Tuesday, June 24, 2008

Penubuhan Jawatankuasa Bersama UiTM dan Wakil Penduduk Tempatan

Sebagai Pegawai Pembangunan Pelajar Non-Resident saya kerap dihubungi oleh wakil penduduk di sekitar Shah Alam mengadu hal tentang pelbagai masalah yang berkaitan dengan mahasiswa NR UiTM yang menyewa rumah di kawasan mereka. Diantara aduan yang popular ialah menganggu ketenteraman awam seperti buat bising, membuka radio terlalu kuat, gelak ketawa terbahak-bahak ditengah-tengah malam, parking secara semberono, membuang sampah merata-rata, tidak menjaga kebersihan, berdua-duaan dan yang berkaitan dengannya. Kadang-kadang saya juga dihubungi pihak berkuasa untuk menangani kerenah mahasiswa NR yang pelbagai watak dan rencam sifatnya.

UiTM bersetuju menubuhkan satu J/K bersama diantara UiTM dan wakil penduduk sekitar Shah Alam untuk bersama-sama mahasiswa nr memasyarakatkan pengetahuan, kepintaran dan bakat yang dimiliki oleh mereka kepada masyarakat Shah Alam. Pelbagai aktiviti dan program akan disusun untuk mengeratkan hubungan antara mahasiswa NR dan masyarakat setempat. Mahasiswa UiTM perlu berperanan sebagai agen pembangunan masyarakat. Kepintaran yang dimiliki oleh mahasiswa perlu digembling untuk manfaat masyarakat. Kempen "sahabat NR" juga sedang giat dijalan sekarang melalui sepanduk-sepanduk yang diletakan ditempat yang strategik untuk mengalakkan mahasiswa NR mendaftarkan diri sebagai NR.

Saya menerajui J/K bersama penduduk di zon 2 iaitu di Apatment Baiduri, Kondo Kristal, Flat seksyen 7 dan semua kawasan diseksyen 7, Shah Alam. Zon 2 adalah kawasan yang paling padat mahasiswa NR UiTM. Justeru itu, saya amat mengharapkan sokongan daripada semua mahasiswa NR untuk menjayakan agenda memartabatkan nusa, bangsa dan agama.

Program Pentauliahan Profesional (Industry Based Certification) Di UiTM Wajar Diteruskan atau Dihentikan Sahaja..?

Bahagian Hal Ehwal Akademik (HEA) UiTM, Pusat Sistem Maklumat Bersepadu (PSMB), Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Teknologi Maklumat dan Sanis Kuantitatif, Fakulti Pengurusan Maklumat, Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Fakulti Pengurusan dan Teknologi Pejabat dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi telah menganjurkan Program Pentauliahan Profesional baru-baru ini.

Program ini dikendalikan oleh Prestariang Sdn. Bhd. Ia mula diperkenalkan pada Semester Mei/Julai 2006. Majoriti maklumbalas yang diterima daripada bekas peserta(pelajar) 3P yang pernah mengikuti program ini berpendapat ia wajar diteruskan sebagai penambahan nilai kepada pelajar UiTM. Rata-rata pelajar yang pernah mengikuti 3P telah berkerja dan menjawat jawatan penting dalam industri ICT.

Walaubagaimanapun beberapa penambahbaikan perlu dilakukan untuk memantapkan lagi 3P ini supaya ia selaras dengan kehendak dan keperluan industri. 3P menawarkan kursus seperti CCNA, MCAD, MCSE, MCSA, MOS, MCDST, Comtia A+, IWD, ACP, CCENT, BEC, ITIL dan lain-lain lagi kepada pelajar tahun akhir UiTM daripada 5 fakulti yang terlibat.

Saya terlibat secara terus dengan 3P sebagai penyelaras teknikal dan berkerja erat dengan semua penyelaras 3P diperingkat fakulti. Diantara tugas saya ialah memastikan makmal komputer yang mencukupi dan memenuhi speksifikasi 3P bagi menampung 650 orang pelajar yang mengikuti program ini, menyediakan penginapan asrama dan pengangkutan kepada peserta sepanjang program ini berlangsung, memastikan semua keperluan teknikal seperti network, server dan internet berfungsi dengan baik.

