UiTM diterima oleh Dr. Redzuan. Malahan beliau komited mahu menggunakan ICT untuk memantapkan sistem penyampaian universiti. Justeru itu. jelas beliau “esprit-de-corp” dari segi teknikal diantara PSMB, ILQAM dan PPF amat penting untuk menjayakan misi dan visi Jabatan Komunikasi Korporat.

Wednesday, July 9, 2008

Cadangan Projek Komuniti : Perkhidmatan Internet Wayarles Di Pangsapuri Baiduri, Seksyen 7, Shah Alam.

Jawatankuasa Penduduk Pangsapuri Baiduri seksyen 7 dengan kerjasama sebuah syarikat ICT tempatan bercadang akan melaksanakan projek berasaskan komuniti di Apartment Baiduri. Projek komuniti ini bertujuan untuk memberikan kemudahan internet secara wayarles kepada semua penghuni Pangsapuri Baiduri termasuk semua mahasiswa nr yang tinggal di situ. Difahamkan pelanggan yang berminat untuk memperolehi perkhidmatan ini boleh memilih untuk melanggan secara bulanan, secara mingguan dan secara harian dengan kadar bayaran yang jauh lebih murah jika dibandingkan dengan cybercafe dan streamix STM.