Pengalaman Dari Alam : Satu

"Pertukaran malam dan siang, pasang dan surut, pagi dan petang adalah hukum alam yang berlaku berulang-ulang dalam suatu kitaran. Kitaran yang melengkapkan satu pusingan, seumpama pertukaran masa dari saat ke minit, jam, hari, bulan dan tahun. Ia berulang lagi dan terus berulang sehingga tiba masanya ia akan berhenti dengan sendirinya. Pada ketika itu, hukum karma tidak terpakai lagi. Alam akan musnah, hancur dan terpadam."

Ahmad Rais Johari

Monday, June 23, 2008

Cabaran Baru Kepada Para Mahasiswa NR UiTM.

Julai nanti kampus UiTM akan sibuk kembali, setelah para mahasiswa bercuti panjang di kampung halaman masing-masing. Semoga kedatangan semester baru ini akan memberikan semangat dan daya juang yang baru kepada para mahasiswa sekelian. Difahamkan pengambilan baru (new intake) kali ini dipertingkatkan lagi, bermakna semakin ramai mahasiswa lama UiTM terpaksa menginap di rumah sewa. Kemudahan penginapan asrama amat terhad.

Sejak harga minyak naik kepada RM 2.70 se liter baru-baru ini, semua barang-barang keperluan asas di Shah Alam mula menunjukan tanda-tanda peningkatan. Mengikut seorang pengusaha minuman di seksyen 2, beliau akan menaikan harga minuman sebanyak 20% berkuatkuasa 1 Julai 2008. Dijangkakan harga makanan juga turut meningkat. Justeru itu, semua mahasiswa perlu mengamalkan belanjawan berhemah kerana jumlah PTPTN yang diterima tetap sama seperti semester lepas.

Seperkara lagi ialah kejadian jenayah yang melibatkan pelajar UiTM sebagai sasaran dan mangsa penjenayah, masalah jenayah seperti ragut, kehilangan motorsikal, pecah rumah, kehilangan laptop, samun dan sebagainya perlu diberikan perhatian serius oleh semua mahasiswa NR UiTM. Elakkan diri anda daripada terdedah kepada sasaran penjenayah seperti keluar lewat malam, tidak mengunci pintu rumah dan lupa mengunci kenderaan dengan kunci pendua. Sokongan mahasiswa NR sekelian terhadap sebarang program anjuran Unit Pengurusan NR dan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar NR (JPPNR) amat kami hargai. Kita perlu bersatu untuk menjaga kepentingan kita bersama.

UiTM Dihatiku....Fasa Tiga


Bulan ini genaplah 11 tahun saya bersama UiTM. Perjuangan belum selesai, agenda untuk memartabatkan bangsa perlu diteruskan. UiTM berkembangan begitu pesat. Terbaru UiTM telah melahirkan 18 orang graduan Bachelor of Medicine dan Bachelor of Surgery yang pertama daripada Fakulti Perubatan pada konvoksyen yang lepas. Saya terlibat secara terus merangka halatuju ICT Fakulti Perubatan bersama Professor Dato' Dr Khalid Yusoff dan pasukan beliau daripada Fakulti Perubatan.

Professor Dato' Dr Khalid Yusoff, Dekan Fakulti Perubatan menulis email yang berbunyi.......


Sdra Rais,


Terima kasih diatas segala kerjasama dan sumbangan yang diberikan. Seperti yang sdra dapat lihat, kita berusaha utk membangun sesuatu yang akan menjadi kebanggaan bukan sahaja kepada UiTM tetapi bangsa Melayu untuk sekurang-kurangnya seratus tahun lagi, insya Allah. Kita perlu bekerja keras, dan terus mengejar kehadapan.


Olives are PRESSED to get their oil, fruits are SQUEEZED for their juice, flowers are CRUSHED for their perfume; so if you feel PRESSURED by me, it is just me trying to get the BEST out of you.


Khalid


kepada saya. Kata-kata beliau memberikan motivasi kepada saya berkerja lebih smart untuk merealisasikan misi dan visi Fakulti Perubatan menjadi realiti. Beliau juga membuka minda saya melihat sesuatu isu dalam perspektif yang berbeza-beza dan beralternatif. Ada banyak jalan untuk menuju ke satu destinasi, kita kena pilih jalan paling dekat, cepat dan tepat, jalan yang paling praktikal, jangan menyusahkan keadaan, jangan menambah birokrasi kerana masa terlalu berharga buat kita. Jangan buang masa, Kita perlu berkerja 3 kali ganda lebih kuat untuk mengejar impian, ujarnya lagi.

Sunday, June 22, 2008

UiTM Dihatiku....Fasa Dua

Saya mula berkhidmat di ITM pada Jun 1997 di Pejabat Penyelenggaraan sebagai Pembantu Teknik Sistem Telekomunikasi dan Siaraya, sesuai dengan nama jawatan tersebut maka saya bertanggungjawab untuk memastikan semua sistem telekomunikasi ITM berfungsi dengan baik dan dapat digunakan untuk memantapkan sistem penyampaian institut.

Saya bertanggungjawab terhadap sistem siaraya, sistem telefon dan PABX di Kampus Induk Shah Alam dan kampus cawangan seluruh negara. Sepanjang saya bekerja di sana banyak pengalaman pahit dan manis yang saya lalui sehinggakan adakalanya saya hampir hilang motivasi kerja melalui saat-saat tersebut. Bila saya renungi semula objektif utama saya berkhidmat di UiTM, saya memujuk diri saya dengan berkata aku berkerja hanya untuk nusa, bangsa, agama dan tentu sekali untuk UiTM. Yang penting sekali saya masih ada keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya. Terima kasih semua.

Banyak kenangan manis yang saya lalui di sana di antaranya seperti projek 'call billing system' yang digunapakai sehingga hari ini, dimana melalui sistem ini, setiap panggilan telefon boleh dipantau dan ITM boleh mengutip semula kos penggunaan bil telefon panggilan peribadi. Semasa projek ini ingin dibangunkan banyak kisah suka duka yang saya lalui. Namun, segala teguran dan kritikan terhadap saya ini menjadikan saya bertambah bersemangat dan lebih berusaha untuk membangunkan projek ini dan tidak sekali-kali melemahkan semangat saya.

Pada Oktober 2003 saya dipindahkan ke Institut Kepimpinan Pengurusan Kualiti (ILQAM). ILQAM diketuai oleh Penolong Naib Canselor, iaitu, Prof. Madya Dr. Mohd. Mustaffa Mohd. Ghazali (kini Professor) pada ketika itu. Sebagai pembantu teknik audio visual saya bertanggungjawab terhadap sistem video, sistem audio, studio TV dan menjadi ahli Jawatankuasa Alat Pandang Dengar UiTM. Saya dan En. Rahman Salleh, Penolong Pendaftar ILQAM ketika itu dan semua warga ILQAM adalah pengerak utama semasa perlaksanaan PTK pertama untuk kakitangan akademik pada 2004.

Sepanjang berkhidmat di ILQAM saya terlibat secara terus terhadap projek Technology Enabled Classroom (TEC) . Lebih 100 unit classroom UiTM diseluruh negara dinaiktaraf kepada Technology Enabled Classroom (TEC). TEC ialah bilik kuliah yang dilengkapi internet, peralatan AV seperti LCD, DVD player, Visualizer, sistem audio, sistem video dan sebagainya. Saya juga meninggalkan buku "panduan pembelian alat pandang dengar 2004" yang digunapakai sehingga hari ini sebagai panduan untuk memudahkan pengguna yang terdiri daripada semua fakulti, jabatan, unit dan sebagainya untuk memudahkan mereka berurusan dengan Jawatankuasa Alat Pendang Dengar untuk membeli peralatan audio visual.

Pada November 2004, saya berpindah ke Pusat Sistem Maklumat Bersepadu (PSMB) dan bertugas di Unit Rangkaian sehingga kini. Diantara projek yang saya terlibat secara terus sepanjang berkhidmat di PSMB ialah menjadi penyelaras teknikal Program Pentauliahan Profesional (3P) iaitu program industry based certification seperti CCNA, MCSA, MCSE, ITIL,BEC, MCAD, Comtia A+,IWD, ACP dan sebagainya yang dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Akademik (HEA) dan Pusat Sistem Maklumat Bersepadu(PSMB) untuk pelajar tahun akhir daripada F. Kej. Elektrik, F. Teknologi Maklumat dan Sains Kuantitatif, F. Pengajian Maklumat, F. Pengurusan Perniagaan dan F. Pngurusan dan Teknologi Pejabat. Saya masih lagi menjadi penyelaras teknikal Program Pentauliahan Profesional (3P) sehingga kini. Projek pemasangan sistem rangkaian secara wireless di semua fakulti di Shah Alam, projek pemasangan CCTV secara wireless di sekitar kawasan UiTM dan projek membina Data Center di UiTM Shah Alam.

Ramai rakan-rakan di UiTM pelik bagaimana saya boleh melompat dari Pejabat Pengurusan Fasiliti ke Institut Pengurusan Kualiti (ILQAM) kemudian ke Pusat Sistem Maklumat Bersepadu(PSMB) bukan kerana kenaikan pangkat. Lazimnya orang berpindah dari satu bahagian ke satu bahagian yang lain kerana kenaikan pangkat. Apabila saya renung dan hayati terhadap semua yang berlaku pada saya ini, maka saya pasrah, bahawa ini adalah kehendak Ilahi. Saya reda dengan apa yang telah berlaku. Mungkin ini yang terbaik untuk saya.

Pengalaman yang saya perolehi dari ketiga-tiga jabatan ini membolehkan saya bercakap melalui pengalaman mengenai voice, video dan data diUiTM. Baru saya sedari bahawa UiTM mengamalkan cara pengurusan ICT cara traditional. Ini adalah faktor utama menyebabkan ICT di UiTM agak keterbelakang berbanding dengan kedudukan 100 universiti yang disenaraikan oleh The Times Higher Education Supplement. Namun saya tidak akan berputus asa. Saya berazam memastikan kedudukan tersebut akan berubah bagi menjadikan UiTM sebagai salah sebuah universiti yang terkedepan sekali di dalam pengurusan ICT nya. Itulah azam saya.

Friday, June 20, 2008

UiTM Dihati Ku..Fasa Satu

Sebaik sahaja saya menamatkan pengajian di ITM(kini UiTM) mengikuti kursus Diploma Kejuruteraan Elektrik (Elektronik) pada 1994 saya berkerja di Motorola, P.Pinang sebagai juruteknik, skop tugas saya ialah memastikan semua mesin yang terdapat didalam line production diselenggara secara berkesan untuk mengurangkan down time production. Setiap hari semasa berkerja saya hanya berurusan dengan mesin.

6 bulan kemudian saya bertukar kerja sebagai production supervisor di Seagate Bayan Baru P.Pinang. Skop tugas saya sebagai production supervisor ialah memastikan target production output tercapai dan memastikan semua output production yang dihasilkan daripada line production saya memenuhi tahap kualiti yang ditetapkan. Setiap hari semasa berkerja saya hanya berurusan dengan manusia iaitu operator pengeluaran.

Setahun kemudian saya bertukar kerja sebagai technical supervisor di Hewlett Parkard. Skop tugas saya di Hewlett Parkard ialah memastikan juruteknik saya menyelenggara mesin secara berkesan dan membuat preventive maintenance mengikut jadual yang ditetapkan. Setiap hari semasa berkerja saya berurusan dengan manusia dan mesin sehinggalah saya berkhidmat di ITM (kini UiTM) pada Jun 1997.

Faktor utama yang menyebabkan saya melompat kerja dari satu kilang ke kilang yang lain semasa di P.Pinang ialah faktor tawaran gaji yang lebih lumayan. Manakala faktor utama yang menggerakan saya untuk berkhidmat di UiTM adalah kerana pada tahun 1996 ITM telah dinaiktaraf sebagai universiti tetapi masih mengekalkan nama dan ciri-ciri sebagai ITM.

Ia mengenangkan saya kembali kepada nostalgia lama semasa saya menjawat jawatan sebagai Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) sesi 1990/91 semasa belajar di ITM Kampus Induk, Shah Alam dulu. Pada Jan 1991, kami menganjurkan Konvensyen Mahasiswa ITM Seluruh Malaysia. Objektif utama konvensyen ini ialah mengenalpasti permasalahan utama semua mahasiswa ITM diseluruh negara dan mencadangkan penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh pengurusan ITM. Konvensyen ini mengumpulkan seluruh pimpinan pelajar ITM iaitu JPP ITM cawangan di semenanjung termasuk di Sabah dan Sarawak, saudara Mazidul Akmal Sidik (sekarang wartawan TV3 yang terkenal dengan program 999 dan 360) mewakili JPP ITM cawangan Pahang adalah di antara peserta yang menghadiri konvensyen tersebut.

21 resolusi telah diputuskan melalui konvensyen ini, diantara resolusi tersebut ialah menuntut supaya ITM dinaikan taraf sebagai universiti dengan mengekalkan ciri-ciri ITM sediada. Menteri Pelajaran pada ketika itu ialah Dato' Seri Sulaiman Daud. Pengerusi ITM pada ketika itu ialah Tan Sri Ani Arobe manakala Pengarah ITM pula ialah Dato' Dr. Mansur Salleh dan Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar (HEP) pada ketika itu ialah Tuan Shaikh Ibrahim. Resolusi konvensyen tersebut diserahkan terus kepada Tan Sri Ani Arobe semasa beliau merasmikan majlis penutup Konvensyen Mahasiswa ITM Seluruh Malaysia.

Malangnya semasa perjumpaan dengan Menteri Pelajaran ketika menyerahkan resolusi tersebut...jawaban Menteri Pelajaran "... selagi saya menjadi Menteri Pelajaran jangan mimpi ITM akan menjadi universiti kerana jika ITM jadi universiti saya terpaksa membenarkan kaum bukan bumiputera menjadi pelajar ITM....". Saya bertegang leher dan berhujah dengan Menteri Pelajaran mempertahankan resolusi yang telah diputuskan oleh kami barisan pimpinan mahasiawa ITM sehingga terpaksa dileraikan oleh Dato' Dr. Mansur Salleh. Hanya selepas 5 tahun selepas konvensyen tersebut baru lah ITM dinaiktaraf sebagai universiti dengan mengekalkan ciri-ciri ITM.

Kenangan itu menjadi motivasi kepada saya untuk berkhidmat dengan ITM walaupun gaji yang ditawarkan oleh ITM adalah lebih rendah daripada gaji saya di HP P.Pinang. Saya berkorban dan berazam untuk memberikan perkhidmatan terbaik sebaik sahaja di terima menjadi kakitangan ITM pada Jun 2007 demi nusa, agama dan bangsa. Pada saya ini adalah perjuangan untuk mengangkat martabat bangsa.

Degupan, Denyutan dan Getaran Menghasilkan Frekuensi ?

Samada kita sedar atau tidak, pada ketika dan saat ini, kita sedang bernafas, jantung kita sedang berdegup, nadi kita sedang berdenyut. Cuma kadang-kadang kita terlupa yang kita sedang bernafas, nadi kita sedang berdenyut dan jantung kita sedang berdegup kerana sibuk dengan aktiviti kita seharian Jika secara tiba-tiba degupan jantung kita terhenti, maka tiada lagilah degupan, denyutan serta getaran dan terhentilah hayat kita dan itu lah dinamakan mati.

Semua makhluk ciptaan Tuhan sentiasa bergetar, berdegup, berdenyut dan menghasilkan frekuensi. Daripada haiwan, tumbuh-tumbuhan, manusia, bulan, bintang. matahari hatta bakteria menghasilkan frekuensi dipersekitaran mereka. Menurut guru saya, Ir. Hamidun Md. Isa, getaran, degupan dan denyutan itu adalah dzikrullah. Hanya mereka yang mempunyai 'jiwa-jiwa yang tenang' dapat mengerti maksud disebalik getaran, degupan dan denyutan.

Thursday, June 19, 2008

Najis Lembu Lebih Mahal Dari Daging Lembu?

Saya berkesempatan melawat perusahaan baja kompose yang diusahakan oleh Haji Idris di Pulau Pinang baru-baru ini. Saya teruja kesungguhan Haji Idris yang telah menjangkau usia awal 70an tetapi masih kuat dan bertenaga mengusahakan produksi baja kompose. Beliau juga adalah jurunikah dikawasan beliau.

Beliau mempunyai lebih kurang 50 ekor lembu yang dibela didalam 2 kandang yang berbeza tapi berdekatan antara satu sama lain. Terdapat satu longkang yang menyambungkan kedua-dua kandang lembu tersebut ke satu kolam takungan, kolam ini ialah tempat takungan najis lembu. Semua najis lembu yang dihasilkan daripada 2 kandang tersebut akan terkumpul di sini. Beliau membela cacing kompose di dalam kolam tersebut, cacing kompose memakan najis lembu dan tahi cacing kompose inilah yang menjadi baja kompose (baja organik).

Setiap 3 bulan sekali Hj. Idris akan mengumpul semua baja organik daripada kolam takungan tersebut untuk dijual kepada pelanggan beliau. Memeranjatkan setiap 3 bulan pendapatan beliau melebihi RM 100,000.00. hasil jualan baja kompose dan dalam masa yang sama beliau juga menjual cacing kompose dengan harga RM 1,000.00 satu kilogram. Selepas pertemuan dengan Haji Idris ini baru saya sedar rupanya najis lembu lebih bernilai kormersial daripada daging lembu.